Khamis, 5 Julai 2007

Membaca untuk menulis

Aku pernah diberitahu bahawa untuk menjadi seorang penulis yang baik, aku perlu banyak membaca. Membaca untuk mempelajari gaya bahasa, perkataan-perkataan baru dan sebagainya. Malah, aku pernah terbaca yang Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said membaca kamus untuk menghafal dan menguasai perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sama.

Aku kira nasihat supaya "banyak membaca untuk menulis" perlu diamalkan oleh sesiapa sahaja yang mahu menjadi penulis. Apa pula yang perlu dibaca? Kamus dan tesaurus sudah semestinya teman setia seorang penulis. Namun, seorang penulis juga perlu membaca tulisan penulis-penulis yang lain untuk menyelidiki dan mempelajari daripada mereka.

Bagi diriku, aku membaca karya-karya penulis tempatan mahupun luar negara, sama ada penulis veteran atau yang baru. Karya-karya penulis yang ku sanjung seperti Azizi Haji Abdullah, Khadijah Hashim, Shahnon Ahmad, Hamka - sekadar menyebut beberapa nama - menjadi sajian ruji diri ini. Begitu juga karya-karya penulis generasi baru yang telah ada nama seperti Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid - juga sekadar menamakan beberapa orang - turut aku baca. Malah, aku juga membaca penulisan mereka yang dilabel sesetengah orang sebagai penulis picisan. Bukan untuk menilai tetapi untuk mempelajari. Bagi aku banyak yang boleh kita pelajari daripada apa yang ditulis oleh orang lain.

Walaupun demikian, aku harap kita tidak lupa untuk membaca Kitabullah, al-Quran al-Karim, yang sepatutnya menjadi bahan bacaan kita yang pertama dan paling utama. Malah, wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sedari perkataan pertama lagi sudah memperingatkan manusia supaya membaca. Besar hikmahnya daripada arahan Allah SWT supaya kita membaca.

Bagi penulis, janganlah kita taksub dengan penulisan kita semata-mata. Bacalah tulisan orang lain supaya ianya membantu kita menjadi penulis yang lebih baik, insya-Allah.