Jumaat, 28 September 2007

Inilah kisahku [Bahagian 7]

Seperti yang aku nyatakan, hanya apabila Rabiatul Adawiyah menyarankan kepadaku supaya dihantar manuskrip Ombak Senja pada tahun 1999, barulah aku memberanikan diri untuk berbuat demikian. Sebagai penulis yang baru menghasilkan karya sulung, aku sedikit sebanyak mempunyai rasa gusar dan tidak yakin. Bolehkah karya aku diterbitkan? Adakah orang akan dapat menerima aku sebagai penulis novel?

Rabiatul Adawiyah memberikan aku nama seorang editor yang bertugas di sebuah syarikat penerbitan novel yang memang terkenal dengan karya-karya "kreatif." Memang syarikat kreatif ini amat dikenali dengan novel-novel popular yang digilai pembaca. Tambahan pula, pada waktu itu (selepas kegawatan ekonomi dan politik yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998), tidak banyak syarikat yang berani menerbitkan novel. Jadi, pada suatu hari pada tahun 1999, aku pergi ke pejabat syarikat penerbitan itu di Bangsar. Dengan hati yang berdebar-debar, aku serahkan manuskrip Ombak Senja kepada editor tersebut.

Pada waktu yang sama, seorang lagi rakan sekerja yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mencadangkan supaya aku menyerahkan manuskrip Ombak Senja kepada DBP. Pun begitu, Kak Wan (panggilan aku kepada rakan sekerja ini) mengingatkan aku yang proses penerbitan di DBP mengambil masa yang lama. Akhirnya, aku membuat keputusan sekadar menyerahkan manuskrip itu kepada seorang editor yang pernah bertugas di DBP iaitu saudara Ali Majod untuk dinilai tetapi bukan untuk diterbit.

Kira-kira dua bulan selepas itu, aku menerima maklum balas daripada syarikat penerbitan di Bangsar. Surat yang aku terima dibuka dengan penuh rasa gundah. Walaupun aku tidak lagi menyimpan surat tersebut, isi kandungannya masih aku ingat sehingga hari ini. Antara lain, surat itu menyatakan bahawa karya aku itu ditolak oleh syarikat itu kerana ceritanya membosankan dan tidak menarik.

Ya, aku tidak nafikan yang aku kecewa dengan kandungan itu. Tetapi aku pasrah kerana aku hanyalah seorang insan yang baru terfikir mahu terjun ke dunia penulisan. Siapalah aku untuk berhujah dengan mereka yang telah lama menilai, menyunting dan menerbitkan novel?

Tidak lama selepas itu, aku terima pula maklum balas daripada saudara Ali Majod. Aku pernah kongsikan maklum balas ini di dalam blog ini pada pertengahan tahun lepas. Pautan ke maklum balas ini boleh didapati dengan mengklik di sini. Agak menarik apabila membaca maklum balas ini kerana ia sama sekali berbeza dengan pandangan syarikat penerbitan di Bangsar itu. Aku fikir mungkin kisah Ombak Senja tidak sesuai dengan sasaran pembaca syarikat tersebut.

Walau bagaimanapun, disebabkan hambatan tugas di institusi pemikir Islam tempat aku bertugas, aku lupakan hajat aku untuk menjadi penulis novel. Manuskrip Ombak Senja aku simpan di dalam laci di pejabat. Dan aku hampir terlupa tentang manuskrip tersebut sepanjang aku bertugas di situ sehingga akhir tahun 2005 yang lalu.

Rabu, 26 September 2007

Opah De Mengulas Ombak Senja

Macam boleh rhyme pula tajuk coretan kali ini - "Opah De Mengulas Ombak Senja." Hehehe...

Walau bagaimanapun, aku ingin merakamkan ucapan penghargaan aku kepada penulis novel yang tidak pernah gagal mengundang senyum dan tawa di wajah pembaca iaitu E.M. Muhammad alias Oshun Muhammad alias Opah De alias OD alias banyak lagi nama-nama lain termasuk nama sebenar di dalam pasport. Jangan marah OD, saja bergurau!

Untuk makluman, ini adalah ulasan keempat untuk novel Ombak Senja yang aku temui. Jadi, tanpa meminta keizinan daripada empunya ulasan, aku memperturunkan ulasan tersebut di bawah untuk tujuan penyerantaraan:

Sebelum membaca novel garapan ahli pemikir yang berbakat besar dalam bidang penulisan ini, OD sudah tahu kisah yang dijadikan landasan Ombak Senja berdasarkan entri di blog penulis.

