Sabtu, 4 Julai 2009

Soalan tidak terjawab

Semua maklum yang aku sedang menulis sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Mahu tahu apa plotnya? Nanti dahulu, perkara itu belum dapat didedahkan buat masa ini.


Bagi pembaca yang sudah khatam Transgenesis: Bisikan Rimba, pasti ada soalan-soalan yang belum terjawab yang terbuku di dalam minda. Justeru, sementara sambungan kisah ini sedang ditulis, aku alu-alukan sebarang maklum balas mengenai soalan-soalan yang para pembaca ingin aku jawab menerusi sambungan tersebut.

Jadi, jika ada soalan-soalan daripada Transgenesis: Bisikan Rimba yang pembaca mahukan jawapannya, tinggalkan soalan-soalan tersebut menerusi komen entri ini. Insya-Allah, mungkin akan ada yang terjawab nanti.

[Mungkinkah rama-rama ada kaitan dengan sambungan nanti?]

Khamis, 2 Julai 2009

Sastera jantan

Karya klasik fantasi bahasa Melayu Saga Artakusiad

Karya-karya fiksyen sains dan fantasi dikategorikan sebagai "sastera jantan". Ini bagi membezakan antara karya-karya genre ini berbanding dengan karya-karya yang dikategorikan sebagai chick lit. Difahamkan bahawa khalayak pembaca genre fiksyen sains dan fantasi kebanyakannya ialah remaja lelaki.

Mungkin ada kebenarannya di luar negara, aku sendiri tidak pasti. Namun, daripada pemerhatianku apabila berada di pesta-pesta buku dan kedai-kedai buku, aku dapati yang kebanyakan yang membeli dan membaca genre fiksyen sains dan fantasi dalam bahasa Melayu ialah remaja wanita. Malah, yang rajin memberi maklum balas kepada aku mengenai Transgenesis: Bisikan Rimba juga kebanyakannya pembaca wanita.

Bukan tidak ada pembaca lelaki. Memang ada. Cuma persepsi yang aku perolehi ialah tidak ramai pembaca lelaki yang membaca karya fiksyen sains dan fantasi dalam bahasa Melayu. Apabila aku memerhati di kedai-kedai buku besar seperti Kinokuniya dan MPH, aku lihat remaja lelaki lebih tertarik kepada genre ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris ataupun yang diterjemah dari bahasa Jepun.

Itu sebabnya aku sengaja mengadakan tinjauan kecil yang berakhir beberapa hari lalu. Sekadar ingin mendapatkan gambaran pengunjung-pengunjung blog ini sama ada mereka juga mempunyai persepsi yang sama. Nampaknya, 50% yang mengundi tidak bersetuju dengan persepsi ini. Aku tidak katakan aku betul. Mungkin perspektif mereka berbeza menyebabkan mereka mempunyai persepsi yang berbeza. Wallahu'alam.

Bagiku, ini mungkin satu bidang penyelidikan yang boleh diterokai. Sesiapa yang berminat mungkin boleh mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam menggunakan pendekatan yang lebih saintifik.

Walau apa sekalipun, aku berharap supaya genre fiksyen sains dan fantasi yang dilabel sebagai "sastera jantan" ini diberi sokongan oleh semua tidak kira lelaki mahupun wanita. Semoga genre ini yang ditulis di dalam bahasa Melayu akan terus mendapat perhatian khalayak pembaca negara ini. Itu sebenarnya harapan besar seorang insan yang kerdil ini.