Khamis, 31 Julai 2008

Ada apa dengan saifai?

Saifai - nama glamor bagi genre fiksyen dan fantasi sains - ialah satu genre yang masih kekurangan penulis. Namun bukanlah bermakna kita ketandusan penulis di dalam genre ini. Aku pernah ulas tentang perkara ini di dalam blog ini beberapa ketika yang lalu. [Klik sini dan sini untuk bacaan lanjut]. Rasanya sudah hampir setahun aku tidak mengulas perkara ini. Maka izinkan aku untuk melanjutkan komentar mengenai fiksyen dan fantasi sains di dalam kesempatan yang ada pada kali ini.

Aku ke Universiti Malaya pagi tadi untuk menghadiri satu perbincangan mengenai bioteknologi. Semasa berbicara tentang tahap kefahaman bioteknologi di kalangan masyarakat awam, seorang sahabat melontarkan pandangan bahawa media kurang memberikan ruang untuk isu-isu sains. Kalau ada sekalipun, biasanya isu-isu yang memberikan gambaran negatif tentang sains. Dan sahabatku ini seterusnya berhujah bahawa di dalam dunia sastera juga, pembangunan sains dan teknologi serta golongan saintis dan teknologis sering digambarkan secara negatif. Pendeknya, seolah-olah sains dan teknologi itu membawa kepada kehancuran dan kerosakan.

Terdiam aku seketika sebaik mendengar lontaran kata-kata sahabatku ini. Bukannya apa, aku tiba-tiba berada di dalam satu dilema. Aku seorang saintis, maka aku akui ada kebenaran kata-kata sahabatku ini. Lihat sahaja bagaimana perkembangan sains dan teknologi dipaparkan menerusi kisah-kisah sama ada yang dibukukan mahupun yang difilemkan. Tetapi pada waktu yang sama, aku juga seorang penulis yang mula berjinak-jinak dengan genre fiksyen sains, yang menyebabkan aku kurang bersetuju dengan pandangan sahabat tersebut. Karya Transgenesis: Bisikan Rimba misalnya memang menyentuh isu penyalahgunaan teknologi (secara khusus, bioteknologi). Tetapi bukanlah niatku untuk menggambarkan semua saintis itu tidak beretika dan semua perkembangan sains dan teknologi itu buruk. Aku senantiasa berpegang bahawa teknologi itu ibarat pisau - buruk atau baiknya kesan penggunaan pisau (baca: teknologi) itu bergantung kepada penggunanya. Banyak isu-isu falsafah yang aku ketengahkan menerusi novel keduaku ini yang mengajak pembaca untuk berfikir.

Perkara ini bermain-main di dalam kotak fikiranku sepanjang hari. Dan mungkin sudah ketentuan Ilahi, aku terjumpa satu kata-kata yang menarik yang dipetik daripada Frank Herbert iaitu penulis siri novel terkenal Dune. Katanya:

The function of science fiction is not always to predict the future but sometimes to prevent it.
[Terjemahan: Peranan fiksyen sains bukanlah untuk meramalkan masa hadapan setiap masa tetapi ada kalanya untuk menghalangnya.]
Ya, agaknya itulah sebab ramai penulis fiksyen dan fantasi sains memilih tema-tema pascaapokaliptik untuk menggerakkan jalan cerita mereka. Mungkin inilah sebabnya penulis seperti aku memilih risiko dan dampak buruk perkembangan teknologi sebagai kisah untuk dinukilkan. Bukan untuk memberikan imej negatif kepada sains dan teknologi serta saintis dan teknologis. Sekadar mahu memberikan kesedaran tentang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku andai kata sains dan teknologi disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Aku kira inilah peranan besar yang dimainkan oleh sang penglipurlara fiksyen dan fantasi sains. Bukan menulis semberono sesedap rasa sekadar memuaskan nafsu dan ego sendiri, tetapi menulis dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan dan menimbulkan kesedaran kepada pembaca. Kebetulan aku sedang membaca karya fantasi sains Fadli Al-Akiti iaitu Saga Horizon. Tema tulisan penulis muda berbakat besar ini berkisar dengan tema pascaapokaliptik pada masa hadapan. Aku belum habis membacanya tetapi aku kira ini adalah satu contoh penulisan fantasi sains yang bertanggungjawab. Penulis mengutarakan isu-isu bersifat falsafah menerusi penceritaannya yang mampu mengundang pembaca untuk berfikir (seandainya pembaca memilih untuk berfikir). Kita perlukan lebih ramai penulis seperti Fadli Al-Akiti yang mampu bercerita sambil memberi nasihat secara tersirat.

