Selasa, 15 Julai 2008

Promo "Transgenesis: Bisikan Rimba" di YouTube

Terima kasih kepada saudara Mat Jan dan kawan-kawannya di PTS di atas kreativiti mereka membikin sebuah cereka pendek untuk mempromosikan Transgenesis: Bisikan Rimba.



Sampai sekarang aku masih ketawa seorang diri.

Isnin, 14 Julai 2008

Wajah baru

Sengaja aku membuat perubahan wajah yang agak besar bagi blog ini. Semoga wajah baru ini memberikan lebih ketenangan buat pengunjung semua.

Jumaat, 11 Julai 2008

Maklum balas awal "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Alhamdulillah, Transgenesis: Bisikan Rimba kini berada di pasaran. Dan aku sudah mula menerima maklum balas daripada sahabat dan pembaca.

Pertama, daripada saudara John Norafizan, novelis terkenal, yang telah sudi membaca dan mengulas novel kedua hasil tanganku ini. Ulasan penulis yang kini panas dengan karya terbaru beliau iaitu Garis-garis Deja Vu ini boleh didapati di sini atau di sini atau di sini. Berikut ialah di antara intipati ulasan beliau:

Pada aku, Transgenesis adalah karya terbaik Amir Hussaini setakat ini. Ombak Senja memang karya yang bagus, tetapi Transgenesis lebih lagi! Dia bijak memainkan plot penceritaan dengan misteri demi misteri yang membuatkan aku, tidak dapat tidak, harus membaca ceritanya sehingga ke muka surat terakhir. Kadang-kadang, bila aku seolah-olah tahu ‘apa yang akan berlaku selepas itu’, dia membuat twist 180 darjah dan membuat telahanku salah sama sekali.
Kedua, perbincangan di Forum Cari. Ini komen daripada Darius di forum tersebut yang juga mempunyai blog resensinya sendiri:
Saya akan paparkan ulasan penuh saya di blog resensi saya alamnovel.blogspot.com tidak lama lagi.

Cuma kalau ditanya apa perasaan saya semasa baca "Transgenesis: Bisikan Rimba", respons saya ialah ia umpama satu 'roller coaster ride.' Setiap bab ada unsur-unsur misteri dan saspens, dan banyak sekali rahsia dan 'twist'. Saya setuju dengan pandangan Lavender, satu rahsia akan membawa kepada satu rahsia baru. Bila kita sangka kita tahu siapa pembunuhnya, abang Amir buat satu 'twist' libasan maut yang menyebabkan sangkaan kita jauh meleset. Dan yang menariknya, setiap 'twist' itu amat logik dan tidak memperbodohkan pembaca. Apabila saya membaca 'twist' itu membuatkan saya baca balik beberapa bab terdahulu kerana ada 'clue-clue' yang telah ditaburkan di dalam bab terdahulu yang saya tidak perasan. Saya rasa ada beberapa kali saya geleng kepala sebab 'twist' cerita itu begitu 'obvious' tetapi saya tak perasan. Watak yang menjadi dalang cerita ini juga memang tidak disangka langsung - sampaikan saya ternganga besar bila dapat tahu siapa dalangnya. "So obvious, yet so subtle."

"Transgenesis: Bisikan Rimba" bagi saya adalah di antara cerita fiksyen sains yang paling menarik yang pernah dibaca setanding dengan fiksyen sains luar negara. Ada sekurang-kurangnya enam plot 'cliffhanger' yang saya harap akan disambung oleh abang Amir. Kalau tak sambung, saya akan jadi orang yang paling kecewa.


Dan watak Flora adalah di antara watak yang paling enigmatik yang pernah muncul di dalam karya sastera negara.
Dan ini pula komen yang dikirimkan menerusi e-mel oleh salah seorang bekas pelajarku iaitu saudari Fiey yang sedang menuntut di Universiti Malaya. [Nota: "Shaikh" yang disebut di dalam e-mel ini merujuk kepada nama sebenarku]. Tulisnya antara lain:

Transgenesis bagi saya sangat istimewa sebab menggabungkan fakta sains dalam dunia fantasi, yang mana tak mustahil ia akan menjadi realiti. Bila baca Transgenesis, semua yang Tuan Shaikh cakap dalam kuliah kembali bermain di fikiran, tentang pengklonan, tentang transgenik, chimaera, saya rasa macam berada dalam kuliah balik.. hehe..dan bagi saya, tiada masalah untuk memahami semua istilah-istilah sains yang Tuan Shaikh gunakan sebab memang bidang saya. Namun, ia memenuhi juga kehendak orang awam sebab Tuan Shaikh dah menerangkan makna istilah-istilah tu dalam bahasa yang mudah difahami.

Transgenesis juga berjaya membawa pembaca terus menerus mahu membaca sehingga ke akhirnya dan tak boleh tertinggal sehelai muka pun untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku. Bagi saya, jalan ceritanya sangat kreatif dan kita tak boleh nak bayangkan apa akan terjadi seterusnya.

Apa yang menarik minat saya terhadap Transgenesis juga adalah, Tuan Shaikh banyak mengaitkan cerita ini tentang kebergantungan manusia kepada Allah. Kepentingan meletakkan Maha Pencipta dalam segala hal. Secara tak langsung, elemen dakwah Tuan Shaikh terapkan, tahniah! Selain itu, aspek kasih sayang kepada alam semulajadi juga berjaya membuatkan pembaca benar-benar merasai kelebihannya dan kepentingannya kepada manusia. Sesekali rasa macam nak jadi seperti Flora.hehe..

Sudah tentunya ini lebih baik dan nampaknya lebih matang daripada novel pertama. Apapun, masih boleh diperbaiki lagi dan para pembaca pastinya menunggu sambungannya.
Kepada saudara John Norafizan, saudara Darius dan saudari Fiey, dipanjangkan ucapan jutaan terima kasih jujur dari sanubariku. Maklum balas ikhlas daripada kalian amat dihargai.

Kepada yang sudah membaca Transgenesis: Bisikan Rimba, diharap dapat memberikan maklum balas kepada diriku ini supaya aku dapat memperbaiki kelemahan yang ada. Aku boleh dihubungi menerusi e-mel tintakelana@yahoo.com bagi memberikan maklum balas. Aku nantikan pandangan kalian.

Selasa, 1 Julai 2008

Penilaian separuh tahun

Sebenarnya banyak yang telah berlaku pada separuh pertama 2008 ini. Pada awal tahun tempoh hari, aku telah menggariskan tujuh sasaran untuk aku capai. Berikut adalah penilaian separuh tahun untuk sasaran-sasaran tersebut:

1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan:
Alhamdulillah, novel kedua hasil tangan diriku bertajuk Transgenesis: Bisikan Rimba ini telah terbit dan kini berada di rak-rak di kedai buku. Dapatkan naskhah peribadi anda sekarang!

2. Menyiapkan nopen-nopen "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974": Terdapat beberapa perubahan kepada rancangan asal.

  • Perubahan pertama: Kini, aku dan Hani Ismail (bukan Izza Aripin) telah bersetuju untuk menggabungkan nopen-nopen ini menjadi sebuah novel fiksyen sains/fantasi. Tajuk tentatif yang aku gunakan (belum ada kata putus lagi sebenarnya) ialah "Artifak." Proses penulisan dan penulisan semula sedang berjalan.
  • Perubahan kedua: Nopen "Koloni 1974" tidak akan menjadi sebahagian daripada novel "Artifak." Sebaliknya, seperti yang telah aku nyatakan di dalam catatan sebelum ini, nopen ini akan ditukar tajuk untuk "dinaik taraf" menjadi sebuah novel yang akan dihantar bagi menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Tajuk baru bagi "Koloni 1974" ialah "Koloni N4n0."
3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart":
Proses penulisan sedang berjalan. Proses penggambaran untuk memoir telah selesai.

