Rabu, 12 September 2007

Kenangan Ramadan

Esok umat Islam akan menunaikan kewajipan Rukun Islam iaitu berpuasa di bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Setiap kali Ramadan menjelang, pasti aku akan teringat kenangan berpuasa di perantauan. Lima tahun berturut-turut bermula tahun 1992 hinggalah 1996, aku telah menjalani ibadah puasa yang difardukan ini di tempat orang.

Langside College yang terletak di Mount Florida, Glasgow

Tahun 1992 merupakan tahun pertama aku berpuasa tanpa keluarga di sisi. Ketika itu, aku masih menjalani pengajian asasi di Langside College, Glasgow dan aku tinggal bersama keluarga angkat Scotland yang berketurunan Venezuela. Menarik juga berpuasa di dalam persekitaran yang asing dan berbeza. Setidak-tidaknya bagi keluarga angkatku, mereka lebih memahami akan tuntutan berpuasa seperti yang disyariatkan di dalam Islam. Bagi aku pula, pengalaman ini mengajar aku erti bersabar. Dan bagi aku, inilah peluang untuk menunjukkan keindahan Islam kepada mereka - bukan dalam bentuk ceramah atau kuliah tetapi menerusi daawah bil hal.

Puasa di perantauan tidaklah sesukar yang dibayangkan. Apa lagi kalau bulan Ramadan jatuh semasa musim bunga. Tahun 1992, Ramadan jatuh di dalam bulan Mac dan April. Jadi pada masa ini, siangnya sudah mula pendek sekitar sembilan hingga sepuluh jam sahaja. Cuaca pun tidaklah panas kerana suhu musim bunga di Glasgow sekitar belasan darjah sahaja. Maka pengalaman berpuasa pada waktu ini tidak meletihkan langsung. Waktu tiba di kolej, matahari baru menjengah dan waktu pulang pula lazimnya selepas waktu berbuka.
Pemandangan indah di Queen's Park, Glasgow

Ada kalanya aku berjalan sahaja merentasi Queen's Park untuk pulang ke rumah. Aku sentiasa membawa bekal coklat di dalam saku jaketku sebagai bekal berbuka. Samalah juga jika aku memilih untuk menaiki bas untuk pulang. Coklat pasti sahaja bersiap siaga di dalam saku untuk dijamah andai waktu berbuka sudah tiba.

Suasana malam di Central Mosque, Glasgow

Pada waktu ini jugalah, aku diperkenalkan kepada budaya berbuka di masjid. Central Mosque, atau gelaran glamornya CM, yang merupakan masjid terbesar di Scotland yang tersergam indah di mukim Gorbals di tebing River Clyde menjadi tumpuan kami yang bergelar pelajar pada ketika itu. Kami akan tiba di masjid sebelum Maghrib dan menanti azan dilaungkan. Kami akan berbuka dengan tamar sebelum menunaikan solat fardu Maghrib. Selepas itu, kami akan berhimpun di dewan makan, duduk bersila di barisan "saf makan" yang tersiap sedia untuk menjamah hidangan yang lazat. Lazimnya ada tiga saf makan dengan setiap satu boleh memuatkan hampir 100 orang. Dan lazimnya juga, pelajar Malaysia akan mengimarahkan separuh daripada tiga saf tersebut.

Kenapa begitu ramai pelajar Malaysia tertumpu ke sana? Pertama, kerana pada waktu itu, hanya dua tempat sahaja di Glasgow yang mengadakan majlis iftar. Selain CM, satu lagi tempat ialah Muslim House yang terletak di Carrington Road. CM merupakan destinasi paling mudah untuk dituju berbanding Muslim House. Kedua, tiada kos yang perlu dikeluarkan untuk menghadiri majlis iftar ini. Bagi pelajar pada zaman itu, elaun sara hidup tidaklah semewah seperti pelajar hari ini. Jadi apa sahaja yang boleh menjimatkan kos akan dilakukan termasuklah mencari tempat untuk makan percuma. Ketiga, masyarakat Muslim ramai yang kaya-raya dan bermurah hati. Orang terkaya di Glasgow adalah orang Islam. Jadi setiap hari sepanjang Ramadan mereka akan bergilir-gilir mengeluarkan derma untuk membiayai majlis iftar dengan makanan yang sungguh enak. Walaupun menu berbuka bukanlah menu Melayu, hakikatnya masakan Pakistan dan Arab mampu memenuhi citarasa pelajar-pelajar Malaysia. Sebab itulah ada di kalangan kami yang tidak segan silu meminta nasi tambah atau lauk tambah. Sehingga hari ini, masih terngiang-ngiang di telingaku suara mereka yang meminta lauk tambah, "More curry brother! More rice brother!"

Apabila aku menjadi residen di Pusat Penuntut Malaysia Glasgow di Albert Road pada tahun 1994, aku jarang berbuka di CM. Sebaliknya aku lebih kerap berbuka sama ada di University Mosque di Oakfield Avenue atau di rumah. Ketika ini sudah banyak masjid yang mengadakan majlis iftar. Jadi pelajar tidak lagi bertumpu ke CM semata-mata. Bermula pada tahun ini jugalah, Pusat Penuntut Malaysia mula mengadakan solat Isyak, terawih dan witir berjemaah diikuti dengan majlis moreh. Lazimnya tanggungjawab mengimamkan solat digilir-gilirkan di antara diriku dan seorang lagi sahabat bernama Suhaimi Sulaiman (tidak ada kena-mengena dengan Suhaimi Sulaiman bekas pembaca berita TV3). Sememangnya pada waktu-waktu inilah paling aku hargai kerana dapat bersama dengan rakan-rakan ketika terawih dan witir. Setidak-tidaknya, suasana Ramadan seperti di Malaysia dapat dirasai sekalipun cuaca di Glasgow jauh lebih sejuk. Biasanya yang memenuhi dewan solat Pusat Penuntut Malaysia Glasgow untuk terawih adalah pelajar-pelajar bujang yang tinggal di sekitar kawasan Queen's Park. Dan kami akan bergilir-gilir menyediakan juadah untuk moreh.

Ada kalanya, persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Glasgow akan mengadakan majlis iftar. Begitu juga dengan pelajar-pelajar pascasiswazah yang telah berkeluarga. Jika aku mendapat jemputan, lazimnya aku akan menghadiri majlis-majlis ini. Sememangnya, pengalaman Ramadan di Glasgow adalah sesuatu yang akan terus terpahat di dalam ingatanku. Pengalaman ini sungguh bermakna dan berharga kerana ia mengajarku erti kesabaran, kebersamaan dengan rakan-rakan, kemurahan hati dan ketabahan.

Selamat menjalani ibadah puasa di dalam bulan yang penuh berkat ini.

0 maklum balas: