Jumaat, 29 Disember 2006

Salam akhir tahun

Nampaknya kita telah tiba di hujung tahun 2006, dan tahun baru 2007 bakal menjelang. Istimewanya kali ini, Hari Raya Aidiladha juga jatuh pada hari terakhir tahun 2006. Apapun, diharapkan di sebalik "kemeriahan" kita meraikan 1 Januari 2007, janganlah pula kita lupa perayaan yang lebih penting dan lebih utama iaitu Aidiladha. Kita perlu ingat - dan diperingatkan - bahawa Aidiladha ini merupakan satu daripada dua perayaan yang disyariatkan oleh Allah SWT menerusi Rasulullah SAW. Amatlah rugi jika terlupa merayakan Aidiladha yang wajib disambut kerana terlalu asyik berseronok menyambut ambang 2007. Tidak salah meraikan tahun baru, tetapi caranya mesti kena berlandaskan ketetapan agama. Namun, lebih baik kiranya semangat tahun baru itu diraikan semasa ketibaan Hijrah yang kebetulan hanya beberapa minggu sahaja lagi.

Walau apa sekalipun, natijah daripada peristiwa korban Abu al-Anbiya' Nabi Ibrahim a.s. perlulah dijadikan iktibar. Dan marilah kita menanamkan azam dan iltizam untuk mengunjungi tanah suci Makkah al-Mukaramah dan Madinah al-Munawarah suatu hari nanti bagi melunaskan tuntutan Rukun Islam kita yang kelima.

Salam Aidiladha dari sang Kelana yang marhaen ini.

Ahad, 24 Disember 2006

Perkara paling sukar

Sebenarnya bagi aku, perkara yang paling sukar adalah untuk memulakan penulisan, tidak kiralah sama ada penulisan ilmiah (kertas kerja, makalah ilmiah dan seumpamanya) atau penulisan kreatif (novel, cerpen, puisi atau skrip). Lazimnya aku akan perlukan beberapa percubaan sebelum dapat memulakan satu-satu penulisan yang benar-benar akan memberikan kepuasan kepada diri.

Apabila penulisan telah berjaya dimulakan, bermakna aku telah berjaya menghayati apa yang aku garap itu. Jika aku menulis novel atau cerpen, maka bermakna aku berada di dalam "dunia" yang aku "cipta" untuk watak-watakku di dalam pengkisahan itu. Aku dapat menyelami perasaan watak-watak ini dan aku tahu apa yang difikirkan oleh mereka. Lantas, apabila ini dapat ku lakukan, maka mudahlah untuk aku memenakan perasaan dan pemikiran watak-watak ini ke atas kertas. Aku akan dapat "memberitahu" pembaca apa yang sedang berlegar di dalam benak watak-watak kisah yang ku tulis. Meminjam kata-kata Ali Majod yang memberikan komen tentang novel sulungku, "Ombak Senja":

Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa.
Bagiku, jika aku gagal menggambarkan watak-watak cerita yang ku tulis, maka aku telah gagal menghayati ceritaku sendiri. Jika ini gagal aku lakukan, tidak ada maknanya bagi ku untuk meneruskan ceritaku. Sebab itulah aku rasakan cabaran yang paling besar dan perkara yang paling sukar untuk dilakukan adalah untuk memulakan penulisan. Plot cerita mungkin sudah ada, tetapi selagi mana plot itu belum diterjemahkan ke dalam bentuk penceritaan, maka proses pengkaryaan belum bermula.

Aku bersyukur kerana akhirnya aku berjaya memulakan proses penulisan bagi novel kedua, yang buat masa ini aku namakan "Transgenesis." Dari tajuk ini sahaja, sudah boleh diagak bahawa genre novel ini adalah fiksyen sains yang sama sekali berbeza dengan novel pertama yang bakal terbit awal tahun 2007 ini iaitu "Ombak Senja." Untuk makluman, aku dasarkan kisah ini kepada sebuah cerpen bahasa Inggeris yang pernah aku karang pada tahun 1991 yang bertajuk "Flora."

Apapun, aku berdoa agar proses memindahkan kisah daripada kotak fikiran ke kertas akan berjalan dengan lancar, insya-Allah. Aku telah tetapkan matlamat agar manuskrip ini siap menjelang terbitnya novel "Ombak Senja."

Khamis, 14 Disember 2006

Kini hanya menanti

Alhamdulillah, pruf kedua novelku telah diserahkan kepada pihak penerbit. Kontrak juga telah ditandatangani. Kini, hanya menanti pihak penerbit menjalankan kerja-kerja akhir penyemakan pruf, penyediaan kulit, percetakan dan penjilidan.

Semasa di Utusan Publications & Distributors tadi, aku berbincang dengan Editor tentang beberapa perkara.

Pertama, untuk tujuan penulisan novel, aku akan menggunakan nama pena iaitu "Amir Husaini." Ini sebenarnya nama anakku, tetapi kata sahabatku yang juga novelis, Izza Aripin, nama ini ada nilai komersil. Adakah ini benar? Kita tunggu sahaja apabila novel ini terbit.

Perkara kedua yang dibincangkan adalah mengenai tajuk novel. Akhirnya, tajuk "Ombak Senja" menjadi pilihan. Dalam kata lain, tajuk asal novel ini juga yang digunakan.

Apapun aku bersyukur, kerana setelah hampir 8 tahun manuskrip ini mengumpul debu, akhirnya "Ombak Senja" bakal terbit menemui pembaca. Kini ku hanya menanti...