4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (tajuk masih rahsia):
Aku terpaksa menangguhkan dahulu pelaksanaan perkara ini memandangkan perkara-perkara lain yang timbul. Insya-Allah aku sasarkan penulisan skrip ini untuk tahun 2009.

5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan:
Aku baru sahaja mendapatkan hak untuk menerbitkan skrip ini daripada IKIM yang memegang hak tersebut sebelum ini. Aku sedang berbincang dengan beberapa penerbit yang mungkin berminat untuk menerbitkan drama ini.

6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis": Sekarang di dalam peringkat merangka jalan cerita. Aku telah berbincang dengan editor, saudara Mat Jan, yang mencadangkan agar kesinambungan kisah ini diterbitkan pada tahun hadapan.

7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja": Juga di peringkat merangka jalan cerita. Aku bercadang untuk menerbitkan novel ini untuk tahun 2009.

Beberapa sasaran baru telah aku tambah semenjak tahun 2008 bermula. Jadi berikut adalah sasaran-sasaran baru (termasuk perkembangan sasaran lama) bagi separuh kedua tahun 2008:
  1. Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan (status: selesai)
  2. Menyiapkan novel "Artifak" (status: sedang berjalan)
  3. Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart" (status: sedang berjalan)
  4. Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (status: tunda ke 2009)
  5. Memastikan skrip "Zuriat" didramakan (status: sedang mencari penerbit)
  6. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis" (status: sedang berjalan)
  7. Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja"(status: sedang berjalan)
  8. Menyiapkan novel "Koloni n4n0" untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (status: akan dimulakan)
  9. Menyiapkan sebuah novel yang masih dirahsiakan tajuknya untuk Hadiah Sako (status: akan dimulakan)
Aku hanya berdoa aku punya kelapangan, kekuatan dan kesihatan untuk menyelesaikan semua ini.

Isnin, 23 Jun 2008

Noktah suatu penantian

Alhamdulillah.

Itu sahaja yang dapat dilafazkan apabila aku melayari laman web MPH. Akhirnya, Transgenesis: Bisikan Rimba kini berada di pasaran.

Jadi kepada semua yang menanti dengan sabar selama ini, jangan lupa dapatkan naskhah Transgenesis: Bisikan Rimba anda di kedai-kedai buku utama.

Jika ada yang ingin memberikan maklum balas mengenai Transgenesis: Bisikan Rimba, e-melkan maklum balas anda kepada tintakelana@yahoo.com.

Isnin, 16 Jun 2008

Penantian yang belum bernoktah

Kulit akhir novel dengan petikan
"Dia ingin menuntut bela ke atas penciptanya"

Laman web PTS menyenaraikan Transgenesis: Bisikan Rimba sebagai novel yang sudah terbit semenjak 1 Jun 2008 lagi. Cuma aku diberitahu oleh editor, saudara Mat Jan, yang novel itu sedikit lewat. Pun begitu, pada minggu lepas, editor telah memaklumkan bahawa novel tersebut sudah masuk ke stor PTS di Batu Caves. Jadi, aku pun pergilah ke kedai buku yang sering ku kunjungi di Wangsa Maju, tetapi sayang sekali tidak kelihatan Transgenesis: Bisikan Rimba.

Kebetulan, beberapa hari kemudian, aku berada di sekitar kawasan Batu Caves. Maka tergeraklah naluriku untuk singgah di stor PTS. Dan betapa leganya rasa hati ini apabila menatap dan memegang Transgenesis: Bisikan Rimba untuk pertama kalinya. Hanya kalimah tahmid, alhamdulillah, sahaja yang mampu aku tuturkan.

Walau bagaimanapun, aku diberitahu oleh sahabat-sahabat yang setia menanti bahawa kelibat Transgenesis: Bisikan Rimba masih belum kelihatan di kedai-kedai buku. Apabila aku memeriksa laman-laman web kedai-kedai buku pun tidak ada maklumat yang novel ini sudah memasuki pasaran secara rasmi. Jadi, aku pun menelefon saudara Mat Jan sebentar tadi, dan beliau berjanji akan mendapatkan maklumat sebenar dari pihak pemasaran.