Catatan Pesta Buku Selangor

Beberapa pengunjung ke sini dan juga ahli forum di Cari Forum bertanyakan tentang hal ini. Bagaimana sambutan di Pesta Buku Selangor tempoh hari?

Sahabat novelis, Izza Aripin, yang berkunjung ke Pesta Buku Selangor pada hari Jumaat lepas memberitahu yang tidak ramai pengunjung ke situ. [Catatan Izza boleh dibaca di sini]. Aku katakan mungkin sebab hari bekerja. Lazimnya orang lebih ramai pergi pada hujung minggu. Dan seperti yang aku uar-uarkan, aku terlibat dengan sesi autograf di situ pada hari Sabtu yang lalu, di antara jam 1 hingga 2 petang.

Disebabkan harga minyak yang sudah naik (ditambah dengan lokasi pejabatku yang hanya tiga minit perjalanan kaki), aku telah pun menjual keretaku. Jadi pada hari Sabtu itu, terpaksalah aku menggunakan pengangkutan awam untuk ke Shah Alam dari Setiawangsa. Dari teratak kediamanku, aku menapak selama 15 minit untuk ke Stesen LRT Setiawangsa. Dari situ, aku menaiki LRT Aliran Kelana Jaya dan turun di Stesen KL Sentral. Di stesen tersebut, aku naik pula KTM Komuter dan turun di Stesen Batu Tiga. Dari situ, seorang sahabat lama menunggu untuk menjemputku.

Sebelum aku berceloteh tentang Pesta Buku Selangor, aku suka nyatakan di sini yang pengalaman menaiki pengangkutan awam ialah satu pengalaman yang menarik. Sudah begitu lama aku tidak menggunakan pengangkutan awam, dan apabila sesekali menggunakan pengangkutan ini, pasti banyak perkara yang dapat aku perhatikan - dari gelagat manusia hinggalah keadaan pengangkutan awam itu sendiri. Walaupun aku menghabiskan hampir satu jam setengah di atas pengangkutan awam untuk ke Shah Alam, aku tetap gembira kerana banyak "ilham baru" yang aku perolehi daripada pengalaman ini.

Aku tiba di Kompleks PKNS iaitu lokasi Pesta Buku Selangor sekitar jam 12.30 tengah hari. Perkara pertama yang aku perasan ialah, seperti kata Izza Aripin, tidak ramai pengunjung yang berada di situ. Dari satu sudut, aku terasa lega kerana ini membolehkan aku meninjau-ninjau gerai yang ada dengan lebih mudah tanpa perlu berhimpit-himpit (sempat juga membeli beberapa buku dan CD). Namun dari satu sudut lain, aku terasa sedikit ralat kerana seolah-olah pesta buku tersebut seperti tidak mendapat sambutan. Ini sekadar persepsi peribadi yang mungkin tidak dipersetujui oleh orang lain.

Kemudian, seperti yang dijanjikan kepada penerbit, aku berada di gerai untuk sesi autograf. Aku tidak keseorangan pada sesi itu. Bersamaku ialah novelis yang telah memenangi beberapa anugerah iaitu Aminah Mokhtar. Dan dari kerusi tempat aku duduk, sekali lagi aku lihat tidak ramai orang yang berada di lokasi pameran. Jika ada pun orang yang mundar-mandir, rasanya mereka lebih tertumpu untuk membeli-belah di kompleks tersebut.

Aku ada bersembang (untuk menghilangkan kebosanan) dengan Cik Norashikin Wahid, Editor PTS Fortuna. Dari sembang-sembang kami, kesimpulan yang boleh dibuat ialah lokasi pesta buku tidak begitu sesuai. Apabila diadakan pesta buku di ruang legar pusat membeli-belah, orang yang datang tidak semestinya datang untuk meninjau-ninjau gerai buku. Mungkin (daripada pengamatan peribadi) daripada 10 orang yang lalu, hanya tiga orang yang singgah. Yang membeli buku tentulah jauh lebih kecil bilangannya daripada yang membelek buku. Mungkin penganjur mengambil kesempatan menggunakan ruang legar dengan tujuan untuk menarik lebih ramai orang. Tetapi setakat hari kedua Pesta Buku Selangor diadakan, aku lihat jika itulah tujuannya, aku rasa ia tidak memberikan kesan yang diharapkan. Atau mungkin juga seperti yang dikatakan sesetengah orang bahawa kenaikan harga minyak memberi kesan kepada penjualan buku. Wallahu'alam. Aku cuma berharap agar sambutan yang lebih baik diberikan kepada Pesta Buku Selangor pada hari-hari berikutnya.