Dalam novel sulungnya ini, Amir Husaini menjadikan seorang lelaki sebagai pendokong watak utamanya. Hairi, menghidap AIDS kerana memilih jalan yang salah pada suatu ketika dahulu. Hairi pulang ke kampung halamannya, kampung tempat dia dilahirkan, dibesarkan dan kampung tempat ibu bapanya disemadikan, untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya yang tinggal sedikit. Niatnya, di akhir usianya itu dia ingin mencurahkan bakti kepada penduduk kampung itu dan OD rasa, dia juga ingin jasadnya disemadikan di sebelah kubur ibu dan ayahnya.

Namun, hasrat Hairi tidak kesampaian apabila khabar mengenai dirinya yang menghidap AIDS tersebar luas.

Di sini, Amir Husaini memaparkan reaksi pelbagai yang diberikan oleh orang-orang kampung apabila dibentangkan dengan situasi yang mencabar. Penulis memaparkan sikap manusia yang berbeza berdasarkan akal fikiran mereka dan bukan berdasarkan usia atau pelajaran. Segolongan watak dalam Ombak Senja mempunyai akal yang panjang dan berfikiran terbuka. Mereka masih menerima Hairi dengan baik walaupun hati mereka kecewa. Yang selebihnya, sudah dapat kita agak reaksi mereka. OD gesa cucunda membaca sendiri novel ini untuk melihat dengan jelas tindakan mereka terhadap Hairi yang amat merobek perasaan dan jiwa.

Kisah cinta di antara Hairi dan Sofea diselitkan dalam novel ini tetapi tidak terlalu menumpukan kepada kisah cinta mereka sehingga dunia lain di sekeliling kita tidak wujud. Kisah kasih sayang antara manusia juga bijak Amir pamirkan melalui watak Zirul dan Mak Esah terhadap Hairi. Kisah kasih sayang antara manusia dengan TUHAN juga menjadi tonggak dalam novel ini. Kalau tidak kerana keinsafan yang diperoleh Hairi, OD percaya dia akan terus bergelumang dengan dunia PLU-nya. Beberapa bab di akhir cerita mengundang kesedihan di hati OD. Sedih melihat pengorbanan suci seorang wanita terhadap lelaki yang dicintainya, sedih kerana hasrat Hairi tidak kesampaian dek sikap buta hati dan minda manusia, sedih dengan pemergian Hairi yang tiba-tiba (naluri OD tak sempat hendak meneka langsung... sabar-sabar).

Kalau hendak kepuasan membaca kisah sebenar manusia, bacalah novel ini. Garapan Amir Husaini bersahaja, mudah OD membacanya bagai air sungai yang mengalir terus. Tetapi dalam mudah tak mudah itu, Amir Husaini tetap menimbulkan rasa tidak sabar dalam diri OD untuk mengetahui bagaimana sebenarnya Hairi dijangkiti penyakit yang tidak ada ubat di atas muka bumi ini. Amir Husaini tetap menimbulkan rasa marah OD dengan tindak-tanduk manusia terutama di akhir-akhir cerita. Amir Husaini mengajar kita supaya bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan, kerana kita tidak boleh meneka apa yang berlari di akal fikiran manusia di keliling kita. Hairi benar-benar bersedia... itu yang membuatkan OD rasa sebak.

Hanya satu kesilapan teknik yang OD jumpa. Mukasurat 240 perenggan pertama. Agak mengelirukan OD sebab setahu OD, Pak Samad sudah insaf. Rupanya, typo...

Itu hal kecil sahaja. Yang penting, OD puas hati membacanya. Tahniah kepada Amir Husaini. Bila nak keluar buku kedua?

Bintang: ****

Ulasan di atas juga boleh ditatapi di blog OD. Terima kasih OD kerana sudi membaca dan mengulas Ombak Senja. Siap bagi bintang lagi.

Jumaat, 21 September 2007

Akan kembali minggu hadapan

Maaf kerana lama menyepi sekali lagi. Punca aku menyepi kali ini adalah kerana kelahiran putera kedua tanggal 17 September 2007 baru-baru ini. Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kelahiran ini. Aku berdoa moga dengan kehadiran Shaikh Ammar Qusyairi di dalam hidupku ini akan menambahkan kebahagiaan dan keceriaan di dalam keluargaku.

Insya-Allah, sekiranya semuanya berjalan lancar, aku akan kembali aktif di dalam dunia siber pada minggu hadapan.

Nota kaki:
Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin, dan takziah untuk keluarganya. Semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya. Dan semoga "manusia bertopengkan syaitan" yang melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini dibawa ke muka pengadilan.

Khamis, 13 September 2007

Inilah kisahku [Bahagian 6]

Dari mana datangnya idea untuk Ombak Senja? Mengapa aku pilih tajuk Ombak Senja? Mengapa aku pendamkan Ombak Senja begitu lama sebelum diterbitkan sekalipun manuskrip ini siap pada tahun 1997? Ini merupakan di antara soalan yang kerap dilontarkan.

