Selasa, 25 November 2008

Ahad ini kecoh di MPH Mid Valley

Kata orang, sekeping gambar nilainya sama dengan 1,000 perkataan. Jadi, poster di bawah mungkin memberi sedikit gambaran bagi program di MPH Mid Valley pada hari Ahad nanti.

Isnin, 24 November 2008

Tim Saifai PTS

Lama sungguh aku tidak mencoret cerita baru di sini. Bukannya tidak ada perkembangan baru, tetapi kesibukan membataskan masa aku di hadapan komputer.

Baru-baru ini tanggal 11 November yang lalu, telah diadakan pertemuan penulis-penulis fiksyen sains dan fantasi yang bernaung di bawah PTS Publications & Distributors Sdn Bhd bertempat di Setiawangsa Business Suites, Kuala Lumpur. Pertemuan yang diatur dan diusahakan oleh saudara Roslan Isa dari PTS ini sebenarnya bertujuan untuk mengadakan sesi penggambaran yang bakal digunakan sebagai promosi dan publisiti produk-produk fiksyen sains dan fantasi.

Daripada tujuh orang penulis genre ini setakat ini, lima penulis telah dapat menghadirkan diri iaitu saudara Nazri M. Annuar (Opera Angkasa), saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila), Puan Kusyi Hirdan (Urana Exham), saudari Suri Mawarne (Virus L) dan aku sendiri (Transgenesis: Bisikan Rimba). Tidak hadir dengan maaf ialah saudara Zaki Zainol (Takluk Jagat: Bisikan Ariasha dan Takluk Jagat: Amukan Indera Pura) dan saudara Azrul Jaini (Galaksi Muhsinin).

Walau apa pun, pertemuan ini bermakna kerana akhirnya dapat bersua muka dengan penulis-penulis genre fiksyen sains dan fantasi yang lain. Moga silaturrahim yang terbina dapat terus diperkukuhkan pada masa-masa akan datang.

Lagi berita dan gambar tentang Tim Saifai PTS di sini dan di sini.

Durian runtuh

Alhamdulillah.

Kalimah tahmid sahaja yang mampu aku ucapkan apabila menerima khabar gembira dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Di bawah Dana Penulis, PNM telah membeli secara terus daripada penulis naskhah judul yang ditulis untuk dibekalkan ke perpustakaan-perpustakaan desa seluruh negara. Aku merupakan salah seorang penulis yang bernasib baik apabila Transgenesis: Bisikan Rimba menjadi satu daripada tajuk yang terpilih. Pihak PNM membeli 1,041 naskhah judul ini. [Maklumat lanjut boleh dibaca di sini].

Susulan daripada perkembangan ini, aku juga telah dimaklumkan bahawa PTS Publications & Distributors Sdn Bhd sedang mengulang cetak Transgenesis: Bisikan Rimba. Ini bermakna dalam tempoh setengah tahun, Transgenesis: Bisikan Rimba telah memasuki cetakan kedua. Bagiku, ini merupakan satu perkembangan yang cukup memberangsangkan dan memberikan dorongan yang lebih untuk aku terus berkarya.

Syukur alhamdulillah!