Sebagai orang Islam, aku mempercayai kepada qada dan qadar. Ada masanya kita diuji dengan cara yang menyakitkan. Dan sakit itu tidak semestinya sakit yang berbentuk jasmani. Ada sakit yang tidak dapat dilihat orang.
Aku diuji semalam. Satu ujian yang amat menyeksakan bagi seorang penulis. Sebenarnya ujian ini bermula pada minggu lepas.
Segala fail hasil penulisan disimpan di dua tempat. Satu disimpan pada sebuah komputer yang aku gunakan semenjak tahun 2000. Satu lagi disimpan pada sebuah pendrive. Minggu lalu, komputer yang aku gunakan itu terpaksa dihantar ke kedai kerana unit pemprosesan utama (CPU) crash. Aku diberitahu agak mustahil untuk mendapatkan semula fail-fail yang disimpan pada komputer tersebut. Malah, aku diberitahu supaya beli sahaja komputer yang baru.
Aku redha. Tidak mengapa. Masih ada back-up pada pendrive yang aku gunakan.
Tetapi semalam, pendrive aku tercicir entah di mana. Puas aku mencari di tempat-tempat yang aku singgah semalam, namun tidak bertemu dengan yang dicari.
Aku terasa kehilangan sebahagian daripada diriku. Di dalam pendrive itu tersimpan lebih 150 makalah yang pernah aku tulis bagi majalah, akhbar dan jurnal semenjak 1998; lebih 100 kertas kerja yang telah aku bentang di dalam dan luar negara; lebih 100 slaid power point yang aku gunakan ketikan menyampaikan ceramah; tesis sarjana yang aku siapkan pada 2005; tesis doktorat yang sedang aku usahakan; dua buah buku yang sedang aku siapkan termasuk memoir adik Fikri bertajuk "Echoes of My Heart"; dua novel yang telah terbit iaitu Ombak Senja dan Transgenesis: Bisikan Rimba; tiga cerpen/nopen yang telah siap tetapi belum terbit iaitu "Kilt dan Kimono", "Menagih Janji Langit Malam" dan "Mencari Nessie"; skrip drama televisyen "Zuriat" yang memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia; dan dua novel yang sedang aku karang iaitu sekuel Transgenesis dan "Koloni n4n0".
Sepuluh tahun hasil tanganku kini tinggal kenangan. Terasa seperti sebahagian besar hidupku hilang begitu sahaja. Terasa kosong tiba-tiba.
Ya, ada antaranya aku simpan dalam bentuk salinan keras dan ada yang telah terbit. Tetapi ada yang memang tidak ada disimpan dalam bentuk lain terutamanya yang belum diterbitkan seperti "Kilt dan Kimono", "Menagih Janji Langit Malam", "Mencari Nessie", sekuel Transgenesis, "Koloni n4n0", "Echoes of My Heart" dan tesis PhD.
Ini semua ujian daripada-Nya. Aku redha dengan ketentuan ini. Aku yakin ada hikmahnya.
Namun, aku ingin pohon maaf kepada kalian semua.
Aku ingin pohon maaf kepada adik Fikri. Memoir "Echoes of My Heart" telah hampir siap ditulis. Segala perasaan adik Fikri aku terjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Aku sendiri tersentuh dengan apa yang ditulis. Namun, kini aku terpaksa menulisnya kembali.
Aku ingin pohon maaf kepada yang menantikan sekuel Transgenesis terutamanya kepada pembaca yang setia menanti dan kepada saudara Mat Jan, editor PTS Fortuna. Apa yang telah aku tulis kini tiada lagi. Aku tidak pasti sama ada aku punya kekuatan sekarang ini bagi menulis semula apa yang telah aku tulis. Yang pasti, jika aku mulakan kembali penulisan ini, ia tidak akan sama dengan apa yang telah aku siapkan.
Aku juga ingin pohon maaf kepada saudara Rozlan Mohamed Noor, editor di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd kerana "Koloni n4n0" yang aku janjikan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi juga telah tiada lagi. Ya, aku boleh menulis semula kisah itu. Tetapi entah bila agaknya aku punya kelapangan bagi mengulang tulis cerita yang telah hampir siap itu.
Aku tidak tahu dan tidak berani berjanji mengenai bila masanya aku akan menulis semula apa yang telah hilang. Kala ini aku tidak punya mood untuk menulis. Sekadar cuba mengumpul kekuatan bagi mendapatkan semula fail-fail yang berkaitan tugas hakikiku.
Dan pada waktu ini, aku sekadar mahu menenangkan kembali diri dan menghilangkan rasa sakit dalam diri ini.
Khamis, 29 Januari 2009
Musibah
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
11:27
5
maklum balas
Label Echoes of My Heart, Kilt dan Kimono, kisahku, Koloni n4n0, Menagih Janji Langit Malam, Mencari Nessie, Ombak Senja, Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi 2008, Transgenesis, Zuriat
Rabu, 24 Disember 2008
Aktiviti di malam hari
Malam ialah sahabatku yang akrab. Ini kerana malam menjadi waktu aku menulis. Semasa orang lain dibuai mimpi enak, aku mengetuk kekunci di komputerku, cuba menterjemahkan cerita daripada fikiran ke atas skrin komputer.
