Selasa, 24 April 2007

Aku terusik

Aku terusik membaca cerpen bertajuk "Calon YB" yang disiarkan di dalam ruangan Sudut Sastera (halaman 30) Mingguan Malaysia pada hari Ahad lalu.

Aku terusik bukan kerana apa, tetapi kerana penulisnya aku kenali.

Aku terusik juga kerana penulisnya yang ku kenali ini kini tidak ada lagi di dunia ini.

Aku terusik kerana kisah yang ditintakannya itu dapat ku fahami dan ku selami.

Aku terusik kerana watak yang dilakarkannya di dalam cerpen itu adalah watak-watak yang ku kenali.

Apapun, kisah "Calon YB" sarat dengan mesej tersirat, kaya dengan metafora, serta padat dengan peringatan dan wasiat. Dan ini jugalah yang menyebabkan aku terusik.

Al-Fatihah buat penulisnya.

Selasa, 17 April 2007

Ke mana hendak dituju?

Petang tadi aku menelefon editor yang menyunting "Ombak Senja." Tujuan aku menelefonnya adalah untuk bertanyakan beberapa hal, seperti publisiti sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Macam manapun, aku agak terperanjat apabila diberitahu yang editor ini baru sahaja meletakkan jawatan dan tidak lagi bertugas di situ. Aku sedikit tersentap kerana aku agak selesa berurusan dengannya. Beliau seorang yang mudah berkira dan tidak banyak kerenah. Aku cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya, tetapi nombor itu tidak lagi beroperasi.

Apapun, aku terpaksa melihat kembali masa hadapan aku dengan penerbit ini. Jika aku terus mahu menerbitkan novel-novel yang akan datang, aku perlu mencari orang baru di sana yang boleh aku jadikan sebagai orang perhubungan. Jika tidak, aku mungkin perlu mencari penerbit baru.

Entahlah..., aku pun tak pasti ke mana hendak ku tuju.

Isnin, 16 April 2007

Pengalaman pertama

Semalam aku sempat menghadirkan diri ke majlis pelancaran novel karya Izza Aripin bertajuk "Kerana Dia Cinta" di Avenue K. Ini pengalaman pertama aku menghadiri majlis sebegini. Suasananya tidak formal, relaks dan kasual. Rasanya amat sesuai dengan imej santai yang dibawa di dalam majlis ini.

Apapun tahniah buat Izza Aripin di atas kelahiran novel kelimanya. Dan kata-kata Izza Aripin berikut yang diucapkannya semalam mungkin menggambarkan perasaannya dengan kelahiran novel terbarunya:

Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih!

Rabu, 11 April 2007

Pelancaran novel "Kerana Dia Cinta"

Pada hari Ahad 15 April ini, novel terbaru karya Izza Aripin akan dilancakan di Avenue K, Kuala Lumpur. Beliau ada menjemput aku untuk menghadiri pelancaran tersebut. Insya-Allah jika tidak ada aral yang melintang, aku akan menghadirkan diri. Bukannya apa, sekadar ingin melihat sendiri suasana pelancaran novel. Ini merupakan satu perkara yang belum pernah aku lalui sebelum ini. Sebelum ini, kalau adapun pelancaran yang aku hadiri adalah pelancaran buku-buku akademik yang nyata sekali suasananya jauh berbeza.

Maklumat lanjut tentang novel "Kerana Dia Cinta" boleh didapati di pautan ini.

Selasa, 3 April 2007

Catatan mengenai peraduan

Secara tak sengaja hari ini aku menemui dua pautan baru mengenai Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sekiranya berminat, pautan-pautan ini boleh dibaca di sini dan sini.

Ahad, 25 Mac 2007

Bab 1 "Transgenesis"

Seperti yang telah aku coretkan sebelum ini, aku tidak berpuas hati dengan draf pertama novel keduaku. Jadi aku telah merombak semula keseluruhan plot cerita ini, dan mengintegrasikan unsur-unsur misteri, seram dan suspens ke dalam kisah fiksyen sains ini.

