Memaparkan catatan dengan label jerayawara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jerayawara. Papar semua catatan

Selasa, 9 Jun 2009

Pembaca bukan Melayu

Persepsi popular ialah novel-novel yang ditulis dalam bahasa Melayu hanya dibaca oleh pembaca Melayu.

Namun, foto di atas semasa berlangsung program bertemu penulis di Gerai PTS semasa Read Malaysia 2009 membuktikan bahawa persepsi seperti ini tidak semestinya menggambarkan realiti.

Jumaat, 5 Jun 2009

Gamat dengan penulis saifai


Yang rendah dan yang tinggi: 
Aku dan saudara Mat Jan

Semalam seperti yang dijadualkan, aku berada di gerai PTS Publications and Distributors Sdn Bhd bersempena Read Malaysia 2009 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines. Bersama-sama memeriahkan sesi bertemu penulis ini ialah saudara Mat Jan selaku pengerusi majlis, saudara Firdaus Ariff, saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar.
Saudara Mat Jan mempengerusikan acara dengan gaya tersendiri. Kiri sekali saudara Firdaus dan di tengah ialah saudara Bahruddin yang memerhati dengan penuh khusyuk.

Acara yang bermula jam 2.30 petang itu agak gamat dengan telatah-telatah lucu saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar. Juga penampilan istimewa watak Dark Flora dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba

Sebenarnya, kami menantikan kemunculan Flora tetapi entah macam mana, tudung Flora telah disabotaj (oleh Dark Flora agaknya) menyebabkan Flora tidak dapat muncul. Sebaliknya, Dark Flora yang datang beramah-mesra dengan pengunjung gerai PTS. Agak kaget juga menyaksikan Dark Flora yang dikenali dengan kemarahan dan dendam kesumatnya melemparkan senyuman dan beraksi di hadapan kamera pada petang semalam.
Dark Flora (selepas mensabotaj Flora) yang sempat bergambar dengan pengunjung gerai PTS. 

Apa pun, yang penting majlis berjalan lancar dengan penuh kemeriahan, keceriaan dan kelucuan. Terima kasih kepada PTS (khususnya saudara Nazri dan saudara Mat Jan) yang memberi peluang kepada aku untuk turut serta dalam acara semalam.

Selasa, 2 Jun 2009

Muncul di Read Malaysia 2009

Maaf kerana lama menyepi.Bagaimanapun, aku ingin memaklumkan yang aku bakal bersama dengan saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila dan Saga Empayar Kristal: Armada Azur) dan saudara Bahruddin Bekre (Adi Gempa: Evolusi) di Read Malaysia 2009 bertempat di gerai PTS, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines pada hari Khamis ini (4 Jun 2009) antara jam 2.30 hingga 3.30 petang.

Kepada peminat-peminat novel fiksyen sains dan fantasi tempatan, jangan lepaskan peluang ini.

Dan, sebagai bonus, ada "seseorang" bakal membuat penampilan istimewa pada waktu tersebut. Kalau ada sesiapa yang ingin bergambar dengan "seseorang" itu, inilah masanya!

Siapakah dia? Mungkin foto di bawah mampu memberi sedikit petunjuk.

Khamis, 5 Mac 2009

Program "Mata Pena"

Insya-Allah pagi esok aku berada di Radio IKIM.fm bagi membuat rakaman program "Mata Pena". Program ini membicarakan mengenai novel-novel kreatif dan diterbitkan oleh Puan Fairuz Haji Noordin.
Aku difahamkan novel Ombak Senja dipilih sebagai novel pertama yang dibicarakan menerusi program ini. Insya-Allah program ini bakal ke udara menerusi IKIM.fm pada hari Isnin, 16 Mac 2009 pada pukul 9.15 malam.

Bagi mendapatkan frekuensi radio ini, klik di sini.