Idea untuk Ombak Senja (novel) sebenarnya lahir apabila aku membuat penyelidikan mengenai HIV/AIDS untuk satu makalah yang aku tulis pada awal tahun 1997. Penyelidikan ini membuka mata aku tentang stigma masyarakat yang begitu mendalam terhadap mereka yang mempunyai HIV/AIDS. Jadi novel ini aku tulis sebagai satu usaha untuk memupuk kesedaran tentang isu yang masih dianggap sebagai sensitif di dalam masyarakat kita.

Tajuk Ombak Senja dipilih sebagai satu penghormatan atau homage kepada cerpen pertama yang aku tulis. Kebetulan juga aku memang suka pemandangan di tepi pantai apabila senja mula menyingsing. Ini ditambah pula dengan makna metafora yang tersirat di sebalik tajuk ini dengan watak utama kisah ini iaitu Hairi. Kehidupan dan cabaran yang dilalui oleh Hairi penuh dengan seribu satu macam onar dan duri. Kepayahan ini ibarat dilambung ombak yang menghempas pantai. Dan Hairi pula sedang meniti hari-hari terakhir hidupnya. Dalam kata lain, Hairi sedang melalui hari-hari senjanya. Jadi secara simboliknya, Ombak Senja itu menggambarkan cabaran kehidupan yang dilalui Hairi di hujung hayatnya.

Aku sebenarnya mengambil sedikit masa untuk menghantarkan naskhah Ombak Senja ini kepada penerbit. Pada ketika aku benar-benar berpuas hati dengan naskhah yang aku hasilkan ini, aku telah meninggalkan tempat kerja lamaku untuk berhijrah pula ke sebuah institusi pemikir Islam yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada waktu itu, aku tidak pasti sama ada institusi pemikir Islam ini membenarkan pekerjanya untuk menulis karya-karya kreatif ini. Tambahan pula, aku merupakan di antara mereka yang menulis pelbagai makalah ilmiah di samping menghasilkan pelbagai jenis buku. Aku bimbang jika aku terjun ke dalam dunia penulisan kreatif, orang akan jadi keliru. Pasti akan ada yang bertanya, "Siapa dia sebenarnya? Pemikir atau novelis?"

Hakikatnya memang ada yang melontarkan soalan itu kepada aku. Aku dapati di negara ini sukar untuk orang menerima seseorang yang boleh melibatkan diri di dalam pelbagai perkara. Seolah-olah sukar untuk membayangkan seorang yang berkelulusan sains bekerja di sebuah institusi pemikir Islam untuk memberi kefahaman tentang isu-isu semasa yang timbul dan pada waktu yang sama boleh menghasilkan karya kreatif. Ianya seperti suatu perkara yang janggal walhal di Barat kita ada penulis novel yang juga seorang profesional seperti saintis, jurutera dan peguam.

Aku teringat semasa aku dipanggil untuk temu duga, aku telah ditanya berkenaan perkara yang hampir serupa. Mengapa aku suka buat pelbagai perkara yang tiada kaitan di antara satu sama lain? Sudahnya nanti, apa yang aku inginkan dari hidupku? Ketika itu aku tersentak dengan soalan itu tetapi secara spontan aku menjawab, "Jika dulu Tamadun Islam bangga dengan tokoh-tokoh seperti Ibn Sina yang menguasai pelbagai bidang seperti matematik, kimia, perubatan, falsafah, muzik dan sebagainya, mengapa tidak kita ada orang seperti itu pada zaman ini?" Bila aku fikirkan kembali, agaknya jawapan inilah yang menyebabkan aku mendapat kerja di institusi tersohor tersebut.

Berbalik kepada soal menerbitkan manuskrip Ombak Senja. Aku beranikan juga bertanya tentang perkara ini kepada Ketua Pengarah institusi itu pada ketika itu. Baru aku tahu bahawa beliau juga pernah menghasilkan karya-karya kreatif terutamanya semasa waktu dia berada di Universiti Al-Azhar. [Malah ketika aku bertemu dengannya baru-baru ini, dia masih lagi aktif menghasilkan karya-karya kreatif]. Ketuaku tidak ada halangan untuk aku bergelumang di dalam dunia penulisan kreatif, malah dia sendiri menggalakkannya.

Jadi pada awal tahun 1999, atas galakan novelis yang kini dikenali sebagai Rabiatul Adawiyah, aku telah menghubungi sebuah syarikat penerbitan untuk menghantar manuskrip tersebut untuk dipertimbangkan.

[Bersambung...]

