Khamis, 12 Februari 2009

Himpunan ulasan "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Agak lama aku tidak mengemas kini ulasan-ulasan atas talian novel Transgenesis: Bisikan Rimba. Kali terakhir ialah pada hujung bulan Oktober yang lalu. Dalam tempoh tiga bulan tersebut, terdapat empat ulasan yang ditemui.

Ulasan pertama dari sahabatku, saudara Arsaili, yang sedang melanjutkan pengajian doktoratnya di Australia. Beliau menulis di dalam blognya berkenaan Transgenesis: Bisikan Rimba:

Bagi saya novel ini sesuai untuk bacaan peringkat awal remaja dan ke atas. Ia merupakan suatu novel sains fiksyen yang amat menarik. Saya jarang menjumpai novel sains fiksyen dalam bahasa Melayu dan apabila membaca novel ini, saya rasakan kekuatan novel ini terletak kepada kreativiti penulis menghubungkaitkan jalan cerita dan dunia sains. Pembaca didedahkan kepada asas sains yang memang di pelajari di sekolah, contoh mudahnya proses fotosintesis. Asas sains ini diolah agar menjadi satu jalan cerita yang menarik. Secara peribadi, saya berharap pembaca terutama peringat awal remaja agar memiliki novel ini. Ibu bapa juga hendaklah mengalak anak-anak membaca novel sains fiksyen agar dapat memupuk kecintaan anak-anak kepada dunia sains. Amat menyedihkan masih ramai anak-anak bumiputera yang tidak meminati dan lemah dalam bidang sains (saya tidak mempunyai unjuran statistik tapi cikgu-cikgu sains sila beri pandangan anda).

I would like to take this opportunity to thank my friend, Saudara Amir Husaini for giving me this novel with his signature on. Really appreciate it and many thanks. I hope he will write more science fiction novel to incalculate positive interest among younsters in science. Saudara Amir is a qualified scientist (by qualification) himself and expert in Science and philosophy. Err by the way, saudara Amir I like your first novel too..ehehehe
Kedua, pandangan kritikal yang diberikan oleh saudara WebSutera, penggemar fiksyen sains. Beliau mempunyai pandangan kritis yang membina terhadap garapan cerita dari sudut bahasa yang digunakan:
Mulanya saya agak keberatan untuk mengulas novel ini, walau dari sudut mana pun. Tetapi tanpa memberi komen, minda saya sedikit terganggu justeru kerana ada mesej yang mahu saya sampaikan masih lagi melingkari ruang minda. Setiap kali saya membaca buku dan melihat blog buku, hati saya gundah. Maka inilah komentar saya terhadap Transgenesis, Bisikan Rimba oleh saudara Amir Husaini, terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (PTS).

Sebagai sebuah novel sains-fiksyen (sai-fi) yang diterbitkan oleh PTS yang memperjuangkan bahasa Melayu tinggi dan begitu komited dengan penulisan mazhab teknik Surah Yusuf, ternyata novel ini mempunyai beberapa kelemahan. Jika penerbit lain yang menerbitkan novel ini, tidak mengapa. Tetapi lantaran PTS yang menerbitkannnya, maka kesalahan yang ada adalah ketara. Saya senaraikan di bawah.

1) Di kebanyakan tempat, banyak bahasa Melayu rendah digunakan. Saya tidak perlu menyenaraikan contoh-contoh di sini kerana saya pasti para staf PTS mengetahui apa saya maksudkan. Saya tidak menyalahkan penulis, lantaran tugas editorlah yang sepatutnya memerhatikan dengan teliti dan melakukan pembetulan dari segi nahu dan ejaan bahasa Melayu tinggi.

2) Ada plot-plot yang saya kira terlalu panjang. Bagi saya plot yang terlalu panjang mengurangkan daya pujukan pembacaan.

