Rabu, 28 Mei 2008

Promosi oleh sahabat

Novel Transgenesis: Bisikan Rimba masih belum berada di pasaran. Bagaimanapun, sudah ada usaha menguar-uarkan kemunculaqn novel ini oleh beberapa sahabatku.

Justeru, di dalam kesempatan ringkas ini, aku ingin merakamkan ucapan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi membantu mempromosikan novel Transgenesis: Bisikan Rimba di dalam blog mereka.

Setakat ini, blog-blog yang dapat aku kesan mempromosikan novel keduaku ini adalah:

  1. Norisah A. Bakar
  2. Izza Aripin
  3. Liyana
  4. Oshun Muhammad @ E.M. Muhammad
Jika ada lagi blog yang mempromosikan Transgenesis: Bisikan Rimba, harap dapat dimaklumkan kepadaku. Sekali lagi, kepada semua, diucapkan ribuan terima kasih. Jasa kalian hanya dapat dibalas oleh Allah SWT.

Isnin, 26 Mei 2008

Komen "Ombak Senja" di Forum Cari

Berikut adalah beberapa lagi pandangan dan maklum balas mengenai Ombak Senja daripada bebenang (thread) Amir Husaini di Forum Cari. Maklum balas ini adalah daripada dua orang ahli forum di situ iaitu Darius dan Ci.

  1. Darius: "Saya mulakan thread ini sekadar nak tahu pandangan orang lain tentang Ombak Senja. Secara peribadi, saya suka cerita ini sebab walaupun temanya cinta, tetapi plot utamanya adalah berkenaan isu HIV dan AIDS. Mungkin setengah orang tak suka endingnya kerana endingnya bukan a fairy tale ending, tetapi saya tak rasa cerita ini tergantung."
  2. Ci: "sbnrnye ci minat ngan OS ni lepas di rekemen..... yg penting, buku abg amir nih byk bg pengajaran.... n yg penting ci da dpt tmbh ilmu pengetahuan b'kaitan penyakit aids tuh.... sbnrnye, memula ci xtau pon tau psl OS nih.... 1 ari tuh ci dtg umah membe...tgh boring² tu saje je slongkar rak buku dier.... tgk byk novel² baru dier bli ( t'masuk novel abg amir).. ci pon sesaja je la selak² novel OS nih...tah camne rase menarik plak... pastu membe tuh plak kate best.... dr situ la ci tau n ape lg, trus la bace..... "

Isnin, 19 Mei 2008

Berforumlah pula

Lebih kurang dua minggu lepas, aku mula berjinak-jinak dengan Forum Cari yang memfokuskan kepada perbincangan dunia penulisan di negara kita. Ramai yang bergiat di situ, dari kaca mata aku, adalah anak-anak muda yang giat membaca. Jadi aku sengaja menjengah di situ dan meninggalkan pandangan dan maklum balas.

Rasaku, tidak salah kalau penulis seperti aku turut sama berforum. Bukannya apa, sekurang-kurangnya kalau ada sebarang soalan, boleh aku jawab secara terus, dan jika ada sebarang komen, boleh aku terima secara langsung.

Apapun, namaku di persada forum itu tetap sama, cuma ejaannya Amir_Husaini. Dan forum yang aku maksudkan boleh dicapai di alamat ini.

Ahad, 18 Mei 2008

Komen Sifu PTS

Maklumat ini diterima daripada saudari Hani Ismail, penulis siri Akademi Gemilang. Beliau memaklumkan sifu PTS, Puan Ainon Mohd ada mencatatkan pandangan beliau mengenai kulit novel Transgenesis: Bisikan Rimba di blog Universiti Terbuka PTS. Komen beliau boleh dibaca di sini atau dibaca di bawah:

Siapa tahan memegang buku yang covernya sebagus ini!

Cover ini adalah hasil kreasi Tuan Hisham Salmin, Pengarah Jabatan Kreatif PTS. Selain seorang pelukis water-colour, beliau juga seorang seniman foto. Bukan itu sahaja, beliau juga boleh bermain gitar dan menyanyi.

Amir Husaini sebelum ini menerbitkan karya-karyanya dengan penerbit lain, tetapi sekarang beliau sudah menjadi milik PTS.

