Khamis, 17 April 2008

Mencari "Ombak Senja"

Maka selesailah sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur untuk tahun ini. Aku sempat menjengah ke Pusat Dagangan Dunia Putra untuk meninjau suasana. Memang, seperti tahun-tahun sebelum ini, banyak sekali bahan cetak yang menarik perhatian. Cuma aku sedikit terkilan kerana tidak punya banyak masa untuk diluangkan di situ. Rancangan untuk mengunjungi pesta buku ini sekali lagi di hujung minggu juga tergendala akibat kesihatan yang tidak mengizinkan.

Khabar yang aku terima mengatakan naskhah Ombak Senja sukar didapati di gerai Utusan Publications and Distributors. Semasa aku di situ, aku juga bertanya tentang hal ini, dan respons yang aku terima dari petugas di situ ialah, "Sepatutnya ada di sini." Sayangnya apabila dicari, naskhah tersebut tidak dapat ditemui. Aku tidak pasti sama ada novel itu habis terjual di dalam beberapa hari pertama pesta buku berjalan atau jika novel itu tidak dibawa ke tapak pesta. Jika novel itu habis terjual, aku bersyukur. Tetapi jika novel itu tidak dibawa, aku tidak tahu apa yang hendak dikata. Satu cara untuk aku pastikan apa yang berlaku adalah dengan merujuk kepada jumlah jualan naskhah novel ini sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung.

Walau bagaimanapun, menurut novelis Rabiatul Adawiyah yang singgah di gerai Utusan pada hari Sabtu terakhir pesta buku itu berlangsung, terdapat banyak sekali naskhah Ombak Senja yang diletakkan di situ. Agaknya selepas beberapa orang seperti saudari Afifah Fiey yang meninggalkan mesej di blog ini mencari Ombak Senja, barulah dibawa stok naskhah novel ini ke situ.

Pun begitu, aku tetap gembira kerana setidak-tidaknya aku tahu yang ada orang mencari naskhah Ombak Senja. Agaknya selepas setahun di pasaran, berapa agaknya jumlah naskhah yang terjual?