Khamis, 2 Julai 2009
Sastera jantan
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
22:46
1 maklum balas
Label komentar, Transgenesis
Selasa, 9 Jun 2009
Pembaca bukan Melayu
Persepsi popular ialah novel-novel yang ditulis dalam bahasa Melayu hanya dibaca oleh pembaca Melayu.
Namun, foto di atas semasa berlangsung program bertemu penulis di Gerai PTS semasa Read Malaysia 2009 membuktikan bahawa persepsi seperti ini tidak semestinya menggambarkan realiti.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
18:08
4
maklum balas
Label jerayawara, komentar, Transgenesis
Selasa, 3 Mac 2009
Media, artis dan ilmuwan
Buku Sekilas Pandang Ismail Haji Ibrahim sering mengundang senyum apabila aku membaca isinya. Banyak perkara yang ditulis oleh Profesor Dato' Dr Ismail Haji Ibrahim menyentuh hal-hal yang sering diperkatakan ramai. Beliau menggunakan bahasa yang mudah tetapi penuh makna dan tajam maksudnya.
Sewaktu membicarakan mengenai media elektronik yang lebih kerap menonjolkan golongan artis, beliau menulis:
Peratusan program pendidikan dan maklumat amat kecil. Jika ada pun, program pendidikan dan maklumat ini sering disiarkan ketika orang sibuk bekerja, orang bersembahyang di masjid ataupun ketika semua orang sudah masuk tidur. Masa yang dikenali sebagai masa utama itu hanya diisi dengan program hiburan.Bila difikir-fikir kembali, memang benar masa utama di televisyen dan radio lebih ditumpukan kepada hiburan. Banyak penaja berebut-rebut mahu membeli ruang udara ketika waktu utama kerana jumlah penonton dan pendengar yang tinggi pada waktu tersebut. Jika waktu utama diisi dengan program-program pendidikan atau maklumat, barangkali tidak ada yang mahu menonton ataupun mendengar.[Halaman 144]
Kalau ada pun program-program sedemikian rupa, ia dipakejkan dengan penuh glamor. Adakalanya keglamoran penyampai program menenggelamkan isi kandungan program itu.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
15:58
0
maklum balas
Label komentar, Sekilas Pandang
Isnin, 12 Januari 2009
Prioriti
Entah, kadang-kadang aku sendiri tidak memahami manusia. Di mana diletaknya prioriti dalam menangani sesuatu perkara? Apakah prioriti seseorang bergantung kepada kepentingan dirinya sendiri? Ya, mungkin. Aku tidak menafikan perkara ini.
Seorang politikus mungkin lebih berminat mengikuti perkembangan di sini.
Seorang pejuang bahasa mungkin lebih berminat menyertai ini.
Seorang Muslim yang prihatin mungkin lebih berminat ke arah ini.
Jika ketiga-tiga berjalan serentak, yang mana satu pilihan yang didahulukan?
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
12:49
0
maklum balas
Label komentar
Isnin, 5 Januari 2009
Tidak gembira
Hari ini hari kelima tahun 2009. Tetapi aku tidak gembira.
Tidak gembira kerana Palestin terus dibedil dan ditekan dek Israel.
Tidak gembira kerana umat Islam tidak terdaya berbuat apa-apa.
Tidak gembira kerana ada di kalangan kita yang tidak peduli tentang apa yang berlaku.
Bagi tahun ini, aku berdoa (dan terus berdoa) semoga Allah SWT membuka pintu kemenangan dan keamanan buat rakyat Palestin yang sudah terlalu lama tertindas.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
09:17
0
maklum balas
Label komentar
Ahad, 14 Disember 2008
Bila orang bukan Islam memberi nasihat
Catatan hari ini tidak ada kena-mengena dengan buku atau novel. Catatan kali ini sekadar komen aku tentang satu berita yang aku baca tentang dunia hiburan. Aku bukan seorang yang gemar mengikuti perkembangan artis. Namun kadangkala, terbaca juga kisah-kisah artis yang mengisi ruangan akhbar. Apa lagi jika akhbar hujung minggu, banyak ruangan diperuntukkan kepada para artis.
Agaknya bila akhbar hendak memperbanyakkan ruangan untuk buku (termasuk novel) ya? Kalau ada sekarang, sekadar ruangan kecil di sudut bawah atau satu halaman seminggu sekali.
Berbalik kepada cerita artis...
Tengah hari tadi aku menghantar kereta isteri untuk ditukar tayar yang sudah botak. Sementara menanti kerja itu disiapkan, aku duduk di sebuah kedai kopi sambil membaca akhbar. Selepas khatam membaca berita-berita terkini yang dimuatkan dalam akhbar tersebut, aku pun membelek-belek sisipan akhbar yang banyak memuatkan berita hiburan.
Kemudian, aku tertarik kepada isu "pergaduhan" antara pelakon Pierre Andre dengan penerbit David Teo. Aku bukannya tertarik kepada punca perbalahan tersebut. Sebaliknya aku tertarik dengan "pesanan" akhir David Teo kepada Pierre Andre.Cakap pada Pierre, saya mau dia bertaubat dan sembahyang lima kali sehari. Ingatkan Tuhan. Saya pun ingatkan Tuhan sebab itu rezeki saya murah. Saya tak jadi kacang lupakan kulit.
Aku tersenyum sebaik membaca kata-kata itu. "Orang kita" hari ini sukar sekali mahu mendengar nasihat - baik dari ibu bapa, orang yang lebih tua, jiran tetangga, ketua di tempat kerja dan sebagainya. Lebih malang lagi, "orang kita" juga sukar mendengar nasihat yang disampaikan menerusi khutbah Jumaat setiap minggu yang disampaikan oleh khatib.
Bayangkan reaksi "orang kita" apabila ditegur sekiranya melakukan kesilapan atau membuat kesalahan. Defensif, marah-marah, agresif dan sebagainya. Mungkin itu reaksi yang diberikan jika seorang imam menegur sekumpulan anak muda kerana tidak sembahyang.
Tetapi apa pula reaksi kita apabila seorang bukan Islam menegur dan menasihati seorang yang beragama Islam supaya bertaubat dan mendirikan sembahyang yang wajib?
