Selasa, 1 Julai 2008

Penilaian separuh tahun

Sebenarnya banyak yang telah berlaku pada separuh pertama 2008 ini. Pada awal tahun tempoh hari, aku telah menggariskan tujuh sasaran untuk aku capai. Berikut adalah penilaian separuh tahun untuk sasaran-sasaran tersebut:

1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan:
Alhamdulillah, novel kedua hasil tangan diriku bertajuk Transgenesis: Bisikan Rimba ini telah terbit dan kini berada di rak-rak di kedai buku. Dapatkan naskhah peribadi anda sekarang!

2. Menyiapkan nopen-nopen "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974": Terdapat beberapa perubahan kepada rancangan asal.

  • Perubahan pertama: Kini, aku dan Hani Ismail (bukan Izza Aripin) telah bersetuju untuk menggabungkan nopen-nopen ini menjadi sebuah novel fiksyen sains/fantasi. Tajuk tentatif yang aku gunakan (belum ada kata putus lagi sebenarnya) ialah "Artifak." Proses penulisan dan penulisan semula sedang berjalan.
  • Perubahan kedua: Nopen "Koloni 1974" tidak akan menjadi sebahagian daripada novel "Artifak." Sebaliknya, seperti yang telah aku nyatakan di dalam catatan sebelum ini, nopen ini akan ditukar tajuk untuk "dinaik taraf" menjadi sebuah novel yang akan dihantar bagi menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuk baru bagi "Koloni 1974" ialah "Koloni N4n0."
3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart":
Proses penulisan sedang berjalan. Proses penggambaran untuk memoir telah selesai.

4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (tajuk masih rahsia):
Aku terpaksa menangguhkan dahulu pelaksanaan perkara ini memandangkan perkara-perkara lain yang timbul. Insya-Allah aku sasarkan penulisan skrip ini untuk tahun 2009.

5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan:
Aku baru sahaja mendapatkan hak untuk menerbitkan skrip ini daripada IKIM yang memegang hak tersebut sebelum ini. Aku sedang berbincang dengan beberapa penerbit yang mungkin berminat untuk menerbitkan drama ini.

6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis": Sekarang di dalam peringkat merangka jalan cerita. Aku telah berbincang dengan editor, saudara Mat Jan, yang mencadangkan agar kesinambungan kisah ini diterbitkan pada tahun hadapan.

7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja": Juga di peringkat merangka jalan cerita. Aku bercadang untuk menerbitkan novel ini untuk tahun 2009.

Beberapa sasaran baru telah aku tambah semenjak tahun 2008 bermula. Jadi berikut adalah sasaran-sasaran baru (termasuk perkembangan sasaran lama) bagi separuh kedua tahun 2008:
  1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan (status: selesai)
  2. Menyiapkan novel "Artifak" (status: sedang berjalan)
  3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart" (status: sedang berjalan)
  4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (status: tunda ke 2009)
  5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan (status: sedang mencari penerbit)
  6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis" (status: sedang berjalan)
  7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja"(status: sedang berjalan)
  8. Menyiapkan novel "Koloni n4n0" untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (status: akan dimulakan)
  9. Menyiapkan sebuah novel yang masih dirahsiakan tajuknya untuk Hadiah Sako (status: akan dimulakan)
Aku hanya berdoa aku punya kelapangan, kekuatan dan kesihatan untuk menyelesaikan semua ini.