Khamis, 7 Jun 2007

Adakah ruang untuk fiksyen sains?

Aku sebenarnya membesar dengan karya-karya fiksyen sains. Karya-karya ini mungkin dalam bentuk bahan cetak (buku dan komik) ataupun bahan pandang dengar (kartun, siri di kaca televisyen atau cereka di pawagam). Malah terus-terang aku akui yang aku belajar menguasai Bahasa Inggeris daripada sumber-sumber ini.

Kebanyakan karya fiksyen sains didapati di dalam Bahasa Inggeris. Tidak banyak yang ditulis di dalam Bahasa Malaysia dan kalau adapun, setakat ini tidak begitu mendapat perhatian orang. Aku dapat rasakan yang karya fiksyen sains tidak begitu luas pasarannya berbanding karya fiksyen yang bertemakan kisah masyarakat atau cinta.

Aku gemar membaca karya-karya fiksyen sains ini kerana kagum dengan keupayaan penulis-penulisnya yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Ironisnya, kalau kita baca karya-karya fiksyen sains yang ditulis pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, ada di antara perkara fiksyen ini telah menjadi fakta sains. Misalnya karya Jules Verne yang pertama kali terbit pada tahun 1865, From the Earth to the Moon. Kira-kira 100 tahun sebelum Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, Jules Verne telah menghasilkan kisah manusia sampai ke bulan. Walaupun banyak perkara yang ditulis di dalam karya ini bersifat pseudosains, hakikatnya imaginasi Jules Verne telah menjadi fakta.

Aku gembira kiranya ada penulis di negara kita yang mampu menghasilkan karya fiksyen sains yang baik. Ketika ini aku sedang membaca Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi karya Hani Ismail. Walaupun karya ini disasarkan kepada kalangan remaja, aku agak teruja kerana unsur-unsur fiksyen sains telah digarap dengan menarik. Pada hematku, Hani Ismail bijak mensasarkan karyanya ini khusus untuk remaja. Aku dapat rasakan yang remaja lebih meminati genre fiksyen sains ini berbanding pembaca yang lebih dewasa dan matang.

Aku sendiri sedang berhempas-pulas menyiapkan "Transgenesis" yang sememangnya adalah sebuah karya fiksyen sains. Cuma bezanya dengan Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi ialah khalayak sasaranku bukan remaja. Sama ada karya ini bakal mendapat tempat di hati pembaca, terpulang kepada kalian untuk menentukannya kelak.

4 maklum balas:

Tanpa Nama berkata...

Saya berpegang kepada prinsip tulis sahaja. Tulis saja Mir, nanti pasti ada penerbit yang berminat utk menerbitkan karya sdr itu. Saya kini sedang menulis 3 novel fantasi serentak. Novel pertama baru sahaja hendak terbit dgn DBP, katanya bulan Julai ini. Saya berdoa biar jadi kenyataan kerana sudah hampir 2 thn setengah saya menunggu ia diterbitkan. Setelah itu saya enggan lagi menerbitkan karya di sana setakat ini ... adehh lambat sgt ... jemput lah ke blog utk melihat cover novel (errr baru cover lah) hehehhe

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Saya sememangnya menulis sahaja apa yang ingin saya tulis. Cuma kadang-kadang tu terfikir juga tentang soal pasaran buku ni. Tahniah atas kelahiran novel saudara... saya dah tengok covernya. Menarik warna dan reka letaknya. Syabas!

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas doa sdr. Dengan tintarona bagaimana? Ada sampai 2 thn mcm saya alami dgn DBP?

Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen berkata...

Tintarona lebih kurang 6 bulan kalau tak silap ingatan saya. Taklah lama sangat.