Rabu, 12 September 2007

Kenangan Ramadan

Esok umat Islam akan menunaikan kewajipan Rukun Islam iaitu berpuasa di bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Setiap kali Ramadan menjelang, pasti aku akan teringat kenangan berpuasa di perantauan. Lima tahun berturut-turut bermula tahun 1992 hinggalah 1996, aku telah menjalani ibadah puasa yang difardukan ini di tempat orang.

Langside College yang terletak di Mount Florida, Glasgow

Tahun 1992 merupakan tahun pertama aku berpuasa tanpa keluarga di sisi. Ketika itu, aku masih menjalani pengajian asasi di Langside College, Glasgow dan aku tinggal bersama keluarga angkat Scotland yang berketurunan Venezuela. Menarik juga berpuasa di dalam persekitaran yang asing dan berbeza. Setidak-tidaknya bagi keluarga angkatku, mereka lebih memahami akan tuntutan berpuasa seperti yang disyariatkan di dalam Islam. Bagi aku pula, pengalaman ini mengajar aku erti bersabar. Dan bagi aku, inilah peluang untuk menunjukkan keindahan Islam kepada mereka - bukan dalam bentuk ceramah atau kuliah tetapi menerusi daawah bil hal.

Puasa di perantauan tidaklah sesukar yang dibayangkan. Apa lagi kalau bulan Ramadan jatuh semasa musim bunga. Tahun 1992, Ramadan jatuh di dalam bulan Mac dan April. Jadi pada masa ini, siangnya sudah mula pendek sekitar sembilan hingga sepuluh jam sahaja. Cuaca pun tidaklah panas kerana suhu musim bunga di Glasgow sekitar belasan darjah sahaja. Maka pengalaman berpuasa pada waktu ini tidak meletihkan langsung. Waktu tiba di kolej, matahari baru menjengah dan waktu pulang pula lazimnya selepas waktu berbuka.
Pemandangan indah di Queen's Park, Glasgow

Ada kalanya aku berjalan sahaja merentasi Queen's Park untuk pulang ke rumah. Aku sentiasa membawa bekal coklat di dalam saku jaketku sebagai bekal berbuka. Samalah juga jika aku memilih untuk menaiki bas untuk pulang. Coklat pasti sahaja bersiap siaga di dalam saku untuk dijamah andai waktu berbuka sudah tiba.

Suasana malam di Central Mosque, Glasgow

Pada waktu ini jugalah, aku diperkenalkan kepada budaya berbuka di masjid. Central Mosque, atau gelaran glamornya CM, yang merupakan masjid terbesar di Scotland yang tersergam indah di mukim Gorbals di tebing River Clyde menjadi tumpuan kami yang bergelar pelajar pada ketika itu. Kami akan tiba di masjid sebelum Maghrib dan menanti azan dilaungkan. Kami akan berbuka dengan tamar sebelum menunaikan solat fardu Maghrib. Selepas itu, kami akan berhimpun di dewan makan, duduk bersila di barisan "saf makan" yang tersiap sedia untuk menjamah hidangan yang lazat. Lazimnya ada tiga saf makan dengan setiap satu boleh memuatkan hampir 100 orang. Dan lazimnya juga, pelajar Malaysia akan mengimarahkan separuh daripada tiga saf tersebut.

Kenapa begitu ramai pelajar Malaysia tertumpu ke sana? Pertama, kerana pada waktu itu, hanya dua tempat sahaja di Glasgow yang mengadakan majlis iftar. Selain CM, satu lagi tempat ialah Muslim House yang terletak di Carrington Road. CM merupakan destinasi paling mudah untuk dituju berbanding Muslim House. Kedua, tiada kos yang perlu dikeluarkan untuk menghadiri majlis iftar ini. Bagi pelajar pada zaman itu, elaun sara hidup tidaklah semewah seperti pelajar hari ini. Jadi apa sahaja yang boleh menjimatkan kos akan dilakukan termasuklah mencari tempat untuk makan percuma. Ketiga, masyarakat Muslim ramai yang kaya-raya dan bermurah hati. Orang terkaya di Glasgow adalah orang Islam. Jadi setiap hari sepanjang Ramadan mereka akan bergilir-gilir mengeluarkan derma untuk membiayai majlis iftar dengan makanan yang sungguh enak. Walaupun menu berbuka bukanlah menu Melayu, hakikatnya masakan Pakistan dan Arab mampu memenuhi citarasa pelajar-pelajar Malaysia. Sebab itulah ada di kalangan kami yang tidak segan silu meminta nasi tambah atau lauk tambah. Sehingga hari ini, masih terngiang-ngiang di telingaku suara mereka yang meminta lauk tambah, "More curry brother! More rice brother!"

