Memaparkan catatan dengan label Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi 2008. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi 2008. Papar semua catatan

Selasa, 5 Mei 2009

Dua janji

Dalam kekusutan masa menguruskan hal keluarga di hospital (baca di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut), aku sempat juga mengetuk-ngetuk papan kekunci bagi melunaskan janji-janji yang belum tertunai.


Aku sedang mengusahakan dua manuskrip. Pastinya satu daripada manuskrip ini ialah sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Dan satu lagi manuskrip bertajuk "Detik" bagi dihantar sebagai penyertaan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.

Selasa, 3 Februari 2009

Bengkel penulisan di Kuala Lumpur

Bengkel bimbingan penulisan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi akan diadakan di Hotel Quality, Kuala Lumpur Sabtu ini (7 Februari 2009). Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan sayembara dan bengkel ini bolehlah menghubungi saudara Yosman Mohd Bain dari Penerbit UTM Press di talian 07-5218166 / 019-7557760 atau saudara Rozlan Mohamed Noor dari Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, emel editor@minister.com. (012-3828353).

Bengkel ini diadakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan bagi Sayembara Novel Cereka Sains dan Teknologi peringkat Kebangsaan 2008.

Khamis, 29 Januari 2009

Musibah

Sebagai orang Islam, aku mempercayai kepada qada dan qadar. Ada masanya kita diuji dengan cara yang menyakitkan. Dan sakit itu tidak semestinya sakit yang berbentuk jasmani. Ada sakit yang tidak dapat dilihat orang.

Aku diuji semalam. Satu ujian yang amat menyeksakan bagi seorang penulis. Sebenarnya ujian ini bermula pada minggu lepas.

Segala fail hasil penulisan disimpan di dua tempat. Satu disimpan pada sebuah komputer yang aku gunakan semenjak tahun 2000. Satu lagi disimpan pada sebuah pendrive. Minggu lalu, komputer yang aku gunakan itu terpaksa dihantar ke kedai kerana unit pemprosesan utama (CPU) crash. Aku diberitahu agak mustahil untuk mendapatkan semula fail-fail yang disimpan pada komputer tersebut. Malah, aku diberitahu supaya beli sahaja komputer yang baru.

Aku redha. Tidak mengapa. Masih ada back-up pada pendrive yang aku gunakan.

Tetapi semalam, pendrive aku tercicir entah di mana. Puas aku mencari di tempat-tempat yang aku singgah semalam, namun tidak bertemu dengan yang dicari.

Aku terasa kehilangan sebahagian daripada diriku. Di dalam pendrive itu tersimpan lebih 150 makalah yang pernah aku tulis bagi majalah, akhbar dan jurnal semenjak 1998; lebih 100 kertas kerja yang telah aku bentang di dalam dan luar negara; lebih 100 slaid power point yang aku gunakan ketikan menyampaikan ceramah; tesis sarjana yang aku siapkan pada 2005; tesis doktorat yang sedang aku usahakan; dua buah buku yang sedang aku siapkan termasuk memoir adik Fikri bertajuk "Echoes of My Heart"; dua novel yang telah terbit iaitu Ombak Senja dan Transgenesis: Bisikan Rimba; tiga cerpen/nopen yang telah siap tetapi belum terbit iaitu "Kilt dan Kimono", "Menagih Janji Langit Malam" dan "Mencari Nessie"; skrip drama televisyen "Zuriat" yang memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia; dan dua novel yang sedang aku karang iaitu sekuel Transgenesis dan "Koloni n4n0".

Sepuluh tahun hasil tanganku kini tinggal kenangan. Terasa seperti sebahagian besar hidupku hilang begitu sahaja. Terasa kosong tiba-tiba.

Ya, ada antaranya aku simpan dalam bentuk salinan keras dan ada yang telah terbit. Tetapi ada yang memang tidak ada disimpan dalam bentuk lain terutamanya yang belum diterbitkan seperti "Kilt dan Kimono", "Menagih Janji Langit Malam", "Mencari Nessie", sekuel Transgenesis, "Koloni n4n0", "Echoes of My Heart" dan tesis PhD.

Ini semua ujian daripada-Nya. Aku redha dengan ketentuan ini. Aku yakin ada hikmahnya.

Namun, aku ingin pohon maaf kepada kalian semua.

Aku ingin pohon maaf kepada adik Fikri. Memoir "Echoes of My Heart" telah hampir siap ditulis. Segala perasaan adik Fikri aku terjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Aku sendiri tersentuh dengan apa yang ditulis. Namun, kini aku terpaksa menulisnya kembali.

Aku ingin pohon maaf kepada yang menantikan sekuel Transgenesis terutamanya kepada pembaca yang setia menanti dan kepada saudara Mat Jan, editor PTS Fortuna. Apa yang telah aku tulis kini tiada lagi. Aku tidak pasti sama ada aku punya kekuatan sekarang ini bagi menulis semula apa yang telah aku tulis. Yang pasti, jika aku mulakan kembali penulisan ini, ia tidak akan sama dengan apa yang telah aku siapkan.

