Jumaat, 25 Mei 2007

Apa ada pada nama?

Soalan "apa ada pada nama?" dilontarkan oleh William Shakespeare kerana baginya, "jika nama lain diberikan kepada bunga mawar sekalipun, ianya masih tetap harum."

Semalam, aku berbicara dengan novelis Izza Aripin mengenai satu projek penulisan. Soalan mengenai nama berbangkit dalam perbincangan kami. Beliau berkongsi pemerhatiannya bahawa sesetengah penerbit agak keberatan menerbitkan hasil penulisan penulis lelaki. Ini kerana pandangan umum adalah penulis wanita lebih berkesan dalam meruntun jiwa pembaca berbanding penulis lelaki. Sebab itulah ada penulis lelaki yang menggunakan nama pena yang bersifat kewanitaan atau nama yang tidak menampakkan jantina supaya karyanya mendapat tempat di pasaran. Kata Izza Aripin lagi, memang taktik ini menampakkan hasil yang dikehendaki oleh penerbit.

Secara peribadi, aku kurang bersetuju dengan persepsi dan langkah yang sedemikian. Bagiku, jantina penulis tidak penting. Perkara yang lebih penting adalah kualiti penulisan. Namun, hakikat di luar sana berlainan dengan pandangan peribadi ini. Realitinya seperti yang dinyatakan oleh Izza Aripin. Nama penulis memainkan peranan dalam menarik perhatian pembaca novel untuk membeli novel yang berada di rak buku.

Aku katakan kepada Izza Aripin bahawa sekiranya penerbit mahu aku menggunakan nama pena yang lain, aku tidak bersetuju. Ini adalah prinsip diriku sebagai penulis. Nama "Amir Husaini" akan terus ku guna selagi hayat di kandung badan, insya-Allah.