Alhamdulillah, blog ini kini sudah mempunyai catatan yang ke-100. Untuk catatan ke-100 ini, aku mahu coretkan sesuatu yang aku kira sedikit istimewa, iaitu proses ke arah penghasilan Transgenesis: Bisikan Rimba.
Aku bukanlah penulis yang sekadar menulis untuk suka-suka. Setiap yang aku tintakan itu ada kisahnya dan ada pula sebabnya. Begitu juga dengan Transgenesis: Bisikan Rimba. Di bawah ini, aku kongsikan sepuluh trivia di dalam menghasilkan Transgenesis: Bisikan Rimba.
Trivia #1:
Watak Flora sebenarnya pertama kali lahir dari benak fikiranku pada tahun 1992. Ketika itu, aku sedang berkelana menuntut ilmu di bumi kelahiran William Wallace dan Rob Roy, iaitu Scotland. Aku baru beberapa bulan di situ, dan aku bertekad mahu menajamkan penguasaan Bahasa Inggeris di sana. Jadi aku memilih untuk menulis cerita-cerita pendek di dalam Bahasa Inggeris untuk disemak oleh pensyarah bahasa tersebut. Dan satu daripada cerita pendek yang aku tulis (dengan tangan dan bukannya ditaip menggunakan komputer) bertajuk "Flora". Cerpen ini mengisahkan satu makhluk jelmaan pokok yang menyerupai manusia yang membalas dendam ke atas mereka yang "membunuh" pokok-pokok bagi mengaut keuntungan. Walaupun asal-usul watak "Flora" di sini jauh berbeza daripada watak "Flora" di dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, tetapi kisah di dalam cerpen ini juga berkisar tentang dendam dan sifat manusia yang tidak bertanggungjawab.
Trivia #2:
Aku membayangkan watak "Flora" atau "Subjek 4-7-9-1" dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini seperti Jean Grey dari komik popular X-Men. Malah terdapat satu babak di dalam novel ini apabila Flora muncul dari lurah menyelamatkan Datuk Jay yang terjatuh, yang inspirasinya aku perolehi daripada kulit hadapan Uncanny X-Men #101. Bezanya, Flora muncul dari lurah di lereng gunung di dalam hutan manakala Phoenix muncul dari dalam tasik. Dan satu lagi perbezaan ketara ialah Flora menutup aurat!
Trivia #3:
Tracker pula ialah satu watak yang sengaja aku tidak kembangkan terlalu banyak. Sekadar inspirasi watak ini aku perolehi daripada tiga sumber. Pertama, susuk tubuh Tracker aku bayangkan seperti watak mutan bernama Random yang pertama kali muncul di dalam komik X-Factor. Kedua, cara percakapan Tracker yang suka memanggil orang dengan gelaran tertentu ialah seperti watak Paris dari kumpulan Pantheon yang pertama kali muncul di dalam komik the Incredible Hulk. Dan ketiga, kedegilan Tracker untuk "mati" diinspirasikan daripada watak Murdoc dari siri sukaramai pada tahun 1980-an iaitu "MacGyver". Jika ada yang masih ingat, Murdoc sering menjerit "MACGYVER!" pada "saat kematiannya" dan inilah yang dilakukan oleh Tracker pada "saat kematiannya" dengan menjerit "FLOOO!!!" [Apa yang dicatatkan ini sebenarnya memberikan satu klu tentang nasib Tracker yang akan dijawab di dalam bahagian kedua nanti].
Trivia #4:
Watak-watak sokongan seperti Profesor Ned, Tauke Hwang Chien Ming, Dr Kenneth Ramsay, Wak Salamian dan Inspektor Adzwar, serta watak-watak yang hanya disebut tetapi tidak muncul di dalam cerita seperti Pok Li, Datuk Khairul, Datin Noor, Nadzirah dan Sharmini didasarkan kepada orang yang aku kenal. Malah, nama mereka juga aku kekalkan, sekadar aku ubah perwatakan bagi disesuaikan di dalam kisah ini.