Rabu, 14 Mei 2008

Mempersembahkan "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Debaran menanti kulit hadapan Transgenesis: Bisikan Rimba telah berakhir. Aku secara kebetulan melayari laman web PTS Sdn Bhd dan terjumpa kulit buku hasil tanganku yang kedua ini. Ikhlas aku katakan, untuk satu waktu yang agak lama, aku terkesima. Bukan kerana tidak puas hati. Bukan kerana kecewa. Tetapi kerana gembira. Malah, aku berani katakan yang kulit buku ini antara yang terbaik yang pernah aku lihat. Aku ucapkan terima kasih kepada editor PTS, saudara Mat Jan dan juga warga kerja di syarikat tersebut di atas hasil yang berjaya mencuri hatiku.

Seperti yang telah aku janjikan, di bawah ini adalah kulit hadapan novel Transgenesis: Bisikan Rimba.

Dan di bawah ini pula, sinopsis yang disediakan oleh editor yang juga boleh dilihat di pautan ini:

Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui. Kini pakar genetik boleh mencipta manusia dengan kelebihan istimewa. Manusia dengan deria hidu sensitif seperti anjing, misalnya. Ataupun, manusia yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui fotosintesis. Inilah yang dilakukan oleh pakar genetik di Institut Trans-DNA secara rahsia.

Sehinggalah segala-galanya terbongkar, apabila subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam...


Dalam
Transgenesis: Bisikan Rimba, Amir Husaini menggabungkan bakat penulisan luar biasa dan pengetahuan saintifik menakjubkan bagi menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan!
Difahamkan novel ini akan berada di pasaran pada 31 Mei nanti. Nantikan kemunculannya dan dapatkan naskhah peribadi anda!

Isnin, 12 Mei 2008

Lagi komen "Ombak Senja"

Alhamdulillah nampaknya masih ada yang sudi memberi maklum balas mengenai Ombak Senja. Kali ini aku menerima sepucuk (?) mel elektronik daripada saudari Afifah Fiey. Terima kasih kepada saudari Afifah yang sudi memberikan pandangan.

OS satu cerita yang menarik isi kandungannya, penuh dengan etika dan memberi ruang untuk membaca pemikiran manusia. Penulis berjaya menggambarkan kesedihan zirul masa kematian hairi..saya sangat tersentuh.huhu.dan yang bestnya banyak unsur suspend..apapun, untuk novel pertama, pasti ada sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki, saya perasan terdapat kesalahan dalam struktur ayat dan ejaan...

Kawan saya pun dah baca, katanya not bad..untuk seorang saintis dan ahli pemikir..., boleh dipertingkatkan lagi..dan saya tahu, proses menghasilkan sebuah novel bukan satu proses yang mudah, dan memerlukan idea yang betul2 berbeza daripada orang lain..tahniah

But, overall, this novel is full of message yang boleh bagi satu tamparan kepada mereka yang mempunyai perspektif seperti emak zirul..hehe..

Isnin, 5 Mei 2008

Nopen dan novel fiksyen sains

Aku telah pun memulakan penulisan untuk nopen "Mencari Nessie." Rasanya aku boleh siapkan nopen ini di dalam masa yang terdekat. Seperti juga nopen "Menagih Janji Langit Malam," nopen "Mencari Nessie" juga sedikit lari dari kebiasaan dalam konteks penceritaan. Cerita ini berlatarbelakangkan kota yang pernah menjadi tempat tinggalku selama separuh dekad iaitu Glasgow. Dan mungkin ada yang boleh mengagak isi utama cerita ini daripada tajuk nopen.

Walau apapun, nopen "Mencari Nessie" ini merupakan nopen kedua yang aku tulis untuk antologi nopen yang dirancang bersama novelis Izza Aripin. Walaupun "Menangih Janji Langit Malam" mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan, aku tidak bercadang untuk melengah-lengahkan penulisan bagi "Mencari Nessie." Insya-Allah, nopen ini bakal siap di dalam masa terdekat ini.

Bagi memastikan penerbitan antologi nopen ini berjalan lancar, Izza Aripin dan aku telah sepakat untuk menetapkan tarikh 15 Jun 2008 sebagai tarikh akhir bagi kami menyiapkan kesemua nopen. Untuk makluman, aku menulis tiga cerita manakala Izza Aripin menulis tiga lagi cerita. Kesemua cerita ini bertemakan fiksyen sains dan fantasi. Sekiranya apa yang dirancang oleh aku dan Izza Aripin menjadi kenyataan, kisah-kisah nopen ini akan digarap dan diulit di dalam satu bentuk yang belum pernah dilakukan lagi sebelum ini. Buat masa ini, sinopsis nopen-nopen ini masih rahsia. Insya-Allah masa yang sesuai akan sampai bagi kami menguar-uarkan perincian mengenai antologi ini.