Tidakkah kita malu apabila orang yang tidak beriman kepada Allah SWT mengingatkan kita yang berikrar bahawa "tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah" supaya kita menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT?
Fikir-fikirkan.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
15:47
0
maklum balas
Label komentar
Selasa, 16 September 2008
Catatan blog ke-100: Trivia "Transgenesis: Bisikan Rimba"
Alhamdulillah, blog ini kini sudah mempunyai catatan yang ke-100. Untuk catatan ke-100 ini, aku mahu coretkan sesuatu yang aku kira sedikit istimewa, iaitu proses ke arah penghasilan Transgenesis: Bisikan Rimba.
Aku bukanlah penulis yang sekadar menulis untuk suka-suka. Setiap yang aku tintakan itu ada kisahnya dan ada pula sebabnya. Begitu juga dengan Transgenesis: Bisikan Rimba. Di bawah ini, aku kongsikan sepuluh trivia di dalam menghasilkan Transgenesis: Bisikan Rimba.
Trivia #1:
Watak Flora sebenarnya pertama kali lahir dari benak fikiranku pada tahun 1992. Ketika itu, aku sedang berkelana menuntut ilmu di bumi kelahiran William Wallace dan Rob Roy, iaitu Scotland. Aku baru beberapa bulan di situ, dan aku bertekad mahu menajamkan penguasaan Bahasa Inggeris di sana. Jadi aku memilih untuk menulis cerita-cerita pendek di dalam Bahasa Inggeris untuk disemak oleh pensyarah bahasa tersebut. Dan satu daripada cerita pendek yang aku tulis (dengan tangan dan bukannya ditaip menggunakan komputer) bertajuk "Flora". Cerpen ini mengisahkan satu makhluk jelmaan pokok yang menyerupai manusia yang membalas dendam ke atas mereka yang "membunuh" pokok-pokok bagi mengaut keuntungan. Walaupun asal-usul watak "Flora" di sini jauh berbeza daripada watak "Flora" di dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, tetapi kisah di dalam cerpen ini juga berkisar tentang dendam dan sifat manusia yang tidak bertanggungjawab.
Trivia #2:
Aku membayangkan watak "Flora" atau "Subjek 4-7-9-1" dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini seperti Jean Grey dari komik popular X-Men. Malah terdapat satu babak di dalam novel ini apabila Flora muncul dari lurah menyelamatkan Datuk Jay yang terjatuh, yang inspirasinya aku perolehi daripada kulit hadapan Uncanny X-Men #101. Bezanya, Flora muncul dari lurah di lereng gunung di dalam hutan manakala Phoenix muncul dari dalam tasik. Dan satu lagi perbezaan ketara ialah Flora menutup aurat!
Trivia #3:
Tracker pula ialah satu watak yang sengaja aku tidak kembangkan terlalu banyak. Sekadar inspirasi watak ini aku perolehi daripada tiga sumber. Pertama, susuk tubuh Tracker aku bayangkan seperti watak mutan bernama Random yang pertama kali muncul di dalam komik X-Factor. Kedua, cara percakapan Tracker yang suka memanggil orang dengan gelaran tertentu ialah seperti watak Paris dari kumpulan Pantheon yang pertama kali muncul di dalam komik the Incredible Hulk. Dan ketiga, kedegilan Tracker untuk "mati" diinspirasikan daripada watak Murdoc dari siri sukaramai pada tahun 1980-an iaitu "MacGyver". Jika ada yang masih ingat, Murdoc sering menjerit "MACGYVER!" pada "saat kematiannya" dan inilah yang dilakukan oleh Tracker pada "saat kematiannya" dengan menjerit "FLOOO!!!" [Apa yang dicatatkan ini sebenarnya memberikan satu klu tentang nasib Tracker yang akan dijawab di dalam bahagian kedua nanti].
Trivia #4:
Watak-watak sokongan seperti Profesor Ned, Tauke Hwang Chien Ming, Dr Kenneth Ramsay, Wak Salamian dan Inspektor Adzwar, serta watak-watak yang hanya disebut tetapi tidak muncul di dalam cerita seperti Pok Li, Datuk Khairul, Datin Noor, Nadzirah dan Sharmini didasarkan kepada orang yang aku kenal. Malah, nama mereka juga aku kekalkan, sekadar aku ubah perwatakan bagi disesuaikan di dalam kisah ini.
Trivia #5:
Pada asalnya, aku ingin gunakan haruman kemboja dan bukannya haruman kenanga sebagai haruman yang sinonim dengan beberapa watak kisah ini. Namun demikian, seorang sahabat mencadangkan agar kenanga digunakan. Dan seorang sahabat lagi memberitahu tentang tujuh bunga wangi yang digunakan di dalam perubatan Melayu, dan salah satunya ialah kenanga. Itulah sebabnya aku ubah kemboja kepada kenanga.
Trivia #6:
Draf pertama novel ini melibatkan watak utama Nenek Melor, dan bukannya Datin Kay. Sekali lagi, atas maklum balas seorang sahabat, aku ubah jalan cerita untuk menjadikannya lebih menarik. Di dalam proses penulisan semula, watak Nenek Melor tidak muncul, sebaliknya diganti oleh watak Datin Kay. Namun, watak Melor ini muncul juga di dalam bentuk yang sedikit berbeza.
Trivia #7:
Aku sebenarnya mempunyai tiga versi kesudahan bagi Transgenesis: Bisikan Rimba. Satu versi mengisahkan Buraquzzaman Baharuddin berjaya menyelesaikan misteri pembunuhan Tauke Hwang Chien Ming dan menjadi wira yang disanjung. Tetapi aku buang versi ini kerana terlalu "biasa". Versi kedua pula melibatkan identiti pembunuh di mana Datin Kay ialah orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tauke balak tersebut. Ini juga aku tidak gunakan kerana sekali lagi aku rasakan ia "biasa" sahaja. Versi ketiga ialah pindaan kepada versi kedua. Versi inilah yang digunakan di dalam novel yang telah terbit iaitu apabila aku dedahkan yang sebenarnya ada dalang di sebalik semua yang berlaku.
