Khamis, 2 Ogos 2007

Inilah kisahku [Bahagian 3]

Seperti yang dijanjikan, pada hari Khamis ini, aku kembali dengan sambungan "Inilah Kisahku." Pada mulanya aku ingin sambung kisah selepas aku tamat pengajian dan kembali ke tanah air tetapi selepas difikirkan kembali ada beberapa perkara yang berlaku di UK yang perlu dicoretkan.

Semasa aku melalui pengajian asasi di Langside College of Further Education di kota Glasgow, aku telah menulis beberapa cerpen di dalam Bahasa Inggeris. Niatku sekadar untuk memperbaiki aspek penulisan Bahasa Inggeris. Aku telah menyiapkan beberapa cerpen (yang jumlahnya aku sendiri sudah lupa) dan aku serahkan kepada pensyarah Bahasa Inggerisku ketika itu. Dia telah menggalakkan aku supaya terus menulis kerana katanya imaginasiku agak luar biasa.

Sayang sekali aku tidak lagi menyimpan cerpen-cerpen itu. Entah ke mana perginya, aku sendiri tidak pasti. Maklum sajalah, zaman sebelum pelajar mampu menggunakan komputer, semuanya ditulis tangan di atas helaian kertas. Walau bagaimanapun, daripada cerpen-cerpen yang ditulis itu, aku paling ingat - dan masih ingat dengan jelas - dua cerpen. Satu bertajuk "Flora" dan satu lagi bertajuk "The Child." Sebenarnya Transgenesis yang giat ditulis sekarang ini menggunakan "Flora" sebagai premis utama dan disulam dengan beberapa aspek daripada kisah "The Child." Sekurang-kurangnya aku tidaklah rasa rugi kerana tidak membiarkan cerpen-cerpen yang ditulis pada tahun 1992 itu hilang begitu sahaja.

Sepanjang aku berada di UK inilah aku ditemani oleh buku-buku karya penulis-penulis Barat. Namun cita rasaku lebih kepada genre fiksyen sains, fantasi dan seram. Aku banyak membaca karya-karya Stephen King, J.R.R. Tolkien, Arthur C. Clarke dan Isaac Asimov. Aku juga banyak menghabiskan masa membaca komik-komik terutamanya yang diterbitkan oleh Marvel Comics. Agaknya kerana membaca karya-karya seperti ini menyebabkan imaginasiku menjadi sedikit "liar," apa lagi ketika itu usiaku masih di peringkat remaja dengan pelbagai naluri yang memberontak dek hormon yang belum stabil!

Semasa di universiti, minat untuk menulis mendorong aku menyertai kelas penulisan kreatif. Walaupun fokus kelas-kelas ini banyak tertumpu kepada pengkaryaan Bahasa Inggeris, aku dapat rasakan banyak manfaat yang aku perolehi. Di sini aku didedahkan tentang kaedah pengolahan jalan cerita dan kepentingan memastikan agar watak dan perwatakan dibina dengan mantap.

Namun, sayang aku tidak pernah praktikkan apa yang aku perolehi sepanjang aku di UK ini. Aku sekadar menyimpan hasrat yang satu hari nanti aku akan mencari masa untuk menulis novel. Mungkin ada baiknya kerana ketika itu fokus utama aku adalah pengajian dan fokus kedua adalah hal-hal kebajikan penuntut di sana. Walau apa sekalipun, selepas cerpen-cerpen yang aku tulis pada tahun 1992, tiada lagi penulisan kreatif hasil kerja tanganku sehinggalah aku kembali ke Malaysia hampir setengah dekad kemudian.

[Bersambung...]