Isnin, 11 Disember 2006

Memilih nama novel

Aku telah selesai menyemak pruf kedua novel pada malam Ahad yang lalu. Sekarang cabaran adalah untuk menamakan semula novel ini. Hendak menamakan tajuk novel bukanlah semudah yang disangka. Tanggungjawabnya hampir sebesar dengan tanggungjawab hendak menamakan anak. Agaknya sebab itulah penulis begitu sayangkan hasil kerja tangan mereka yang telah diterbitkan.

Berikut diperturunkan nama-nama yang telah dicadangkan selepas perbincangan dengan Izza Aripin:

  1. "Ombak Senja" --- ini merupakan tajuk asal novel ini yang juga menjadi nama blog ini
  2. "Di Hujung Senja"
  3. "Dan Senja pun Berlabuh" --- meminjam dan mengolah frasa yang digunakan sebagai tajuk novel Izza Aripin yang bertajuk "...dan Mimpi pun Bersatu"
  4. "Ombak Senja sebagai Saksi"
  5. "Dalam Dakapan Senja"
  6. "Digamit Senja"
  7. "Senja Nan Menanti"
Antara semua cadangan di atas, yang manakah paling menarik perhatian? Yang mana pula akan menjadi pilihan penerbit? Insya-Allah akan ku khabarkan perkembangan ini nanti.

Khamis, 7 Disember 2006

Pruf kedua "Stigma"

Lama sudah aku tidak mencoret di blog Ombak Senja ini. Bukannya apa, tapi kerana tiada yang baru untuk ku coretkan hinggalah hari ini.

Sebentar tadi aku baru sahaja pulang dari pejabat Utusan Publications and Distributors di Taman Shamelin Perkasa. Hadirku ke sana untuk mengambil pruf kedua novel "Stigma" untuk disemak. Alhamdulillah, nampaknya saat kelahiran novel sulungku ini semakin hampir.

Cuma editor meminta aku fikirkan tajuk lain untuk novel ini. Ini kerana tajuk "Stigma" agak kaku dan boleh menakutkan orang. Aku tidak ada masalah dengan perkara ini kerana memang aku jangkakan tajuk ini akan diubah atas sebab pemasaran. Nampaknya sambil menyemak pruf kedua ini pada hujung minggu ini, aku perlu juga fikir-fikirkan tajuk yang sesuai, di samping memikirkan nama pena yang ingin aku gunakan.

Ada sebarang pandangan dan cadangan?

Jumaat, 3 November 2006

Pruf pertama "Stigma"

Semalam aku ada menghubungi editor di Utusan Publications and Distributors, dan telah dimaklumkan bahawa beliau sedang menyemak pruf pertama novel "Stigma."

Insya-Allah bila masuk pruf kedua nanti, aku akan berpeluang melihat dan menyemaknya. Moga novel ini dapat terbit sebelum akhir tahun ini.

Khamis, 19 Oktober 2006

Menyusun 10 jari

Bersempena dengan 1 Syawal 1427 Hijriyyah ini, aku memohon ampun dan maaf dari semua yang mengenali diri yang marhaen ini. Moga segala kesalahan, kelalaian, kekurangan dan kealpaan yang lampau dimaafkan.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Jumaat, 29 September 2006

Cadangan novel baru

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Utusan Publications and Distributors bersetuju untuk menerbitkan novel "Stigma." Insya-Allah aku akan terus berkarya. Buat masa ini aku sedang bermain-main dengan plot untuk 3 novel.

Pertama, adalah kesinambungan kepada "Stigma." Ini memang telah dirancang lama kerana aku sengaja meninggalkan beberapa plot tergantung di dalam kisah "Stigma" ini. Cuma aku belum pasti sama ada untuk menggunakan tajuk "Stigma 2" atau tajuk lain. "Stigma 2" pada pandanganku terlalu klise. Secara peribadi, aku agak suka tajuk "Dogma" kerana ada perkaitan dengan kisah kesinambungan yang bakal dipena nanti.

Cadangan novel kedua adalah kombinasi genre fiksyen sains. Aku berkira-kira mahu menggunakan tajuk "Transgenesis."

Cadangan novel ketiga juga adalah daripada genre fiksyen sains. Buat masa ini, tajuk yang aku gunakan bagi novel ini adalah "Koloni 1974."

Sahabatku Izza Aripin telah berulang kali mencadangkan agar aku menyertai pertandingan Hadiah Sastera Utusan. Mungkin, kalau ada kesempatan, aku akan siapkan sama ada "Transgenesis" atau "Koloni 1974" untuk pertandingan tersebut. Tarikh akhirnya 31 Disember 2006. Aku tak pasti sama ada aku mampu menyiapkan sebuah novel dalam tempoh itu.

Jumaat, 8 September 2006

Berita gumbira

Aku baru sahaja bercakap dengan Puan Norashikin Muhd Nor yang merupakan Editor di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Beliau memaklumkan bahawa Utusan Publications & Distributors telah bersetuju untuk menerbitkan novel "Stigma."

Alhamdulillah, sememangnya ini satu berita gembira yang amat aku nanti-nantikan. Kata Puan Norashikin lagi, insya-Allah novel ini akan terbit tahun ini juga.

Ini merupakan satu motivasi bagiku untuk terus berkarya. Insya-Allah aku akan mulakan penulisan novel keduaku tidak lama lagi yang merupakan kesinambungan kepada "Stigma."

Sabtu, 12 Ogos 2006

Konvokesyen

Pada hari Rabu 9 Ogos yang lepas, aku terlibat di dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2006. Secara rasminya aku kini telah menerima ijazah Sarjana Sains daripada universiti tertua di negara ini. Pada hari itu, ayah dan ibuku hadir. Begitu juga dengan penyeliaku. Sayangnya isteriku terpaksa berkursus pada masa itu.