Trivia #8:
Nama asal watak Buraquzzaman Baharuddin ialah Huzaimi Hazim. Mengapa aku tukar? Itu tidak boleh didedahkan terlebih dahulu, sekadar yang aku boleh katakan "nama itu ialah doa". Insya-Allah jawapannya akan diberi di dalam bahagian ketiga siri ini.
Trivia #9:
Hampir kesemua fakta mengenai bioteknologi di dalam kisah ini ialah fakta sebenar. Yang fiksyen hanyalah bahagian yang melibatkan eksperimen Datin Kay dan eksperimen Dr Ramsay.
Trivia #10:
Aku memuatkan isu bioetika sebagai tema utama novel ini kerana kecewa dengan ketidakprihatinan banyak pihak terhadap kepentingan perkara ini. Aku mengharapkan agar pendekatan mengenengahkan isu bioetika menerusi penulisan kreatif akan membawa kesedaran mengenai isu penting ini kepada masyarakat yang membaca. Tambahan pula, penyelidikan sains tidak wajar sekadar dijalankan demi sains semata-mata. Penyelidikan sains perlu dijalankan dengan rasa penuh tanggungjawab dan rendah diri.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
23:59
0
maklum balas
Label kisahku, komentar, Transgenesis
Ahad, 7 September 2008
Tersirat di dalam pemakaian kain samping
Ini satu lagi perkara menarik yang aku pelajari dari syarahan Pak Tenas Effendy pada 14 Ogos lalu, iaitu tentang mesej tersirat di dalam pemakaian kain samping. Kain samping memang sinonim dengan pemakaian baju Melayu. Namun aku perhatikan, ada bermacam-macam fesyen yang dikenakan bila kain samping dipakai.
Menurut Pak Tenas, kain samping yang diikat tinggi (bermakna bahagian bawahnya berada di atas lutut si pemakai), memberi makna bahawa si pemakai masih belum berkahwin.
Kain samping yang diikat rendah (iaitu bahagian bawahnya berada di bawah lutut si pemakai), memberi maksud bahawa si pemakai telah berkahwin.
Manakala, kain samping yang dipakai hingga hampir ke tumit kaki memberi mesej bahawa si pemakai ialah seorang yang berilmu (lazimnya guru atau ustaz) yang dihormati di dalam masyarakat kerana ilmunya.
Nampaknya selepas ini, kenalah aku pakai kain samping melepasi lutut. Satu maklumat berguna bagi pemakai baju Melayu generasi baru.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
00:10
2
maklum balas
Label komentar
Rabu, 20 Ogos 2008
Kebijakan Melayu
Lagi mengenai syarahan Pak Tenas Effendy yang aku hadiri minggu lalu. Pak Tenas menggunakan istilah "kebijakan Melayu" untuk merujuk kepada hikmah kebijaksanaan orang-orang Melayu dahulu di dalam berkomunikasi. Komunikasi ini kaya dengan falsafah yang tersirat yang difahami oleh generasi tersebut. Sayangnya, "kebijakan" itu telah hilang daripada generasi kita hari ini.
Satu contoh mudah. Mengikut budaya Melayu-Islam, kita wajib meraikan tetamu. Apabila tetamu datang bertandang, kita wajib menghidangkan apa jua yang ada di rumah untuk tetamu tersebut. Ada ketikanya, kita tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Si tuan rumah akan bertanya, "Sudah makan?" Si tetamu, apabila mendengar soalan yang dimulakan dengan perkataan "sudah" itu, seharusnya memahami bahawa si tuan rumah tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Jadi, jawapan yang perlu diberikan ialah, "Sudah."
Satu lagi contoh. Katakan di rumah hanya tinggal si isteri. Si suami tiada di rumah. Tetapi tiba-tiba datang seorang lelaki yang merupakan sahabat kepada si suami yang keluar tadi. Adab Melayu menuntut supaya tetamu dijemput naik, tetapi tidaklah manis jika yang ada di rumah hanya si isteri. Jadi si isteri akan bertanya kepada tetamu tersebut, "Tak singgah dulu?" Dan si tetamu yang datang itu seharusnya faham, apabila jemputan itu dimulakan dengan perkataan "tak," maka ini bermakna tiada orang lelaki di rumah itu. Dan jawapan yang perlu diberikannya juga ialah, "Tak."
Andai kata di rumah kita ada makanan untuk dihidangkan, kita akan menjemput tetamu makan dengan berkata, "Jemput makan." Dan andai kata di rumah ada si suami, maka si isteri akan menjemput tetamu masuk ke rumah dengan berkata, "Silalah masuk."
Begitu kaya sekali kesantunan Melayu yang sarat dengan falsafah. Aku berharap generasi hari ini dapat memahami dan menghayati keindahan yang sudah mula hilang dan terhakis ini. Aku bimbang jika generasi hari ini melupakan kesantunan Melayu ini, maka "kebijakan Melayu" yang disebut oleh Pak Tenas akan turut lenyap ditelan zaman.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
21:43
0
maklum balas
Label komentar
Khamis, 14 Ogos 2008
Yang secupak takkan jadi segantang
Pagi tadi, atas undangan guru doktoratku, aku telah menghadiri satu syarahan umum anjuran Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Tengku Nasyaruddin Syed Effendy bin Haji Tengku Syed Umar Muhammad (atau lebih dikenali sebagai Tenas Effendy). Mendengar syarahannya bertajuk "Falsafah Melayu Islam Menghadapi Kepelbagaian" mengundang rasa insaf pada diriku. Ada ketikanya juga terasa sebak di dada apabila menyedari suatu perkara yang selama ini tersalah faham atau tidak difahami.
Pak Tenas Effendy yang usianya sudah mencecah 72 tahun ialah seorang yang boleh kita ibaratkan sebagai gedung ilmu bergerak berkenaan budaya Melayu-Riau. Beliau mengumpul dan menyimpan lebih 10,000 pantun dan 20,000 bidalan Melayu. Pendek kata, Pak Tenas Effendy ialah seorang dokumentator adat dan budaya Melayu.
