Jumaat, 28 Mac 2008

Siap juga akhirnya

Alhamdulillah!

Selepas memulakan penulisan pada bulan November tahun lalu, akhirnya aku berjaya menintakan perkataan terakhir bagi nopen (novel pendek) bertajuk "Menagih Janji Langit Malam." Hampir lima bulan masa yang diperlukan untuk menyiapkan nopen ini. Sebenarnya lebih 90% kandungan nopen ini siap pada bulan Disember lalu tetapi aku terpaksa "berehat sementara" bagi menumpukan perhatian kepada beberapa urusan penting di pejabat dan juga urusan peribadi. Namun semalam aku bulatkan tekad untuk menyiapkan juga nopen ini, dan akhirnya siap juga "Menagih Janji Langit Malam." Ini bermakna satu daripada sasaran kedua untuk tahun 2008 telah berjaya aku penuhi.

"Menagih Janji Langit Malam" adalah sebuah kisah fiksyen sains yang secara peribadi aku rasa sedikit pelik dari biasa. Buat masa ini, aku tidak dapat dedahkan lagi sinopsis kisah ini tetapi insya-Allah, bila sampai masanya, aku akan kongsikan sinopsis nopen ini di blog ini.

Untuk makluman juga, "Menagih Janji Langit Malam" adalah satu daripada tiga nopen yang aku akan terbitkan bersama-sama novelis Izza Aripin yang juga akan menulis tiga lagi nopen. Semua nopen ini bertemakan fiksyen sains dan fantasi.

Siapa penerbit antologi nopen ini? Bilakah antologi ini akan menemui pembaca? Nantikan maklumat yang akan disampaikan dari semasa ke semasa.

Khamis, 27 Mac 2008

Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi

Lama sungguh aku tidak mengemas kini blog ini. Alasan lapuk - hambatan tugas dan kesuntukan masa - menjadi hujah pembelaan buat diri ini. Kepada pengunjung-pengunjung setia, aku pohon ampun dan maaf kerana tidak berkemampuan untuk memasukkan catatan-catatan baru semenjak kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, aku ingin menyampaikan perkhabaran yang diterima daripada saudara RMN mengenai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi. Sebenarnya aku diberitahu tentang sayembara ini pada bulan Oktober tahun lepas oleh novelis Rabiatul Adawiyah. Aku cuba menghubungi pihak penganjur iaitu Penerbit Universiti Teknologi Malaysia menerusi e-mel pada 4 November yang lalu, tetapi tidak ada sebarang maklum balas yang diterima.

Pagi ini, aku menerima e-mel mengenai perkara ini daripada saudara Yosman Mohd Bain dari Penerbit UTM yang memaklumkan tentang kelewatan yang disebabkan oleh masalah teknikal. Dan apabila aku memasuki blog ini, aku terpandang pesanan yang ditinggalkan oleh saudara RMN mengenai perkara yang sama. Lantas, di sini aku uar-uarkan perkara ini kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya.

Adakah aku akan menyertai sayembara ini?

Minat itu ada... tetapi aku belum pasti sama ada aku punya kudrat untuk menyertai. Aku hanya mampu berkata, "insya-Allah."