Walau bagaimanapun, 15 minit terakhir sesi autograf itu bagiku lebih menarik. Kami dikejutkan dengan kemunculan Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang meluangkan masa hampir 30 minit di gerai PTS tersebut. Aku dan Aminah Mokhtar mengambil kesempatan ini untuk menghadiahkan hasil tulisan kami iaitu Transgenesis: Bisikan Rimba dan Seteguh Fikrah Salehah kepada beliau. Dan tentunya kesempatan bergambar tidak dilepaskan.

Aku juga dapat bersemuka untuk pertama kalinya dengan pengulas novel di ruang siber iaitu Kak Wan Amalyn dan penulis siri Takluk Jagat iaitu Zaki Zainol atau lebih dikenali di ruang siber sebagai Kangaq. Pertemuan kali pertama ini sesuatu yang istimewa kerana kini aku sudah meletakkan "wajah" kepada nama kenalan di ruang siber.

Walau apa sekalipun, pengalaman pertama menyertai aktiviti seperti ini di Pesta Buku Selangor merupakan satu pengalaman yang istimewa.

Jumaat, 25 Julai 2008

Pesta Buku Selangor

Pesta Buku Selangor bermula hari ini hingga 3 Ogos.

Aku akan berada di Pesta Buku Selangor esok (26 Julai) dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang di gerai PTS.

Jangan lupa berkunjung ke Pesta Buku Selangor, dan bagi yang belum mendapatkan naskhah Transgenesis: Bisikan Rimba, bolehlah berbuat demikian di gerai PTS.

Datang, jangan tak datang.

Khamis, 24 Julai 2008

Temui Amir Husaini

Sejak aku menjadi novelis lebih setahun yang lalu, aku kira ini kali pertama aku akan "turun ke padang" untuk mempromosikan novel. Penerbit Transgenesis: Bisikan Rimba iaitu PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, telah mengaturkan empat sesi autograf novel Transgenesis: Bisikan Rimba pada tarikh-tarikh dan di lokasi-lokasi berikut:

  • Sabtu, 26 Julai 2008: Gerai PTS (Kawasan C gerai 1-8), Pesta Buku Selangor, Tingkat Bawah, Kompleks PKNS, Shah Alam (1 tengah hari - 2 petang) [Klik sini untuk lokasi gerai]
  • Sabtu, 2 Ogos 2008: Gerai PTS (3147-3149), Dewan Tun Razak 3, Pesta Buku Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur (12 - 1 tengah hari) [Klik sini untuk lokasi gerai]
  • Ahad, 3 Ogos 2008: MPH Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur (2 petang - 3 petang)
  • Sabtu, 30 Ogos 2008: MPH Subang Parade, Subang Jaya (3.30 petang - 4.30 petang)
Jadi, serbulah lokasi-lokasi di atas pada tarikh dan masa yang tertera untuk bertemu dengan penulis bernama Amir Husaini (dan lebih penting lagi, untuk mendapatkan naskhah Transgenesis: Bisikan Rimba anda).

Sekiranya ada perubahan pada tarikh, masa dan lokasi, akan dimaklumkan di ruangan ini (atau lihat sahaja di tepi blog ini untuk maklumat berkaitan sesi bertemu penulis ini).

Isnin, 21 Julai 2008

Tiga lagi komen "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Syukur alhamdulillah.

Di dalam minggu ini sahaja, sudah ada beberapa ulasan atas talian untuk novel Transgenesis: Bisikan Rimba. Tiga ulasan terbaru yang dapat aku temui ialah dari blog MindaRayau, blog Mandala Resensi Ketika Kami Membaca dan Menonton dan blog novelis E.M. Muhammad. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan maklum balas mengenai novel keduaku ini.

Pertamanya, blog MindaRayau kelolaan Jie mencatatkan ulasan berikut:

Kiranya aku ni baru je mula minat membaca novel Bahasa Melayu dalam setahun-dua kebelakangan ni. Jadi mungkin aku tak boleh terlalu kritis dalam memberi pandanganlah, sebab tak banyak pengalaman lagi kan. Tapi satu perkara yang aku boleh katakan disini, aku puas membaca novel ini. Lain dari yang lain, dan kalau nak bandingkan dengan cerita di tv, boleh masuk kategori CSI jugaklah, dari segi pengisiannya. Dan aku memang suka CSI! Huuhuuu!

