Rabu, 20 Ogos 2008

Kebijakan Melayu

Lagi mengenai syarahan Pak Tenas Effendy yang aku hadiri minggu lalu. Pak Tenas menggunakan istilah "kebijakan Melayu" untuk merujuk kepada hikmah kebijaksanaan orang-orang Melayu dahulu di dalam berkomunikasi. Komunikasi ini kaya dengan falsafah yang tersirat yang difahami oleh generasi tersebut. Sayangnya, "kebijakan" itu telah hilang daripada generasi kita hari ini.

Satu contoh mudah. Mengikut budaya Melayu-Islam, kita wajib meraikan tetamu. Apabila tetamu datang bertandang, kita wajib menghidangkan apa jua yang ada di rumah untuk tetamu tersebut. Ada ketikanya, kita tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Si tuan rumah akan bertanya, "Sudah makan?" Si tetamu, apabila mendengar soalan yang dimulakan dengan perkataan "sudah" itu, seharusnya memahami bahawa si tuan rumah tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Jadi, jawapan yang perlu diberikan ialah, "Sudah."

Satu lagi contoh. Katakan di rumah hanya tinggal si isteri. Si suami tiada di rumah. Tetapi tiba-tiba datang seorang lelaki yang merupakan sahabat kepada si suami yang keluar tadi. Adab Melayu menuntut supaya tetamu dijemput naik, tetapi tidaklah manis jika yang ada di rumah hanya si isteri. Jadi si isteri akan bertanya kepada tetamu tersebut, "Tak singgah dulu?" Dan si tetamu yang datang itu seharusnya faham, apabila jemputan itu dimulakan dengan perkataan "tak," maka ini bermakna tiada orang lelaki di rumah itu. Dan jawapan yang perlu diberikannya juga ialah, "Tak."

Andai kata di rumah kita ada makanan untuk dihidangkan, kita akan menjemput tetamu makan dengan berkata, "Jemput makan." Dan andai kata di rumah ada si suami, maka si isteri akan menjemput tetamu masuk ke rumah dengan berkata, "Silalah masuk."

Begitu kaya sekali kesantunan Melayu yang sarat dengan falsafah. Aku berharap generasi hari ini dapat memahami dan menghayati keindahan yang sudah mula hilang dan terhakis ini. Aku bimbang jika generasi hari ini melupakan kesantunan Melayu ini, maka "kebijakan Melayu" yang disebut oleh Pak Tenas akan turut lenyap ditelan zaman.