Trivia #5:
Pada asalnya, aku ingin gunakan haruman kemboja dan bukannya haruman kenanga sebagai haruman yang sinonim dengan beberapa watak kisah ini. Namun demikian, seorang sahabat mencadangkan agar kenanga digunakan. Dan seorang sahabat lagi memberitahu tentang tujuh bunga wangi yang digunakan di dalam perubatan Melayu, dan salah satunya ialah kenanga. Itulah sebabnya aku ubah kemboja kepada kenanga.
Trivia #6:
Draf pertama novel ini melibatkan watak utama Nenek Melor, dan bukannya Datin Kay. Sekali lagi, atas maklum balas seorang sahabat, aku ubah jalan cerita untuk menjadikannya lebih menarik. Di dalam proses penulisan semula, watak Nenek Melor tidak muncul, sebaliknya diganti oleh watak Datin Kay. Namun, watak Melor ini muncul juga di dalam bentuk yang sedikit berbeza.
Trivia #7:
Aku sebenarnya mempunyai tiga versi kesudahan bagi Transgenesis: Bisikan Rimba. Satu versi mengisahkan Buraquzzaman Baharuddin berjaya menyelesaikan misteri pembunuhan Tauke Hwang Chien Ming dan menjadi wira yang disanjung. Tetapi aku buang versi ini kerana terlalu "biasa". Versi kedua pula melibatkan identiti pembunuh di mana Datin Kay ialah orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tauke balak tersebut. Ini juga aku tidak gunakan kerana sekali lagi aku rasakan ia "biasa" sahaja. Versi ketiga ialah pindaan kepada versi kedua. Versi inilah yang digunakan di dalam novel yang telah terbit iaitu apabila aku dedahkan yang sebenarnya ada dalang di sebalik semua yang berlaku.
Trivia #8:
Nama asal watak Buraquzzaman Baharuddin ialah Huzaimi Hazim. Mengapa aku tukar? Itu tidak boleh didedahkan terlebih dahulu, sekadar yang aku boleh katakan "nama itu ialah doa". Insya-Allah jawapannya akan diberi di dalam bahagian ketiga siri ini.
Trivia #9:
Hampir kesemua fakta mengenai bioteknologi di dalam kisah ini ialah fakta sebenar. Yang fiksyen hanyalah bahagian yang melibatkan eksperimen Datin Kay dan eksperimen Dr Ramsay.
Trivia #10:
Aku memuatkan isu bioetika sebagai tema utama novel ini kerana kecewa dengan ketidakprihatinan banyak pihak terhadap kepentingan perkara ini. Aku mengharapkan agar pendekatan mengenengahkan isu bioetika menerusi penulisan kreatif akan membawa kesedaran mengenai isu penting ini kepada masyarakat yang membaca. Tambahan pula, penyelidikan sains tidak wajar sekadar dijalankan demi sains semata-mata. Penyelidikan sains perlu dijalankan dengan rasa penuh tanggungjawab dan rendah diri.
Selasa, 16 September 2008
Catatan blog ke-100: Trivia "Transgenesis: Bisikan Rimba"
Dicoret oleh Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen pada 23:59 0 maklum balas
Label kisahku, komentar, Transgenesis
Ahad, 14 September 2008
Suara hati pembaca remaja
Aku sebenarnya baru kembali ke Kuala Lumpur selepas berada di Kedah atas urusan keluarga. Sebaik tiba, tergerak hati untuk memeriksa e-mel dan blog. Aku tersentuh apabila membaca dua maklum balas dari dua orang remaja yang telah membaca Transgenesis: Bisikan Rimba.
Pertama, adik Nur Aqilah yang meninggalkan komen di blog ini.
Assalamualaikum,saya Nor Aqilah,baru berusia 14 tahun.Saya suka sangat baca buku Trangenesis tu. Tapi saya ada soalan Trangenesis akan keluar dgn buku ke-2 ke? sebab ceritanya agak tergantung. Kalau ada,bila ia akn diterbitkan? Harap dapat memberi jwpn pada saya...Adik Nur Aqilah juga membuat ulasan di blognya. Tulisnya:
Assalamualaikum,Seorang lagi remaja, adik Siti Nazirah telah meninggal maklum balas di blog Waris Jagat. Terima kasih kepada saudara Waris Jagat yang sudi memanjangkan maklum balas ini untuk perhatianku. Tulis adik Siti Nazirah:
Dah lama aku tak masukkan entri baru bkan apa malas nak taip ni,Penat!! hari ni aku nak citer ttg satu bku yang baru kau baca ni,best la jugak.