Apabila aku menjadi residen di Pusat Penuntut Malaysia Glasgow di Albert Road pada tahun 1994, aku jarang berbuka di CM. Sebaliknya aku lebih kerap berbuka sama ada di University Mosque di Oakfield Avenue atau di rumah. Ketika ini sudah banyak masjid yang mengadakan majlis iftar. Jadi pelajar tidak lagi bertumpu ke CM semata-mata. Bermula pada tahun ini jugalah, Pusat Penuntut Malaysia mula mengadakan solat Isyak, terawih dan witir berjemaah diikuti dengan majlis moreh. Lazimnya tanggungjawab mengimamkan solat digilir-gilirkan di antara diriku dan seorang lagi sahabat bernama Suhaimi Sulaiman (tidak ada kena-mengena dengan Suhaimi Sulaiman bekas pembaca berita TV3). Sememangnya pada waktu-waktu inilah paling aku hargai kerana dapat bersama dengan rakan-rakan ketika terawih dan witir. Setidak-tidaknya, suasana Ramadan seperti di Malaysia dapat dirasai sekalipun cuaca di Glasgow jauh lebih sejuk. Biasanya yang memenuhi dewan solat Pusat Penuntut Malaysia Glasgow untuk terawih adalah pelajar-pelajar bujang yang tinggal di sekitar kawasan Queen's Park. Dan kami akan bergilir-gilir menyediakan juadah untuk moreh.

Ada kalanya, persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Glasgow akan mengadakan majlis iftar. Begitu juga dengan pelajar-pelajar pascasiswazah yang telah berkeluarga. Jika aku mendapat jemputan, lazimnya aku akan menghadiri majlis-majlis ini. Sememangnya, pengalaman Ramadan di Glasgow adalah sesuatu yang akan terus terpahat di dalam ingatanku. Pengalaman ini sungguh bermakna dan berharga kerana ia mengajarku erti kesabaran, kebersamaan dengan rakan-rakan, kemurahan hati dan ketabahan.

Selamat menjalani ibadah puasa di dalam bulan yang penuh berkat ini.

Isnin, 10 September 2007

Ampun dan maaf dipinta

Agak lama juga aku menyepi dari dunia siber. Bukannya merajuk tetapi ada perkara lain yang sedang berlaku yang memerlukan perhatian. Ini menyebabkan aku tidak dapat mencari masa untuk masuk ke dunia maya ini. Jika sesiapa yang ingin tahu apa yang berlaku, bolehlah klik di sini.

Tidak ada benda baru yang aku tulis di dalam tempoh ini. Transgenesis masih belum selesai. Echoes of My Heart juga masih belum sempat dimulakan. Blog ini juga sedikit terabai. Insya-Allah apabila keadaan kembali tenang, aku akan menyambung semula "Inilah Kisahku."

Bersempena bulan Ramadan yang berkat yang bakal menjelang, aku doakan agar kita semua diberikan rahmat daripada-Nya. Semoga bulan Ramadan ini akan memberikan pelbagai kebaikan, manfaat dan ganjaran kepada kita semua.

Selamat beribadat di dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini.

Isnin, 3 September 2007

Satu lagi ulasan "Ombak Senja"

Alhamdulillah, ada satu lagi ulasan dalam talian mengenai Ombak Senja. Ini adalah ulasan ketiga yang aku temui dan kali ini didapati di blog MamaErra. Berikut adalah kupasannya:

"Pak Mid beritahu aku. Dia tahu daripada anak dia yang kerja kat hospital tu. Tak kan anak dia nak bohong?" jelas Mak Cik Kiah sedang marah.

"Pak Mid?" Zirul terdiam. Kenapa pula Pak Mid menyibuk dalam hal ini, hati kecil Zirul bertanya. "Jangan mudah percaya cakap orang, mak. Siasat dulu hujung pangkal, baru bertindak, " kata Zirul cuba menenangkan ibunya.

"Nak siasal apa lagi Zirul? Sudah, aku tak nak dengar lagi. Nanti kau angkat barang-barang si Hairi dlam bilik tu masuk ke dalam van dia. Aku tak mau kuman dia merebak dalam rumah kita. Isy, jijik aku, kau tahu tak?" kata Mak Cik Kiah lagi.

Zirul memerhatikan api yang membara membakar tilam, bantal dan cadar. Hatinya kecewa dengan ibu kerana terlalu mudah mempercayai cakap orang lain. Dia juga pelik kenapa Pak Mid begitu bersusah payah datang untuk memberitahu ibunya tentang hal ini. Zirul bimbang Hairi akan disisih apabila perkara ini tersebar. Dia tahu yang berita seperti ini akan dihebahkan dengan begitu pantas sekali. Zirul juga maklum dengan pemikiran orang kampungnya itu. Seperti juga ibunya, mereka akan beranggapan yang Hairi adalah seorang homoseksual.