Aku teruja mendengar syarahan ini. Banyak perkara baru yang aku perolehi terutamanya mengenai ungkapan-ungkapan Melayu yang disalah tafsir atau disampaikan bukan di dalam bentuk yang penuh. Inilah yang menyebabkan generasi hari ini melihat ungkapan-ungkapan Melayu (yang sebetulnya kaya dengan hikmah kebijaksanaan orang terdahulu) sebagai ungkapan-ungkapan yang terkebelakang atau membawa konotasi negatif.
Insya-Allah aku akan kongsikan perkara-perkara yang aku perolehi ini dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, aku ingin kongsikan mengenai ungkapan "Yang secupak takkan jadi segantang." Ungkapan ini sering ditafsir oleh generasi hari ini sebagai ungkapan yang bersifat negatif kerana seolah-olah orang Melayu tidak mahu berusaha untuk menambahkan rezeki, sekadar berpuas hati dengan apa yang ada. Tafsiran seperti ini sebenarnya jauh tersasar. Betapa dalamnya falsafah Melayu-Islam di dalam menggalakkan usaha dan ikhtiar apabila kita melihat ungkapan tersebut di dalam konteks yang sepenuhnya.
Konteks sepenuhnya bagi "Yang secupak takkan jadi segantang" ialah seperti yang diperturunkan di bawah ini:
Adat hidup orang berimanBegitu indah sekali ungkapan ini di dalam konteks yang penuh (yang pastinya ramai yang tidak ketahui, termasuklah diriku). Ungkapan ini dimulakan dengan ayat yang menunjukkan bahawa inilah amalan orang yang beriman. Ungkapan ini merungkaikan konsep berikhtiar, berusaha dan akhirnya bertawakal. Apabila semua sudah dilakukan barulah diserahkan kepada Allah SWT untuk menentukan balasannya. Dan akhir sekali, ditekankan aspek muhasabah dan takwa kepada Yang Maha Esa.
Daya upaya ia jalankan
Ke laut ke darat tiada segan
Ke hulu ke hilir tiada enggan
Ilmu ditimba sepanjang masa
Bekal hidup di atas dunia
Bekal mati pada ujungnya
Bekal tak sudah berkira-kira
Bekal terwujud sehabis daya
Rezeki dicari sebilang hari
Penat letih tiada peduli
Jauh dekat sama dihampiri
Mencapai maruah dan tuah diri
Mencapai niat berbuah budi
Mencapai maksud Melayu jati
Apabila ikhtiar sudah cukup
Yang usaha sudah habis
Yang mujur tak dapat diraih
Yang malang tak dapat ditolak
Yang nasib sudah bertentu
Yang takdir sudah tersurat
Yang suratan sudah berlaku
Yang daya sampai hadnya
Yang upaya sampai batasnya
Yang ikhtiar sampai pucuknya
Yang sepompat takkan jadi sekal
Yang sekal takkan jadi secupak
Yang secupak takkan jadi segantang
Yang sejengkal takkan jadi sehasta
Yang sehasta takkan jadi sedepa
Yang sukatan sudah dipepas
Yang timbangan sudah bertentu
Di situ iman diteguhkan
Di situ dada dilapangkan
Di situ akal dipanjangkan
Di situ hati dipukalkan
Di situ diri direnungkan
Alangkah cantiknya ungkapan ini. Alangkah besar dan dalam maknanya. Sarat dengan falsafah yang memandu tindakan orang yang beriman. Begitu indahnya budaya Melayu-Islam ini sebenarnya. Sayangnya kita tidak sedar.
Insya-Allah akan dikongsikan perkara-perkara lain di dalam catatan akan datang.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
16:32
0
maklum balas
Label komentar
Khamis, 31 Julai 2008
Ada apa dengan saifai?
Saifai - nama glamor bagi genre fiksyen dan fantasi sains - ialah satu genre yang masih kekurangan penulis. Namun bukanlah bermakna kita ketandusan penulis di dalam genre ini. Aku pernah ulas tentang perkara ini di dalam blog ini beberapa ketika yang lalu. [Klik sini dan sini untuk bacaan lanjut]. Rasanya sudah hampir setahun aku tidak mengulas perkara ini. Maka izinkan aku untuk melanjutkan komentar mengenai fiksyen dan fantasi sains di dalam kesempatan yang ada pada kali ini.
Aku ke Universiti Malaya pagi tadi untuk menghadiri satu perbincangan mengenai bioteknologi. Semasa berbicara tentang tahap kefahaman bioteknologi di kalangan masyarakat awam, seorang sahabat melontarkan pandangan bahawa media kurang memberikan ruang untuk isu-isu sains. Kalau ada sekalipun, biasanya isu-isu yang memberikan gambaran negatif tentang sains. Dan sahabatku ini seterusnya berhujah bahawa di dalam dunia sastera juga, pembangunan sains dan teknologi serta golongan saintis dan teknologis sering digambarkan secara negatif. Pendeknya, seolah-olah sains dan teknologi itu membawa kepada kehancuran dan kerosakan.
Terdiam aku seketika sebaik mendengar lontaran kata-kata sahabatku ini. Bukannya apa, aku tiba-tiba berada di dalam satu dilema. Aku seorang saintis, maka aku akui ada kebenaran kata-kata sahabatku ini. Lihat sahaja bagaimana perkembangan sains dan teknologi dipaparkan menerusi kisah-kisah sama ada yang dibukukan mahupun yang difilemkan. Tetapi pada waktu yang sama, aku juga seorang penulis yang mula berjinak-jinak dengan genre fiksyen sains, yang menyebabkan aku kurang bersetuju dengan pandangan sahabat tersebut. Karya Transgenesis: Bisikan Rimba misalnya memang menyentuh isu penyalahgunaan teknologi (secara khusus, bioteknologi). Tetapi bukanlah niatku untuk menggambarkan semua saintis itu tidak beretika dan semua perkembangan sains dan teknologi itu buruk. Aku senantiasa berpegang bahawa teknologi itu ibarat pisau - buruk atau baiknya kesan penggunaan pisau (baca: teknologi) itu bergantung kepada penggunanya. Banyak isu-isu falsafah yang aku ketengahkan menerusi novel keduaku ini yang mengajak pembaca untuk berfikir.
