Khamis, 14 Jun 2007

Adaptasi novel

Beberapa hari yang lepas, aku bertemu dengan seorang sahabat yang bekerja di sebuah syarikat yang menerbitkan drama televisyen dan filem cereka. Aku diberitahu oleh sahabatku ini yang sekarang terdapat kekurangan skrip untuk didramakan bagi tujuan tayangan di kaca televisyen. Ini kerana slot yang ada di televisyen begitu banyak tetapi cerita dan skrip yang ada tidak mampu menampung kekosongan yang ada.

Kata-katanya ini membuat aku terfikir tentang drama-drama yang disiarkan. Aku bukanlah penonton setia drama-drama di televisyen. Namun, sesekali sempat jugalah menonton drama. Ada yang memang bagus dari sudut jalan cerita, teknik pengarahan dan kualiti lakonan. Namun, aku rasa banyak yang sekadar melepaskan batuk di tangga kerana gagal meninggalkan kesan kepada penonton. Mungkin sebab itu jugalah aku terasa sedikit liat untuk memacakkan diriku di hadapan peti televisyen untuk menonton drama.

Jangan silap faham. Bukan aku tidak sokong filem atau drama Melayu. Jauh daripada itu. Cumanya, aku dambakan sebuah drama yang berkualiti. Memang ada yang berkualiti tetapi kuantitinya tidak banyak.

Aku berpandangan bahawa banyak hasil penulisan yang telah diterbitkan yang mempunyai kisah-kisah yang menarik yang boleh diadaptasi untuk didramakan atau difilemkan. Daripada kita mengadaptasi telenovela, filem atau novel luar negara, aku rasa lebih baik kita mengambil novel-novel tempatan bagi tujuan ini.

Tapi sayang, tidak banyak penerbit yang mahu melakukan perkara ini. Aku cuma dapat menamakan beberapa filem (itupun daripada tahun 1980-an dan 1990-an semasa zaman remajaku) yang diadaptasi daripada novel. Ranjau Sepanjang Jalan (1983) daripada karya klasik Shahnon Ahmad, Mira Edora (1990) daripada karya Khadijah Hashim dan Black Widow Wajah Ayu (1994) daripada karya Raja Azmi. Kebetulan, Mira Edora adalah novel Melayu pertama yang aku baca semasa zaman remajaku, namun aku sedikit kecewa dengan adaptasi yang dilakukan oleh Zulkiflee M. Osman tersebut. Mungkin ada lagi adaptasi lain yang tidak ku ketahui.

Bagi drama televisyen pula, aku cuma dapat menamakan satu adaptasi - itupun sekali lagi daripada zaman remajaku. Adaptasi yang aku maksudkan ialah Seorang Tua Di Kaki Gunung daripada karya klasik dengan tajuk yang sama oleh Azizi Haji Abdullah.

Mungkin sudah sampai masanya penerbit-penerbit filem dan drama melihat kepada khazanah novel tempatan bagi tujuan adaptasi. Ini pastinya boleh menjadi satu daya penggerak kepada novelis-novelis tempatan untuk lebih bersemangat dalam penghasilan karya. Wallahualam.