Lagi satu hasil karya penulis lelaki yang telah aku baca... tidak ramai penulis novel lelaki pada masa ini jika nak dibandingkan dengan penulis perempuan. Pada permulaan pembacaan, padaku ceritanya biasa saja... kisah masyarakat yang diselitkan sedikit dengan unsur cinta. Selepas di pertengahan cerita, ketika Sofea melafazkan yang dia masih mencintai Hairi dan sedia menerima Hairi sebagai suami... aku mula teruja untuk meneruskan pembacaan untuk mengetahui kesudahan ceritanya. Apakah mereka akan bersatu? Bagaimana dengan penerimaan keluarga Sofea dan juga orang kampung?

Satu lagi fenomena yang sering melanda masyarakat kita pada masa ini... terutamanya masyarakat kampung, mereka ini kurang didedahkan dengan pelbagai perkara. AIDS pada contohnya, mereka tidak tahu banyak mengenai penyakit ini dan bagaimana untuk menangani pengidap penyakit tersebut. Mereka hanya pandai terus menghukum menyisih pesakit ini dari kelompok masyarakat. Lihat saja tindakan Mak Cik Kiah sebaik saja dia mengetahui akan panyakit Hairi... Apakah yang akan terjadi pada Hairi? Adakah dia akan dipulaukan oleh penduduk kampung? Bacalah... kalau nak tahu apa kesudahan ceritanya.

Terima kasih diucapkan kepada MamaErra di atas ulasan ini. Bagi sesiapa yang berminat tetapi belum mendapatkan naskhah Ombak Senja, ia boleh didapati di kedai-kedai buku utama atau boleh dibeli terus daripada TintaRona Publications di sales_upnd@utusan.com.my atau telefon 03-92856577.

Khamis, 23 Ogos 2007

Inilah kisahku [Bahagian 5]

Semasa aku mula memasuki alam pekerjaan, bas mini berwarna merah jambu masih lagi bermaharajalela di jalan-jalan kota raya. Ketika itu belum ada Syarikat Intrakota yang mengambil alih perkhidmatan bas-bas mini ini. Maka, mahu tidak mahu, aku terpaksa bergantung (secara figuratif dan literal) kepada bas-bas mini yang ada untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Secara figuratif, aku bergantung kepada bas mini kerana tidak ada bas lain yang melalui kawasan tempat tinggalku pada zaman itu. Secara literal, aku terpaksa bersabung nyawa bergantung di pintu bas mini yang sesak macam tin ikan sardin setiap kali menaiki bas tersebut. Ketika itulah aku sedar yang hidup di Kuala Lumpur ini memerlukan seseorang itu mempunyai otot besi dan urat dawai. Macam manapun aku bersyukur, akhirnya bas Intrakota mengambil alih perkhidmatan bas-bas mini yang ibarat pelesit ini. Setidak-tidaknya episod bergayut macam Spider-Man di pintu bas mini tidak lagi aku alami.

Aku masih ingat lagi betapa waktu itu, daripada tingkap pejabatku yang terletak di Jalan Ampang, aku dapat melihat dengan jelas pembinaan bangunan tertinggi di dunia dengan menara berkembar yang dimiliki oleh syarikat minyak gergasi yang menjadi penajaku ke United Kingdom. Kerja dijalankan 24 jam sehari dan dengan begitu pantas, menara berkembar itu berjaya disiapkan.

Ada kalanya aku tidak pulang ke rumah sewaku. Itulah sebabnya akan sentiasa tersedia satu persalinan di pejabat andai kata aku memilih untuk tidak pulang. Aku malas untuk pulang kerana ketika itu, bukannya ada sesiapa yang menanti kepulanganku. Maklum sajalah, orang bujang - kalau balik pun tiada apa yang boleh dibuat. Aku juga malas untuk pulang kerana kesesakan jalan raya yang teramat sangat. Memang pada waktu itu, kesesakan di Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Datuk Keramat, Jalan Jelatek, Jalan Enggang dan kawasan sekitarnya amat luar biasa. Ini kerana pembinaan dan penaiktarafan jalan masih berjalan.

Kalau ada orang yang bersungut dengan kesesakan jalan di kawasan-kawasan ini sekarang, aku rasa mereka tidak pernah melalui zaman yang aku tempuhi. Mana tidaknya, pernah sekali aku menaiki bas di hadapan pejabatku pada jam 5.30 petang pada suatu hari di bulan Ramadan, bas itu hanya bergerak kira-kira 10 meter dalam tempoh dua jam! Sudahnya, kami di dalam bas itu berbuka puasa dengan menelan air liur sahaja. Hampir pukul 9 malam baru tiba di rumah. Kalau memandu di lebuh raya, sudah boleh sampai ke Pulau Pinang.