Rabu, 3 Disember 2008

Meriah di MPH Mid Valley

Memang meriah suasana semasa program bersama penulis fiksyen sains PTS Publications and Distributors Sdn Bhd di MPH Mid Valley pada hari Ahad lalu. Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah kepada pemenang.

Foto di atas merakamkan gambar penulis-penulis fiksyen sains bersama pemenang-pemenang. Turut memeriahkan suasana ialah saudara Fauzul Na'im Ishak, Pengurus Besar PTS (kanan sekali). Foto dari blog Studio Inspirasi.

Selasa, 25 November 2008

Ahad ini kecoh di MPH Mid Valley

Kata orang, sekeping gambar nilainya sama dengan 1,000 perkataan. Jadi, poster di bawah mungkin memberi sedikit gambaran bagi program di MPH Mid Valley pada hari Ahad nanti.

Isnin, 24 November 2008

Tim Saifai PTS

Lama sungguh aku tidak mencoret cerita baru di sini. Bukannya tidak ada perkembangan baru, tetapi kesibukan membataskan masa aku di hadapan komputer.

Baru-baru ini tanggal 11 November yang lalu, telah diadakan pertemuan penulis-penulis fiksyen sains dan fantasi yang bernaung di bawah PTS Publications & Distributors Sdn Bhd bertempat di Setiawangsa Business Suites, Kuala Lumpur. Pertemuan yang diatur dan diusahakan oleh saudara Roslan Isa dari PTS ini sebenarnya bertujuan untuk mengadakan sesi penggambaran yang bakal digunakan sebagai promosi dan publisiti produk-produk fiksyen sains dan fantasi.

Daripada tujuh orang penulis genre ini setakat ini, lima penulis telah dapat menghadirkan diri iaitu saudara Nazri M. Annuar (Opera Angkasa), saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila), Puan Kusyi Hirdan (Urana Exham), saudari Suri Mawarne (Virus L) dan aku sendiri (Transgenesis: Bisikan Rimba). Tidak hadir dengan maaf ialah saudara Zaki Zainol (Takluk Jagat: Bisikan Ariasha dan Takluk Jagat: Amukan Indera Pura) dan saudara Azrul Jaini (Galaksi Muhsinin).

Walau apa pun, pertemuan ini bermakna kerana akhirnya dapat bersua muka dengan penulis-penulis genre fiksyen sains dan fantasi yang lain. Moga silaturrahim yang terbina dapat terus diperkukuhkan pada masa-masa akan datang.

Lagi berita dan gambar tentang Tim Saifai PTS di sini dan di sini.

Sabtu, 8 November 2008

Pertandingan Ilustrasi Watak Fiksyen Sains dan Fantasi PTS

Klik poster untuk maklumat lanjut.
Terbuka untuk semua pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Selasa, 26 Ogos 2008

Catatan Pesta Buku Malaysia

Ini cerita lama sebenarnya. Pada 2 Ogos 2008 yang lalu, aku bersama-sama rakan-rakan penulis yang lain iaitu Hani Ismail, Kusyi Hirdan dan Ashadi Zain berada di dalam satu sesi bertemu penulis dan autograf di gerai PTS sempena Pesta Buku Malaysia.

Gerai PTS sayangnya terletak di hujung. Walaupun terletak di hadapan pentas utama, gerai ini juga terletak di sebelah gerai Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Dan banyak aktiviti untuk kanak-kanak diadakan di gerai PNM ini menyebabkan laluan ke gerai PTS ini terhalang sewaktu kami berada di sana. Jadi tak ramailah pengunjung yang melepasi "tol kanak-kanak" ini untuk ke gerai PTS.Walau bagaimanapun, pengalaman bersama rakan-rakan penulis ini amat aku hargai. Itu kali pertama aku bertemu Ashadi Zain, dan kali kedua aku bertemu Kusyi Hirdan. Hani Ismail entah sudah berapa ratus kali aku berjumpa, hehehe. Tidak ketinggalan, wira sastera jantan PTS iaitu saudara Mat Jan juga berada di situ.

