Rabu, 24 Disember 2008

Aktiviti di malam hari

Malam ialah sahabatku yang akrab. Ini kerana malam menjadi waktu aku menulis. Semasa orang lain dibuai mimpi enak, aku mengetuk kekunci di komputerku, cuba menterjemahkan cerita daripada fikiran ke atas skrin komputer.

Buat masa ini ada beberapa perkara yang aku sedang tulis, baik yang bersifat akademik mahupun kreatif. Ada dua projek penulisan kreatif yang sedang aku usahakan serentak iaitu sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba dan sebuah lagi novel fiksyen sains bertajuk "Koloni n4n0".

Kebelakangan ini hampir setiap malam aku tidur antara pukul 3 hingga 4 pagi, sebelum bangun semula lebih kurang pukul 6.30 pagi. Semalam misalnya, aku menulis semula dua bab pertama "Transgenesis 2" kerana kurang puas hati dengan apa yang ditulis. Malam sebelumnya, aku menulis bab berikutnya bagi kisah "Koloni n4n0".

Memang meletihkan, tetapi aku sudah berjanji untuk menyiapkan kedua-dua manuskrip ini dalam tempoh terdekat. Janji mesti ditepati. Dan di situ ada kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Doakan aku diberi kekuatan dan kesihatan.

Selasa, 23 Disember 2008

Promosi novel sahabat: Virus L

Sudah terbit.

Novel sulung Suri Mawarne - Virus L.

Dapatkan di kedai buku berhampiran.

Sinopsis:

Gadis dengan nama siber ‘Fly113’ memprogram ‘Virus L’ untuk menyerang sistem komputer di Majlis Bandaraya Kota Kundang (MBKK). Serangan kecil-kecilan itu menyebabkan operasi MBKK sedikit terganggu.

Asyraff, seorang pengaturcara komputer yang mahir, dan ketua syarikat A2K Sdn. Bhd., berjaya menghapuskan Virus L itu. Operasi MBKK pulih seperti sediakala.

Bagaimanapun, seorang penggodam dengan nama siber ‘Merah’ telah memprogram Virus L versi kedua yang lebih ganas. Virus itu disebarkan ke sistem komputer di jabatan-jabatan kerajaan seluruh negara. Ia menyebabkan operasi harian negara lumpuh dan keadaan kacau bilau.

Asyraff yang ditugaskan pihak kerajaan, dan Fly113 yang bertindak atas sebab-sebab peribadi, berusaha sedaya upaya untuk menghapuskan Virus L dan mengesan Merah. Berjayakah misi mereka?