Memaparkan catatan dengan label Sekilas Pandang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekilas Pandang. Papar semua catatan

Selasa, 3 Mac 2009

Media, artis dan ilmuwan

Buku Sekilas Pandang Ismail Haji Ibrahim sering mengundang senyum apabila aku membaca isinya. Banyak perkara yang ditulis oleh Profesor Dato' Dr Ismail Haji Ibrahim menyentuh hal-hal yang sering diperkatakan ramai. Beliau menggunakan bahasa yang mudah tetapi penuh makna dan tajam maksudnya.

Sewaktu membicarakan mengenai media elektronik yang lebih kerap menonjolkan golongan artis, beliau menulis:

Peratusan program pendidikan dan maklumat amat kecil. Jika ada pun, program pendidikan dan maklumat ini sering disiarkan ketika orang sibuk bekerja, orang bersembahyang di masjid ataupun ketika semua orang sudah masuk tidur. Masa yang dikenali sebagai masa utama itu hanya diisi dengan program hiburan.
[Halaman 144]
Bila difikir-fikir kembali, memang benar masa utama di televisyen dan radio lebih ditumpukan kepada hiburan. Banyak penaja berebut-rebut mahu membeli ruang udara ketika waktu utama kerana jumlah penonton dan pendengar yang tinggi pada waktu tersebut. Jika waktu utama diisi dengan program-program pendidikan atau maklumat, barangkali tidak ada yang mahu menonton ataupun mendengar.

Kalau ada pun program-program sedemikian rupa, ia dipakejkan dengan penuh glamor. Adakalanya keglamoran penyampai program menenggelamkan isi kandungan program itu.

Sabtu, 28 Februari 2009

Bakal terbit: "Sekilas Pandang Ismail Haji Ibrahim"

Sebenarnya menulis novel hanya aktiviti "sampingan" yang aku lakukan apabila ada masa senggang. Tugas hakiki di pejabat banyak meliputi kerja-kerja menyelidik, menulis dan membentang kertas kerja, menyampaikan ceramah, menulis artikel akhbar dan majalah, menyunting buku-buku ilmiah, di samping tugas-tugas pentadbiran yang lain.

Bagi tahun 2009 ini, banyak buku ilmiah dan separa ilmiah bakal diterbitkan oleh Yayasan Ilmuwan. Dengan itu, aku bergembira untuk memperkenalkan buku pertama terbitan Yayasan Ilmuwan iaitu Sekilas Pandang Ismail Haji Ibrahim yang bakal menemui pembaca pada minggu ketiga bulan Mac, insya-Allah.

Buku ini memuatkan buah fikiran Yang Berbahagia Profesor Dato' Dr Ismail Haji Ibrahim yang kini ialah Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, mantan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, mantan Profesor Adjung di Universiti Industri Selangor dan Universiti Teknologi MARA, di samping pernah berkhidmat sebagai Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Buku setebal 316 halaman ini berharga RM28.