Khamis, 22 Jun 2006

Sepetang di Carrefour

Dalam kesibukan hari ini, aku dan isteri pergi ke Carrefour Wangsa Maju lewat petang tadi. Ada beberapa benda yang perlu dibeli dan kami juga mengambil kesempatan untuk makan malam di situ.

Antara tempat wajib yang akan ku singgah setiap kali di Carrefour adalah kedai buku di situ. Dalam membelek-belek buku-buku yang ada, aku terpandang novel-novel di situ. Antaranya ialah ...dan Mimpi pun Bersatu karya sahabatku Izza Aripin. Tersenyum aku sendirian sambil bertanya diri sendiri, bila agaknya novelku akan berada di pasaran.

Aku memegang naskhah novel ...dan Mimpi pun Bersatu tersebut. Inginku beli tapi entah mengapa bila diintai dompetku, tunaiku tak mencukupi. Rasa malas untuk ke mesin ATM. Tapi tak mengapa, memang aku selalu juga ke situ. Aku tintakan di mindaku supaya novel itu akan ku beli bila aku ke sana lagi. Dan aku akan minta Izza Aripin untuk menurunkan autografnya di naskhahku itu.

Aku membeli akhbar Kosmo di kedai buku itu. Aku bukanlah jenis yang suka membaca akhbar tabloid, tapi sebab tunaiku tidak banyak, aku membuat keputusan untuk membeli akhbar yang hanya berharga 80 sen itu. Aku rasa aku membuat keputusan yang tepat kerana di dalam akhbar Kosmo hari ini ada 3 rencana mengenai dilema penulis novel baru.

Aku membaca rencana-rencana itu dan tersenyum seorang diri. Betapa benarnya apa yang tercatat. Namun, itulah cabaran kepada sesiapa yang ingin bergelar novelis.

Rabu, 21 Jun 2006

Komen tentang "Stigma"

Seperti yang kalian semua mungkin sudah maklum, aku telah menyiapkan novel pertamaku pada tahun 1998 lagi. Tapi aku belum terbitkan lagi novel ini yang aku namakan "Stigma." Aku telah serahkan novelku ini untuk dinilai oleh beberapa orang.

Berikut ialah komen daripada saudara Ali Majod yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka mengenai novel ini:

AMARAN: ADA PENDEDAHAN SEDIKIT SEBANYAK TENTANG PLOT CERITA INI DARIPADA ULASAN YANG DIBERIKAN. SEKIRANYA ANDA TIDAK MAHU TAHU PERJALANAN KISAH INI, ELOKLAH BERHENTI DI SINI.

Persoalan:
Persoalan manuskrip ini suatu persoalan yang menarik iaitu keagungan cinta. Ketulusan hati dan kesabaran yang luar biasa tertonjol di dalamnya. Memang betullah, cinta akan mengatasi semua rintangan.
Latar kepada persoalan ini ialah masalah penyakit AIDS. Watak utamanya menghadapi masalah penyakit ini dan dia berkahwin dan beranak.
Inilah persoalan sebenarnya. Setakat mana kemampuan kita mendalami persekitaran penyakit AIDS ini. Penilai sendiri berasa gelap dan tidak dapat menentukannya. Ini kerana pengetahuan penilai sendiri dengan mangsa penyakit ini agak terbatas. Yang penilai tahu apabila mangsa penyakit ini meninggal, pihak hospital yang menguruskan semuanya. Dan mayatnya dibungkus dengan plastik. Apabila dibawa balik terus sahaja dikebumikan. Warisnya dilarang menceritakan apa yang dilihatnya pada mayat itu.
Maka itu manuskrip ini kepada pihak mana yang mahu menerbitkannya. Ini juga satu persoalan lagi.

Struktur penceritaan:
Tiada masalah dalam teknik penceritaan manuskrip ini. Pengarang mengolah persoalannya dengan baik dan menarik. Plotnya berjalan lancar dan agak kompleks sifatnya kerana dibumbui oleh flash back di sana sini.
Konflik dibina dengan baik oleh pengarang. Terasa pengarang orang yang sudah berpengalaman menulis. Ini kerana struktur binaan novel muncul dengan baik sekali.
Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa. Pelukisan perwatakan ini berjaya ditonjolkan oleh pengarang.
Penggunaan bahasanya juga baik. Amat serasi penggunaan bahasa dengan latar dan persoalan. Ada unsur-unsur falsafah lewat penggunaan bahasanya. Maka itu gerak watak dengan latar menjadi sangat jelas dan hidup.

Kesimpulan:
Manuskrip ini bagus dari segi persoalan, iaitu keagungan cinta. Dan teknik penceritaannya juga baik, bersahaja dan organik sifatnya. Ada unsur konflik yang mewarnai jalinan plotnya.

Wallahua'lam.

Aku sengaja kongsikan pandangan saudara Ali Majod yang memberikan ulasannya sekitar tahun 2000 yang lalu. Aku masih simpan lagi ulasannya ini dan apa yang diperturunkan di atas adalah keseluruhan ulasannya tanpa disunting sepatah perkataan pun.

Beberapa perkara yang telah aku lakukan berdasarkan input ulasan ini:
  1. Aku telah hubungi seorang pakar penyakit AIDS di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk memastikan agar fakta di dalam kisah ini tepat (terutamanya yang melibatkan perkahwinan dan pengurusan jenazah).
  2. Semenjak tahun 2000, aku juga telah membuat sedikit penulisan semula kepada kisah ini mengambil kira perkembangan-perkembangan semasa.
Aku telah menghubungi satu syarikat penerbitan yang agak besar juga (bukan DBP) untuk ku hantarkan manuskrip novel ini untuk dinilai. Insya-Allah hari Selasa depan, aku akan bertemu dengan editornya.

Aku cuma berdoa agar manuskrip ini akan diterima untuk diterbitkan.

Selasa, 20 Jun 2006

E-Novel dan dakwah

Pertama sekali terima kasih kepada semua yang sudi mendengar celotehku dan Izza Aripin di Radio IKIM jam 10.30 pagi tadi. Terima kasih juga kepada Ustaz Mahathir yang menjadi pengantara program IKIM.com tadi. Penghargaan juga kepada Izza kerana sudi menjadi reguku di konti Radio IKIM tadi. Jangan serik ya, Izza?

Sengaja kami bawakan topik e-novel ini sekadar untuk mengajak semua yang berkecimpung dalam dunia penulisan Internet ini untuk memikirkan kemungkinan untuk menggunakan wadah ini untuk menyampaikan mesej dakwah. Kisah yang disampaikan tidak perlu bersifat "doktrinasi" atau "memaksa," sebaliknya mesej dakwah itu boleh diselitkan secara halus dan tersirat menerusi penerapan nilai-nilai Islam di dalam kisah yang disampaikan.

Kita tidak perlu melabelkan segala-galanya sebagai Islamik untuk menjadikannya serasi dengan Islam. Sebaliknya pendekatan yang bijaksana dan penuh hikmah dengan menerapkan unsur-unsur ini secara tersirat mampu menjadi satu mesej dakwah yang lebih berkesan berbanding yang disampaikan secara tersurat.

Apapun teknologi perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk berdakwah. Inilah yang aku perjuangkan selama hampir 7 tahun setengah aku di tempat kerja lamaku dengan mengenengahkan idea tentang "tekno-dai." Aku harap mereka yang serasi dengan teknologi mampu menjadi golongan baru pendakwah (dai) yang teknosentrik supaya golongan sasar masa kini dapat didekati. Itulah harapanku.