Apapun, pada waktu inilah, aku menghabiskan masa malamku dengan menulis Ombak Senja. Aku ambil masa lebih kurang lapan bulan untuk menyiapkan naskhah ini. Walaupun kawan-kawan yang membaca naskhah ini menggalakkan aku supaya menerbitkannya, hakikatnya aku tidak berani kerana aku bukan penulis yang mendapat latihan di dalam bidang penulisan kreatif. Aku menulis hanya untuk mengisi masa lapangku di sebelah malam. Aku tidak punya kehidupan sosial seperti orang lain. Masa malamku banyak dihabiskan di rumah. Memandangkan tidak ada perkara lain yang aku lakukan, maka aku memilih untuk "melayan imaginasi" yang ligat bermain di dalam kotak fikiranku dengan menterjemahkan kisah yang aku garap di dalam minda ke atas kertas.

Dan akhirnya, pada satu malam di dalam tahun 1997, Ombak Senja siap sepenuhnya.

[Bersambung...]

Jumaat, 17 Ogos 2007

Lagi ulasan "Ombak Senja"

Ini adalah ulasan dalam talian (online) kedua mengenai Ombak Senja yang aku temui. Setinggi-tinggi penghargaan aku rakamkan kepada saudari Wan Amalyn yang telah sudi membaca dan mengulas novel Ombak Senja di dalam blog Sembang-sembang Pasal Buku. Pandangan dan kritikan yang diberi aku terima dengan hati yang terbuka demi kebaikan masa hadapan, insya-Allah. Ulasan itu boleh didapati dengan mengklik di sini. Juga aku telah mendapat izin daripada saudari Wan Amalyn untuk menurunkan ulasan tersebut:


Sinopsis:

Hairi meninggalkan Kampung Sungai Tiga kerana kecewa dengan takdir yang menimpa dirinya. Kedua orang tuanya meninggal dunia akibat kemalangan tatkala dirinya diterima melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kegembiraan menerima keputusan yang sepatutnya dikongsi bersama ibu bapanya berakhir dengan tragedi yang sekaligus menjadikannya anak yatim piatu yang tak punya sesiapa. Perginya Hairi dengan tekad tidak akan kembali lagi, kerana tiada apa lagi yang tinggal untuknya kecuali pusara kedua orang tuanya.

Namun sedekad berlalu Hairi kembali ke daerah yang telah melakarkan kisah sedihnya. Hairi kembali untuk mengutip sisa-sisa hidup yang tertinggal buatnya. Namun kepulangan Hairi bukan lagi sebagai Hairi yang dulu. Hairi hari ini telah jauh berubah.

Sejarah hitam di perantauan cuba diselindungkan dari pengetahuan penduduk kampung kecuali Zirul – adik angkatnya. Namun noda hitam yang terpalit dalam lipatan hidupnya, memaksa dia melupakan rasa cintanya pada Sofea – kekasih hatinya – kerana dia bukan lagi Hairi yang dulu yang layak bergandingan dengan Sofea, seorang doktor dan anak ketua kampung yang disegani.

Nasib malang bak bayang, terus mengekori setiap langkahnya. Insiden yang hampir meragut nyawanya telah membongkar sedikit demi sedikit rahsia hidup dan penyakitnya dari pengetahuan orang kampung. Natijahnya dia dipulau dan disisihkan.

Kerana kealpaannya, sinar terang yang terbentang di depan mata menjadi suram. Dapatkah Hairi melalui hari-hari terakhirnya dengan tenang ? Tanpa cemuhan dah tohmahan buruk dari mereka yang jahil tentang penyakit yang dideritainya ? Masihkah tersisa kasih dan kebahagiaan buatnya di penghujung usia ? Sofea – dapatkah dia menerima Hairi yang dia sedar tak punya banyak waktu untuk hidup ? Sanggupkah dia mengorbankan diri dan masa depannya untuk hidup di samping Hairi ? Segala persoalan hanya akan terjawap pabila anda membaca Ombak Senja ini.

*****

Ombak Senja (OS) menyelongkar kisah tentang dilema yang dihadapi oleh pengidap AIDS. Mereka disisihkan oleh sebilangan masyarakat yang prejudis dan tidak punya kesedaran serta pengetahuan tentang HIV dan AIDS ini.

Bagi aku, penulis berjaya membawa aku menyelami pahit maung dan perit getir yang terpaksa dihadapi oleh Hairi, seorang pembawa dan pengidap virus maut ini. Aku juga dapat merasai kesedihan Hairi berperang dengan maut dan di waktu yang sama dia harus berdepan dengan karenah masyarakat yang tidak sukakannya.

Perasaan simpati dan geram aku bercampur aduk pada Hairi. Aku simpati pada nasib dirinya yang ditinggalkan sebatang kara di saat-saat dia masih memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan. Namun adakala aku jadi geram, kenapa manusia sebijak Hairi (diterima belajar di oversea memerlukan kelulusan akademik yang cemerlang) harus tewas pada rasa kecewa dan hasutan nafsu hanya untuk keseronokan sementara tetapi terpaksa menanggung akibat untuk seumur hidup.

Namun perasaan simpati sekali lagi mengambil tempat di hati aku tatkala Hairi insaf akan kesilapan diri dan cuba untuk memperbaikinya walaupun dia sedar, dia tak punya banyak waktu.

Cuma apa yang mengelirukan aku adalah kadang-kala latar cerita terus bersambung tanpa ada sebarang gap. Aku faham niat penulis ingin menggambarkan dua situasi yang berbeza tetapi berlaku dalam jangka waktu yang hampir sama. Aku rasa, sekiranya ada pemisah antara dua latar/situasi tersebut sekurang-kurangnya pembaca tidak terkeliru dan pembacaan akan menjadi lebih lancar dan teratur.

Namun begitu membaca OS, banyak iktibar yang boleh diambil oleh anak-anak muda yang memandang hidup ini hanya untuk keseronokan di dunia yang sementara ini. Jangan jadikan nasib malang sebagai alasan untuk menghancurkan masa depan sendiri.

Usai membaca aku rasa insaf. Moga anak-anak aku kelak akan tetap di landasan yang lurus ke arah keredhaanNYA. Ameen.

Terima kasih sekali lagi saudari Wan Amalyn. Bagi yang belum mendapatkan naskhah Ombak Senja, apa tunggu lagi?

Khamis, 16 Ogos 2007

Inilah kisahku [Bahagian 4]

Aku kembali ke tanah air tanggal 16 Jun 1996. Sememangnya di dalam fikiranku sebelum aku pulang ke tanah air, aku akan menaburkan khidmat kepada penajaku yang juga sebuah syarikat minyak gergasi di Malaysia. Malah, proses pemilihan yang aku hadiri juga berjaya aku lepasi. Aku ditawarkan bertugas di sebuah makmal kimia di Pantai Timur Semenanjung sebagai eksekutif penyelidikan kimia. Aku diminta melaporkan diri pada 1 Oktober tahun yang sama.

Entah mengapa, sebaik aku melihat surat tawaranku, hati ini menjadi tawar. Dan selepas ditimbang semasak-masaknya, aku menolak tawaran yang diberikan. Ramai temanku mencemuh kerana menganggap tindakanku itu terlalu mengikut perasaan dan satu perbuatan menolak rezeki. Tapi hati aku merasa begitu lega sekali tatkala menolak tawaran yang agak lumayan tersebut. Mujur juga keluargaku memberikan sokongan kepada apa yang aku lakukan walaupun mungkin mereka tidak begitu bersetuju.

Walau apa pun, tindakan tersebut menyebabkan aku dianggap melanggar kontrak perjanjian tawaran biasiswa. Namun, aku bukan jenis orang yang melarikan diri dari tanggungjawab. Walaupun aku tidak menerima tawaran bekerja di syarikat minyak gergasi itu, aku tidak membakar jambatan di antara diriku dan syarikat tersebut. Hubunganku dengan pegawai-pegawai di sana dipelihara dengan baik sehinggalah ke hari ini. Dan aku juga tidak lari daripada tanggungjawab melunaskan bayaran balik biasiswa kepada syarikat tersebut.

Jika tidak ke syarikat minyak itu, ke mana pula telah ku bawa diri? Sebenarnya aku telah ditawarkan bekerja dengan sebuah institusi pemikir swasta yang diketuai oleh seorang ahli fikir yang kebelakangan ini dikenali kerana satu kes mahkamah berprofil tinggi. Aku bertemu dengannya ketika satu persidangan di London pada tahun 1995. Dialah yang mencetuskan minat di dalam diriku untuk menulis perkara-perkara yang bersifat akademik, kritikal dan analitikal. Maka sebaik aku pulang, aku mengutus surat kepadanya menzahirkan minatku untuk menyertai institusi pemikir tersebut. Dan alhamdulillah, aku ditawarkan kerja dengan serta-merta.

Di institusi pemikir itu, aku belajar cara menulis esei-esei akademik dan semiakademik. Di sinilah aku mula menulis beberapa artikel sedemikian rupa. Dan semasa bertugas di sini jugalah aku menulis dan menyiapkan novel Ombak Senja.

[Bersambung...]