Jumaat, 19 Jun 2009

Jari telunjuk

Dua ataupun mungkin tiga minggu mutakhir ini, aku banyak mengetuk papan kekunci komputer. Sehari dua kebelakangan ini, jari-jariku terutamanya jari telunjuk tangan kanan terasa sedikit pedih.

Mungkin itu petanda aku perlu memperlahankan sedikit aktiviti ketuk-mengetuk papan kekunci. Tetapi jika itu aku lakukan, mampukah aku menyiapkan manuskrip yang telah aku janjikan?

Khamis, 18 Jun 2009

Peminat di Sabah

Baru-baru ini, seorang pembaca Transgenesis: Bisikan Rimba dari Sabah mengujungi blog ini. Nampaknya, novel ini juga ada peminatnya di Negeri di Bawah Bayu. Terima kasih kepada saudari Nur yang sudi membaca lalu mempromosikan juga Transgenesis: Bisikan Rimba menerusi blog beliau.

Selasa, 9 Jun 2009

Pembaca bukan Melayu

Persepsi popular ialah novel-novel yang ditulis dalam bahasa Melayu hanya dibaca oleh pembaca Melayu.

Namun, foto di atas semasa berlangsung program bertemu penulis di Gerai PTS semasa Read Malaysia 2009 membuktikan bahawa persepsi seperti ini tidak semestinya menggambarkan realiti.

Jumaat, 5 Jun 2009

Gamat dengan penulis saifai


Yang rendah dan yang tinggi: 
Aku dan saudara Mat Jan

Semalam seperti yang dijadualkan, aku berada di gerai PTS Publications and Distributors Sdn Bhd bersempena Read Malaysia 2009 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines. Bersama-sama memeriahkan sesi bertemu penulis ini ialah saudara Mat Jan selaku pengerusi majlis, saudara Firdaus Ariff, saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar.
Saudara Mat Jan mempengerusikan acara dengan gaya tersendiri. Kiri sekali saudara Firdaus dan di tengah ialah saudara Bahruddin yang memerhati dengan penuh khusyuk.

Acara yang bermula jam 2.30 petang itu agak gamat dengan telatah-telatah lucu saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar. Juga penampilan istimewa watak Dark Flora dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba

Sebenarnya, kami menantikan kemunculan Flora tetapi entah macam mana, tudung Flora telah disabotaj (oleh Dark Flora agaknya) menyebabkan Flora tidak dapat muncul. Sebaliknya, Dark Flora yang datang beramah-mesra dengan pengunjung gerai PTS. Agak kaget juga menyaksikan Dark Flora yang dikenali dengan kemarahan dan dendam kesumatnya melemparkan senyuman dan beraksi di hadapan kamera pada petang semalam.
Dark Flora (selepas mensabotaj Flora) yang sempat bergambar dengan pengunjung gerai PTS. 

Apa pun, yang penting majlis berjalan lancar dengan penuh kemeriahan, keceriaan dan kelucuan. Terima kasih kepada PTS (khususnya saudara Nazri dan saudara Mat Jan) yang memberi peluang kepada aku untuk turut serta dalam acara semalam.

Selasa, 2 Jun 2009

Muncul di Read Malaysia 2009

Maaf kerana lama menyepi.Bagaimanapun, aku ingin memaklumkan yang aku bakal bersama dengan saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila dan Saga Empayar Kristal: Armada Azur) dan saudara Bahruddin Bekre (Adi Gempa: Evolusi) di Read Malaysia 2009 bertempat di gerai PTS, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines pada hari Khamis ini (4 Jun 2009) antara jam 2.30 hingga 3.30 petang.

Kepada peminat-peminat novel fiksyen sains dan fantasi tempatan, jangan lepaskan peluang ini.

Dan, sebagai bonus, ada "seseorang" bakal membuat penampilan istimewa pada waktu tersebut. Kalau ada sesiapa yang ingin bergambar dengan "seseorang" itu, inilah masanya!

Siapakah dia? Mungkin foto di bawah mampu memberi sedikit petunjuk.

Selasa, 5 Mei 2009

Dua janji

Dalam kekusutan masa menguruskan hal keluarga di hospital (baca di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut), aku sempat juga mengetuk-ngetuk papan kekunci bagi melunaskan janji-janji yang belum tertunai.


Aku sedang mengusahakan dua manuskrip. Pastinya satu daripada manuskrip ini ialah sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Dan satu lagi manuskrip bertajuk "Detik" bagi dihantar sebagai penyertaan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.

Isnin, 27 April 2009

Berakhir sudah Pesta Buku 2009

Semalam ialah hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009. Dalam kelam-kabut hidup aku, sempat juga aku menerjah PBAKL sebanyak dua kali.

Kali pertama, pada sebelah malam hari Jumaat, 24 April dan kali kedua, pada tengah hari 26 April. Secara peribadi aku gembira kerana begitu ramai sekali pengunjung ke PBAKL sekalipun tahun ini, PBAKL diadakan bukan pada cuti sekolah. Aku juga diberitahu yang jualan di kebanyakan gerai meningkat sehingga 30%. Ini merupakan satu petanda yang menggalakkan.

Jika trend ini berterusan pada masa-masa akan datang, aku yakin industri penerbitan negara akan terus berkembang maju, insya-Allah. Itulah doa kita semua.

Isnin, 13 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009

Setiap tahun, acara Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) menjadi acara yang dinanti-nantikan. Pada tahun ini, KLIBF berlangsung antara 17 hingga 26 April 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagi yang berkesempatan, jangan lepaskan peluang berkunjung ke KLIBF.

Sayangnya, aku berada di luar negara antara 15 hingga 22 April, dan hanya berpeluang menjengah ke KLIBF pada hari-hari terakhir acara tersebut. Apa pun, aku doakan semoga KLIBF kali ke-28 ini berjaya.

Dan jangan lupa dapatkan Ombak Senja di gerai Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd dan Transgenesis: Bisikan Rimba di gerai PTS Publications and Distributors Sdn Bhd.

Khamis, 9 April 2009

Menyusul akhir Julai

Insya-Allah jika tidak ada aral melintang, manuskrip bagi sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba bakal siap selewat-lewatnya pada akhir bulan Julai nanti. Walau bagaimanapun, seperti yang dibincangkan bersama orang kuat PTS Fortuna, saudara Mat Jan dan saudara Vovin, aku akan cuba menyiapkan manuskrip ini lebih awal, insya-Allah.

Isnin, 6 April 2009

Bahan promo "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Dengan rendah hati, aku ingin kongsikan bahan promo berbentuk trailer bagi novel Transgenesis: Bisikan Rimba.



Apa pandangan kalian?