Khamis, 26 Julai 2007

Tidak ketandusan sebenarnya

Pengumuman: "Inilah Kisahku" akan disambung pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada komentar khas ini. Harap maklum dan terima kasih.

Aku pernah catatkan di blog ini tentang karya-karya fiksyen sains tidak berapa lama dahulu. Aku kira soalan yang diajukan juga boleh diajukan bagi karya-karya fantasi. Dengan pelancaran novel Harry Potter yang ketujuh iaitu Harry Potter and the Deathly Hallows di pasaran, jelas nampak kegilaan pembaca terhadap karya J.K. Rowling ini. Pelbagai sebab dan teori telah diketengahkan kenapa novel ini mendapat sambutan yang begitu hangat. Aku tidak akan menyentuh sangat tentang soal ini kerana perbincangan mengenainya boleh dibaca di beberapa blog lain seperti blog TintaRona, blog saudari Nisah Haron dan blog saudara John Norafizan.

Cuma mungkin yang ingin aku nyatakan di sini adalah Malaysia tidak pernah ketandusan penulis-penulis fantasi dan fiksyen sains. Cuma mungkin kita sendiri yang tidak sedar atau tidak mahu membuka mata kepada karya-karya penulis tempatan.

Kita ada saudara Faisal Tehrani dengan karya-karyanya yang unik seperti 1515 dan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson - sekadar menyebut dua tajuk. Ikan Fugu, Lukisan & Jimson adalah buku kedua di dalam siri "Detektif Indigo" karya penulis prolifik ini.

Kita juga ada saudari Hani Ismail yang tampil dengan genre fiksyen sains menerusi Pengembaraan Suzaimi iaitu buku pertama siri "Akademi Gemilang."

Malaysia juga beruntung kerana mempunyai penulis fantasi seperti saudara Serunai Faqir yang telah menghasilkan Dewangga Sakti yang merupakan bahagian pertama di dalam triloginya mengenai pengembaraan seorang remaja bernama Jaka Suria.

Terbaru, telah lahir novel Ajak Kadir Mencari Buku Sakti Kasyorga karya saudari E.M. Muhammad. Ini adalah novel yang menggunakan genre fantasi yang dianggap sebagai "jawapan" kepada Harry Potter. Aku difahamkan novel ini juga yang pertama daripada siri mengenai pengembaraan Ajak Kadir.

Lihat sahaja watak-watak yang mewarnai dunia penulisan fiksyen sains dan fantasi di negara kita. Kita punya Nyemah Mulia, Detektif Indigo, Suzaimi dan rakan-rakan di Akademi Gemilang, Jaka Suria dan Ajak Kadir! Yang belum kita punyai adalah generasi pembaca yang mahu menyambar karya-karya ini daripada rak-rak di kedai-kedai buku. Pastinya, semua kita mempunyai tanggungjawab untuk menyemarakkan industri penerbitan negara, tidak kiralah sama ada kita ini penulis, penerbit, pengedar, penjual, pengkritik mahupun pembaca. Jika semua pihak tidak menggembleng tenaga, masakan karya-karya yang ada akan mendapat sambutan.

Seperti pesan pujangga dahulukala: Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing; ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Marilah sama-sama kita memberikan sokongan kepada industri penerbitan tempatan. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.

Isnin, 23 Julai 2007

Wira Mandala Hijau

Tahniah kepada saudara Serunai Faqir kerana cerpennya bertajuk "Wira Mandala Hijau" telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam (22 Julai 2007). Semoga saudara SF akan terus berkarya menghasilkan kisah-kisah menarik untuk dibaca.

Syabas!