Apapun, aku bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian sarjanaku. Untuk itu, aku perturunkan petikan penghargaan dari tesisku.

Ilmu pengetahuan milik Allah s.w.t. sememangnya tidak dapat diletakkan nilai atau dihitung jumlahnya. Jika dibandingkan dengan ilmu yang ada pada diri seseorang individu, ianya ibarat setitis air laut yang tertinggal di jari selepas dicelup di dalam lautan yang luas terbentang. Begitu sedikit sekali ilmu yang ada pada manusia sebenarnya. Tesis ini hanyalah satu daripada usaha oleh seorang insan yang kerdil untuk cuba melayari lautan ilmu yang terbentang luas ini. Dalam melayari lautan ilmu ini, banyak pihak telah memberikan pelbagai bentuk sokongan dan dorongan untuk memastikan agar si perenang tidak lemas.

Pastinya penghargaan dalam bentuk ucapan terima kasih semata-mata tidak memadai untuk diberikan kepada semua yang telah menyumbang sehingga membawa kepada selesainya tesis untuk Sarjana Sains ini. Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kurniaan kesihatan jasmani dan ketahanan rohani untuk menyelesaikan tugasan penulisan tesis ini.

Penghargaan yang tidak terhingga perlu saya berikan kepada Profesor Dr. Azizan Haji Baharuddin yang merupakan penyelia saya yang bertindak sebagai pembimbing dan pendorong sehingga siapnya tesis ini. Galakan yang beliau berikan sebenarnya telah bermula seawal tahun 1997 lagi iaitu kira-kira enam tahun sebelum saya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian ke peringkat pascasiswazah.

Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada individu dan organisasi berikut di atas sokongan, bantuan, dorongan dan bimbingan yang telah diberikan.

Kepada Fakulti Sains, Universiti Malaya khususnya Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk menjalankan kajian bagi Sarjana Sains ini.

Kepada
Yang Berbahagia Ambassador Dato’ Dr. Ismail Haji Ibrahim dan Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, kedua-duanya mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang tidak jemu-jemu menggalakkan saya untuk meneruskan pengajian saya.

Kepada
Profesor Dr. Sidek Baba, Profesor Dr. Abu Bakar Abdul Majeed, Tuan Haji Nik Mustapha Haji Nik Hassan, Encik Mazilan Musa, Dr. Khairul ‘Azmi Mohamad dan Encik Ibrahim Apandi Tuan Yaacob yang bertindak sebagai mentor saya dengan memberikan tunjuk ajar, nasihat dan motivasi sehingga membawa kepada selesainya tesis ini.

Kepada sahabat-sahabat di IKIM terutamanya saudara Muhammad Hisyam Mohamad, saudari Wan Roslili Abd. Majid, saudara Suzalie Mohamad dan saudara Mohd Shahriza Sulaiman yang menjadi rakan berbincang dan bertukar fikiran yang setia.

Akhir sekali, saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak ternilai kepada isteri kesayangan, Norhana Ghazali di atas kesabaran dan sokongan moral sepanjang pengajian Sarjana Sains ini. Pengorbanan ayahanda tercinta, Shaikh Mohd Salleh Shaikh Abdul Razak dan bonda tersayang, Sara Zainal Abidin dalam membesarkan saya sehingga sampai ke tahap ini akan sentiasa dikenang dan hanya Allah s.w.t. sahaja yang dapat membalas jasa mereka berdua. Buat adik-adik, Shaikh Mohd Hanafiah dan Siti Nurliyana, didoakan moga kejayaan bakal menjelang.

Saya dedikasikan tesis ini buat putera sulung, Shaikh Amir Husaini, yang lahir tanggal 2 Mei 2005 yang lalu. Moga tesis ini menjadi pencetus minat kepadanya untuk turut sama melayari lautan ilmu.

Selasa, 1 Ogos 2006

Akhirussa'ah

Masa berkelana di Mesir pada bulan Mac lalu, sahabat-sahabatku di sana membawa aku makan di sebuah restoran makanan segera bernama "Akhir Sa'ah." Aku tanya apa maksudnya. Jelas sahabat-sahabatku, maksudnya "Saat Akhir." Memang kena sekali dengan fungsi restoran itu yang menjadi tumpuan orang yang inginkan makanan dengan cepat ataupun orang yang mungkin membuat keputusan untuk membeli makanan di saat akhir.

Bukan tentang makanan yang ingin ku coretkan hari ini, tetapi tentang betapa kita ini suka melakukan kerja di saat akhir. Aku sendiri tidak terlepas daripada tabiat ini. Memang kita sering diperingatkan supaya tidak menunggu sehingga ke saat akhir untuk menyiapkan kerja tetapi itulah yang sering berlaku.

Bagi kalian yang merupakan penulis, mungkin boleh faham apa yang ingin ku nyatakan di sini. Idea menulis acap kali datang di saat akhir. Aku sering mendapati bahawa hasil penulisanku lebih baik kiranya aku menulis dalam keadaan hambatan tarikh akhir yang perlu disiapkan penulisanku itu. Tak kiralah yang ditulis itu adalah makalah untuk akhbar atau majalah, atau kertas kerja untuk dibentang di seminar, atau apa sahaja. Tekanan tarikh akhir memerah keluar idea-idea penulisan yang baik.

Semalam aku baru sahaja menghantarkan skrip "Zuriat" untuk Pertandingan Menulis Skrip Drama TV/Radio IKIM. Aku mulakan penulisan skrip ini berbulan-bulan yang lalu tetapi tidak dapat menyiapkannya. Tarikh akhir adalah semalam (31 Julai). Pada hari Ahad yang lalu, aku memaksa diriku duduk di hadapan komputerku bermula jam 11 malam untuk menyiapkan skrip ini. Hampir 5 jam aku mengetuk kekunci di komputerku. Alhamdulillah jam 4 pagi siap juga akhirnya.

