Khamis, 28 Jun 2007

Menyelidik untuk menulis

Sebenarnya, mahu tidak mahu, seorang novelis perlu melakukan penyelidikan bagi menyiapkan karyanya. Ini tentunya memerlukan iltizam dan pengorbanan masa, tenaga dan wang di pihak novelis. Tanpa penyelidikan yang cukup, berkemungkinan karya yang dihasilkan akan "cacat" dan dipertikai oleh mereka yang lebih arif tentang perkara yang disampaikan di dalam penulisan tersebut.

Mungkin ada kisah yang tidak perlukan banyak penyelidikan - cukup sekadar pengalaman dan perasaan novelis itu sendiri. Tetapi hakikatnya, sedar atau tidak, untuk menyelami dan mengungkap pengalaman dan perasaan itu di dalam bentuk perkataan dan ayat adalah satu bentuk penyelidikan.

Penyelidikan bukan sekadar bermaksud menelaah kajian-kajian lepas di perpustakaan atau menemu bual pakar-pakar atau melakukan soal selidik atau membuat uji kaji di dalam makmal. Penyelidikan bagi seorang novelis juga merangkumi perkara-perkara seperti pencerapan, pemerhatian dan pemahaman tentang emosi manusia yang berlakon di atas pentas dunia - lantas diadun dengan fikiran kritikal dan analitikal - untuk menghasilkan satu karya yang benar-benar dapat menyentuh jiwa pembaca.

Pun begitu, aku fikir jika seorang novelis ingin menghasilkan karya-karya yang menyentuh perkara-perkara spesifik dan teknikal, penyelidikan yang perlu dijalankan adalah jauh lebih kompleks. Katakan seorang novelis mahu menghasilkan karya fiksyen sains yang bertemakan bioteknologi, seharusnya dia perlu merujuk kepada pakar bidang tersebut. Walaupun mungkin karyanya itu fiksyen sains, setidak-tidaknya usaha perlu dilakukan bagi memastikan hasil karyanya itu sehampir realiti yang mungkin.

Hal ini aku nyatakan kerana aku sendiri sedang melalui perkara yang sama dalam menyiapkan "Transgenesis." Aku mungkin mempunyai latar belakang sains tetapi daripada disiplin sains yang berbeza. Jadi aku tidak mempunyai kepakaran yang mendalam tentang bioteknologi. Justeru, tidak dapat tidak, aku perlu merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran di dalam bidang canggih ini. Sungguhpun begitu, latar belakang sains yang aku miliki sedikit sebanyak memudahkan kefahaman aku tentang bioteknologi.

Aku sangat berterima kasih kepada Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman, Pengarah Pusat Bioteknologi Agrikultur (CEBAR) di Universiti Malaya kerana meluangkan sedikit masanya yang sibuk itu untuk membantu aku di dalam penyelidikanku ini. Insya-Allah input yang beliau berikan akan menjadi maklumat yang berguna di dalam "Transgenesis" yang sedang ku garap ini.

Isnin, 25 Jun 2007

Dalam keletihan ada kepuasan

Akhir-akhir ini agak banyak juga yang telah ku tulis. Di sebalik kesibukan tugas hakiki (maklum sajalah, aku bukan penulis sepenuh masa), sempat juga aku mencuri masa di malam hari untuk berkarya.

Cerpen "Kilt dan Kimono" telah siap dan telah diposkan ke Mingguan Malaysia bagi pertimbangan mereka. Entah terbit entah tidak, aku pun tak berani hendak mengagak. Hantar saja, keluar atau tidak itu persoalan kedua.

Novel "Transgenesis" juga sudah mula menampakkan rupa yang lebih konkrit. Setidak-tidaknya aku telah berpuas hati dengan 20% pertama novel ini. Jika tiada kekangan masa dan tenaga, rasanya novel ini mampu ku siapkan tidak lama lagi, insya-Allah.

Memoir yang akan ku tulis bersama dengan Izza Aripin juga akan dimulakan tidak lama lagi. Itu satu lagi perkara yang mencabar tetapi aku yakin boleh dilaksanakan.

Jika diturutkan rasa badan, memang meletihkan. Tapi kalau dilayan rasa letih ini, alamatnya tidak ada kesempatan untuk berkarya kerana sesungguhnya dalam keletihan ada kepuasan.