Khamis, 31 Julai 2008

Ada apa dengan saifai?

Saifai - nama glamor bagi genre fiksyen dan fantasi sains - ialah satu genre yang masih kekurangan penulis. Namun bukanlah bermakna kita ketandusan penulis di dalam genre ini. Aku pernah ulas tentang perkara ini di dalam blog ini beberapa ketika yang lalu. [Klik sini dan sini untuk bacaan lanjut]. Rasanya sudah hampir setahun aku tidak mengulas perkara ini. Maka izinkan aku untuk melanjutkan komentar mengenai fiksyen dan fantasi sains di dalam kesempatan yang ada pada kali ini.

Aku ke Universiti Malaya pagi tadi untuk menghadiri satu perbincangan mengenai bioteknologi. Semasa berbicara tentang tahap kefahaman bioteknologi di kalangan masyarakat awam, seorang sahabat melontarkan pandangan bahawa media kurang memberikan ruang untuk isu-isu sains. Kalau ada sekalipun, biasanya isu-isu yang memberikan gambaran negatif tentang sains. Dan sahabatku ini seterusnya berhujah bahawa di dalam dunia sastera juga, pembangunan sains dan teknologi serta golongan saintis dan teknologis sering digambarkan secara negatif. Pendeknya, seolah-olah sains dan teknologi itu membawa kepada kehancuran dan kerosakan.

Terdiam aku seketika sebaik mendengar lontaran kata-kata sahabatku ini. Bukannya apa, aku tiba-tiba berada di dalam satu dilema. Aku seorang saintis, maka aku akui ada kebenaran kata-kata sahabatku ini. Lihat sahaja bagaimana perkembangan sains dan teknologi dipaparkan menerusi kisah-kisah sama ada yang dibukukan mahupun yang difilemkan. Tetapi pada waktu yang sama, aku juga seorang penulis yang mula berjinak-jinak dengan genre fiksyen sains, yang menyebabkan aku kurang bersetuju dengan pandangan sahabat tersebut. Karya Transgenesis: Bisikan Rimba misalnya memang menyentuh isu penyalahgunaan teknologi (secara khusus, bioteknologi). Tetapi bukanlah niatku untuk menggambarkan semua saintis itu tidak beretika dan semua perkembangan sains dan teknologi itu buruk. Aku senantiasa berpegang bahawa teknologi itu ibarat pisau - buruk atau baiknya kesan penggunaan pisau (baca: teknologi) itu bergantung kepada penggunanya. Banyak isu-isu falsafah yang aku ketengahkan menerusi novel keduaku ini yang mengajak pembaca untuk berfikir.

Perkara ini bermain-main di dalam kotak fikiranku sepanjang hari. Dan mungkin sudah ketentuan Ilahi, aku terjumpa satu kata-kata yang menarik yang dipetik daripada Frank Herbert iaitu penulis siri novel terkenal Dune. Katanya:

The function of science fiction is not always to predict the future but sometimes to prevent it.
[Terjemahan: Peranan fiksyen sains bukanlah untuk meramalkan masa hadapan setiap masa tetapi ada kalanya untuk menghalangnya.]
Ya, agaknya itulah sebab ramai penulis fiksyen dan fantasi sains memilih tema-tema pascaapokaliptik untuk menggerakkan jalan cerita mereka. Mungkin inilah sebabnya penulis seperti aku memilih risiko dan dampak buruk perkembangan teknologi sebagai kisah untuk dinukilkan. Bukan untuk memberikan imej negatif kepada sains dan teknologi serta saintis dan teknologis. Sekadar mahu memberikan kesedaran tentang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku andai kata sains dan teknologi disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Aku kira inilah peranan besar yang dimainkan oleh sang penglipurlara fiksyen dan fantasi sains. Bukan menulis semberono sesedap rasa sekadar memuaskan nafsu dan ego sendiri, tetapi menulis dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan dan menimbulkan kesedaran kepada pembaca. Kebetulan aku sedang membaca karya fantasi sains Fadli Al-Akiti iaitu Saga Horizon. Tema tulisan penulis muda berbakat besar ini berkisar dengan tema pascaapokaliptik pada masa hadapan. Aku belum habis membacanya tetapi aku kira ini adalah satu contoh penulisan fantasi sains yang bertanggungjawab. Penulis mengutarakan isu-isu bersifat falsafah menerusi penceritaannya yang mampu mengundang pembaca untuk berfikir (seandainya pembaca memilih untuk berfikir). Kita perlukan lebih ramai penulis seperti Fadli Al-Akiti yang mampu bercerita sambil memberi nasihat secara tersirat.

Catatan Pesta Buku Selangor

Beberapa pengunjung ke sini dan juga ahli forum di Cari Forum bertanyakan tentang hal ini. Bagaimana sambutan di Pesta Buku Selangor tempoh hari?

Sahabat novelis, Izza Aripin, yang berkunjung ke Pesta Buku Selangor pada hari Jumaat lepas memberitahu yang tidak ramai pengunjung ke situ. [Catatan Izza boleh dibaca di sini]. Aku katakan mungkin sebab hari bekerja. Lazimnya orang lebih ramai pergi pada hujung minggu. Dan seperti yang aku uar-uarkan, aku terlibat dengan sesi autograf di situ pada hari Sabtu yang lalu, di antara jam 1 hingga 2 petang.