Itulah tabiat manusia. Menunggu di saat akhir.

Akhirrussa'ah.

Rabu, 12 Julai 2006

Senangkanlah Hatimu

Buat sahabat-sahabatku, sengaja ingin dikongsikan sebahagian cerpen karya Al-Anisah Mai bertajuk "Senangkanlah Hatimu." Cerpen ini terkandung di dalam buku Tasauf Moden oleh Profesor Dr. Hamka dan dipetik kembali di dalam buku Penawar Hati (Khas untuk Pelajar Petronas) yang diterbitkan pada tahun 1983. Buku ini menjadi pedoman hidupku sepanjang aku berkelana di luar negara selama 5 tahun.

Cerpen ini agak panjang, tetapi bacalah dan renungkanlah intipatinya, moga kita semua beroleh kebaikan, insya-Allah.

Dari hadapan tugu kesedihan, berdirilah seorang pemimpin besar, sedang berpidato di hadapan beribu-ribu kaum. Maka terdengarlah olehku suaranya demikian bunyinya:

Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Kerana di hadapan mu disyukuri orang, engkau beroleh pujian di mana-mana. Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh. Di hadapan engkau terhampar permaidani kepujian, sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan. Dan jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu. Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkanlah hatimu! Kerana tak ada orang yang akan hasad dan dengki kepada engkau lagi lantaran kemiskinanmu. Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat, iaitu yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati, dan tidak ada pintu bagi kebencian.

Kalau engkau dermawan, senangkanlah hatimu! Kerana dengan kedermawanan engkau dapat mengisi tangan yang kosong, telah dapat menutup tubuh yang bertelanjang, engkau tegakkan orang yang hampir roboh. Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hatimu dan engkau beroleh bahagia; berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan sanggup menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu. Kesenangan hatimu yang tadinya cuma satu, sekarang akan berlipat ganda, sebab telah banyak orang lain yang telah mengecap nikmatnya. Dan kalau sekiranya engkau tak kuasa jadi dermawan, itupun senangkan pulalah hatimu! Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu penyakit yang selalu menular kepada masyarakat manusia, iaitu tiada membalas guna, perhilangkan jasa. Mereka ambil kebaikan budi dan kedermawananmu itu jadi senjata untuk memukulkan tuduhan-tuduhan yang rendah. Saat yang demikian mesti datang kepada tiap-tiap dermawan, yang menyebabkan hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah, sehingga hilang kepercayaan kepada segenap manusia, disangka manusia tidak membalas guna. Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncak kebahagiaan dan beroleh keampunan dari Tuhan.

Kalau engkau masih muda remaja senangkanlah hatimu! Kerana pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh. Sebab umurmu masih muda, mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kejadian yang sebenarnya. Dan kalau engkau telah tua, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit, dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang dalam-dalam di dalam sekolah hidup. Engkau telah tahu firasat, mengerti gerak-geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan yang ditempuhnya. Oleh sebab itu, maka segala pekerjaan yang engkau kerjakan itu - kalau engkau suka - lebih banyak akan membawa faedah dan lebih banyak tersingkir dariada bahaya. Satu detik daripada umurmu di masa tua, lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun di zaman muda, sebab semuanya telah engkau lalui dengan pemandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.

Kalau engkau dari turunan orang mulia-mulia, senangkanlah hatimu! Sebab engkau telah beroleh kemenangan yang sukar sekali didapat orang, iaitu orang banyak percaya kepadamu, dengan tidak perlu orang beroleh nasihat dari siapa-siapa lagi. Dan kalau engkau dari golongan bawah, golongan marhaen, senangkan pulalah hatimu! Kerana lebih baik engkau menjadi pangkal kemuliaan anak cucu dan turunanmu, menjadi bintang dan pemancang perumahan. Jangan hanya menjadi ujung, memikul nama orang lain, sebab menghitung jasa orang lain, tetapi diri sendiri tak campur memasukkan modal dalam kemuliaan itu.

Kalau banyak handai taulan dan sahabatmu, senangkanlah hatimu! Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati tiap-tiap sahabatmu itu. Kerana engkau menang di dalam kalangan sahabat yang banyak itu, lazat rasanya kemenangan, dan kalau kalah tidak begitu terasa. Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau, engkau dapatlah insaf, tandanya harga dirimu mahal dan timbanganmu berat. Yang penting ialah engkau engkau dapat keluar dari daerah mementingkan diri seorang. Memandang hanya engkau yang benar, lalu masuk ke daerah yang baru, iaitu mengakui bahawa ada pula orang lain yang pintar, yang berfikir dan kuasa menimbang. Dan jika musuhmu banyak, senangkan pulalah hatimu! Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan yang tinggi. Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan. Tiap-tiap bertambah maki celanya kepada engkau, atau hasad dengkinya, atau mulutnya yang kotor dan perangainya yang keji, bertambahlah teguhnya perasaanmu bahawa engkau bukan barang murah, tetapi barang mahal; dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahanmu, engkau dapat beroleh pengajaran. Mula-mula maksudnya hendak meracunmu dengan serangan-serangan yang kejam dan keji, maka oleh engkau sendiri, engkau saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat dirimu mana yang berfaedah, engkau buangkan mana yang lebihnya. Ingatlah: Pernahkah seekor burung helang yang terbang membumbung tinggi mempedulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?

Kalau badanmu sihat, senangkanlah hatimu! Tandanya telah ternyata pada dirimu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmat-Nya, lantaran badan yang sihat mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan. Dan kalau engkau sakit, senangkan pulalah hatimu! Kerana sudah ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan di antara dua alam yang dijadikan Tuhan, iaitu kesihatan dan kesakitan. Kemenangan akan terjadi pada salah satu yang kuat, kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu, baik kesembuhan dunia, ataupun kesembuhan yang sejati.

Kalau engkau menjadi orang luar biasa, senangkanlah hatimu! Kerana pada tubuhmu telah ternyata cahaya yang gilang gemilang. Tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang sehingga cergas, dilihat-Nya matamu sehingga jadi azimat, dilihat-Nya suaramu sehingga jadi zihir. Bagi orang lain, perkataan dan tiap-tiap suku kalimat yang keluar dari mulutnya hanya menjadi tanda bahawa dia hidup saja, tetapi bagi dirimu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan bersemangat, boleh membakar dan boleh mendinginkan, boleh merendahkan dan boleh meninggikan, boleh memuliakan dan boleh menghinakan. Kalau engkau dilupakan orang, kurang masyhur, senangkan pulalah hatimu! Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu, mulut tak banyak mencacatmu, tak ada orang yang dengki kepadamu, tak ada orang meniatkan jatuhmu, mata tak banyak memandangmu. Itu, di hadapanmu ada puncak kemuliaan orang yang masyhur itu berdiri di atas masyarakat, dan engkau pun salah seorang dari anggota masyarakat itu. Rumah batu yang indah, berdiri di atas kumpulan tanah dan pasir yang kecil-kecil. Dengan demikian itu, engkau akan merasai kesenangan hati yang kerapkali tak didapat oleh yang bibirnya ak pernah merasai air hidup dan rohnya tak pernah mandi di dalam ombak ilham.

Kalau sahabatmu setia kepadamu, senangkanlah hatimu! Kerana pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal. Dan kalau kawanmu khianat, senangkanlah juga hatimu. Sebab kalau kawanmu khianat, itu mungkir dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.

Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperbudak, senangkanlah hatimu! Sebab penjajahan dan perbudakkan membuka jalan bagi bangsa yang terjajah atau diri yang diperbudakkan kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu. Itulah perjuangan yang menentukan hidup atau mati, dan itulah yang meninggikan nilai. Ketahuilah bahawa tidaklah didapati suatu bangsa yang terus menerus dijajah. Dan jika engkau dari bangsa merdeka, senangkanlah hatimu! Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain, ada bagimu kesempatan mencari kekuatan baru, dan bagimu terbuka kesempatan yang seluas-luasnya untuk itu.

Kalau engkau hidup dalam kalangan orang-orang yang kenal akan diri dan cita-cita engkau, faham mereka siapa engkau, senangkanlah hatimu! Kerana di sana dapat engkau mengusahakan tenaga muda setiap hari, dan kekuatan pun bertambah, roh serta semangat menjadi baru. Engkau bertambah subur dan tegak menaungi lautan dan daratan. Dan kalau engkau hidup dalam masyarakat yang masih rendah, yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita orang, sehingga engkau berasa 'sial dangkal', maka senangkan juga hatimu! Kerana dengan sebab itu engkau beroleh kesempatan jadi burung, lebih tinggi terbangmu daripada orang-orang khayal, untuk mengubat fikiranmu yang gelisah, untuk melepaskan dahaga jiwamu.

Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu! Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah daftar anak bumi yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas kasihan-Nya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dan jiwa di seberang masyriq dan maghrib telah terkongkong di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian, dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam, keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh. Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak erbalas, senangkan jugalah hatimu! Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jauh dari matanya; dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima menyuburkan cinta, walaupun bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah, tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya. Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar tertempuh oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan kita tersendiri.

Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat banyak tak terbilang, kesulitan perjalanan hidup kian minit kian baru.

Merasa senanglah selalu. Merasa tenteramlah.

Senangkanlah hatimu.

Demikianlah bunyi khutbah itu.

Pemimpin itu telah habis berpidato dan khutbahnya telah selesai; orang yang bercerai-berai hendak menuju hidupnya masing-masing. Kiranya, ku lihat beberapa jemaah masih tinggal di sana, berdiri di kaki tugu yang tinggi itu, sedang menangis dan meratap. Padahal orang lain yang lalu dekat mereka sedang tertawa terbahak-bahak.

Tiba-tiba kelihatan terdiri di dekat ku bayang-bayang, dia melihat kepada ku dengan rupa yang hendak bertanya. Dia pun berkata: Saya ini adalah semangat dari pidato yang dikeluarkan pemimpin tadi. Saya datang merupakan diri ke mari hendak melihat bekas ku pada hati manusia yang mendengarkan daku.

Kalau begitu engkau pun tahu apakah sebabnya orang-orang itu menangis! kataku.

Mereka menangis, kerana inilah dinding ratap.

Mengapa mereka meratap, mengapa ini disebut dinding ratap, apakah mereka itu orang Yahudi? Apakah kita sekarang di Jerusalem? tanyaku.

Kemanusiaan pun berdinding ratap pula, sebagai Yahudi mempunyai dinding ratap, tempat dia menangis dan menyatakan sesal, jawabnya.

Mengapa mereka menangis dan meratap sesudah mendengar pidato yang amat bererti dan penuh harapan, pidato yang menyatakan bahagia sejati itu?