Perkara ini bermain-main di dalam kotak fikiranku sepanjang hari. Dan mungkin sudah ketentuan Ilahi, aku terjumpa satu kata-kata yang menarik yang dipetik daripada Frank Herbert iaitu penulis siri novel terkenal Dune. Katanya:
The function of science fiction is not always to predict the future but sometimes to prevent it.Ya, agaknya itulah sebab ramai penulis fiksyen dan fantasi sains memilih tema-tema pascaapokaliptik untuk menggerakkan jalan cerita mereka. Mungkin inilah sebabnya penulis seperti aku memilih risiko dan dampak buruk perkembangan teknologi sebagai kisah untuk dinukilkan. Bukan untuk memberikan imej negatif kepada sains dan teknologi serta saintis dan teknologis. Sekadar mahu memberikan kesedaran tentang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku andai kata sains dan teknologi disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
[Terjemahan: Peranan fiksyen sains bukanlah untuk meramalkan masa hadapan setiap masa tetapi ada kalanya untuk menghalangnya.]
Aku kira inilah peranan besar yang dimainkan oleh sang penglipurlara fiksyen dan fantasi sains. Bukan menulis semberono sesedap rasa sekadar memuaskan nafsu dan ego sendiri, tetapi menulis dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan dan menimbulkan kesedaran kepada pembaca. Kebetulan aku sedang membaca karya fantasi sains Fadli Al-Akiti iaitu Saga Horizon. Tema tulisan penulis muda berbakat besar ini berkisar dengan tema pascaapokaliptik pada masa hadapan. Aku belum habis membacanya tetapi aku kira ini adalah satu contoh penulisan fantasi sains yang bertanggungjawab. Penulis mengutarakan isu-isu bersifat falsafah menerusi penceritaannya yang mampu mengundang pembaca untuk berfikir (seandainya pembaca memilih untuk berfikir). Kita perlukan lebih ramai penulis seperti Fadli Al-Akiti yang mampu bercerita sambil memberi nasihat secara tersirat.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
22:57
2
maklum balas
Label komentar, Transgenesis
Catatan Pesta Buku Selangor
Beberapa pengunjung ke sini dan juga ahli forum di Cari Forum bertanyakan tentang hal ini. Bagaimana sambutan di Pesta Buku Selangor tempoh hari?
Sahabat novelis, Izza Aripin, yang berkunjung ke Pesta Buku Selangor pada hari Jumaat lepas memberitahu yang tidak ramai pengunjung ke situ. [Catatan Izza boleh dibaca di sini]. Aku katakan mungkin sebab hari bekerja. Lazimnya orang lebih ramai pergi pada hujung minggu. Dan seperti yang aku uar-uarkan, aku terlibat dengan sesi autograf di situ pada hari Sabtu yang lalu, di antara jam 1 hingga 2 petang.
Disebabkan harga minyak yang sudah naik (ditambah dengan lokasi pejabatku yang hanya tiga minit perjalanan kaki), aku telah pun menjual keretaku. Jadi pada hari Sabtu itu, terpaksalah aku menggunakan pengangkutan awam untuk ke Shah Alam dari Setiawangsa. Dari teratak kediamanku, aku menapak selama 15 minit untuk ke Stesen LRT Setiawangsa. Dari situ, aku menaiki LRT Aliran Kelana Jaya dan turun di Stesen KL Sentral. Di stesen tersebut, aku naik pula KTM Komuter dan turun di Stesen Batu Tiga. Dari situ, seorang sahabat lama menunggu untuk menjemputku.
Sebelum aku berceloteh tentang Pesta Buku Selangor, aku suka nyatakan di sini yang pengalaman menaiki pengangkutan awam ialah satu pengalaman yang menarik. Sudah begitu lama aku tidak menggunakan pengangkutan awam, dan apabila sesekali menggunakan pengangkutan ini, pasti banyak perkara yang dapat aku perhatikan - dari gelagat manusia hinggalah keadaan pengangkutan awam itu sendiri. Walaupun aku menghabiskan hampir satu jam setengah di atas pengangkutan awam untuk ke Shah Alam, aku tetap gembira kerana banyak "ilham baru" yang aku perolehi daripada pengalaman ini.
Aku tiba di Kompleks PKNS iaitu lokasi Pesta Buku Selangor sekitar jam 12.30 tengah hari. Perkara pertama yang aku perasan ialah, seperti kata Izza Aripin, tidak ramai pengunjung yang berada di situ. Dari satu sudut, aku terasa lega kerana ini membolehkan aku meninjau-ninjau gerai yang ada dengan lebih mudah tanpa perlu berhimpit-himpit (sempat juga membeli beberapa buku dan CD). Namun dari satu sudut lain, aku terasa sedikit ralat kerana seolah-olah pesta buku tersebut seperti tidak mendapat sambutan. Ini sekadar persepsi peribadi yang mungkin tidak dipersetujui oleh orang lain.
Kemudian, seperti yang dijanjikan kepada penerbit, aku berada di gerai untuk sesi autograf. Aku tidak keseorangan pada sesi itu. Bersamaku ialah novelis yang telah memenangi beberapa anugerah iaitu Aminah Mokhtar. Dan dari kerusi tempat aku duduk, sekali lagi aku lihat tidak ramai orang yang berada di lokasi pameran. Jika ada pun orang yang mundar-mandir, rasanya mereka lebih tertumpu untuk membeli-belah di kompleks tersebut.