Nampaknya, sahabat-sahabat terpaksalah menanti sedikit lagi. Mungkin penantian ini belum bernoktah dan penantian ini mungkin menyeksakan, tetapi aku yakin penantian ini besar hikmahnya, insya-Allah.

Diharap bersabar.

Selasa, 3 Jun 2008

Masih menanti

Nampaknya Transgenesis: Bisikan Rimba belum berada di pasaran seperti yang dijangkakan. Aku dimaklumkan bahawa terdapat sedikit kelewatan di pihak pencetak. Jadi terpaksalah kita semua bersabar dan menanti hari Transgenesis: Bisikan Rimba membuat kemunculannya.

Sesungguhnya penantian itu suatu penyeksaan...

Rabu, 28 Mei 2008

Promosi oleh sahabat

Novel Transgenesis: Bisikan Rimba masih belum berada di pasaran. Bagaimanapun, sudah ada usaha menguar-uarkan kemunculaqn novel ini oleh beberapa sahabatku.

Justeru, di dalam kesempatan ringkas ini, aku ingin merakamkan ucapan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi membantu mempromosikan novel Transgenesis: Bisikan Rimba di dalam blog mereka.

Setakat ini, blog-blog yang dapat aku kesan mempromosikan novel keduaku ini adalah:

  1. Norisah A. Bakar
  2. Izza Aripin
  3. Liyana
  4. Oshun Muhammad @ E.M. Muhammad
Jika ada lagi blog yang mempromosikan Transgenesis: Bisikan Rimba, harap dapat dimaklumkan kepadaku. Sekali lagi, kepada semua, diucapkan ribuan terima kasih. Jasa kalian hanya dapat dibalas oleh Allah SWT.

Isnin, 26 Mei 2008

Komen "Ombak Senja" di Forum Cari

Berikut adalah beberapa lagi pandangan dan maklum balas mengenai Ombak Senja daripada bebenang (thread) Amir Husaini di Forum Cari. Maklum balas ini adalah daripada dua orang ahli forum di situ iaitu Darius dan Ci.

  1. Darius: "Saya mulakan thread ini sekadar nak tahu pandangan orang lain tentang Ombak Senja. Secara peribadi, saya suka cerita ini sebab walaupun temanya cinta, tetapi plot utamanya adalah berkenaan isu HIV dan AIDS. Mungkin setengah orang tak suka endingnya kerana endingnya bukan a fairy tale ending, tetapi saya tak rasa cerita ini tergantung."
  2. Ci: "sbnrnye ci minat ngan OS ni lepas di rekemen..... yg penting, buku abg amir nih byk bg pengajaran.... n yg penting ci da dpt tmbh ilmu pengetahuan b'kaitan penyakit aids tuh.... sbnrnye, memula ci xtau pon tau psl OS nih.... 1 ari tuh ci dtg umah membe...tgh boring² tu saje je slongkar rak buku dier.... tgk byk novel² baru dier bli ( t'masuk novel abg amir).. ci pon sesaja je la selak² novel OS nih...tah camne rase menarik plak... pastu membe tuh plak kate best.... dr situ la ci tau n ape lg, trus la bace..... "

Isnin, 19 Mei 2008

Berforumlah pula

Lebih kurang dua minggu lepas, aku mula berjinak-jinak dengan Forum Cari yang memfokuskan kepada perbincangan dunia penulisan di negara kita. Ramai yang bergiat di situ, dari kaca mata aku, adalah anak-anak muda yang giat membaca. Jadi aku sengaja menjengah di situ dan meninggalkan pandangan dan maklum balas.

Rasaku, tidak salah kalau penulis seperti aku turut sama berforum. Bukannya apa, sekurang-kurangnya kalau ada sebarang soalan, boleh aku jawab secara terus, dan jika ada sebarang komen, boleh aku terima secara langsung.

Apapun, namaku di persada forum itu tetap sama, cuma ejaannya Amir_Husaini. Dan forum yang aku maksudkan boleh dicapai di alamat ini.