Khamis, 19 Julai 2007

Inilah kisahku [Bahagian 2]

Aku berkelana di UK selama hampir setengah dekad. Aku ke sana untuk menuntut ilmu dan membawa pulang segulung ijazah. Memang sepanjang aku di sekolah sebelum itu, aku sudah selesa dengan subjek-subjek sains. Maka atas sebab itulah aku menyambung pengajian di dalam bidang Kimia. Di sebelah siang pada hari-hari Isnin hingga Jumaat, duniaku di sana berkisar di antara dewan kuliah dan makmal Kimia. Kot makmal berwarna putih dibawa ke mana sahaja aku berada di kampus - maklum sajalah, bakal saintis. Segala macam formula empirik, molekul dan struktur dapat ku tulis dan lukis. Segala bentuk persamaan kimia dan ion mampu ku seimbangkan. Entah berapa banyak teori dan hukum Kimia telah ku cerna di dalam minda.

Itulah kehidupanku di siang hari. Tapi kata orang, hidup ini tidak lengkap andai kata seseorang itu hidup menyendiri tanpa bercampur dengan masyarakat. Aku sebenarnya bukanlah makhluk sosial yang gemar keluar ke sana ke mari. Cumanya, tatkala aku menjejakkan kaki di bumi UK, aku menyedari akan kepentingan untuk membantu sesama penuntut, apa lagi keluarga yang ditinggalkan terlalu jauh nun di nusantara. Zamanku di UK adalah zaman sebelum Internet digunakan secara meluas. Tidak ada kemudahan mel elektronik, pesanan segera atau yang sewaktu dengannya. Telefon bimbit pun ketika itu baru mula digunakan secara meluas walaupun bila difikirkan semula, agak kelakar mengangkut telefon bimbit pada zaman itu yang bersaiz begitu besar sekali.

Justeru, aku (selepas didesak beberapa teman) melibatkan diri dengan kegiatan persatuan dan kebajikan penuntut Malaysia di sana. Asalnya aku hanya membantu teman seperjuangan. Sudahnya aku menjadi begitu aktif dan agak sinonim dengan pergerakan pelajar di tempatku. Satu daripada aktiviti persatuan adalah menerbitkan majalah. Majalah yang mula terbit pada tahun 1994 itu diberi nama Sawo Matang. Aku menjadi seorang daripada Sidang Redaksi, dan kekal demikian sehingga aku pulang ke tanah air pada tahun 1996.

Pada waktu inilah, aku giat menulis. Aku banyak mengulas dan mencoret tentang isu-isu yang dihadapi oleh penuntut di perantauan. Daripada kisah sambutan hari raya ke masalah pergaulan bebas ke isu kahwin muda ke persoalan kualiti kepimpinan pelajar, semuanya aku tulis. Ya, aku tahu ada yang terguris dengan tulisan-tulisanku. Aku begitu idealis ketika itu, berpegang teguh kepada prinsip yang kadangkala dianggap tidak realisitik. Entahlah, tapi bagiku, aku menulis dengan niat yang ikhlas untuk sama-sama bermuhasabah, mengambil iktibar, berhijrah dan memperbaiki diri. Aku diberikan ruangan tetap di dalam Sawo Matang dan ketika inilah aku mula menggunakan nama pena "Kelana." Bila aku renungkan kembali, inilah ketikanya aku mengetahui yang mata pena lebih tajam daripada mata pedang.

Tanpa ku sedari sebenarnya, minat terhadap penulisan sedikit demi sedikit mula sebati di dalam jiwaku. Dan dalam diam, minat ini telah merobah cita-cita hidupku tatkala sang Kelana kembali ke tanah air.

[Bersambung...]

Ahad, 15 Julai 2007

Ulang tahun kedua Kaki Novel Enterprise

Hari ini bertempat di Anjung Rahmat, Gombak telah berlangsung majlis menyambut ulang tahun kedua Kaki Novel Enterprise iaitu sebuah syarikat penerbitan novel kreatif. Aku ke sana setelah mendapat jemputan daripada Izza Aripin yang telah menghasilkan karya ...Dan Mimpi pun Bersatu dan Kerana Dia Cinta dengan penerbit ini.

Alhamdulillah, dalam majlis ini dapat juga aku bersua muka dengan beberapa orang novelis yang bernaung di bawah payung Kaki Novel Enterprise. Ada di antaranya aku cuma biasa berbicara secara maya menerusi blog seperti Dina Najat, Izzul Izzati dan Eita Ashyta. Ada juga yang pertama kali aku bersua muka seperti Anita Abdullah dan Puteri Andalas.

Di dalam majlis ini juga telah diadakan pelancaran novel terbaru Kaki Novel Enterprise iaitu Ku Seru Kasihmu karya Izzul Izzati. Tahniah buat Izzul Izzati kerana kelahiran novel kedua beliau, dan syabas buat Kaki Novel Enterprise kerana terus giat menerbitkan novel-novel kreatif dan memberi ruang kepada penulis-penulis berbakat besar.