Sementara itu, terdapat sedikit perubahan bagi nopen ketiga yang bakal aku tulis. Asalnya aku ingin menulis sebuah nopen bertajuk "Koloni 1974" tetapi kini aku telah berubah fikiran. "Koloni 1974" akan aku garap menjadi sebuah novel fiksyen sains yang akan aku usahakan bagi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuknya juga akan diubah sedikit bagi menyesuaikan dengan beberapa perubahan ke atas jalan cerita ini. Jadi bagi menggantikan "Koloni 1974," aku akan menulis sebuah cerita lain dengan tajuk "Detik."

Nantikan maklumat lanjut mengenai perkembangan penulisan-penulisan ini!

Rabu, 30 April 2008

Mengira hari

Alhamdulillah, pruf manuskrip Transgenesis: Bisikan Rimba telah diserahkan kepada Editor PTS Fortuna, saudara Mohamad Syafizan (yang lebih dikenali sebagai Mat Jan), pada pagi tadi. Kini, manuskrip tersebut akan melalui proses percetakan yang dijangka pada minggu pertama dan kedua bulan Mei ini. Difahamkan juga konsep bagi kulit novel ini sudah ada dan sedang disiapkan.

Nampaknya semua sedang berjalan lancar. Tidak sabar rasanya untuk memegang naskhah Transgenesis: Bisikan Rimba apabila terbit pada akhir Mei nanti, insya-Allah.

Khamis, 24 April 2008

Menanti saat kelahiran

Hari ini aku gembira apabila menerima e-mel daripada saudara Mohamad Syafizan Mohamed Kasim, editor di PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Manuskrip "Transgenesis: Bisikan Rimba" yang aku hantar pada awal November 2007 yang lalu kini telah siap disunting dan direka letak oleh penerbit. Manuskrip ini akan diterbitkan di bawah imprint PTS Fortuna. Aku telah pun mengambil pruf manuskrip tersebut untuk disemak. Difahamkan kulit buku akan siap pada minggu hadapan.

Walau bagaimanapun, saat kelahiran novel keduaku pastinya sudah hampir. Aku jangka menjelang pertengahan tahun ini, Transgenesis: Bisikan Rimba akan menemui pembaca di kedai-kedai buku. Nantikan kemunculan watak-watak seperti Flora, Buraquzzaman, Datin Kay, Profesor Ned dan Tracker di dalam novel fiksyen sains ini.

Khamis, 17 April 2008

Mencari "Ombak Senja"

Maka selesailah sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur untuk tahun ini. Aku sempat menjengah ke Pusat Dagangan Dunia Putra untuk meninjau suasana. Memang, seperti tahun-tahun sebelum ini, banyak sekali bahan cetak yang menarik perhatian. Cuma aku sedikit terkilan kerana tidak punya banyak masa untuk diluangkan di situ. Rancangan untuk mengunjungi pesta buku ini sekali lagi di hujung minggu juga tergendala akibat kesihatan yang tidak mengizinkan.

Khabar yang aku terima mengatakan naskhah Ombak Senja sukar didapati di gerai Utusan Publications and Distributors. Semasa aku di situ, aku juga bertanya tentang hal ini, dan respons yang aku terima dari petugas di situ ialah, "Sepatutnya ada di sini." Sayangnya apabila dicari, naskhah tersebut tidak dapat ditemui. Aku tidak pasti sama ada novel itu habis terjual di dalam beberapa hari pertama pesta buku berjalan atau jika novel itu tidak dibawa ke tapak pesta. Jika novel itu habis terjual, aku bersyukur. Tetapi jika novel itu tidak dibawa, aku tidak tahu apa yang hendak dikata. Satu cara untuk aku pastikan apa yang berlaku adalah dengan merujuk kepada jumlah jualan naskhah novel ini sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung.

Walau bagaimanapun, menurut novelis Rabiatul Adawiyah yang singgah di gerai Utusan pada hari Sabtu terakhir pesta buku itu berlangsung, terdapat banyak sekali naskhah Ombak Senja yang diletakkan di situ. Agaknya selepas beberapa orang seperti saudari Afifah Fiey yang meninggalkan mesej di blog ini mencari Ombak Senja, barulah dibawa stok naskhah novel ini ke situ.

Pun begitu, aku tetap gembira kerana setidak-tidaknya aku tahu yang ada orang mencari naskhah Ombak Senja. Agaknya selepas setahun di pasaran, berapa agaknya jumlah naskhah yang terjual?