Jumaat, 5 Jun 2009

Gamat dengan penulis saifai


Yang rendah dan yang tinggi: 
Aku dan saudara Mat Jan

Semalam seperti yang dijadualkan, aku berada di gerai PTS Publications and Distributors Sdn Bhd bersempena Read Malaysia 2009 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines. Bersama-sama memeriahkan sesi bertemu penulis ini ialah saudara Mat Jan selaku pengerusi majlis, saudara Firdaus Ariff, saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar.
Saudara Mat Jan mempengerusikan acara dengan gaya tersendiri. Kiri sekali saudara Firdaus dan di tengah ialah saudara Bahruddin yang memerhati dengan penuh khusyuk.

Acara yang bermula jam 2.30 petang itu agak gamat dengan telatah-telatah lucu saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar. Juga penampilan istimewa watak Dark Flora dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba

Sebenarnya, kami menantikan kemunculan Flora tetapi entah macam mana, tudung Flora telah disabotaj (oleh Dark Flora agaknya) menyebabkan Flora tidak dapat muncul. Sebaliknya, Dark Flora yang datang beramah-mesra dengan pengunjung gerai PTS. Agak kaget juga menyaksikan Dark Flora yang dikenali dengan kemarahan dan dendam kesumatnya melemparkan senyuman dan beraksi di hadapan kamera pada petang semalam.
Dark Flora (selepas mensabotaj Flora) yang sempat bergambar dengan pengunjung gerai PTS. 

Apa pun, yang penting majlis berjalan lancar dengan penuh kemeriahan, keceriaan dan kelucuan. Terima kasih kepada PTS (khususnya saudara Nazri dan saudara Mat Jan) yang memberi peluang kepada aku untuk turut serta dalam acara semalam.

Selasa, 2 Jun 2009

Muncul di Read Malaysia 2009

Maaf kerana lama menyepi.Bagaimanapun, aku ingin memaklumkan yang aku bakal bersama dengan saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila dan Saga Empayar Kristal: Armada Azur) dan saudara Bahruddin Bekre (Adi Gempa: Evolusi) di Read Malaysia 2009 bertempat di gerai PTS, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines pada hari Khamis ini (4 Jun 2009) antara jam 2.30 hingga 3.30 petang.

Kepada peminat-peminat novel fiksyen sains dan fantasi tempatan, jangan lepaskan peluang ini.

Dan, sebagai bonus, ada "seseorang" bakal membuat penampilan istimewa pada waktu tersebut. Kalau ada sesiapa yang ingin bergambar dengan "seseorang" itu, inilah masanya!

Siapakah dia? Mungkin foto di bawah mampu memberi sedikit petunjuk.