Dia menjawab: Sesetengahnya menangis kerana belum pernah mendengar pidato begitu. Setengahnya menangis lantaran telah pernah mendengar tetapi belum mengambil faedah daripadanya. Setengahnya lagi menangis, lantaran telah pernah mendengar, telah pernah pula mengamalkan; sekarang dia meratapi nikmat yang telah hilang daripadanya, kerana dia tak kuasa memegang tugas, sebab kencangnya ombak dan gelombang yang memukulnya dari kenikmatan kepada putus pengharapan. Yang lain pula menangis lantaran melihat orang lain menangis. Demi jika sekirana orang lebih banyak yang tertawa, tentu dia akan turut tertawa pula. Yang lain menangis untuk memperlihatkan kepada umum bahawa dia menaruh perasaan halus. Ada pula yang menangis kerana di dinding yang telah runtuh-runtuh itu dilihatnya cita-cita yang patah; orang itu tukang ratapi barang yang rosak, tukar menyadar pusaka lama dan bekas kuno.

Dan orang-orang yang mempunyai otak sempit, yang tak mau mengaku kalau mereka tak mengerti, dankalau mereka mengerti sekalipun, kerana mereka hanya mencari kalau-kalau ada yang salah dan terngendeng. Orang itu lebih patut dikasihi daripada orang yang menangis itu.

Nun di sana, kataku pula, ada pula saya lihat dua orang tegak berdiri, tidak menangis dan tidak tertawa. Seorang lelaki dan seorang perempuan, keduanya berjalan dengan langkah yang tetap, berbimbing-bimbing tangan, mukanya ditekurkannya, matanya menunjukkan bahawa mereka sedang keras berfikir. Siapa pulakah yang berdua itu? tanyaku.

Diapun melengung kepada kedua bayang-bayang orang itu seraya berkata: Yang berdua itulah bumi yang subur, itulah lilin kesukaan, sebab itu mereka beroleh faedah.

Dengan hati duka nestapa aku berkata: Sayang, begitu indah pidato yang diucapkan, begitu meresap ke dalam jantung, begitu pula orang yang mendengar, cuma... cuma berdua orang yang mengambil faedah.

Mendengar itu timbullah cahaya yang ganjil, cahaya yang datang dari langit tergambar pada wajah bayang-bayang itu, dan dia berkata: Bukan begitu, bahkan inilah pidato yang sangat berfaedah, pidato yang meresap ke hati kedua bayang-bayang tadi. Itulah pusaka mahal untuk segenap masa, pada kedua fikiran itu barang kuno akan diperbaharui. Lantaran cahaya yang daripada pelajaran itu, maka sinarlah keonaran dan kebusukan, timbullah cahaya yang hidup dari matahari falak dan matahari otak. Itulah pidato yang bererti, itulah pidato yang berharga.

Tiba-tiba bayangan itupun pergilah. Pergi menurut awan dari bayang-bayang khayal tadi, dirangkulnya kedua bayangan itu ke dalam dua sayapnya yang lunak dan halus, dibawanya keduanya terbang membumbung tinggi ke angkasa dalam pemeliharaannya dan perlindungannya.
Kepada sahabat-sahabatku, terutamanya yang sedang berduka atau melalui zaman kesusahan, renungkan maksud cerpen ini khasnya pidato yang disampaikan.

Wallahu'alam.

Ahad, 9 Julai 2006

Transplantasi blog

Aku sebenarnya baru tiba di Kuala Lumpur dari Kuching. Aku berada di Bumi Kenyalang kerana memenuhi jemputan memberikan ceramah mengenai transplantasi atau pemindahan organ.

Kali ini, aku tidak berniat untuk memperkatakan tentang perkara ini, kerana blog ini bukan wadah yang sesuai. Sekadar aku ingin perkenalkan rupa baru blog ini dengan latar jingga yang lebih sesuai dengan namanya "Ombak Senja."

Untuk itu, aku ingin rakamkan penghargaan kepada dua insan yang membantu dalam proses menghasilkan rupa baru blog ini. Pertamanya kepada saudari Zetty yang telah mengirimkan gambar yang dijadikan latar blog ini. Dan keduanya kepada saudara Firdaus yang telah menyiapkan kod-kod HTML untuk blog Ombak Senja versi 2.0 ini.

Dan kepada semua, teruslah berkunjung ke Ombak Senja. Sekalipun berombak, panoramanya tetap indah...

Rabu, 28 Jun 2006

Akhirnya...

Pada petang Selasa lepas, aku menemui editor di Utusan Publications and Distributors (UP&D). Alhamdulillah, Allah SWT telah melorongkan kemudahan kepada diriku untuk ke sana sekalipun terpaksa mengejar masa yang amat suntuk kerana tugasan lain yang terpaksa ku lunaskan terlebih dahulu.

Apapun, akhirnya selepas 8 tahun memerapkan manuskrip novelku, "Stigma," aku serahkan manuskrip tersebut kepada editor di UP&D untuk dinilai.

Janjinya apa jua keputusan akan diketahui dalam tempoh 2 bulan, insya-Allah. Aku tidak letakkan harapan yang tinggi menggunung. Tidak banyak yang boleh dilakukan sekarang melainkan menantikan penilaiannya.

Khamis, 22 Jun 2006

Sepetang di Carrefour

Dalam kesibukan hari ini, aku dan isteri pergi ke Carrefour Wangsa Maju lewat petang tadi. Ada beberapa benda yang perlu dibeli dan kami juga mengambil kesempatan untuk makan malam di situ.

Antara tempat wajib yang akan ku singgah setiap kali di Carrefour adalah kedai buku di situ. Dalam membelek-belek buku-buku yang ada, aku terpandang novel-novel di situ. Antaranya ialah ...dan Mimpi pun Bersatu karya sahabatku Izza Aripin. Tersenyum aku sendirian sambil bertanya diri sendiri, bila agaknya novelku akan berada di pasaran.

