Jumaat, 18 Julai 2008

Darius mengulas "Ombak Senja"

Dalam sibuk-sibuk bercakap tentang novelku yang terbaru, tiba-tiba ada satu ulasan mengenai Ombak Senja di blog resensi milik Darius. Berikut adalah ulasan Darius:

Naskhah
Ombak Senja (OS) sudah lama berada di tangan Darius, dan rasanya setakat ini sudah tiga kali Darius baca kisah Hairi dan Sofea ini. Daripada pengamatan Darius apabila bertanya kepada mereka yang sudah membaca OS, ramai yang sependapat bahawa kisah ini ada kelainannya. Ya, OS adalah kisah cinta lama yang berputik kembali tetapi ia bukan kisah biasa. Malah cinta di dalam OS juga hanyalah penggerak jalan cerita dan bukannya jalan cerita utama itu sendiri. Sebaliknya permasalahan yang diutarakan oleh penulis di dalam OS lebih tertumpu kepada stigma masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS.

Hairi yang menghilang selama 10 tahun tiba-tiba kembali ke kampungnya. Permulaan kisah ini sedikit perlahan tetapi pace OS bertambah rancak sebaik Hairi mendedahkan rahsianya kepada Zirul dan sebab mengapa dia kembali selepas satu dekad. Dan kemudiannya, apabila Hairi tercedera, rahsia yang disimpan itu mula diketahui oleh orang lain. Kata Zirul kepada Dr Sofea:

"...apabila seekor gajah nak mati, dia mempunyai gerak hati untuk kembali ke tapak perkuburan nenek moyangnya yang telah mati. Abang Hairi kembali ke sini selepas sepuluh tahun menghilangkan diri sebab dia tahu yang dia tak punya banyak masa untuk hidup..."
Tema OS banyak berkisar kepada keinsafan, kemaafan, persaudaraan dan pengorbanan. OS juga menyebabkan pembaca berfikir apakah yang akan dilakukan oleh diri kita seandainya kita berada di tempat mereka yang berada di sekeliling Hairi yang menghidapi AIDS. Adakah kita sanggup menerima orang seperti ini? Adakah kita akan mempunyai prejudis terhadap orang seperti Hairi? Andai orang itu sudah melakukan kesalahan, mampukah atau sanggupkah kita memaafkannya?

Darius sendiri tidak habis-habis berfikir sendirian. Andai kata ada sahabat atau ahli keluarga yang menghidapi AIDS atau HIV, adakah Darius boleh menerimanya? Aiman mungkin tak kisah, tetapi Darius sendiri tak pasti...

Walau apapun, novel pertama Amir Husaini ini melangkaui stereotaip kisah cinta biasa. Penceritaannya lancar dan grafik sehingga membolehkan pembaca membayangkan suasana dan persekitaran latar cerita tersebut. Kalau anda tidak terasa sebak di akhir novel ini, Darius kira mungkin anda tidak punya perasaan.

Kata
Darius:
Ombak Senja menjadi pilihan buat mereka yang mahu berfikir dan merenung. Usai membaca terasa insaf.

Terima kasih Darius di atas ulasan tersebut. Kepada yang belum mendapatkan naskhah Ombak Senja, novel ini masih boleh didapati di kedai-kedai buku utama.

Selasa, 15 Julai 2008

Promo "Transgenesis: Bisikan Rimba" di YouTube

Terima kasih kepada saudara Mat Jan dan kawan-kawannya di PTS di atas kreativiti mereka membikin sebuah cereka pendek untuk mempromosikan Transgenesis: Bisikan Rimba.



Sampai sekarang aku masih ketawa seorang diri.

Isnin, 14 Julai 2008

Wajah baru

Sengaja aku membuat perubahan wajah yang agak besar bagi blog ini. Semoga wajah baru ini memberikan lebih ketenangan buat pengunjung semua.