Temanya, ada sains fiksyen-misteri-thriller-islamik-alam semulajadi. Cerita ini digarap dengan kemas, bermula dengan prolog yang macam takde kena-mengena, oleh itu membuat kita tertanya-tanya siapakah 'atuk' dan 'Ammar Qusyairi' tu? Tapi obviously ada kaitannya, sebab 'atuk' tu yang bercerita tentang kisah Flora. Aku dah belek prolog dan epilog beberapa kali, tapi aku masih tak boleh teka siapa 'atuk' tu sebenarnya. Haaa... this gives you an idea of how mysterious the story is hehehe :-)

Basically, tema utamanya ialah bio-teknologi dan genetik. Aku takmoh citer banyak, kalau nak tau, korang kena baca sendiri novel ni hehe :-) Tapi sinopsisnya kata "Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui... subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam..." Hmm... cerita ini ditulis berdasarkan fakta saintifik, dan tak mustahil teknologi ni memang sudah ujud atau akan ujud dalam tempoh beberapa tahun lagi. Manusia nak jadi tuhan!

Jalan ceritanya teratur walaupun plotnya mak aiii... berbelit-belit macam ular sawa. Baru je nak
predict ceritanya jadi 'A', tapi tetiba cerita jadik 'B' pulak. Itu yang membuat pembaca geram dan nak terus membaca sampai habis. Aku suka cara penulis menerapkan nilai-nilai islamik dan nilai kemanusiaan dalam ceritanya, jadi bukan setakat membaca 'cerita kosong', tapi ada pengajarannya juga. Aku kira novel ini bukan saja sesuai untuk bacaan orang dewasa, tapi juga sangat sesuai untuk bacaan remaja (young adults).

Kenapa aku kata macam CSI? Sebab penulis obviously membuat research yang banyak sebelum menulis cerita ni, jadik setiap 'ke-pelik-an' dapat diterangkan dan boleh diterima akal. Aku mulanya cuak juga, sebab background aku bukan sains jadi mungkin aku susah nak faham. Tapi what I like is that the scientific facts are explained in such a way that it doesn't make non-science people feel stupid huuhuuu! Satu lagi, penulis banyak memberi 'soalan' dalam jalan ceritanya, memberi stimulasi minda kepada pembaca. I loike!

I don't know about you, but when I read a good book, I sometimes actually visualize the story. Well, this time around, bukan saja visualize, tapi ada masa yang aku baca waktu tengah malam, I could actually smell the scent of 'kenanga', which is the trademark of one of the main characters. Seram! Tak, aku tak gila, but my imagination sometimes does run a little on the wild side hehe :-D Kalau dijadikan drama atau movie ni, I can just imagine the computer graphics that will go into it, sulur pokok tetiba belit kaki orang etc, mesti menarik kan?

Kudos to Amir, for being brave enough to venture into a somewhat 'new' genre of malay novels
. Tak banyak novel sains fiksyen di pasaran, tapi mungkin lepas ni aku akan cuba cari novel sebegini. Aku harap Amir akan sambung lagi kisah Flora ni, nampaknya macam ada banyak angle yang boleh dikembangkan lagi. Flora terus menetap dalam hutan? Datin Kay dapat ke lepas dari penjara? Buraquzzaman terus memburu Flora? Yang Ixora tu plak, apa ke 'he?

Dalam puji-puji ni, ada juga benda yang aku nak tanya. Kalau Flora ni klon manusia dan digabungkan dengan DNA tumbuhan, dia punya sistem reproduktif macam mana? Dia dah remaja, kalau reproduktif macam manusia, dia datang haid ke tidak? Kalau Flora boleh beranak, aku nak cadangkan nama anak dia - 'Florette' hehe :-) Tumbuhan perlukan klorofil untuk fotosintesis, tapi kulit Flora tidak berwarna hijau pun? Eh, tapi ada jugak pokok bayam yang daun kaler merah, dan kobis daun kaler ungu, tu kira klorofil jugk ke? Isk... fenin. Ni nak kena tanya sendiri kat Amir Husaini lah.