Aku ada bersembang (untuk menghilangkan kebosanan) dengan Cik Norashikin Wahid, Editor PTS Fortuna. Dari sembang-sembang kami, kesimpulan yang boleh dibuat ialah lokasi pesta buku tidak begitu sesuai. Apabila diadakan pesta buku di ruang legar pusat membeli-belah, orang yang datang tidak semestinya datang untuk meninjau-ninjau gerai buku. Mungkin (daripada pengamatan peribadi) daripada 10 orang yang lalu, hanya tiga orang yang singgah. Yang membeli buku tentulah jauh lebih kecil bilangannya daripada yang membelek buku. Mungkin penganjur mengambil kesempatan menggunakan ruang legar dengan tujuan untuk menarik lebih ramai orang. Tetapi setakat hari kedua Pesta Buku Selangor diadakan, aku lihat jika itulah tujuannya, aku rasa ia tidak memberikan kesan yang diharapkan. Atau mungkin juga seperti yang dikatakan sesetengah orang bahawa kenaikan harga minyak memberi kesan kepada penjualan buku. Wallahu'alam. Aku cuma berharap agar sambutan yang lebih baik diberikan kepada Pesta Buku Selangor pada hari-hari berikutnya.Walau bagaimanapun, 15 minit terakhir sesi autograf itu bagiku lebih menarik. Kami dikejutkan dengan kemunculan Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang meluangkan masa hampir 30 minit di gerai PTS tersebut. Aku dan Aminah Mokhtar mengambil kesempatan ini untuk menghadiahkan hasil tulisan kami iaitu Transgenesis: Bisikan Rimba dan Seteguh Fikrah Salehah kepada beliau. Dan tentunya kesempatan bergambar tidak dilepaskan.
Aku juga dapat bersemuka untuk pertama kalinya dengan pengulas novel di ruang siber iaitu Kak Wan Amalyn dan penulis siri Takluk Jagat iaitu Zaki Zainol atau lebih dikenali di ruang siber sebagai Kangaq. Pertemuan kali pertama ini sesuatu yang istimewa kerana kini aku sudah meletakkan "wajah" kepada nama kenalan di ruang siber.
Walau apa sekalipun, pengalaman pertama menyertai aktiviti seperti ini di Pesta Buku Selangor merupakan satu pengalaman yang istimewa.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
16:40
2
maklum balas
Label jerayawara, kisahku, komentar, Transgenesis
Isnin, 21 Januari 2008
Peranan kulit buku
Aku kira kebanyakan kita sudah biasa dengan pepatah Inggeris yang berbunyi "judge not a book by its cover." Namun hakikatnya, kita tidak dapat menafikan bahawa kulit buku (tidak kira apa jua jenis buku itu) mempunyai peranan yang amat penting di dalam menarik perhatian pembaca. Jika kulit tidak menarik, besar kemungkinan pembaca tidak akan terpanggil untuk membaca atau membeli buku tersebut.
Aku ada menerima maklum balas mengenai kulit buku Ombak Senja daripada saudara Arsaili baru-baru ini. Pesanan ringkas yang aku terima pada jam 1.25 tengah hari 15 Januari yang lalu amat relevan dengan isu kulit buku ini. Tulisnya:
Salam sdr, lupa nk inform pasal design kulit novel Ombak Senja yg tidak menarik sehingga ada 2 org beri komen tidak tergerak untuk membaca atau membeli. Kulit kena menarik baru ramai tertarik. Harap penerbit novel peka. Just smpi kn pesan... krn syg isi cerita bagus. Mungkin ramai akan mbeli jika kulit ia menarik.Ombak Senja terbit pada awal tahun 2007 yang lalu, iaitu sebelum penerbit TintaRona membuat rombakan terhadap imej dan konsep kulit-kulit buku terbitannya beberapa bulan kemudian. Jika diamati, konsep baru kulit hadapan novel-novel terbitan TintaRona kini lebih menarik berbanding dengan konsep lama (seperti Ombak Senja). Mungkin jika Ombak Senja terbit lewat sebulan dua, agaknya novel ini akan mempunyai kulit hadapan berkonsep baru.
Walau bagaimanapun, soal kulit hadapan memang menjadi pertimbangan pokok bagi pembaca untuk membeli sesuatu novel. Lainlah kalau penulis sudah punya nama dan pengikutnya tersendiri. Bagi penulis baru seperti diriku ini, pastinya terpaksa bergantung kepada banyak faktor lain bagi melariskan jualan. Kulit hadapan novel serta promosi terancang dan teratur dapat membantu memperkenalkan sesuatu karya kepada khalayak.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
00:20
0
maklum balas
Label komentar, maklum balas, Ombak Senja
Jumaat, 11 Januari 2008
Hijrah seorang penulis
Tiada lagi hijrah di dalam konteks "pergerakan fizikal" selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Hijrah yang ada adalah di dalam konteks penambahbaikan kualiti diri, organisasi, masyarakat, negara dan sebagainya.
Bagi seorang yang berenang di dalam lautan dakwat dunia penulisan, proses hijrah ini perlu dilakukan. Pastinya seorang penulis mahu supaya karya terbarunya lebih baik dari yang terdahulu. Aspek-aspek yang boleh diperbaiki memang banyak seperti gaya penulisan, teknik penceritaan, pembinaan watak dan lain-lain. Jika seorang penulis dapat menjadikan karya terbaru lebih baik daripada karya terdahulu, bermakna dia telah berjaya menghijrahkan dirinya sebagai seorang penulis.
Salam Hijrah 1429.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
10:51
0
maklum balas
Label komentar
Khamis, 26 Julai 2007
Tidak ketandusan sebenarnya
Pengumuman: "Inilah Kisahku" akan disambung pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada komentar khas ini. Harap maklum dan terima kasih.
Aku pernah catatkan di blog ini tentang karya-karya fiksyen sains tidak berapa lama dahulu. Aku kira soalan yang diajukan juga boleh diajukan bagi karya-karya fantasi. Dengan pelancaran novel Harry Potter yang ketujuh iaitu Harry Potter and the Deathly Hallows di pasaran, jelas nampak kegilaan pembaca terhadap karya J.K. Rowling ini. Pelbagai sebab dan teori telah diketengahkan kenapa novel ini mendapat sambutan yang begitu hangat. Aku tidak akan menyentuh sangat tentang soal ini kerana perbincangan mengenainya boleh dibaca di beberapa blog lain seperti blog TintaRona, blog saudari Nisah Haron dan blog saudara John Norafizan.



Kita juga ada saudari Hani Ismail yang tampil dengan genre fiksyen sains menerusi Pengembaraan Suzaimi iaitu buku pertama siri "Akademi Gemilang."Malaysia juga beruntung kerana mempunyai penulis fantasi seperti saudara Serunai Faqir yang telah menghasilkan Dewangga Sakti yang merupakan bahagian pertama di dalam triloginya mengenai pengembaraan seorang remaja bernama Jaka Suria.