Disebabkan harga minyak yang sudah naik (ditambah dengan lokasi pejabatku yang hanya tiga minit perjalanan kaki), aku telah pun menjual keretaku. Jadi pada hari Sabtu itu, terpaksalah aku menggunakan pengangkutan awam untuk ke Shah Alam dari Setiawangsa. Dari teratak kediamanku, aku menapak selama 15 minit untuk ke Stesen LRT Setiawangsa. Dari situ, aku menaiki LRT Aliran Kelana Jaya dan turun di Stesen KL Sentral. Di stesen tersebut, aku naik pula KTM Komuter dan turun di Stesen Batu Tiga. Dari situ, seorang sahabat lama menunggu untuk menjemputku.

Sebelum aku berceloteh tentang Pesta Buku Selangor, aku suka nyatakan di sini yang pengalaman menaiki pengangkutan awam ialah satu pengalaman yang menarik. Sudah begitu lama aku tidak menggunakan pengangkutan awam, dan apabila sesekali menggunakan pengangkutan ini, pasti banyak perkara yang dapat aku perhatikan - dari gelagat manusia hinggalah keadaan pengangkutan awam itu sendiri. Walaupun aku menghabiskan hampir satu jam setengah di atas pengangkutan awam untuk ke Shah Alam, aku tetap gembira kerana banyak "ilham baru" yang aku perolehi daripada pengalaman ini.

Aku tiba di Kompleks PKNS iaitu lokasi Pesta Buku Selangor sekitar jam 12.30 tengah hari. Perkara pertama yang aku perasan ialah, seperti kata Izza Aripin, tidak ramai pengunjung yang berada di situ. Dari satu sudut, aku terasa lega kerana ini membolehkan aku meninjau-ninjau gerai yang ada dengan lebih mudah tanpa perlu berhimpit-himpit (sempat juga membeli beberapa buku dan CD). Namun dari satu sudut lain, aku terasa sedikit ralat kerana seolah-olah pesta buku tersebut seperti tidak mendapat sambutan. Ini sekadar persepsi peribadi yang mungkin tidak dipersetujui oleh orang lain.

Kemudian, seperti yang dijanjikan kepada penerbit, aku berada di gerai untuk sesi autograf. Aku tidak keseorangan pada sesi itu. Bersamaku ialah novelis yang telah memenangi beberapa anugerah iaitu Aminah Mokhtar. Dan dari kerusi tempat aku duduk, sekali lagi aku lihat tidak ramai orang yang berada di lokasi pameran. Jika ada pun orang yang mundar-mandir, rasanya mereka lebih tertumpu untuk membeli-belah di kompleks tersebut.

Aku ada bersembang (untuk menghilangkan kebosanan) dengan Cik Norashikin Wahid, Editor PTS Fortuna. Dari sembang-sembang kami, kesimpulan yang boleh dibuat ialah lokasi pesta buku tidak begitu sesuai. Apabila diadakan pesta buku di ruang legar pusat membeli-belah, orang yang datang tidak semestinya datang untuk meninjau-ninjau gerai buku. Mungkin (daripada pengamatan peribadi) daripada 10 orang yang lalu, hanya tiga orang yang singgah. Yang membeli buku tentulah jauh lebih kecil bilangannya daripada yang membelek buku. Mungkin penganjur mengambil kesempatan menggunakan ruang legar dengan tujuan untuk menarik lebih ramai orang. Tetapi setakat hari kedua Pesta Buku Selangor diadakan, aku lihat jika itulah tujuannya, aku rasa ia tidak memberikan kesan yang diharapkan. Atau mungkin juga seperti yang dikatakan sesetengah orang bahawa kenaikan harga minyak memberi kesan kepada penjualan buku. Wallahu'alam. Aku cuma berharap agar sambutan yang lebih baik diberikan kepada Pesta Buku Selangor pada hari-hari berikutnya.

Walau bagaimanapun, 15 minit terakhir sesi autograf itu bagiku lebih menarik. Kami dikejutkan dengan kemunculan Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang meluangkan masa hampir 30 minit di gerai PTS tersebut. Aku dan Aminah Mokhtar mengambil kesempatan ini untuk menghadiahkan hasil tulisan kami iaitu Transgenesis: Bisikan Rimba dan Seteguh Fikrah Salehah kepada beliau. Dan tentunya kesempatan bergambar tidak dilepaskan.

Aku juga dapat bersemuka untuk pertama kalinya dengan pengulas novel di ruang siber iaitu Kak Wan Amalyn dan penulis siri Takluk Jagat iaitu Zaki Zainol atau lebih dikenali di ruang siber sebagai Kangaq. Pertemuan kali pertama ini sesuatu yang istimewa kerana kini aku sudah meletakkan "wajah" kepada nama kenalan di ruang siber.

Walau apa sekalipun, pengalaman pertama menyertai aktiviti seperti ini di Pesta Buku Selangor merupakan satu pengalaman yang istimewa.