Khamis, 31 Julai 2008

Catatan Pesta Buku Selangor

Beberapa pengunjung ke sini dan juga ahli forum di Cari Forum bertanyakan tentang hal ini. Bagaimana sambutan di Pesta Buku Selangor tempoh hari?

Sahabat novelis, Izza Aripin, yang berkunjung ke Pesta Buku Selangor pada hari Jumaat lepas memberitahu yang tidak ramai pengunjung ke situ. [Catatan Izza boleh dibaca di sini]. Aku katakan mungkin sebab hari bekerja. Lazimnya orang lebih ramai pergi pada hujung minggu. Dan seperti yang aku uar-uarkan, aku terlibat dengan sesi autograf di situ pada hari Sabtu yang lalu, di antara jam 1 hingga 2 petang.

Disebabkan harga minyak yang sudah naik (ditambah dengan lokasi pejabatku yang hanya tiga minit perjalanan kaki), aku telah pun menjual keretaku. Jadi pada hari Sabtu itu, terpaksalah aku menggunakan pengangkutan awam untuk ke Shah Alam dari Setiawangsa. Dari teratak kediamanku, aku menapak selama 15 minit untuk ke Stesen LRT Setiawangsa. Dari situ, aku menaiki LRT Aliran Kelana Jaya dan turun di Stesen KL Sentral. Di stesen tersebut, aku naik pula KTM Komuter dan turun di Stesen Batu Tiga. Dari situ, seorang sahabat lama menunggu untuk menjemputku.

Sebelum aku berceloteh tentang Pesta Buku Selangor, aku suka nyatakan di sini yang pengalaman menaiki pengangkutan awam ialah satu pengalaman yang menarik. Sudah begitu lama aku tidak menggunakan pengangkutan awam, dan apabila sesekali menggunakan pengangkutan ini, pasti banyak perkara yang dapat aku perhatikan - dari gelagat manusia hinggalah keadaan pengangkutan awam itu sendiri. Walaupun aku menghabiskan hampir satu jam setengah di atas pengangkutan awam untuk ke Shah Alam, aku tetap gembira kerana banyak "ilham baru" yang aku perolehi daripada pengalaman ini.

Aku tiba di Kompleks PKNS iaitu lokasi Pesta Buku Selangor sekitar jam 12.30 tengah hari. Perkara pertama yang aku perasan ialah, seperti kata Izza Aripin, tidak ramai pengunjung yang berada di situ. Dari satu sudut, aku terasa lega kerana ini membolehkan aku meninjau-ninjau gerai yang ada dengan lebih mudah tanpa perlu berhimpit-himpit (sempat juga membeli beberapa buku dan CD). Namun dari satu sudut lain, aku terasa sedikit ralat kerana seolah-olah pesta buku tersebut seperti tidak mendapat sambutan. Ini sekadar persepsi peribadi yang mungkin tidak dipersetujui oleh orang lain.

Kemudian, seperti yang dijanjikan kepada penerbit, aku berada di gerai untuk sesi autograf. Aku tidak keseorangan pada sesi itu. Bersamaku ialah novelis yang telah memenangi beberapa anugerah iaitu Aminah Mokhtar. Dan dari kerusi tempat aku duduk, sekali lagi aku lihat tidak ramai orang yang berada di lokasi pameran. Jika ada pun orang yang mundar-mandir, rasanya mereka lebih tertumpu untuk membeli-belah di kompleks tersebut.