Aku memegang naskhah novel ...dan Mimpi pun Bersatu tersebut. Inginku beli tapi entah mengapa bila diintai dompetku, tunaiku tak mencukupi. Rasa malas untuk ke mesin ATM. Tapi tak mengapa, memang aku selalu juga ke situ. Aku tintakan di mindaku supaya novel itu akan ku beli bila aku ke sana lagi. Dan aku akan minta Izza Aripin untuk menurunkan autografnya di naskhahku itu.

Aku membeli akhbar Kosmo di kedai buku itu. Aku bukanlah jenis yang suka membaca akhbar tabloid, tapi sebab tunaiku tidak banyak, aku membuat keputusan untuk membeli akhbar yang hanya berharga 80 sen itu. Aku rasa aku membuat keputusan yang tepat kerana di dalam akhbar Kosmo hari ini ada 3 rencana mengenai dilema penulis novel baru.

Aku membaca rencana-rencana itu dan tersenyum seorang diri. Betapa benarnya apa yang tercatat. Namun, itulah cabaran kepada sesiapa yang ingin bergelar novelis.

Rabu, 21 Jun 2006

Komen tentang "Stigma"

Seperti yang kalian semua mungkin sudah maklum, aku telah menyiapkan novel pertamaku pada tahun 1998 lagi. Tapi aku belum terbitkan lagi novel ini yang aku namakan "Stigma." Aku telah serahkan novelku ini untuk dinilai oleh beberapa orang.

Berikut ialah komen daripada saudara Ali Majod yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka mengenai novel ini:

AMARAN: ADA PENDEDAHAN SEDIKIT SEBANYAK TENTANG PLOT CERITA INI DARIPADA ULASAN YANG DIBERIKAN. SEKIRANYA ANDA TIDAK MAHU TAHU PERJALANAN KISAH INI, ELOKLAH BERHENTI DI SINI.

Persoalan:
Persoalan manuskrip ini suatu persoalan yang menarik iaitu keagungan cinta. Ketulusan hati dan kesabaran yang luar biasa tertonjol di dalamnya. Memang betullah, cinta akan mengatasi semua rintangan.
Latar kepada persoalan ini ialah masalah penyakit AIDS. Watak utamanya menghadapi masalah penyakit ini dan dia berkahwin dan beranak.
Inilah persoalan sebenarnya. Setakat mana kemampuan kita mendalami persekitaran penyakit AIDS ini. Penilai sendiri berasa gelap dan tidak dapat menentukannya. Ini kerana pengetahuan penilai sendiri dengan mangsa penyakit ini agak terbatas. Yang penilai tahu apabila mangsa penyakit ini meninggal, pihak hospital yang menguruskan semuanya. Dan mayatnya dibungkus dengan plastik. Apabila dibawa balik terus sahaja dikebumikan. Warisnya dilarang menceritakan apa yang dilihatnya pada mayat itu.
Maka itu manuskrip ini kepada pihak mana yang mahu menerbitkannya. Ini juga satu persoalan lagi.

Struktur penceritaan:
Tiada masalah dalam teknik penceritaan manuskrip ini. Pengarang mengolah persoalannya dengan baik dan menarik. Plotnya berjalan lancar dan agak kompleks sifatnya kerana dibumbui oleh flash back di sana sini.
Konflik dibina dengan baik oleh pengarang. Terasa pengarang orang yang sudah berpengalaman menulis. Ini kerana struktur binaan novel muncul dengan baik sekali.
Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa. Pelukisan perwatakan ini berjaya ditonjolkan oleh pengarang.
Penggunaan bahasanya juga baik. Amat serasi penggunaan bahasa dengan latar dan persoalan. Ada unsur-unsur falsafah lewat penggunaan bahasanya. Maka itu gerak watak dengan latar menjadi sangat jelas dan hidup.

Kesimpulan:
Manuskrip ini bagus dari segi persoalan, iaitu keagungan cinta. Dan teknik penceritaannya juga baik, bersahaja dan organik sifatnya. Ada unsur konflik yang mewarnai jalinan plotnya.

Wallahua'lam.

Aku sengaja kongsikan pandangan saudara Ali Majod yang memberikan ulasannya sekitar tahun 2000 yang lalu. Aku masih simpan lagi ulasannya ini dan apa yang diperturunkan di atas adalah keseluruhan ulasannya tanpa disunting sepatah perkataan pun.

Beberapa perkara yang telah aku lakukan berdasarkan input ulasan ini:
  1. Aku telah hubungi seorang pakar penyakit AIDS di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk memastikan agar fakta di dalam kisah ini tepat (terutamanya yang melibatkan perkahwinan dan pengurusan jenazah).
  2. Semenjak tahun 2000, aku juga telah membuat sedikit penulisan semula kepada kisah ini mengambil kira perkembangan-perkembangan semasa.
Aku telah menghubungi satu syarikat penerbitan yang agak besar juga (bukan DBP) untuk ku hantarkan manuskrip novel ini untuk dinilai. Insya-Allah hari Selasa depan, aku akan bertemu dengan editornya.

Aku cuma berdoa agar manuskrip ini akan diterima untuk diterbitkan.

Selasa, 20 Jun 2006

E-Novel dan dakwah

Pertama sekali terima kasih kepada semua yang sudi mendengar celotehku dan Izza Aripin di Radio IKIM jam 10.30 pagi tadi. Terima kasih juga kepada Ustaz Mahathir yang menjadi pengantara program IKIM.com tadi. Penghargaan juga kepada Izza kerana sudi menjadi reguku di konti Radio IKIM tadi. Jangan serik ya, Izza?