Aku juga ingin pohon maaf kepada saudara Rozlan Mohamed Noor, editor di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd kerana "Koloni n4n0" yang aku janjikan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi juga telah tiada lagi. Ya, aku boleh menulis semula kisah itu. Tetapi entah bila agaknya aku punya kelapangan bagi mengulang tulis cerita yang telah hampir siap itu.

Aku tidak tahu dan tidak berani berjanji mengenai bila masanya aku akan menulis semula apa yang telah hilang. Kala ini aku tidak punya mood untuk menulis. Sekadar cuba mengumpul kekuatan bagi mendapatkan semula fail-fail yang berkaitan tugas hakikiku.

Dan pada waktu ini, aku sekadar mahu menenangkan kembali diri dan menghilangkan rasa sakit dalam diri ini.

Rabu, 28 Januari 2009

Bengkel penulisan di Johor Bahru

Satu bengkel penulisan bersempena Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi akan diadakan di Hotel Grand Bluewave, Johor Bahru pada 31 Januari ini. Yuran penyertaan ialah sebanyak RM50 sahaja.

Maklumat lanjut boleh didapati di sini.

Selasa, 27 Januari 2009

Tarikh sayembara dilanjut

Bagi mereka yang tertanya-tanya apa yang berlaku kepada Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan, pertanyaan anda sudah terjawab.

Tarikh penyertaan bagi sayembara ini telah dilanjutkan ke 31 Ogos 2009. Ini bermakna peluang masih terbuka buat sesiapa yang berminat untuk menyertai sayembara ini. Hadiah lumayan disediakan bagi pemenang.

Maklumat lanjut boleh didapati di sini.

Khamis, 30 Oktober 2008

Berhempas pulas

Entah mengapa tiba-tiba terasa minggu-minggu selepas Aidilfitri begitu padat dan sibuk sekali dengan segala macam aktiviti. Buat masa ini, aku sedang berhempas pulas dengan dua projek penulisan kreatif yang sedang diusahakan.

Prioriti sekarang ialah novel yang bakal aku taruhkan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan iaitu "Koloni n4n0".

Dan pada waktu yang sama, aku juga sedang mencuri masa untuk menulis sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba.

Itu belum lagi dengan penulisan-penulisan akademik lain yang aku lakukan dan juga penulisan tesis doktorat.

Doakan aku diberi kekuatan.

Selasa, 1 Julai 2008

Penilaian separuh tahun

Sebenarnya banyak yang telah berlaku pada separuh pertama 2008 ini. Pada awal tahun tempoh hari, aku telah menggariskan tujuh sasaran untuk aku capai. Berikut adalah penilaian separuh tahun untuk sasaran-sasaran tersebut:

1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan:
Alhamdulillah, novel kedua hasil tangan diriku bertajuk Transgenesis: Bisikan Rimba ini telah terbit dan kini berada di rak-rak di kedai buku. Dapatkan naskhah peribadi anda sekarang!

2. Menyiapkan nopen-nopen "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974": Terdapat beberapa perubahan kepada rancangan asal.

  • Perubahan pertama: Kini, aku dan Hani Ismail (bukan Izza Aripin) telah bersetuju untuk menggabungkan nopen-nopen ini menjadi sebuah novel fiksyen sains/fantasi. Tajuk tentatif yang aku gunakan (belum ada kata putus lagi sebenarnya) ialah "Artifak." Proses penulisan dan penulisan semula sedang berjalan.
  • Perubahan kedua: Nopen "Koloni 1974" tidak akan menjadi sebahagian daripada novel "Artifak." Sebaliknya, seperti yang telah aku nyatakan di dalam catatan sebelum ini, nopen ini akan ditukar tajuk untuk "dinaik taraf" menjadi sebuah novel yang akan dihantar bagi menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuk baru bagi "Koloni 1974" ialah "Koloni N4n0."
3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart":
Proses penulisan sedang berjalan. Proses penggambaran untuk memoir telah selesai.

4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (tajuk masih rahsia):
Aku terpaksa menangguhkan dahulu pelaksanaan perkara ini memandangkan perkara-perkara lain yang timbul. Insya-Allah aku sasarkan penulisan skrip ini untuk tahun 2009.

5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan:
Aku baru sahaja mendapatkan hak untuk menerbitkan skrip ini daripada IKIM yang memegang hak tersebut sebelum ini. Aku sedang berbincang dengan beberapa penerbit yang mungkin berminat untuk menerbitkan drama ini.

6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis": Sekarang di dalam peringkat merangka jalan cerita. Aku telah berbincang dengan editor, saudara Mat Jan, yang mencadangkan agar kesinambungan kisah ini diterbitkan pada tahun hadapan.

7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja": Juga di peringkat merangka jalan cerita. Aku bercadang untuk menerbitkan novel ini untuk tahun 2009.