3) Ayat-ayat dan pernyataan yang berulangan di sana sini. Walaupun ianya tidak begitu ketara seperti mana novel sejarah Perang Sangkil, namun saya cukup tidak menyukainya.

Untuk berlaku adil, pada hemat saya penulis telah berjaya menyampaikan mesej melalui novel ini. Saudara Amir Husaini telah berupaya memujuk hati saya untuk meneruskan pembacaan, terutamanya bermula dari pertengahan cerita.

Demi kebaikan sahabat, saya kira, saudara Amir patut selitkan fakta-fakta sains genetik dan bio-teknologi sejak dahulu sehingga yang terkini. Kemudian baharulah kemajuan sains genetik masa hadapan ‘dicipta’. Fakta-fakta kemajuan bidang sains ini jika dibentangkan dan dijalin secara tuntas dalam plot cerita, ia akan lebih memujuk pembaca. Namanya pun novel sai-fi, jika fakta sains diadun dengan fiksyen, ia akan menjadi begitu amat menarik.

Penyudah novel ini amat mengejutkan saya. Sebab itu saya katakan bahawa Transgenesis, Bisikan Rimba ada kelemahan terutamanya pada permulaan, tetapi kemantapan garapan Amir di pertengahan hingga ke hujung cerita begitu memukau.

Saya berdoa semoga saudara Amir dianugerahkan Allah dengan kekuatan baru supaya sekuel novel Transgenesis ini akan lebih mantap. Saya akan nantikan, insyaallah.
Ulasan ketiga datangnya dari Sibu, Sarawak dan boleh didapati di blog Perspektif Menjana Minda. Berikut ulasan di blog tersebut:
Sebenarnya sudah lama melihat buku ini terletak kemas di satu sudut rak buku Popular Bookstore, Sibu. Setiap kali berkunjung, tangan pasti menggapai buku ini untuk membaca sinopsisnya buat sekalian kali. Namun, hati tetap belum tergerak untuk membawa dan membayarnya di kaunter. Akhirnya, minggu lepas Transgenesis Bisikan Rimba karya Amir Husaini menjadi koleksi lemari buku dan sebentar tadi baru sahaja usai membacanya.

Pertama kali saya ucapkan tahniah kepada penulisnya dengan penghasilan novel ini. Sememangnya, novel ini sangat menarik untuk dibaca. Ternyata, telahan saya selama ini mengenai novel ini adalah silap. Amir Husaini telah berjaya mengikat pembaca untuk meneruskan pembacaan berdasarkan urutan plot yang cukup tersusun sehingga pembaca tidak sabar untuk mengetahui kesudahannya.

Transgenesis Bisikan Rimba adalah nobel sci-fi yang mengisahkan satu kajian yang dilakukan oleh sebuah institut yang dikenali Institut Trans-DNA dalam penghasilan manusia yang DNAnya dibiakkan bersama dengan DNA tumbuhan. Kisahnya bermula dengan pembunuhan tauke balak Hwang Chien Ming oleh satu makhluk yang bermata dan berambut hijau dan mempunyai kuasa yang luar biasa dan ia telah disaksikan Razilan, pekerja tauke. Teknik pengolahan peristiwa ini sedikit sebanyak mendatangkan seriau kepada pembaca dengan gambaran bau kenanga yang dicium dalam hutan di waktu malam. Ia berjaya mengundang suspen kepada pembaca di permulaan cerita ini.

Peristiwa pembunuhan tersebut telah mencetuskan publisiti di kalangan masyarakat apabila tersiarnya di dalam satu tabloid iaitu Sayembara Nasional. Melalui peristiwa tersebut, muncul pula watak-watak yang menunjangi novel ini antaranya Datuk Jay (pengasas Institut Trans-DNA), Datin Kay (saintis dan isteri kepada Datuk Jay), Prof. Joned (saintis mengetuai kajian di Institut Trans-DNA), Buraquzzaman (wartawan Sayembara Nasional) dan Razilan (saksi kepada wujudnya makhluk berkuasa luar biasa). Watak protagonis dalam novel ini ialah Flora, makhluk yang bermata dan berambut hijau dan mempunyai kuasa luar biasa juga dikenali sebagai Subjek 4-7-9-1. Flora digelar dengan angka ini kerana dia merupakan subjek pertama yang dapat dicipta dengan sempurna iaitu subjek yang ke-4791. Sebelumnya, sebanyak 4790 kajian mengalami kegagalan dan semuanya dilupuskan di sebuah hutan di kaki Gunung Pulai iaitu di mana peristiwa berlakunya pembunuhan tauke balak di awal cerita.