Buku ni adalah novel Sci-fic yang pertama aku baca,aku tgk coverpagenya di kedai buku Popular,aku baca sinopsis dan terasa nak beli,tapi malangnya aku takde duit masa tu.Aku pun kumpulkankan duit untuk membeli buku ni,sebab aku tak nak mintak mak aku.
Buku ni berkisah kan teknologi pemindahan genetik tumbuhan pada embrio yang diklonkan daripada manusia. Cita-cita Datin Kay yang ingin mencipta manusia yang sempurna yang boleh membuat makanan sendiri melalui fotosintesis telah membawanya untuk membuka sebuah institut yang diberi nama Institut Trans-DNA.Institut ini telah membuat eksperimen tentang kajian ini secara rahsia...
Suatu hari eksperimen yang diberi nama Subjek 4-7-9-1 telah melarikan diri.Selepas beberapa hari eksperimen itu hilang,berita tentang pembunuhan Tauke balak yang bernama Hwang Chien Ming tersebar keseluruh negara.Berita ini bertambah hangat apabila penulis berita ini,Buraqquzzaman Baharuddin mengaitkan tentang gadis berambut hijau yang membunuh tauke balak itu.Melalui pembunuhan inilah,segala rahsia yang telah disimpan oleh Datin Kay selama hampir 17 tahun mula terbongkar,satu demi satu.
Cerita ini masih punya banyak persoalan,dan penulisnya,Amir Husaini sendiri telah menyenaraikannya melalui soaln Ammar Qusyairi(mungkin nama anak dia)kepada seorang lelaki tua yang menceritakan kisah diatas kepadanya.Apa-apa pun cerita ni memang best..beli dan baca sendiri.tak sia-sia RM24.00 aku...Sekian sahaja Entri aku ari ni...bila agaknya nak keluar yang kedua??
Kepada saudara Amir Husaini, saya sudahpun membaca “transgenesis:bisikan rimba” ini..oleh kerana terlalu tertarik dengan ceritanya, jadi saya pun mencadangkan buku ini kepada mak saya dan beberapa orang rakan saya. Ternyata mereka turut meminati cerita ini walaupun baru 2 orang yang sudah membacanya tidak termasuk mak saya. Sukar bagi saya meyakinkan rakan-rakan saya yang lain kerana mereka kurang tertarik jika penulis lelaki yang mengarang buku. Bagi saya,mereka sangat rugi kerana tidak membacanya terlebih dahulu sedangkan 2 orang rakan saya tadi begitu meminatinya. Di sini saya ingin bertanya,bila saudara ingin menyambung cerita ini kerana mak saya begitu tertarik hingga dia berkata begini “adik,kalau ada sambungan cerita ni,mak sanggup bagi adik duit beli buku tu” menunjukkan mak saya begitu tertarik membaca buku saudara sedangkan selama ini saya harus berjimat dengan duit belanja saya di sekolah untuk membeli buku cerita.Saya pun masih tertanya-tanya bila agaknya buku ini akan bersambung? Saya harap saudara tidak menghampakan peminat-peminat saudara di luar sana.. Wassalam..Tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan ini apabila membaca suara hati pembaca-pembaca remaja ini. Insya-Allah sambungan Transgenesis: Bisikan Rimba sedang disiapkan dan dijadualkan akan terbit pada suku pertama tahun 2009. Dan sebenarnya, kisah ini ialah satu trilogi, dan bahagian ketiga akan menyusul pada tahun 2010.
Apapun, terima kasih tidak terhingga di atas sokongan dan dorongan semua pihak. Insya-Allah aku akan lakukan yang terbaik.
Dicoret oleh Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen pada 18:23 1 maklum balas
Label maklum balas, Transgenesis
Langgan:
Catatan (Atom)