Cuma satu je la yang aku paling tak puas hati. Toloooonggglaaahhh.... Amirrrrr.... siapa 'atuk' tuuuu??? Tension aku, sebab sampai la ni aku masih tak dapat teka! Hahaha!
Seterusnya di blog resensi Ketika Kami Membaca dan Menonton, Macai Suci mengulas:
Dapatkah anda bayangkan ada manusia yang memiliki kelebihan seperti hidup tanpa perlu makanan. Boleh berkomunikasi dengan tumbuhan. Berupaya mengarah tumbuh-tumbuhan mengikut arahannya.
Novel ini mampu menjadikan diri anda sebahagian daripada saintis dunia. Novel ini mengungkap satu dimensi baru dalam karya sains fiksyen dan fantasi. Ini kerana novel ini menggabungkan pelbagai tema antaranya:
  1. Nilai-nilai kemanusiaan
  2. Kesetiaan
  3. Sains dan teknologi

Aku hanya perlu mengambil masa kira-kira 1 jam untuk menghabiskan bacaan untuk novel ini. Garapannya memang baik dan memberitahu seolah-olah kita sudah berada di zaman teknologi yang amat canggih. Malahan dari cara penceritaan kita merasakan bahawa perkara ini benar terjadi.

Penulis ini memilikki gedung pengetahuan yang amat tinggi dalam bidang sains ini kerana setiap istilah sains berjaya di terangkan dengan mudah dan jelas. Grafiknya pula lebih ke arah novel percintaan ini kerana pemilihan media yang agak harmonis dan romantik.

Novel ini mengisahkan tentang teknologi pengklonan manusia dan tumbuhan. Hasil dari eksperimen ini melahirkan makhluk yang bernama 4-7-9-1 atau Flora. Flora ini berupaya mencipta makanan sendiri sepertimana tumbuhan hijau membuat makanan melalui proses fotosistesis.Dia juga berupaya untuk mengawal tumbuh-tumbuhan mengikut arahannya.

Disebalik kejayaan ini tersimpan satu rahsia di antara Datin Kay, Datuk Jay, Professor Ned yang menjalankan projek ini. Kematian tauke Hwang Chien Meng di kawasan pembalakan nya sendiri mengundang persoalan.Apa yang hangat diperkatakan ialah beliau di bunuh oleh gadis berambut dan bermata hijau . Persoalannya siapakah gadis hijau tersebut?

Buraquzzaman seorang wartawan akhbar cuba merungkai permasaalahan ini. Tanpa dia sedar dia telah terlibat dalam satu pakatan konspirasi sejak pendudukan jepun di Malaya. Lebih malang lagi hasil ciptaan yang di kawal selia oleh Professor Ned telah berjaya melarikan diri. Lalu usaha-usaha menjejakinya di lakukan.

Di dalam pencarian itu, mereka menempuh pelbagai rintangan dan dugaan yang di luar jangkauan akal.

Berjayakah Professor Ned mencari "hartanya yang hilang" dan apakah pula perkaitannya dengan Datin Kay, Datuk Jay dan juga Razilan?

Ingin tahu jawapannya ? Dapatkan Naskah anda di pasaran.

Dan yang terbaru ialah ulasan dari novelis E.M. Muhammad atau juga dikenali sebagai Opah De:
Hendak membaca novel yang lain daripada yang lain? Hendak mengintai apa sebenarnya yang sering bermain di fikiran ahli-ahli sains di seluruh dunia? Baca novel ini, novel yang ditulis sendiri oleh seorang ahli sains Malaysia. Bacalah ia dengan fikiran yang terbuka dan dengan fahaman, tidak ada sesuatu pun yang mustahil bagi ALLAH.

Dalam novel keduanya, Amir Husaini benar-benar menunjukkan kebolehan menghasilkan plot cerita yang begitu twisted sehingga mampu mempersembahkan kejutan demi kejutan kepada pembaca. Pembaca akan tertanya-tanya dan terus meneka tetapi jangan penatkan diri meneka kerana 9/10 tekaan pembaca pasti akan salah! (pendapat ini berdasarkan pengalaman OD sendiri meneka-neka apa yang akan terjadi seterusnya dalam novel ini... he he he)

Novel ini bukan sahaja mengenengahkan unsur-unsur sains sahaja tetapi sarat dengan pengajaran kepada kita yang bergelar manusia. Cinta, pegangan agama, mencari kebenaran, keadilan, identiti, dendam baru dan lama, fitnah dan kerakusan hati manusia disulam menjadi jalan cerita yang hebat. Watak-watak dalam novel ini saling berkait tetapi apa kaitan mereka? Itu kena baca sendiri untuk memperoleh jawapannya.

Tahniah kepada Amir Husaini. OD menunggu Transgenesis 2 diterbitkan pula. Tidak sabar untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya kepada Flora, Datin Kay, tujuh beradik yang disebut oleh Wak Salamian dan watak-watak penting yang lain.

Jumaat, 18 Julai 2008

Darius mengulas "Ombak Senja"

Dalam sibuk-sibuk bercakap tentang novelku yang terbaru, tiba-tiba ada satu ulasan mengenai Ombak Senja di blog resensi milik Darius. Berikut adalah ulasan Darius:

Naskhah
Ombak Senja (OS) sudah lama berada di tangan Darius, dan rasanya setakat ini sudah tiga kali Darius baca kisah Hairi dan Sofea ini. Daripada pengamatan Darius apabila bertanya kepada mereka yang sudah membaca OS, ramai yang sependapat bahawa kisah ini ada kelainannya. Ya, OS adalah kisah cinta lama yang berputik kembali tetapi ia bukan kisah biasa. Malah cinta di dalam OS juga hanyalah penggerak jalan cerita dan bukannya jalan cerita utama itu sendiri. Sebaliknya permasalahan yang diutarakan oleh penulis di dalam OS lebih tertumpu kepada stigma masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS.

Hairi yang menghilang selama 10 tahun tiba-tiba kembali ke kampungnya. Permulaan kisah ini sedikit perlahan tetapi pace OS bertambah rancak sebaik Hairi mendedahkan rahsianya kepada Zirul dan sebab mengapa dia kembali selepas satu dekad. Dan kemudiannya, apabila Hairi tercedera, rahsia yang disimpan itu mula diketahui oleh orang lain. Kata Zirul kepada Dr Sofea:

"...apabila seekor gajah nak mati, dia mempunyai gerak hati untuk kembali ke tapak perkuburan nenek moyangnya yang telah mati. Abang Hairi kembali ke sini selepas sepuluh tahun menghilangkan diri sebab dia tahu yang dia tak punya banyak masa untuk hidup..."
Tema OS banyak berkisar kepada keinsafan, kemaafan, persaudaraan dan pengorbanan. OS juga menyebabkan pembaca berfikir apakah yang akan dilakukan oleh diri kita seandainya kita berada di tempat mereka yang berada di sekeliling Hairi yang menghidapi AIDS. Adakah kita sanggup menerima orang seperti ini? Adakah kita akan mempunyai prejudis terhadap orang seperti Hairi? Andai orang itu sudah melakukan kesalahan, mampukah atau sanggupkah kita memaafkannya?

Darius sendiri tidak habis-habis berfikir sendirian. Andai kata ada sahabat atau ahli keluarga yang menghidapi AIDS atau HIV, adakah Darius boleh menerimanya? Aiman mungkin tak kisah, tetapi Darius sendiri tak pasti...

Walau apapun, novel pertama Amir Husaini ini melangkaui stereotaip kisah cinta biasa. Penceritaannya lancar dan grafik sehingga membolehkan pembaca membayangkan suasana dan persekitaran latar cerita tersebut. Kalau anda tidak terasa sebak di akhir novel ini, Darius kira mungkin anda tidak punya perasaan.

Kata
Darius:
Ombak Senja menjadi pilihan buat mereka yang mahu berfikir dan merenung. Usai membaca terasa insaf.

Terima kasih Darius di atas ulasan tersebut. Kepada yang belum mendapatkan naskhah Ombak Senja, novel ini masih boleh didapati di kedai-kedai buku utama.

Selasa, 15 Julai 2008

Promo "Transgenesis: Bisikan Rimba" di YouTube

Terima kasih kepada saudara Mat Jan dan kawan-kawannya di PTS di atas kreativiti mereka membikin sebuah cereka pendek untuk mempromosikan Transgenesis: Bisikan Rimba.



Sampai sekarang aku masih ketawa seorang diri.

Isnin, 14 Julai 2008

Wajah baru

Sengaja aku membuat perubahan wajah yang agak besar bagi blog ini. Semoga wajah baru ini memberikan lebih ketenangan buat pengunjung semua.

Jumaat, 11 Julai 2008

Maklum balas awal "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Alhamdulillah, Transgenesis: Bisikan Rimba kini berada di pasaran. Dan aku sudah mula menerima maklum balas daripada sahabat dan pembaca.

Pertama, daripada saudara John Norafizan, novelis terkenal, yang telah sudi membaca dan mengulas novel kedua hasil tanganku ini. Ulasan penulis yang kini panas dengan karya terbaru beliau iaitu Garis-garis Deja Vu ini boleh didapati di sini atau di sini atau di sini. Berikut ialah di antara intipati ulasan beliau:

Pada aku, Transgenesis adalah karya terbaik Amir Hussaini setakat ini. Ombak Senja memang karya yang bagus, tetapi Transgenesis lebih lagi! Dia bijak memainkan plot penceritaan dengan misteri demi misteri yang membuatkan aku, tidak dapat tidak, harus membaca ceritanya sehingga ke muka surat terakhir. Kadang-kadang, bila aku seolah-olah tahu ‘apa yang akan berlaku selepas itu’, dia membuat twist 180 darjah dan membuat telahanku salah sama sekali.
Kedua, perbincangan di Forum Cari. Ini komen daripada Darius di forum tersebut yang juga mempunyai blog resensinya sendiri:
Saya akan paparkan ulasan penuh saya di blog resensi saya alamnovel.blogspot.com tidak lama lagi.

Cuma kalau ditanya apa perasaan saya semasa baca "Transgenesis: Bisikan Rimba", respons saya ialah ia umpama satu 'roller coaster ride.' Setiap bab ada unsur-unsur misteri dan saspens, dan banyak sekali rahsia dan 'twist'. Saya setuju dengan pandangan Lavender, satu rahsia akan membawa kepada satu rahsia baru. Bila kita sangka kita tahu siapa pembunuhnya, abang Amir buat satu 'twist' libasan maut yang menyebabkan sangkaan kita jauh meleset. Dan yang menariknya, setiap 'twist' itu amat logik dan tidak memperbodohkan pembaca. Apabila saya membaca 'twist' itu membuatkan saya baca balik beberapa bab terdahulu kerana ada 'clue-clue' yang telah ditaburkan di dalam bab terdahulu yang saya tidak perasan. Saya rasa ada beberapa kali saya geleng kepala sebab 'twist' cerita itu begitu 'obvious' tetapi saya tak perasan. Watak yang menjadi dalang cerita ini juga memang tidak disangka langsung - sampaikan saya ternganga besar bila dapat tahu siapa dalangnya. "So obvious, yet so subtle."

"Transgenesis: Bisikan Rimba" bagi saya adalah di antara cerita fiksyen sains yang paling menarik yang pernah dibaca setanding dengan fiksyen sains luar negara. Ada sekurang-kurangnya enam plot 'cliffhanger' yang saya harap akan disambung oleh abang Amir. Kalau tak sambung, saya akan jadi orang yang paling kecewa.


Dan watak Flora adalah di antara watak yang paling enigmatik yang pernah muncul di dalam karya sastera negara.
Dan ini pula komen yang dikirimkan menerusi e-mel oleh salah seorang bekas pelajarku iaitu saudari Fiey yang sedang menuntut di Universiti Malaya. [Nota: "Shaikh" yang disebut di dalam e-mel ini merujuk kepada nama sebenarku]. Tulisnya antara lain:

Transgenesis bagi saya sangat istimewa sebab menggabungkan fakta sains dalam dunia fantasi, yang mana tak mustahil ia akan menjadi realiti. Bila baca Transgenesis, semua yang Tuan Shaikh cakap dalam kuliah kembali bermain di fikiran, tentang pengklonan, tentang transgenik, chimaera, saya rasa macam berada dalam kuliah balik.. hehe..dan bagi saya, tiada masalah untuk memahami semua istilah-istilah sains yang Tuan Shaikh gunakan sebab memang bidang saya. Namun, ia memenuhi juga kehendak orang awam sebab Tuan Shaikh dah menerangkan makna istilah-istilah tu dalam bahasa yang mudah difahami.

Transgenesis juga berjaya membawa pembaca terus menerus mahu membaca sehingga ke akhirnya dan tak boleh tertinggal sehelai muka pun untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku. Bagi saya, jalan ceritanya sangat kreatif dan kita tak boleh nak bayangkan apa akan terjadi seterusnya.

