Ahad, 14 Disember 2008

Bila orang bukan Islam memberi nasihat

Catatan hari ini tidak ada kena-mengena dengan buku atau novel. Catatan kali ini sekadar komen aku tentang satu berita yang aku baca tentang dunia hiburan. Aku bukan seorang yang gemar mengikuti perkembangan artis. Namun kadangkala, terbaca juga kisah-kisah artis yang mengisi ruangan akhbar. Apa lagi jika akhbar hujung minggu, banyak ruangan diperuntukkan kepada para artis.

Agaknya bila akhbar hendak memperbanyakkan ruangan untuk buku (termasuk novel) ya? Kalau ada sekarang, sekadar ruangan kecil di sudut bawah atau satu halaman seminggu sekali.

Berbalik kepada cerita artis...

Tengah hari tadi aku menghantar kereta isteri untuk ditukar tayar yang sudah botak. Sementara menanti kerja itu disiapkan, aku duduk di sebuah kedai kopi sambil membaca akhbar. Selepas khatam membaca berita-berita terkini yang dimuatkan dalam akhbar tersebut, aku pun membelek-belek sisipan akhbar yang banyak memuatkan berita hiburan.

Kemudian, aku tertarik kepada isu "pergaduhan" antara pelakon Pierre Andre dengan penerbit David Teo. Aku bukannya tertarik kepada punca perbalahan tersebut. Sebaliknya aku tertarik dengan "pesanan" akhir David Teo kepada Pierre Andre.

Cakap pada Pierre, saya mau dia bertaubat dan sembahyang lima kali sehari. Ingatkan Tuhan. Saya pun ingatkan Tuhan sebab itu rezeki saya murah. Saya tak jadi kacang lupakan kulit.
Sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia (2008, 14 Disember: halaman 4)
Aku tersenyum sebaik membaca kata-kata itu. "Orang kita" hari ini sukar sekali mahu mendengar nasihat - baik dari ibu bapa, orang yang lebih tua, jiran tetangga, ketua di tempat kerja dan sebagainya. Lebih malang lagi, "orang kita" juga sukar mendengar nasihat yang disampaikan menerusi khutbah Jumaat setiap minggu yang disampaikan oleh khatib.

Bayangkan reaksi "orang kita" apabila ditegur sekiranya melakukan kesilapan atau membuat kesalahan. Defensif, marah-marah, agresif dan sebagainya. Mungkin itu reaksi yang diberikan jika seorang imam menegur sekumpulan anak muda kerana tidak sembahyang.

Tetapi apa pula reaksi kita apabila seorang bukan Islam menegur dan menasihati seorang yang beragama Islam supaya bertaubat dan mendirikan sembahyang yang wajib?

Tidakkah kita malu apabila orang yang tidak beriman kepada Allah SWT mengingatkan kita yang berikrar bahawa "tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah" supaya kita menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT?

Fikir-fikirkan.