Terbaru, telah lahir novel Ajak Kadir Mencari Buku Sakti Kasyorga karya saudari E.M. Muhammad. Ini adalah novel yang menggunakan genre fantasi yang dianggap sebagai "jawapan" kepada Harry Potter. Aku difahamkan novel ini juga yang pertama daripada siri mengenai pengembaraan Ajak Kadir.
Lihat sahaja watak-watak yang mewarnai dunia penulisan fiksyen sains dan fantasi di negara kita. Kita punya Nyemah Mulia, Detektif Indigo, Suzaimi dan rakan-rakan di Akademi Gemilang, Jaka Suria dan Ajak Kadir! Yang belum kita punyai adalah generasi pembaca yang mahu menyambar karya-karya ini daripada rak-rak di kedai-kedai buku. Pastinya, semua kita mempunyai tanggungjawab untuk menyemarakkan industri penerbitan negara, tidak kiralah sama ada kita ini penulis, penerbit, pengedar, penjual, pengkritik mahupun pembaca. Jika semua pihak tidak menggembleng tenaga, masakan karya-karya yang ada akan mendapat sambutan.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
01:28
12
maklum balas
Label komentar
Isnin, 23 Julai 2007
Wira Mandala Hijau
Tahniah kepada saudara Serunai Faqir kerana cerpennya bertajuk "Wira Mandala Hijau" telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam (22 Julai 2007). Semoga saudara SF akan terus berkarya menghasilkan kisah-kisah menarik untuk dibaca.
Syabas!
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
00:20
0
maklum balas
Label komentar
Ahad, 15 Julai 2007
Ulang tahun kedua Kaki Novel Enterprise
Hari ini bertempat di Anjung Rahmat, Gombak telah berlangsung majlis menyambut ulang tahun kedua Kaki Novel Enterprise iaitu sebuah syarikat penerbitan novel kreatif. Aku ke sana setelah mendapat jemputan daripada Izza Aripin yang telah menghasilkan karya ...Dan Mimpi pun Bersatu dan Kerana Dia Cinta dengan penerbit ini.
Alhamdulillah, dalam majlis ini dapat juga aku bersua muka dengan beberapa orang novelis yang bernaung di bawah payung Kaki Novel Enterprise. Ada di antaranya aku cuma biasa berbicara secara maya menerusi blog seperti Dina Najat, Izzul Izzati dan Eita Ashyta. Ada juga yang pertama kali aku bersua muka seperti Anita Abdullah dan Puteri Andalas.
Di dalam majlis ini juga telah diadakan pelancaran novel terbaru Kaki Novel Enterprise iaitu Ku Seru Kasihmu karya Izzul Izzati. Tahniah buat Izzul Izzati kerana kelahiran novel kedua beliau, dan syabas buat Kaki Novel Enterprise kerana terus giat menerbitkan novel-novel kreatif dan memberi ruang kepada penulis-penulis berbakat besar.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:16
0
maklum balas
Label komentar
Khamis, 5 Julai 2007
Membaca untuk menulis
Aku pernah diberitahu bahawa untuk menjadi seorang penulis yang baik, aku perlu banyak membaca. Membaca untuk mempelajari gaya bahasa, perkataan-perkataan baru dan sebagainya. Malah, aku pernah terbaca yang Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said membaca kamus untuk menghafal dan menguasai perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sama.
Aku kira nasihat supaya "banyak membaca untuk menulis" perlu diamalkan oleh sesiapa sahaja yang mahu menjadi penulis. Apa pula yang perlu dibaca? Kamus dan tesaurus sudah semestinya teman setia seorang penulis. Namun, seorang penulis juga perlu membaca tulisan penulis-penulis yang lain untuk menyelidiki dan mempelajari daripada mereka.
Bagi diriku, aku membaca karya-karya penulis tempatan mahupun luar negara, sama ada penulis veteran atau yang baru. Karya-karya penulis yang ku sanjung seperti Azizi Haji Abdullah, Khadijah Hashim, Shahnon Ahmad, Hamka - sekadar menyebut beberapa nama - menjadi sajian ruji diri ini. Begitu juga karya-karya penulis generasi baru yang telah ada nama seperti Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid - juga sekadar menamakan beberapa orang - turut aku baca. Malah, aku juga membaca penulisan mereka yang dilabel sesetengah orang sebagai penulis picisan. Bukan untuk menilai tetapi untuk mempelajari. Bagi aku banyak yang boleh kita pelajari daripada apa yang ditulis oleh orang lain.
Walaupun demikian, aku harap kita tidak lupa untuk membaca Kitabullah, al-Quran al-Karim, yang sepatutnya menjadi bahan bacaan kita yang pertama dan paling utama. Malah, wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sedari perkataan pertama lagi sudah memperingatkan manusia supaya membaca. Besar hikmahnya daripada arahan Allah SWT supaya kita membaca.
Bagi penulis, janganlah kita taksub dengan penulisan kita semata-mata. Bacalah tulisan orang lain supaya ianya membantu kita menjadi penulis yang lebih baik, insya-Allah.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
10:26
7
maklum balas
Label komentar
Khamis, 28 Jun 2007
Menyelidik untuk menulis
Sebenarnya, mahu tidak mahu, seorang novelis perlu melakukan penyelidikan bagi menyiapkan karyanya. Ini tentunya memerlukan iltizam dan pengorbanan masa, tenaga dan wang di pihak novelis. Tanpa penyelidikan yang cukup, berkemungkinan karya yang dihasilkan akan "cacat" dan dipertikai oleh mereka yang lebih arif tentang perkara yang disampaikan di dalam penulisan tersebut.
Mungkin ada kisah yang tidak perlukan banyak penyelidikan - cukup sekadar pengalaman dan perasaan novelis itu sendiri. Tetapi hakikatnya, sedar atau tidak, untuk menyelami dan mengungkap pengalaman dan perasaan itu di dalam bentuk perkataan dan ayat adalah satu bentuk penyelidikan.