Aku ada bersembang (untuk menghilangkan kebosanan) dengan Cik Norashikin Wahid, Editor PTS Fortuna. Dari sembang-sembang kami, kesimpulan yang boleh dibuat ialah lokasi pesta buku tidak begitu sesuai. Apabila diadakan pesta buku di ruang legar pusat membeli-belah, orang yang datang tidak semestinya datang untuk meninjau-ninjau gerai buku. Mungkin (daripada pengamatan peribadi) daripada 10 orang yang lalu, hanya tiga orang yang singgah. Yang membeli buku tentulah jauh lebih kecil bilangannya daripada yang membelek buku. Mungkin penganjur mengambil kesempatan menggunakan ruang legar dengan tujuan untuk menarik lebih ramai orang. Tetapi setakat hari kedua Pesta Buku Selangor diadakan, aku lihat jika itulah tujuannya, aku rasa ia tidak memberikan kesan yang diharapkan. Atau mungkin juga seperti yang dikatakan sesetengah orang bahawa kenaikan harga minyak memberi kesan kepada penjualan buku. Wallahu'alam. Aku cuma berharap agar sambutan yang lebih baik diberikan kepada Pesta Buku Selangor pada hari-hari berikutnya.

Walau bagaimanapun, 15 minit terakhir sesi autograf itu bagiku lebih menarik. Kami dikejutkan dengan kemunculan Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang meluangkan masa hampir 30 minit di gerai PTS tersebut. Aku dan Aminah Mokhtar mengambil kesempatan ini untuk menghadiahkan hasil tulisan kami iaitu Transgenesis: Bisikan Rimba dan Seteguh Fikrah Salehah kepada beliau. Dan tentunya kesempatan bergambar tidak dilepaskan.

Aku juga dapat bersemuka untuk pertama kalinya dengan pengulas novel di ruang siber iaitu Kak Wan Amalyn dan penulis siri Takluk Jagat iaitu Zaki Zainol atau lebih dikenali di ruang siber sebagai Kangaq. Pertemuan kali pertama ini sesuatu yang istimewa kerana kini aku sudah meletakkan "wajah" kepada nama kenalan di ruang siber.

Walau apa sekalipun, pengalaman pertama menyertai aktiviti seperti ini di Pesta Buku Selangor merupakan satu pengalaman yang istimewa.

Jumaat, 25 Julai 2008

Pesta Buku Selangor

Pesta Buku Selangor bermula hari ini hingga 3 Ogos.

Aku akan berada di Pesta Buku Selangor esok (26 Julai) dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang di gerai PTS.

Jangan lupa berkunjung ke Pesta Buku Selangor, dan bagi yang belum mendapatkan naskhah Transgenesis: Bisikan Rimba, bolehlah berbuat demikian di gerai PTS.

Datang, jangan tak datang.

Khamis, 24 Julai 2008

Temui Amir Husaini

Sejak aku menjadi novelis lebih setahun yang lalu, aku kira ini kali pertama aku akan "turun ke padang" untuk mempromosikan novel. Penerbit Transgenesis: Bisikan Rimba iaitu PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, telah mengaturkan empat sesi autograf novel Transgenesis: Bisikan Rimba pada tarikh-tarikh dan di lokasi-lokasi berikut:

  • Sabtu, 26 Julai 2008: Gerai PTS (Kawasan C gerai 1-8), Pesta Buku Selangor, Tingkat Bawah, Kompleks PKNS, Shah Alam (1 tengah hari - 2 petang) [Klik sini untuk lokasi gerai]
  • Sabtu, 2 Ogos 2008: Gerai PTS (3147-3149), Dewan Tun Razak 3, Pesta Buku Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur (12 - 1 tengah hari) [Klik sini untuk lokasi gerai]
  • Ahad, 3 Ogos 2008: MPH Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur (2 petang - 3 petang)
  • Sabtu, 30 Ogos 2008: MPH Subang Parade, Subang Jaya (3.30 petang - 4.30 petang)
Jadi, serbulah lokasi-lokasi di atas pada tarikh dan masa yang tertera untuk bertemu dengan penulis bernama Amir Husaini (dan lebih penting lagi, untuk mendapatkan naskhah Transgenesis: Bisikan Rimba anda).

Sekiranya ada perubahan pada tarikh, masa dan lokasi, akan dimaklumkan di ruangan ini (atau lihat sahaja di tepi blog ini untuk maklumat berkaitan sesi bertemu penulis ini).