Sengaja kami bawakan topik e-novel ini sekadar untuk mengajak semua yang berkecimpung dalam dunia penulisan Internet ini untuk memikirkan kemungkinan untuk menggunakan wadah ini untuk menyampaikan mesej dakwah. Kisah yang disampaikan tidak perlu bersifat "doktrinasi" atau "memaksa," sebaliknya mesej dakwah itu boleh diselitkan secara halus dan tersirat menerusi penerapan nilai-nilai Islam di dalam kisah yang disampaikan.

Kita tidak perlu melabelkan segala-galanya sebagai Islamik untuk menjadikannya serasi dengan Islam. Sebaliknya pendekatan yang bijaksana dan penuh hikmah dengan menerapkan unsur-unsur ini secara tersirat mampu menjadi satu mesej dakwah yang lebih berkesan berbanding yang disampaikan secara tersurat.

Apapun teknologi perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk berdakwah. Inilah yang aku perjuangkan selama hampir 7 tahun setengah aku di tempat kerja lamaku dengan mengenengahkan idea tentang "tekno-dai." Aku harap mereka yang serasi dengan teknologi mampu menjadi golongan baru pendakwah (dai) yang teknosentrik supaya golongan sasar masa kini dapat didekati. Itulah harapanku.

Jumaat, 16 Jun 2006

Bicara e-novel

Insya-Allah pada hari Selasa 20 Jun 2006 nanti, Izza Aripin dan aku akan ke udara menerusi program IKIM.com yang disiarkan menerusi Radio IKIM.fm untuk membicarakan tentang e-novel.

Frekuensi Radio IKIM.fm boleh didapati di sini.

Khamis, 15 Jun 2006

Suatu permulaan

Imbas kembali tahun 1989. Aku menulis cerpen pertamaku. Tajuknya "Ombak Senja." Sayang sekali, aku tidak dapat menemui cerpenku ini. Entah ke mana perginya, aku pun tak tahu.

Semenjak itu, aku ada menulis satu lagi cerpen. Kalau tak silap, tajuknya "Meniti Kejayaan." Kalau ingatanku masih mantap, cerpen ini ku tulis pada tahun 1990, tetapi sekali lagi aku tak dapat mengesan ke mana perginya cerpen ini.

Bulan Januari tahun 1992, aku merantau menuntut ilmu di bumi Scotland. Pada tahun yang sama, aku mula diperkenalkan dengan karya-karya sastera Inggeris. Kebanyakannya karya-karya fantasi, fiksyen sains dan seram. Aku mula kenal dengan tulisan-tulisan Arthur C. Clarke, Isaac Asimov, J.R.R. Tolkien dan Stephen King.

Pertengahan tahun yang sama, aku mencuba-cuba menulis cerpen dalam Bahasa Inggeris. Aku berjaya siapkan beberapa karya, tapi sayangnya aku tak ingat berapa jumlah sebenarnya. Aku cuma ingat dua karya cerpen Bahasa Inggeris yang aku hasilkan bertajuk "Flora" dan "The Child." Aku minta pensyarah Bahasa Inggeris yang mengajarku untuk menilai cerpen-cerpenku ini. Responsnya positif, cuma dia terperanjat kerana genrenya fantasi dan seram, penuh dengan unsur-unsur ganas. Tapi sekali lagi sayang, aku tidak menyimpan karya-karyaku ini.

Antara tahun 1992 dan 1996, sepanjang aku di Scotland, aku meneruskan minatku dalam bidang penulisan, namun aku tidak lagi menghasilkan karya sastera. Aku lebih banyak menulis komentar-komentar tentang dunia pelajar di UK dan kupasan-kupasan isu semasa. Pada masa itulah, nama pena "Kelana" mula ku gunakan.

Apabila aku kembali ke tanah air, aku terus terjun ke dalam dunia penyelidikan yang memerlukan aku menulis hasil-hasil ilmiah. Malah hari ini, nampaknya aku lebih dikenali sebagai seorang ahli akademik atau pemikir, daripada seorang novelis atau penulis cerpen.

Apapun, minatku kepada sastera tidak pernah padam. Pada tahun 1998, aku telah menyiapkan novel pertamaku bertajuk "Ombak Senja" bersempena cerpen pertamaku, walaupun jalan cerita dan wataknya berbeza sama sekali. Blog ini aku namakan sebagai suatu nostalgia kepada cerpen pertama dan novel pertamaku.

Sayangnya novel pertamaku itu aku pendamkan sekian lama, sehinggalah tahun ini. Barulah aku tergerak untuk menerbitkannya. Aku telah menyemak dan membuat pengubahsuaian sedikit kepada novel ini. Dan aku namakan semula novel ini sebagai "Stigma" yang ku rasakan lebih menepati tema kisah yang ku lakarkan itu.

Aku juga merasakan sudah sampai masanya aku meneruskan penglibatan dalam dunia sastera ini. Buat masa ini, aku sedang mencari penerbit untuk novelku. Aku juga sedang siapkan satu skrip drama bertajuk "Zuriat" untuk satu pertandingan penulisan drama.

Aku juga sedang fikirkan untuk menovelkan kisah "Zuriat" ini, namun ini bukanlah prioriti buat masa ini. Aku juga sedang merangka-rangka jalan cerita untuk kesinambungan kisah "Stigma."

Cukuplah setakat ini coretanku. Aku akan kembali dengan coretan-coretan lain dan juga petikan-petikan ringkas dari hasil penulisanku.

Selamat datang ke blog "Ombak Senja" --- sekalipun berombak, panoramanya tetap indah.