Isnin, 5 Mei 2008

Nopen dan novel fiksyen sains

Aku telah pun memulakan penulisan untuk nopen "Mencari Nessie." Rasanya aku boleh siapkan nopen ini di dalam masa yang terdekat. Seperti juga nopen "Menagih Janji Langit Malam," nopen "Mencari Nessie" juga sedikit lari dari kebiasaan dalam konteks penceritaan. Cerita ini berlatarbelakangkan kota yang pernah menjadi tempat tinggalku selama separuh dekad iaitu Glasgow. Dan mungkin ada yang boleh mengagak isi utama cerita ini daripada tajuk nopen.

Walau apapun, nopen "Mencari Nessie" ini merupakan nopen kedua yang aku tulis untuk antologi nopen yang dirancang bersama novelis Izza Aripin. Walaupun "Menangih Janji Langit Malam" mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan, aku tidak bercadang untuk melengah-lengahkan penulisan bagi "Mencari Nessie." Insya-Allah, nopen ini bakal siap di dalam masa terdekat ini.

Bagi memastikan penerbitan antologi nopen ini berjalan lancar, Izza Aripin dan aku telah sepakat untuk menetapkan tarikh 15 Jun 2008 sebagai tarikh akhir bagi kami menyiapkan kesemua nopen. Untuk makluman, aku menulis tiga cerita manakala Izza Aripin menulis tiga lagi cerita. Kesemua cerita ini bertemakan fiksyen sains dan fantasi. Sekiranya apa yang dirancang oleh aku dan Izza Aripin menjadi kenyataan, kisah-kisah nopen ini akan digarap dan diulit di dalam satu bentuk yang belum pernah dilakukan lagi sebelum ini. Buat masa ini, sinopsis nopen-nopen ini masih rahsia. Insya-Allah masa yang sesuai akan sampai bagi kami menguar-uarkan perincian mengenai antologi ini.

Sementara itu, terdapat sedikit perubahan bagi nopen ketiga yang bakal aku tulis. Asalnya aku ingin menulis sebuah nopen bertajuk "Koloni 1974" tetapi kini aku telah berubah fikiran. "Koloni 1974" akan aku garap menjadi sebuah novel fiksyen sains yang akan aku usahakan bagi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuknya juga akan diubah sedikit bagi menyesuaikan dengan beberapa perubahan ke atas jalan cerita ini. Jadi bagi menggantikan "Koloni 1974," aku akan menulis sebuah cerita lain dengan tajuk "Detik."

Nantikan maklumat lanjut mengenai perkembangan penulisan-penulisan ini!

0 maklum balas: