Rabu, 29 Julai 2009

Alunan irama

Ada masanya, minda ini penuh dengan idea yang membuak-buak. Tetapi sayang, ada kesukaran bagi menterjemahkan idea dalam minda ke dalam bentuk ayat-ayat pada skrin komputer.


Ada ketikanya, jari-jemari ini sudah bersedia menaip huruf-huruf yang kemudiannya menjadi ayat, dan ayat-ayat yang kemudiannya menjadi perenggan, perenggan-perenggan yang kemudiannya menjadi bab, bab-bab yang kemudiannya menjadi cerita. Tetapi sayang, ada kepayahan bagi mengumpul kekuatan dalam menulis.

Ada waktunya, aku sudah tahu apa yang aku mahu titipkan. Tetapi sayang, perasaan malas menghantui diri.

Pada saat-saat seperti ini, adakalanya alunan irama yang sesuai boleh membantu memberikan "mood" kepada si penulis. Irama yang mampu membawa si penulis menjadi seorang pencerita yang produktif. Dan irama berikut membantu aku menulis sekuel Transgenesis: Bisikan Rimba.

Ahad, 26 Julai 2009

Cabaran menulis sekuel

Rama-rama mempunyai peranan penting dalam sekuel nanti.

Bagi aku yang baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia penulisan, proses menulis novel bukan sesuatu yang mudah. Ya, aku punya banyak idea yang tersimpan di dalam kepala. Namun, cabaran besar ialah menterjemahkan idea-idea abstrak ini ke dalam bentuk ayat-ayat di atas kertas yang boleh difahami dan dicerna pembaca. Proses ini penuh dengan dugaan kerana sebagai penulis, agak sukar bagi membaca apa yang dimahukan oleh pembaca.

Itu sebabnya bagi novel Transgenesis: Bisikan Rimba, aku masukkan beberapa twist dalam jalan cerita menyebabkan pembaca mungkin sukar untuk meneka apa yang akan berlaku berikutnya. Alhamdulillah, dari pengamatan kepada maklum balas yang aku terima, ramai dari kalangan pembaca novel fiksyen sains ini yang menyukai twist di dalam kisah pengembaraan Flora ini.

Kini, aku berhadapan dengan satu lagi cabaran yang besar iaitu menghasilkan sambungan atau sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Jangkaan pembaca terhadap sekuel ini pastinya tinggi. Sedapat mungkin aku ingin lakukan yang lebih baik. Aku ingin masukkan lebih banyak kejutan. Dan pada waktu yang sama, aku tidak pastinya tidak mahu mengecewakan pembaca.

Ya, sambungan kisah Flora ini bakal mempunyai beberapa twist dan kejutannya tersendiri. Terus-terang aku katakan, menulis sekuel ini merupakan antara cabaran terbesar yang pernah aku hadapi.

Aku harap pembaca akan terus memberikan sokongan dan dorongan sehingga aku berjaya menoktahkan ayat terakhir sambungan novel fiksyen sains ini.