Kebijakan saudara Amir Husaini mengolah plot dalam novel ini nyata sekali cukup mengesankan dan di luar dugaan. Setiap plot ditulis dengan begitu tersusun dan cermat sehingga tiada satu babak yang tertinggal. Misteri yang berlaku dan kejadian silam yang sentiasa berhubung kait menimbulkan perasaan ingin tahu yang lebih kuat. Sebelum berlakunya peristiwa pembunuhan tauke balak, subjek 4-7-9-1 telah melarikan diri dari Institut Trans-DNA. Laporan akhbar Sayembara Nasional bahawa satu makhluk yang berwarna hijau telah membunuh tauke balak tersebut dan inilah yang menjadi kerisauan kepada individu yang mendalangi kajian ke atas subjek 4-7-9-1 atau Flora.

Maka, yang menjadi persoalan kepada pembaca siapakah yang membunuh tauke balak tersebut? Adakah Flora atau subjek lain? Namun, bahan bukti yang dijumpai polis menunjukkan bahawa Datin Kay turut menjadi suspek kepada pembunuhan. Adakah benar? Kesudahannya pembaca harus membaca novel ini kerana ia menyajikan satu wadah yang menarik untuk diterokai bersama.

Satu lagi maklum balas diperolehi di blog @boi. Tulis peminat Ramlee Awang Murshid ini mengenai Transgenesis: Bisikan Rimba:
baru2 ni aku de beli novel yang bertajuk Transgenesis:Bisikan Rimba..karya Amir Husaini..
aku amik mase seminggu tuh nak abehkan bace buku tu...
sb time ari bekerja aku x sempat bace sebab asik membute..=P (minda aku letih bekerja)
jd kire nye aku cume amik mase sehari setengah je nak bace buku tu sebenarnye..=)

aku bace punye bace punya bace...klimaks cite die ka
t penghujung novel daa...
skang ni aku cam agak tensen sb aku x tau ape ending cite die...huhu
aku punye le x sabar nak tgu sekuel buku tu...tp tup2 td aku bukak blog...
aku tgk post2 dari blog yg aku follow...

skali aku dapat kabar brite yang penulis novel tu nyer data2 n karya2 die sume ilang...gara2 komputer rosak n pendrive nyer tercicir...huhu
aku pun sedih bagi pihak die...terpakse lah aku menunggu dengan sabar kemunculan sekuel transgenesis tu...=(


tp x pe...aku doakan die akan dapat idea yang mencurah2 supaya die dapat mengarang dengan lebih baik untuk karya2 die pada mase akan datang...
bagi aku...transgenesis tu memang best giler...olahan cite
tu pun sempoi je...
jalan citer x complicated sangat...sebab tu lah aku tensen sb...
aku dah excited giler nih..tup2...cite die pun abeh...huhu
tp kan...aku rase atuk yg slalu duk kat pokok kenange tu burraquzzaman lah...sb aku cam terbayang2 je die ade affair ngan flora...ahaks!
Terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan mengulas novel ini. Segala pandangan yang berbentuk pujian, kritikan membina dan sebagainya adalah amat dihargai. Insya-Allah kesemua maklum balas yang diberikan aku terima dengan hati yang terbuka dan mampu menjadi pendorong dalam memperbaiki penulisan pada masa hadapan.

0 maklum balas: