Pertama sekali jutaan maaf dipinta buat semua. Ada pun aku menyepi sekian lama kerana keadaan kesihatan diri yang tidak mengizinkan untuk aku melakukan aktiviti di blog. Bagi yang kerap singgah di sini sekalipun tidak ada catatan baru, aku ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian kalian untuk menjengah teratak buruk ini.
Walau bagaimanapun, alhamdulillah, keadaan kesihatan diri ini telah pun beransur pulih. Insya-Allah aktiviti blog ini akan dapat diteruskan.
Alhamdulillah, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Setidak-tidaknya aku berjaya menyiapkan novel kedua iaitu "Transgenesis." Insya-Allah jika semuanya berjalan baik, "Transgenesis" akan menemui pembaca selewat-lewatnya pada pertengahan 2008. Dan jika "Transgenesis" mendapat sambutan pembaca, kisah ini akan dijadikan satu siri. [Untuk makluman, tajuk penuh "Transgenesis" adalah "Transgenesis: Bisikan Rimba"].
Aku juga telah memulakan penulisan untuk antologi novel pendek (nopen). Aku sedang menulis tiga nopen yang bertajuk "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974." Mengikut perancangan, nopen-nopen ini akan digabungkan dengan tiga lagi nopen karya Izza Aripin. Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah aku akan dapat menyiapkan semua nopen ini menjelang akhir bulan ini.
Selesai sahaja projek nopen ini, aku akan duduk bersama adik Fikri untuk menyiapkan projek memoirnya yang bertajuk "Echoes of My Heart." Kami berharap akan dapat melancarkan memoir ini menjelang ulang tahun ketiga adik Fikri mendapat jantung mekanikal pada pertengahan tahun hadapan, insya-Allah.
Aku punya beberapa lagi projek penulisan yang menanti. Di antaranya adalah sekuel kepada Ombak Senja dan sebuah novel yang berlatarbelakangkan suasana kemerdekaan.
Walau apa sekalipun, aku berdoa agar aku diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menyiapkan semua projek penulisan ini. Amin!
Selasa, 20 November 2007
Kembali
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
09:47
2
maklum balas
Label Echoes of My Heart, Koloni 1974, Menagih Janji Langit Malam, Mencari Nessie, Ombak Senja, Transgenesis
Isnin, 15 Oktober 2007
SMS pengganti diri
Dengan perkembangan pesat teknologi, kita dihidangkan dengan satu lagi kaedah untuk menyampaikan ucapan salam Aidilfitri kepada saudara-mara dan rakan taulan. Kemudahan sistem pesanan ringkas atau SMS memberikan kita peluang untuk berinteraksi menjelangnya 1 Syawal.
Seperti tahun-tahun yang lalu, aku banyak menerima ucapan salam Aidilfitri menerusi SMS menjelang 1 Syawal pada tahun ini. Ada yang ringkas tetapi dalam maknanya. Ada yang berbentuk pantun. Ada pula yang berbentuk madah pujangga. Ada juga yang berbentuk nasihat dan ingatan. Malah, ada yang berbentuk doa.
Di antara SMS yang aku terima, ada beberapa yang menarik perhatian. Justeru, aku ingin kongsikan dua SMS yang aku rasa punya makna yang mendalam.
- Biar renggang di fana dunia, biar hina di mata manusia, biar semangat semakin tua, biar harta semakin tiada, biar akal semakin berusia, biar jauh kedudukan kita, biar jurang pangkat kita. Jangan tergadai silaturrahim antara kita.
- Insan lupa, lalu salah. Insan mulia, lalu pemaaf. Aidilfitri mengembalikan insan kepada fitrahnya.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
11:57
0
maklum balas
Label blog
Rabu, 10 Oktober 2007
Sepuluh jari disusun
Buat semua pengunjung blog ini, bersempena dengan 1 Syawal yang bakal menjelang tidak berapa hari sahaja lagi, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf andai berlaku perkara yang menyinggung perasaan atau mengguris hati. Sesungguhnya aku hanya insan biasa yang tidak dapat lari dari salah dan silap. Mungkin ada yang dicoretkan di dalam blog ini mengundang rasa tidak senang.
Justeru, di dalam suasana lebaran ini, marilah kita bermaaf-maafan dan mempereratkan silaturrahim sekalipun perkenalan kita hanya di dunia siber.
Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari Amir Husaini dan keluarga.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
05:03
0
maklum balas
Label blog
Sabtu, 6 Oktober 2007
Inilah kisahku [Bahagian 8]
Apabila aku meninggalkan institusi pemikir Islam yang menjadi tempat aku mencari rezeki selama hampir 7 setengah tahun itu, aku terfikir kembali untuk menerbitkan Ombak Senja. Ini ditambah pula dengan dorongan novelis Izza Aripin yang menggalakkan supaya aku menerbitkan naskhah tersebut walaupun usianya sudah menghampiri satu dekad.
Setelah berfikir masak-masak, akhirnya aku memberanikan diri menghantarkan manuskrip Ombak Senja kepada Utusan Publications and Distributors tanggal 28 Jun 2006. Ketika itu aku telah memberikan tajuk baru untuk novel ini iaitu Stigma.
Berita gembira aku terima pada 8 September 2006. Manuskrip tersebut telah diterima untuk diterbitkan di bawah imprint TintaRona. Pada 7 Disember 2006 pula, aku diminta memikirkan tajuk lain bagi novel ini kerana penerbit merasakan tajuk Stigma tidak begitu sesuai. Ironinya, daripada beberapa tajuk yang dikemukakan, tajuk asal novel ini iaitu Ombak Senja yang menjadi pilihan penerbit.
Dan nama "Amir Husaini" juga lahir pada ketika itu iaitu tanggal 14 Disember 2006. Setelah berbincang dengan penerbit, difikirkan nama ini (yang merupakan nama putera sulungku) mampu menarik perhatian pembaca. Jadi, semenjak itulah aku menggunakan nama pena ini untuk menulis.
Akhirnya, pada bulan Januari 2007, novel Ombak Senja menemui pembaca di pasaran.
[Tamat]
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:21
3
maklum balas
Label kisahku, Ombak Senja
Jumaat, 28 September 2007
Inilah kisahku [Bahagian 7]
Seperti yang aku nyatakan, hanya apabila Rabiatul Adawiyah menyarankan kepadaku supaya dihantar manuskrip Ombak Senja pada tahun 1999, barulah aku memberanikan diri untuk berbuat demikian. Sebagai penulis yang baru menghasilkan karya sulung, aku sedikit sebanyak mempunyai rasa gusar dan tidak yakin. Bolehkah karya aku diterbitkan? Adakah orang akan dapat menerima aku sebagai penulis novel?
Rabiatul Adawiyah memberikan aku nama seorang editor yang bertugas di sebuah syarikat penerbitan novel yang memang terkenal dengan karya-karya "kreatif." Memang syarikat kreatif ini amat dikenali dengan novel-novel popular yang digilai pembaca. Tambahan pula, pada waktu itu (selepas kegawatan ekonomi dan politik yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998), tidak banyak syarikat yang berani menerbitkan novel. Jadi, pada suatu hari pada tahun 1999, aku pergi ke pejabat syarikat penerbitan itu di Bangsar. Dengan hati yang berdebar-debar, aku serahkan manuskrip Ombak Senja kepada editor tersebut.
Pada waktu yang sama, seorang lagi rakan sekerja yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mencadangkan supaya aku menyerahkan manuskrip Ombak Senja kepada DBP. Pun begitu, Kak Wan (panggilan aku kepada rakan sekerja ini) mengingatkan aku yang proses penerbitan di DBP mengambil masa yang lama. Akhirnya, aku membuat keputusan sekadar menyerahkan manuskrip itu kepada seorang editor yang pernah bertugas di DBP iaitu saudara Ali Majod untuk dinilai tetapi bukan untuk diterbit.
Kira-kira dua bulan selepas itu, aku menerima maklum balas daripada syarikat penerbitan di Bangsar. Surat yang aku terima dibuka dengan penuh rasa gundah. Walaupun aku tidak lagi menyimpan surat tersebut, isi kandungannya masih aku ingat sehingga hari ini. Antara lain, surat itu menyatakan bahawa karya aku itu ditolak oleh syarikat itu kerana ceritanya membosankan dan tidak menarik.
Ya, aku tidak nafikan yang aku kecewa dengan kandungan itu. Tetapi aku pasrah kerana aku hanyalah seorang insan yang baru terfikir mahu terjun ke dunia penulisan. Siapalah aku untuk berhujah dengan mereka yang telah lama menilai, menyunting dan menerbitkan novel?
Tidak lama selepas itu, aku terima pula maklum balas daripada saudara Ali Majod. Aku pernah kongsikan maklum balas ini di dalam blog ini pada pertengahan tahun lepas. Pautan ke maklum balas ini boleh didapati dengan mengklik di sini. Agak menarik apabila membaca maklum balas ini kerana ia sama sekali berbeza dengan pandangan syarikat penerbitan di Bangsar itu. Aku fikir mungkin kisah Ombak Senja tidak sesuai dengan sasaran pembaca syarikat tersebut.
Walau bagaimanapun, disebabkan hambatan tugas di institusi pemikir Islam tempat aku bertugas, aku lupakan hajat aku untuk menjadi penulis novel. Manuskrip Ombak Senja aku simpan di dalam laci di pejabat. Dan aku hampir terlupa tentang manuskrip tersebut sepanjang aku bertugas di situ sehingga akhir tahun 2005 yang lalu.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
01:42
4
maklum balas
Label kisahku, Ombak Senja
Rabu, 26 September 2007
Opah De Mengulas Ombak Senja
Macam boleh rhyme pula tajuk coretan kali ini - "Opah De Mengulas Ombak Senja." Hehehe...
Walau bagaimanapun, aku ingin merakamkan ucapan penghargaan aku kepada penulis novel yang tidak pernah gagal mengundang senyum dan tawa di wajah pembaca iaitu E.M. Muhammad alias Oshun Muhammad alias Opah De alias OD alias banyak lagi nama-nama lain termasuk nama sebenar di dalam pasport. Jangan marah OD, saja bergurau!
Untuk makluman, ini adalah ulasan keempat untuk novel Ombak Senja yang aku temui. Jadi, tanpa meminta keizinan daripada empunya ulasan, aku memperturunkan ulasan tersebut di bawah untuk tujuan penyerantaraan:
Dalam novel sulungnya ini, Amir Husaini menjadikan seorang lelaki sebagai pendokong watak utamanya. Hairi, menghidap AIDS kerana memilih jalan yang salah pada suatu ketika dahulu. Hairi pulang ke kampung halamannya, kampung tempat dia dilahirkan, dibesarkan dan kampung tempat ibu bapanya disemadikan, untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya yang tinggal sedikit. Niatnya, di akhir usianya itu dia ingin mencurahkan bakti kepada penduduk kampung itu dan OD rasa, dia juga ingin jasadnya disemadikan di sebelah kubur ibu dan ayahnya.
Namun, hasrat Hairi tidak kesampaian apabila khabar mengenai dirinya yang menghidap AIDS tersebar luas.
Di sini, Amir Husaini memaparkan reaksi pelbagai yang diberikan oleh orang-orang kampung apabila dibentangkan dengan situasi yang mencabar. Penulis memaparkan sikap manusia yang berbeza berdasarkan akal fikiran mereka dan bukan berdasarkan usia atau pelajaran. Segolongan watak dalam Ombak Senja mempunyai akal yang panjang dan berfikiran terbuka. Mereka masih menerima Hairi dengan baik walaupun hati mereka kecewa. Yang selebihnya, sudah dapat kita agak reaksi mereka. OD gesa cucunda membaca sendiri novel ini untuk melihat dengan jelas tindakan mereka terhadap Hairi yang amat merobek perasaan dan jiwa.
Kisah cinta di antara Hairi dan Sofea diselitkan dalam novel ini tetapi tidak terlalu menumpukan kepada kisah cinta mereka sehingga dunia lain di sekeliling kita tidak wujud. Kisah kasih sayang antara manusia juga bijak Amir pamirkan melalui watak Zirul dan Mak Esah terhadap Hairi. Kisah kasih sayang antara manusia dengan TUHAN juga menjadi tonggak dalam novel ini. Kalau tidak kerana keinsafan yang diperoleh Hairi, OD percaya dia akan terus bergelumang dengan dunia PLU-nya. Beberapa bab di akhir cerita mengundang kesedihan di hati OD. Sedih melihat pengorbanan suci seorang wanita terhadap lelaki yang dicintainya, sedih kerana hasrat Hairi tidak kesampaian dek sikap buta hati dan minda manusia, sedih dengan pemergian Hairi yang tiba-tiba (naluri OD tak sempat hendak meneka langsung... sabar-sabar).
Kalau hendak kepuasan membaca kisah sebenar manusia, bacalah novel ini. Garapan Amir Husaini bersahaja, mudah OD membacanya bagai air sungai yang mengalir terus. Tetapi dalam mudah tak mudah itu, Amir Husaini tetap menimbulkan rasa tidak sabar dalam diri OD untuk mengetahui bagaimana sebenarnya Hairi dijangkiti penyakit yang tidak ada ubat di atas muka bumi ini. Amir Husaini tetap menimbulkan rasa marah OD dengan tindak-tanduk manusia terutama di akhir-akhir cerita. Amir Husaini mengajar kita supaya bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan, kerana kita tidak boleh meneka apa yang berlari di akal fikiran manusia di keliling kita. Hairi benar-benar bersedia... itu yang membuatkan OD rasa sebak.
Hanya satu kesilapan teknik yang OD jumpa. Mukasurat 240 perenggan pertama. Agak mengelirukan OD sebab setahu OD, Pak Samad sudah insaf. Rupanya, typo...
Itu hal kecil sahaja. Yang penting, OD puas hati membacanya. Tahniah kepada Amir Husaini. Bila nak keluar buku kedua?
Bintang: ****
Ulasan di atas juga boleh ditatapi di blog OD. Terima kasih OD kerana sudi membaca dan mengulas Ombak Senja. Siap bagi bintang lagi.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
01:43
2
maklum balas
Label maklum balas, Ombak Senja
Jumaat, 21 September 2007
Akan kembali minggu hadapan
Maaf kerana lama menyepi sekali lagi. Punca aku menyepi kali ini adalah kerana kelahiran putera kedua tanggal 17 September 2007 baru-baru ini. Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kelahiran ini. Aku berdoa moga dengan kehadiran Shaikh Ammar Qusyairi di dalam hidupku ini akan menambahkan kebahagiaan dan keceriaan di dalam keluargaku.
Insya-Allah, sekiranya semuanya berjalan lancar, aku akan kembali aktif di dalam dunia siber pada minggu hadapan.
Nota kaki:
Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin, dan takziah untuk keluarganya. Semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya. Dan semoga "manusia bertopengkan syaitan" yang melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini dibawa ke muka pengadilan.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:36
2
maklum balas
Label kisahku
Khamis, 13 September 2007
Inilah kisahku [Bahagian 6]
Dari mana datangnya idea untuk Ombak Senja? Mengapa aku pilih tajuk Ombak Senja? Mengapa aku pendamkan Ombak Senja begitu lama sebelum diterbitkan sekalipun manuskrip ini siap pada tahun 1997? Ini merupakan di antara soalan yang kerap dilontarkan.
Idea untuk Ombak Senja (novel) sebenarnya lahir apabila aku membuat penyelidikan mengenai HIV/AIDS untuk satu makalah yang aku tulis pada awal tahun 1997. Penyelidikan ini membuka mata aku tentang stigma masyarakat yang begitu mendalam terhadap mereka yang mempunyai HIV/AIDS. Jadi novel ini aku tulis sebagai satu usaha untuk memupuk kesedaran tentang isu yang masih dianggap sebagai sensitif di dalam masyarakat kita.
Tajuk Ombak Senja dipilih sebagai satu penghormatan atau homage kepada cerpen pertama yang aku tulis. Kebetulan juga aku memang suka pemandangan di tepi pantai apabila senja mula menyingsing. Ini ditambah pula dengan makna metafora yang tersirat di sebalik tajuk ini dengan watak utama kisah ini iaitu Hairi. Kehidupan dan cabaran yang dilalui oleh Hairi penuh dengan seribu satu macam onar dan duri. Kepayahan ini ibarat dilambung ombak yang menghempas pantai. Dan Hairi pula sedang meniti hari-hari terakhir hidupnya. Dalam kata lain, Hairi sedang melalui hari-hari senjanya. Jadi secara simboliknya, Ombak Senja itu menggambarkan cabaran kehidupan yang dilalui Hairi di hujung hayatnya.
Aku sebenarnya mengambil sedikit masa untuk menghantarkan naskhah Ombak Senja ini kepada penerbit. Pada ketika aku benar-benar berpuas hati dengan naskhah yang aku hasilkan ini, aku telah meninggalkan tempat kerja lamaku untuk berhijrah pula ke sebuah institusi pemikir Islam yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada waktu itu, aku tidak pasti sama ada institusi pemikir Islam ini membenarkan pekerjanya untuk menulis karya-karya kreatif ini. Tambahan pula, aku merupakan di antara mereka yang menulis pelbagai makalah ilmiah di samping menghasilkan pelbagai jenis buku. Aku bimbang jika aku terjun ke dalam dunia penulisan kreatif, orang akan jadi keliru. Pasti akan ada yang bertanya, "Siapa dia sebenarnya? Pemikir atau novelis?"
Hakikatnya memang ada yang melontarkan soalan itu kepada aku. Aku dapati di negara ini sukar untuk orang menerima seseorang yang boleh melibatkan diri di dalam pelbagai perkara. Seolah-olah sukar untuk membayangkan seorang yang berkelulusan sains bekerja di sebuah institusi pemikir Islam untuk memberi kefahaman tentang isu-isu semasa yang timbul dan pada waktu yang sama boleh menghasilkan karya kreatif. Ianya seperti suatu perkara yang janggal walhal di Barat kita ada penulis novel yang juga seorang profesional seperti saintis, jurutera dan peguam.
Aku teringat semasa aku dipanggil untuk temu duga, aku telah ditanya berkenaan perkara yang hampir serupa. Mengapa aku suka buat pelbagai perkara yang tiada kaitan di antara satu sama lain? Sudahnya nanti, apa yang aku inginkan dari hidupku? Ketika itu aku tersentak dengan soalan itu tetapi secara spontan aku menjawab, "Jika dulu Tamadun Islam bangga dengan tokoh-tokoh seperti Ibn Sina yang menguasai pelbagai bidang seperti matematik, kimia, perubatan, falsafah, muzik dan sebagainya, mengapa tidak kita ada orang seperti itu pada zaman ini?" Bila aku fikirkan kembali, agaknya jawapan inilah yang menyebabkan aku mendapat kerja di institusi tersohor tersebut.
Berbalik kepada soal menerbitkan manuskrip Ombak Senja. Aku beranikan juga bertanya tentang perkara ini kepada Ketua Pengarah institusi itu pada ketika itu. Baru aku tahu bahawa beliau juga pernah menghasilkan karya-karya kreatif terutamanya semasa waktu dia berada di Universiti Al-Azhar. [Malah ketika aku bertemu dengannya baru-baru ini, dia masih lagi aktif menghasilkan karya-karya kreatif]. Ketuaku tidak ada halangan untuk aku bergelumang di dalam dunia penulisan kreatif, malah dia sendiri menggalakkannya.
Jadi pada awal tahun 1999, atas galakan novelis yang kini dikenali sebagai Rabiatul Adawiyah, aku telah menghubungi sebuah syarikat penerbitan untuk menghantar manuskrip tersebut untuk dipertimbangkan.
[Bersambung...]
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
01:05
0
maklum balas
Label kisahku, Ombak Senja
Rabu, 12 September 2007
Kenangan Ramadan
Tahun 1992 merupakan tahun pertama aku berpuasa tanpa keluarga di sisi. Ketika itu, aku masih menjalani pengajian asasi di Langside College, Glasgow dan aku tinggal bersama keluarga angkat Scotland yang berketurunan Venezuela. Menarik juga berpuasa di dalam persekitaran yang asing dan berbeza. Setidak-tidaknya bagi keluarga angkatku, mereka lebih memahami akan tuntutan berpuasa seperti yang disyariatkan di dalam Islam. Bagi aku pula, pengalaman ini mengajar aku erti bersabar. Dan bagi aku, inilah peluang untuk menunjukkan keindahan Islam kepada mereka - bukan dalam bentuk ceramah atau kuliah tetapi menerusi daawah bil hal.
Ada kalanya aku berjalan sahaja merentasi Queen's Park untuk pulang ke rumah. Aku sentiasa membawa bekal coklat di dalam saku jaketku sebagai bekal berbuka. Samalah juga jika aku memilih untuk menaiki bas untuk pulang. Coklat pasti sahaja bersiap siaga di dalam saku untuk dijamah andai waktu berbuka sudah tiba.
Pada waktu ini jugalah, aku diperkenalkan kepada budaya berbuka di masjid. Central Mosque, atau gelaran glamornya CM, yang merupakan masjid terbesar di Scotland yang tersergam indah di mukim Gorbals di tebing River Clyde menjadi tumpuan kami yang bergelar pelajar pada ketika itu. Kami akan tiba di masjid sebelum Maghrib dan menanti azan dilaungkan. Kami akan berbuka dengan tamar sebelum menunaikan solat fardu Maghrib. Selepas itu, kami akan berhimpun di dewan makan, duduk bersila di barisan "saf makan" yang tersiap sedia untuk menjamah hidangan yang lazat. Lazimnya ada tiga saf makan dengan setiap satu boleh memuatkan hampir 100 orang. Dan lazimnya juga, pelajar Malaysia akan mengimarahkan separuh daripada tiga saf tersebut.
Kenapa begitu ramai pelajar Malaysia tertumpu ke sana? Pertama, kerana pada waktu itu, hanya dua tempat sahaja di Glasgow yang mengadakan majlis iftar. Selain CM, satu lagi tempat ialah Muslim House yang terletak di Carrington Road. CM merupakan destinasi paling mudah untuk dituju berbanding Muslim House. Kedua, tiada kos yang perlu dikeluarkan untuk menghadiri majlis iftar ini. Bagi pelajar pada zaman itu, elaun sara hidup tidaklah semewah seperti pelajar hari ini. Jadi apa sahaja yang boleh menjimatkan kos akan dilakukan termasuklah mencari tempat untuk makan percuma. Ketiga, masyarakat Muslim ramai yang kaya-raya dan bermurah hati. Orang terkaya di Glasgow adalah orang Islam. Jadi setiap hari sepanjang Ramadan mereka akan bergilir-gilir mengeluarkan derma untuk membiayai majlis iftar dengan makanan yang sungguh enak. Walaupun menu berbuka bukanlah menu Melayu, hakikatnya masakan Pakistan dan Arab mampu memenuhi citarasa pelajar-pelajar Malaysia. Sebab itulah ada di kalangan kami yang tidak segan silu meminta nasi tambah atau lauk tambah. Sehingga hari ini, masih terngiang-ngiang di telingaku suara mereka yang meminta lauk tambah, "More curry brother! More rice brother!"
Apabila aku menjadi residen di Pusat Penuntut Malaysia Glasgow di Albert Road pada tahun 1994, aku jarang berbuka di CM. Sebaliknya aku lebih kerap berbuka sama ada di University Mosque di Oakfield Avenue atau di rumah. Ketika ini sudah banyak masjid yang mengadakan majlis iftar. Jadi pelajar tidak lagi bertumpu ke CM semata-mata. Bermula pada tahun ini jugalah, Pusat Penuntut Malaysia mula mengadakan solat Isyak, terawih dan witir berjemaah diikuti dengan majlis moreh. Lazimnya tanggungjawab mengimamkan solat digilir-gilirkan di antara diriku dan seorang lagi sahabat bernama Suhaimi Sulaiman (tidak ada kena-mengena dengan Suhaimi Sulaiman bekas pembaca berita TV3). Sememangnya pada waktu-waktu inilah paling aku hargai kerana dapat bersama dengan rakan-rakan ketika terawih dan witir. Setidak-tidaknya, suasana Ramadan seperti di Malaysia dapat dirasai sekalipun cuaca di Glasgow jauh lebih sejuk. Biasanya yang memenuhi dewan solat Pusat Penuntut Malaysia Glasgow untuk terawih adalah pelajar-pelajar bujang yang tinggal di sekitar kawasan Queen's Park. Dan kami akan bergilir-gilir menyediakan juadah untuk moreh.
Ada kalanya, persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Glasgow akan mengadakan majlis iftar. Begitu juga dengan pelajar-pelajar pascasiswazah yang telah berkeluarga. Jika aku mendapat jemputan, lazimnya aku akan menghadiri majlis-majlis ini. Sememangnya, pengalaman Ramadan di Glasgow adalah sesuatu yang akan terus terpahat di dalam ingatanku. Pengalaman ini sungguh bermakna dan berharga kerana ia mengajarku erti kesabaran, kebersamaan dengan rakan-rakan, kemurahan hati dan ketabahan.
Selamat menjalani ibadah puasa di dalam bulan yang penuh berkat ini.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
10:20
0
maklum balas
Label kisahku
Isnin, 10 September 2007
Ampun dan maaf dipinta
Agak lama juga aku menyepi dari dunia siber. Bukannya merajuk tetapi ada perkara lain yang sedang berlaku yang memerlukan perhatian. Ini menyebabkan aku tidak dapat mencari masa untuk masuk ke dunia maya ini. Jika sesiapa yang ingin tahu apa yang berlaku, bolehlah klik di sini.
Tidak ada benda baru yang aku tulis di dalam tempoh ini. Transgenesis masih belum selesai. Echoes of My Heart juga masih belum sempat dimulakan. Blog ini juga sedikit terabai. Insya-Allah apabila keadaan kembali tenang, aku akan menyambung semula "Inilah Kisahku."
Bersempena bulan Ramadan yang berkat yang bakal menjelang, aku doakan agar kita semua diberikan rahmat daripada-Nya. Semoga bulan Ramadan ini akan memberikan pelbagai kebaikan, manfaat dan ganjaran kepada kita semua.
Selamat beribadat di dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
11:57
0
maklum balas
Label Echoes of My Heart, kisahku, Transgenesis