Apa yang menarik minat saya terhadap Transgenesis juga adalah, Tuan Shaikh banyak mengaitkan cerita ini tentang kebergantungan manusia kepada Allah. Kepentingan meletakkan Maha Pencipta dalam segala hal. Secara tak langsung, elemen dakwah Tuan Shaikh terapkan, tahniah! Selain itu, aspek kasih sayang kepada alam semulajadi juga berjaya membuatkan pembaca benar-benar merasai kelebihannya dan kepentingannya kepada manusia. Sesekali rasa macam nak jadi seperti Flora.hehe..

Sudah tentunya ini lebih baik dan nampaknya lebih matang daripada novel pertama. Apapun, masih boleh diperbaiki lagi dan para pembaca pastinya menunggu sambungannya.
Kepada saudara John Norafizan, saudara Darius dan saudari Fiey, dipanjangkan ucapan jutaan terima kasih jujur dari sanubariku. Maklum balas ikhlas daripada kalian amat dihargai.

Kepada yang sudah membaca Transgenesis: Bisikan Rimba, diharap dapat memberikan maklum balas kepada diriku ini supaya aku dapat memperbaiki kelemahan yang ada. Aku boleh dihubungi menerusi e-mel tintakelana@yahoo.com bagi memberikan maklum balas. Aku nantikan pandangan kalian.

Selasa, 1 Julai 2008

Penilaian separuh tahun

Sebenarnya banyak yang telah berlaku pada separuh pertama 2008 ini. Pada awal tahun tempoh hari, aku telah menggariskan tujuh sasaran untuk aku capai. Berikut adalah penilaian separuh tahun untuk sasaran-sasaran tersebut:

1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan:
Alhamdulillah, novel kedua hasil tangan diriku bertajuk Transgenesis: Bisikan Rimba ini telah terbit dan kini berada di rak-rak di kedai buku. Dapatkan naskhah peribadi anda sekarang!

2. Menyiapkan nopen-nopen "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974": Terdapat beberapa perubahan kepada rancangan asal.

  • Perubahan pertama: Kini, aku dan Hani Ismail (bukan Izza Aripin) telah bersetuju untuk menggabungkan nopen-nopen ini menjadi sebuah novel fiksyen sains/fantasi. Tajuk tentatif yang aku gunakan (belum ada kata putus lagi sebenarnya) ialah "Artifak." Proses penulisan dan penulisan semula sedang berjalan.
  • Perubahan kedua: Nopen "Koloni 1974" tidak akan menjadi sebahagian daripada novel "Artifak." Sebaliknya, seperti yang telah aku nyatakan di dalam catatan sebelum ini, nopen ini akan ditukar tajuk untuk "dinaik taraf" menjadi sebuah novel yang akan dihantar bagi menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuk baru bagi "Koloni 1974" ialah "Koloni N4n0."
3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart":
Proses penulisan sedang berjalan. Proses penggambaran untuk memoir telah selesai.

4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (tajuk masih rahsia):
Aku terpaksa menangguhkan dahulu pelaksanaan perkara ini memandangkan perkara-perkara lain yang timbul. Insya-Allah aku sasarkan penulisan skrip ini untuk tahun 2009.

5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan:
Aku baru sahaja mendapatkan hak untuk menerbitkan skrip ini daripada IKIM yang memegang hak tersebut sebelum ini. Aku sedang berbincang dengan beberapa penerbit yang mungkin berminat untuk menerbitkan drama ini.

6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis": Sekarang di dalam peringkat merangka jalan cerita. Aku telah berbincang dengan editor, saudara Mat Jan, yang mencadangkan agar kesinambungan kisah ini diterbitkan pada tahun hadapan.

7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja": Juga di peringkat merangka jalan cerita. Aku bercadang untuk menerbitkan novel ini untuk tahun 2009.

Beberapa sasaran baru telah aku tambah semenjak tahun 2008 bermula. Jadi berikut adalah sasaran-sasaran baru (termasuk perkembangan sasaran lama) bagi separuh kedua tahun 2008:
  1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan (status: selesai)
  2. Menyiapkan novel "Artifak" (status: sedang berjalan)
  3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart" (status: sedang berjalan)
  4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (status: tunda ke 2009)
  5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan (status: sedang mencari penerbit)
  6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis" (status: sedang berjalan)
  7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja"(status: sedang berjalan)
  8. Menyiapkan novel "Koloni n4n0" untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (status: akan dimulakan)
  9. Menyiapkan sebuah novel yang masih dirahsiakan tajuknya untuk Hadiah Sako (status: akan dimulakan)
Aku hanya berdoa aku punya kelapangan, kekuatan dan kesihatan untuk menyelesaikan semua ini.