Selasa, 5 Mei 2009

Dua janji

Dalam kekusutan masa menguruskan hal keluarga di hospital (baca di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut), aku sempat juga mengetuk-ngetuk papan kekunci bagi melunaskan janji-janji yang belum tertunai.


Aku sedang mengusahakan dua manuskrip. Pastinya satu daripada manuskrip ini ialah sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Dan satu lagi manuskrip bertajuk "Detik" bagi dihantar sebagai penyertaan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.

Isnin, 27 April 2009

Berakhir sudah Pesta Buku 2009

Semalam ialah hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009. Dalam kelam-kabut hidup aku, sempat juga aku menerjah PBAKL sebanyak dua kali.

Kali pertama, pada sebelah malam hari Jumaat, 24 April dan kali kedua, pada tengah hari 26 April. Secara peribadi aku gembira kerana begitu ramai sekali pengunjung ke PBAKL sekalipun tahun ini, PBAKL diadakan bukan pada cuti sekolah. Aku juga diberitahu yang jualan di kebanyakan gerai meningkat sehingga 30%. Ini merupakan satu petanda yang menggalakkan.

Jika trend ini berterusan pada masa-masa akan datang, aku yakin industri penerbitan negara akan terus berkembang maju, insya-Allah. Itulah doa kita semua.

Isnin, 13 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009

Setiap tahun, acara Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) menjadi acara yang dinanti-nantikan. Pada tahun ini, KLIBF berlangsung antara 17 hingga 26 April 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagi yang berkesempatan, jangan lepaskan peluang berkunjung ke KLIBF.

Sayangnya, aku berada di luar negara antara 15 hingga 22 April, dan hanya berpeluang menjengah ke KLIBF pada hari-hari terakhir acara tersebut. Apa pun, aku doakan semoga KLIBF kali ke-28 ini berjaya.

Dan jangan lupa dapatkan Ombak Senja di gerai Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd dan Transgenesis: Bisikan Rimba di gerai PTS Publications and Distributors Sdn Bhd.

Khamis, 9 April 2009

Menyusul akhir Julai

Insya-Allah jika tidak ada aral melintang, manuskrip bagi sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba bakal siap selewat-lewatnya pada akhir bulan Julai nanti. Walau bagaimanapun, seperti yang dibincangkan bersama orang kuat PTS Fortuna, saudara Mat Jan dan saudara Vovin, aku akan cuba menyiapkan manuskrip ini lebih awal, insya-Allah.

Isnin, 6 April 2009

Bahan promo "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Dengan rendah hati, aku ingin kongsikan bahan promo berbentuk trailer bagi novel Transgenesis: Bisikan Rimba.



Apa pandangan kalian?

Selasa, 17 Mac 2009

Mata Pena

Mulai semalam, Radio IKIMfm menyiarkan program "Mata Pena" pada pukul 9.15 malam setiap Isnin. Program ini membicarakan mengenai penerbitan kreatif tanah air.

Aku bertuah kerana dipilih sebagai tetamu pertama program ini dan Ombak Senja telah dipilih sebagai novel yang diutarakan.

Dengar cerita, sahabat penulisku, Hani Ismail bakal muncul dalam program minggu hadapan bagi membincangkan siri novel Akademi Gemilang.

Bagi peminat-peminat penulisan kreatif, jangan lupa dengar-dengarkan IKIMfm pada setiap Isnin 9.15 malam bagi mengikuti program "Mata Pena".

Rabu, 11 Mac 2009

Pembakar semangat

Aku baru sahaja menerima e-mel daripada saudara Nazri @ Vovin, editor PTS Fortuna. E-mel tersebut mengandungi teaser cover bagi Transgenesis 2.

Tulis saudara Nazri:

Ia tidak lain hanya bertujuan untuk 'membakar' semangat Tuan menyudahkan bahagian kedua novel fiksyen sains yang menarik itu.

Terima kasih diucapkan kepada saudara Nazri atas inisiatif yang diambil.

Teaser cover ini aku kongsikan di sini. Harap maklum bahawa ini bukan cover yang muktamad. Apa pandangan kalian?

Sabtu, 7 Mac 2009

Soalan lazim

Soalan yang paling kerap ditanya kepada diriku akhir-akhir ini:

Bila sambungan "Transgenesis" akan terbit?

Terus-terang, aku sendiri belum punya jawapan. Penulisan bagi sambungan "Transgenesis" tergendala sebentar. Memang aku ingin siapkan novel ini secepat mungkin. Namun, buat masa ini, hambatan tugas hakiki tidak mengizinkan aku memberikan tumpuan kepada penulisan kreatif.

Namun, apabila ada sahaja kelapangan, pasti aku mengetuk-ngetuk papan kekunci komputerku bagi mencatatkan kisah Flora ini.

Doakan aku diberi kekuatan, kesihatan dan kelapangan bagi menyiapkan sambungan novel "Transgenesis".

Khamis, 5 Mac 2009

Program "Mata Pena"

Insya-Allah pagi esok aku berada di Radio IKIM.fm bagi membuat rakaman program "Mata Pena". Program ini membicarakan mengenai novel-novel kreatif dan diterbitkan oleh Puan Fairuz Haji Noordin.
Aku difahamkan novel Ombak Senja dipilih sebagai novel pertama yang dibicarakan menerusi program ini. Insya-Allah program ini bakal ke udara menerusi IKIM.fm pada hari Isnin, 16 Mac 2009 pada pukul 9.15 malam.

Bagi mendapatkan frekuensi radio ini, klik di sini.

Selasa, 3 Mac 2009

Media, artis dan ilmuwan

Buku Sekilas Pandang Ismail Haji Ibrahim sering mengundang senyum apabila aku membaca isinya. Banyak perkara yang ditulis oleh Profesor Dato' Dr Ismail Haji Ibrahim menyentuh hal-hal yang sering diperkatakan ramai. Beliau menggunakan bahasa yang mudah tetapi penuh makna dan tajam maksudnya.

Sewaktu membicarakan mengenai media elektronik yang lebih kerap menonjolkan golongan artis, beliau menulis:

Peratusan program pendidikan dan maklumat amat kecil. Jika ada pun, program pendidikan dan maklumat ini sering disiarkan ketika orang sibuk bekerja, orang bersembahyang di masjid ataupun ketika semua orang sudah masuk tidur. Masa yang dikenali sebagai masa utama itu hanya diisi dengan program hiburan.
[Halaman 144]
Bila difikir-fikir kembali, memang benar masa utama di televisyen dan radio lebih ditumpukan kepada hiburan. Banyak penaja berebut-rebut mahu membeli ruang udara ketika waktu utama kerana jumlah penonton dan pendengar yang tinggi pada waktu tersebut. Jika waktu utama diisi dengan program-program pendidikan atau maklumat, barangkali tidak ada yang mahu menonton ataupun mendengar.

Kalau ada pun program-program sedemikian rupa, ia dipakejkan dengan penuh glamor. Adakalanya keglamoran penyampai program menenggelamkan isi kandungan program itu.