Penyelidikan bukan sekadar bermaksud menelaah kajian-kajian lepas di perpustakaan atau menemu bual pakar-pakar atau melakukan soal selidik atau membuat uji kaji di dalam makmal. Penyelidikan bagi seorang novelis juga merangkumi perkara-perkara seperti pencerapan, pemerhatian dan pemahaman tentang emosi manusia yang berlakon di atas pentas dunia - lantas diadun dengan fikiran kritikal dan analitikal - untuk menghasilkan satu karya yang benar-benar dapat menyentuh jiwa pembaca.
Pun begitu, aku fikir jika seorang novelis ingin menghasilkan karya-karya yang menyentuh perkara-perkara spesifik dan teknikal, penyelidikan yang perlu dijalankan adalah jauh lebih kompleks. Katakan seorang novelis mahu menghasilkan karya fiksyen sains yang bertemakan bioteknologi, seharusnya dia perlu merujuk kepada pakar bidang tersebut. Walaupun mungkin karyanya itu fiksyen sains, setidak-tidaknya usaha perlu dilakukan bagi memastikan hasil karyanya itu sehampir realiti yang mungkin.
Hal ini aku nyatakan kerana aku sendiri sedang melalui perkara yang sama dalam menyiapkan "Transgenesis." Aku mungkin mempunyai latar belakang sains tetapi daripada disiplin sains yang berbeza. Jadi aku tidak mempunyai kepakaran yang mendalam tentang bioteknologi. Justeru, tidak dapat tidak, aku perlu merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran di dalam bidang canggih ini. Sungguhpun begitu, latar belakang sains yang aku miliki sedikit sebanyak memudahkan kefahaman aku tentang bioteknologi.
Aku sangat berterima kasih kepada Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman, Pengarah Pusat Bioteknologi Agrikultur (CEBAR) di Universiti Malaya kerana meluangkan sedikit masanya yang sibuk itu untuk membantu aku di dalam penyelidikanku ini. Insya-Allah input yang beliau berikan akan menjadi maklumat yang berguna di dalam "Transgenesis" yang sedang ku garap ini.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
00:22
6
maklum balas
Label komentar, Transgenesis
Khamis, 21 Jun 2007
Dari kertas ke layar
Nampaknya komentar aku pada minggu lepas mendapat perhatian sedikit sebanyak daripada sahabat-sahabat penulis dan novelis. Jadi sengaja aku panjangkan perbincangan mengenai perkara yang sama menerusi forum ini.
Aku sangat faham kebimbangan kebanyakan penulis untuk membawa naskhah mereka ke layar sebagai filem atau drama. Kebimbangan ini, seperti yang disuarakan oleh Serunai Faqir dan Dina Najat, ada asasnya. Ramai yang tidak mahu karya mereka dirosakkan atau dinodai menyebabkan naskhah itu rosak sama sekali apabila diadaptasi. Aku fikir, siapa sahaja yang bergelar novelis mempunyai keresahan yang sama.
Satu jalan keluar bagi masalah ini adalah bagi novelis itu sendiri yang menghasilkan skrip berdasarkan naskhahnya. Namun aku kira tidak ramai yang sanggup berbuat demikian kerana menulis skrip adalah disiplin yang berbeza daripada menulis novel. Ya, memang ada yang boleh melakukan kedua-duanya tetapi aku kira jumlahnya tidak ramai.
Ada di antara novelis yang mula atau telah berjinak-jinak dengan dunia penulisan skrip. Semasa Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini, setahu aku tiga daripada pemenangnya adalah novelis. Selain daripada diriku, dua lagi yang aku maksudkan adalah Faisal Tehrani dan Kushi Hirdan. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup juga mengkhabarkan yang Izza Aripin turut sama akan terjun ke dalam dunia penulisan skrip drama ini.
Namun, hakikatnya menulis skrip bukan semudah yang difikirkan. Justeru, tidak hairanlah proses mengadaptasi novel ke layar adalah suatu perkara yang tidak mudah dilakukan. Proses ini memerlukan kreativiti dan kefahaman yang baik oleh penulis skrip terhadap naskhah yang menjadi sumber adaptasi. Jika penulis skrip tidak dapat menghayati kisah yang disampaikan di dalam novel, maka akan hancurlah karya itu apabila didramakan. Apabila ini berlaku, naskhah novel itu bukan "diangkat menjadi drama bermutu" tetapi "diturunkan martabatnya menjadi cerita murahan." Pastinya bukan ini yang dikehendaki oleh novelis.
Sekadar mengambil contoh, lihat karya terkenal J.K. Rowling yang menjadikannya lebih kaya daripada Ratu Elizabeth II. Karya yang dimaksudkan adalah siri novel Harry Potter. Umum maklum bahawa Rowling telah menghasilkan tujuh edisi novel berkenaan Harry Potter (novel ketujuh Harry Potter and the Deathly Hallows akan berada di pasaran 21 Julai nanti). Daripada tujuh novel yang dihasilkan Rowling ini, empat telah difilemkan dan yang kelima akan berada pada bulan November nanti.
Seperti kebanyakan novelis, Rowling tidak mahu filem berkenaan Harry Potter "lari" daripada karya asalnya. Dia mahukan supaya jalan cerita di dalam filem mengikut plot di dalam novel. Logik akal menyatakan ini suatu perkara yang sukar dilakukan. Pun begitu, Rowling membenarkan beberapa unsur di dalam karyanya dikeluarkan bagi tujuan adaptasi selagi mana plot cerita tidak lari.
Perkara yang jelas di sini adalah proses adaptasi novel memerlukan sedikit sebanyak pengubahsuaian kepada plot asal. Itulah sebabnya ia dipanggil "adaptasi." Walaupun perlu ada pengubahsuaian di sana sini, perkara pokok ialah jalan cerita di dalam filem atau drama tidak lari atau tidak banyak berbeza daripada jalan cerita asal di dalam novel. Jika ini dilakukan, maka ianya bertepatan dengan konsep "adaptasi." Namun, jika banyak perubahan dilakukan sehingga plotnya berbeza sama sekali, maka ianya bukan lagi "adaptasi." Pada ketika itu, mungkin istilah yang lebih sesuai ialah "korupsi."
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
04:23
5
maklum balas
Label komentar