Malah, ketika aku mula menulis semula Bab 1 novel ini, aku sendiri berasa seram sejuk, sehinggakan ada di satu bahagian kisah ini, aku terasa bulu roma di tengkuk meremang. Aku mengambil masa dua malam untuk menyiapkan bab pertama ini, dan kali ini aku lebih berpuas hati.

Insya-Allah malam esok aku akan mulakan penulisan untuk bab berikutnya.

Kedudukan skrip drama "Zuriat"

Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan keizinan dan takdir-Nya jua, skrip "Zuriat" yang aku tulis untuk Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2006 telah diisytiharkan mendapat tempat kedua.

Ini sememangnya suatu perkara yang tidak aku jangkakan kerana aku bukanlah seorang penulis skrip. Ini merupakan percubaan pertamaku, tetapi alhamdulillah, ianya membuahkan hasil. Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, aku memasuki peraduan ini sekadar untuk menyahut cabaran sendiri dan untuk memperolehi pengalaman.

Apapun, pengalaman menulis skrip ini merupakan sesuatu yang berharga buat diriku.

Rabu, 21 Mac 2007

Menulis semula novel kedua

Aku telah pun memulakan penulisan novel kedua yang buat masa ini dinamakan "Transgenesis" beberapa bulan lalu. Oleh kerana kesibukan tugas hakiki, aku terpaksa mengabaikan sementara penulisan novel ini untuk seketika.

Bila aku melihat kembali apa yang telah ditulis, aku terasa tidak berpuas hati dengan hasilnya. Maka, aku putuskan semalam untuk menulis kembali dengan melakukan rombakan besar kepada jalan cerita "Transgenesis" dengan harapan ianya akan menjadi lebih menarik.

Aku masih sasarkan April untuk ku siapkan novel kedua ini. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, aku berharap novel ini akan terbit menjelang separuh kedua 2007.

Isnin, 19 Mac 2007

Maklum balas novel pertama

Rasa seronok juga bila melihat orang memegang novel "Ombak Senja." Setakat ini alhamdulillah, maklum balas yang diterima amat positif.

Seorang remaja Kadazandusun dari Kota Kinabalu memberikan respons yang amat positif. Begitu juga beberapa orang remaja (baik lelaki mahupun perempuan) yang nampaknya tidak jemu membaca novel ini untuk mengetahui kesudahannya.

Setidak-tidaknya, ini menjadi motivasi buat diriku untuk terus berkarya.

Selasa, 27 Februari 2007

Skrip drama "Zuriat"

Seperti yang pernah ku coretkan di dalam blog ini lebih kurang setengah tahun yang lalu, aku telah menghantar sebuah skrip drama televisyen bertajuk "Zuriat" untuk Pertandingan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Lebih kurang 10 hari yang lalu, aku telah dihubungi oleh penyelaras pertandingan ini memaklumkan bahawa aku merupakan salah seorang daripada 8 pemenang pertandingan tersebut. Walaupun demikian, penganjur tidak pula memaklumkan kedudukan aku di dalam pertandingan ini, sekadar meminta aku mengosongkan tarikh 23 Mac nanti untuk upacara penyampaian hadiah oleh Yang Dipertuan Agong.

Sebenarnya semasa memasuki pertandingan ini, aku tidak terlintas langsung untuk memenangi apa-apa hadiah. Apa lagi dengan skrip yang disiapkan pada saat-saat akhir. Aku memasuki pertandingan ini kerana dua sebab utama. Pertama, untuk menyahut cabaran yang aku sendiri lontarkan beberapa tahun sebelum ini semasa aku masih bertugas di IKIM. Dan kedua, aku ingin belajar dan memahami proses penulisan skrip drama televisyen.

Aku terima keputusan pertandingan ini dengan hati yang terbuka dan rasa yang bersyukur kepada Ilahi. Sememangnya banyak yang ku pelajari menerusi penulisan skrip drama ini. Dan pengalaman ini amat berharga buat diriku.