Isnin, 19 Mei 2008

Berforumlah pula

Lebih kurang dua minggu lepas, aku mula berjinak-jinak dengan Forum Cari yang memfokuskan kepada perbincangan dunia penulisan di negara kita. Ramai yang bergiat di situ, dari kaca mata aku, adalah anak-anak muda yang giat membaca. Jadi aku sengaja menjengah di situ dan meninggalkan pandangan dan maklum balas.

Rasaku, tidak salah kalau penulis seperti aku turut sama berforum. Bukannya apa, sekurang-kurangnya kalau ada sebarang soalan, boleh aku jawab secara terus, dan jika ada sebarang komen, boleh aku terima secara langsung.

Apapun, namaku di persada forum itu tetap sama, cuma ejaannya Amir_Husaini. Dan forum yang aku maksudkan boleh dicapai di alamat ini.

Ahad, 18 Mei 2008

Komen Sifu PTS

Maklumat ini diterima daripada saudari Hani Ismail, penulis siri Akademi Gemilang. Beliau memaklumkan sifu PTS, Puan Ainon Mohd ada mencatatkan pandangan beliau mengenai kulit novel Transgenesis: Bisikan Rimba di blog Universiti Terbuka PTS. Komen beliau boleh dibaca di sini atau dibaca di bawah:

Siapa tahan memegang buku yang covernya sebagus ini!

Cover ini adalah hasil kreasi Tuan Hisham Salmin, Pengarah Jabatan Kreatif PTS. Selain seorang pelukis water-colour, beliau juga seorang seniman foto. Bukan itu sahaja, beliau juga boleh bermain gitar dan menyanyi.

Amir Husaini sebelum ini menerbitkan karya-karyanya dengan penerbit lain, tetapi sekarang beliau sudah menjadi milik PTS.