Beberapa sasaran baru telah aku tambah semenjak tahun 2008 bermula. Jadi berikut adalah sasaran-sasaran baru (termasuk perkembangan sasaran lama) bagi separuh kedua tahun 2008:
  1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan (status: selesai)
  2. Menyiapkan novel "Artifak" (status: sedang berjalan)
  3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart" (status: sedang berjalan)
  4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (status: tunda ke 2009)
  5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan (status: sedang mencari penerbit)
  6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis" (status: sedang berjalan)
  7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja"(status: sedang berjalan)
  8. Menyiapkan novel "Koloni n4n0" untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (status: akan dimulakan)
  9. Menyiapkan sebuah novel yang masih dirahsiakan tajuknya untuk Hadiah Sako (status: akan dimulakan)
Aku hanya berdoa aku punya kelapangan, kekuatan dan kesihatan untuk menyelesaikan semua ini.

Isnin, 5 Mei 2008

Nopen dan novel fiksyen sains

Aku telah pun memulakan penulisan untuk nopen "Mencari Nessie." Rasanya aku boleh siapkan nopen ini di dalam masa yang terdekat. Seperti juga nopen "Menagih Janji Langit Malam," nopen "Mencari Nessie" juga sedikit lari dari kebiasaan dalam konteks penceritaan. Cerita ini berlatarbelakangkan kota yang pernah menjadi tempat tinggalku selama separuh dekad iaitu Glasgow. Dan mungkin ada yang boleh mengagak isi utama cerita ini daripada tajuk nopen.

Walau apapun, nopen "Mencari Nessie" ini merupakan nopen kedua yang aku tulis untuk antologi nopen yang dirancang bersama novelis Izza Aripin. Walaupun "Menangih Janji Langit Malam" mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan, aku tidak bercadang untuk melengah-lengahkan penulisan bagi "Mencari Nessie." Insya-Allah, nopen ini bakal siap di dalam masa terdekat ini.

Bagi memastikan penerbitan antologi nopen ini berjalan lancar, Izza Aripin dan aku telah sepakat untuk menetapkan tarikh 15 Jun 2008 sebagai tarikh akhir bagi kami menyiapkan kesemua nopen. Untuk makluman, aku menulis tiga cerita manakala Izza Aripin menulis tiga lagi cerita. Kesemua cerita ini bertemakan fiksyen sains dan fantasi. Sekiranya apa yang dirancang oleh aku dan Izza Aripin menjadi kenyataan, kisah-kisah nopen ini akan digarap dan diulit di dalam satu bentuk yang belum pernah dilakukan lagi sebelum ini. Buat masa ini, sinopsis nopen-nopen ini masih rahsia. Insya-Allah masa yang sesuai akan sampai bagi kami menguar-uarkan perincian mengenai antologi ini.

Sementara itu, terdapat sedikit perubahan bagi nopen ketiga yang bakal aku tulis. Asalnya aku ingin menulis sebuah nopen bertajuk "Koloni 1974" tetapi kini aku telah berubah fikiran. "Koloni 1974" akan aku garap menjadi sebuah novel fiksyen sains yang akan aku usahakan bagi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuknya juga akan diubah sedikit bagi menyesuaikan dengan beberapa perubahan ke atas jalan cerita ini. Jadi bagi menggantikan "Koloni 1974," aku akan menulis sebuah cerita lain dengan tajuk "Detik."

Nantikan maklumat lanjut mengenai perkembangan penulisan-penulisan ini!

Khamis, 27 Mac 2008

Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi

Lama sungguh aku tidak mengemas kini blog ini. Alasan lapuk - hambatan tugas dan kesuntukan masa - menjadi hujah pembelaan buat diri ini. Kepada pengunjung-pengunjung setia, aku pohon ampun dan maaf kerana tidak berkemampuan untuk memasukkan catatan-catatan baru semenjak kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, aku ingin menyampaikan perkhabaran yang diterima daripada saudara RMN mengenai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi. Sebenarnya aku diberitahu tentang sayembara ini pada bulan Oktober tahun lepas oleh novelis Rabiatul Adawiyah. Aku cuba menghubungi pihak penganjur iaitu Penerbit Universiti Teknologi Malaysia menerusi e-mel pada 4 November yang lalu, tetapi tidak ada sebarang maklum balas yang diterima.

Pagi ini, aku menerima e-mel mengenai perkara ini daripada saudara Yosman Mohd Bain dari Penerbit UTM yang memaklumkan tentang kelewatan yang disebabkan oleh masalah teknikal. Dan apabila aku memasuki blog ini, aku terpandang pesanan yang ditinggalkan oleh saudara RMN mengenai perkara yang sama. Lantas, di sini aku uar-uarkan perkara ini kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya.

Adakah aku akan menyertai sayembara ini?

Minat itu ada... tetapi aku belum pasti sama ada aku punya kudrat untuk menyertai. Aku hanya mampu berkata, "insya-Allah."