Buat masa ini ada beberapa perkara yang aku sedang tulis, baik yang bersifat akademik mahupun kreatif. Ada dua projek penulisan kreatif yang sedang aku usahakan serentak iaitu sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba dan sebuah lagi novel fiksyen sains bertajuk "Koloni n4n0".
Kebelakangan ini hampir setiap malam aku tidur antara pukul 3 hingga 4 pagi, sebelum bangun semula lebih kurang pukul 6.30 pagi. Semalam misalnya, aku menulis semula dua bab pertama "Transgenesis 2" kerana kurang puas hati dengan apa yang ditulis. Malam sebelumnya, aku menulis bab berikutnya bagi kisah "Koloni n4n0".
Memang meletihkan, tetapi aku sudah berjanji untuk menyiapkan kedua-dua manuskrip ini dalam tempoh terdekat. Janji mesti ditepati. Dan di situ ada kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Doakan aku diberi kekuatan dan kesihatan.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
16:22
0
maklum balas
Label Koloni n4n0, Transgenesis
Khamis, 30 Oktober 2008
Berhempas pulas
Entah mengapa tiba-tiba terasa minggu-minggu selepas Aidilfitri begitu padat dan sibuk sekali dengan segala macam aktiviti. Buat masa ini, aku sedang berhempas pulas dengan dua projek penulisan kreatif yang sedang diusahakan.
Prioriti sekarang ialah novel yang bakal aku taruhkan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan iaitu "Koloni n4n0".
Dan pada waktu yang sama, aku juga sedang mencuri masa untuk menulis sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba.
Itu belum lagi dengan penulisan-penulisan akademik lain yang aku lakukan dan juga penulisan tesis doktorat.
Doakan aku diberi kekuatan.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
11:13
1 maklum balas
Label kisahku, Koloni n4n0, Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi 2008, Transgenesis
Selasa, 1 Julai 2008
Penilaian separuh tahun
Sebenarnya banyak yang telah berlaku pada separuh pertama 2008 ini. Pada awal tahun tempoh hari, aku telah menggariskan tujuh sasaran untuk aku capai. Berikut adalah penilaian separuh tahun untuk sasaran-sasaran tersebut:
1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan:
Alhamdulillah, novel kedua hasil tangan diriku bertajuk Transgenesis: Bisikan Rimba ini telah terbit dan kini berada di rak-rak di kedai buku. Dapatkan naskhah peribadi anda sekarang!
2. Menyiapkan nopen-nopen "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974": Terdapat beberapa perubahan kepada rancangan asal.
- Perubahan pertama: Kini, aku dan Hani Ismail (bukan Izza Aripin) telah bersetuju untuk menggabungkan nopen-nopen ini menjadi sebuah novel fiksyen sains/fantasi. Tajuk tentatif yang aku gunakan (belum ada kata putus lagi sebenarnya) ialah "Artifak." Proses penulisan dan penulisan semula sedang berjalan.

- Perubahan kedua: Nopen "Koloni 1974" tidak akan menjadi sebahagian daripada novel "Artifak." Sebaliknya, seperti yang telah aku nyatakan di dalam catatan sebelum ini, nopen ini akan ditukar tajuk untuk "dinaik taraf" menjadi sebuah novel yang akan dihantar bagi menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuk baru bagi "Koloni 1974" ialah "Koloni N4n0."
Proses penulisan sedang berjalan. Proses penggambaran untuk memoir telah selesai.
4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (tajuk masih rahsia):
Aku terpaksa menangguhkan dahulu pelaksanaan perkara ini memandangkan perkara-perkara lain yang timbul. Insya-Allah aku sasarkan penulisan skrip ini untuk tahun 2009.
5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan:
Aku baru sahaja mendapatkan hak untuk menerbitkan skrip ini daripada IKIM yang memegang hak tersebut sebelum ini. Aku sedang berbincang dengan beberapa penerbit yang mungkin berminat untuk menerbitkan drama ini.
6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis": Sekarang di dalam peringkat merangka jalan cerita. Aku telah berbincang dengan editor, saudara Mat Jan, yang mencadangkan agar kesinambungan kisah ini diterbitkan pada tahun hadapan.
7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja": Juga di peringkat merangka jalan cerita. Aku bercadang untuk menerbitkan novel ini untuk tahun 2009.
Beberapa sasaran baru telah aku tambah semenjak tahun 2008 bermula. Jadi berikut adalah sasaran-sasaran baru (termasuk perkembangan sasaran lama) bagi separuh kedua tahun 2008:
- Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan (status: selesai)
- Menyiapkan novel "Artifak" (status: sedang berjalan)
- Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart" (status: sedang berjalan)
- Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (status: tunda ke 2009)
- Memastikan skrip "Zuriat" didramakan (status: sedang mencari penerbit)
- Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis" (status: sedang berjalan)
- Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja"(status: sedang berjalan)
- Menyiapkan novel "Koloni n4n0" untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (status: akan dimulakan)
- Menyiapkan sebuah novel yang masih dirahsiakan tajuknya untuk Hadiah Sako (status: akan dimulakan)
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
09:29
1 maklum balas
Label Detik, Echoes of My Heart, Koloni 1974, Koloni n4n0, Menagih Janji Langit Malam, Mencari Nessie, Ombak Senja, Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi 2008, skrip merdeka, Transgenesis, Zuriat
