Seperti yang pernah ku coretkan di dalam blog ini lebih kurang setengah tahun yang lalu, aku telah menghantar sebuah skrip drama televisyen bertajuk "Zuriat" untuk Pertandingan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Lebih kurang 10 hari yang lalu, aku telah dihubungi oleh penyelaras pertandingan ini memaklumkan bahawa aku merupakan salah seorang daripada 8 pemenang pertandingan tersebut. Walaupun demikian, penganjur tidak pula memaklumkan kedudukan aku di dalam pertandingan ini, sekadar meminta aku mengosongkan tarikh 23 Mac nanti untuk upacara penyampaian hadiah oleh Yang Dipertuan Agong.
Sebenarnya semasa memasuki pertandingan ini, aku tidak terlintas langsung untuk memenangi apa-apa hadiah. Apa lagi dengan skrip yang disiapkan pada saat-saat akhir. Aku memasuki pertandingan ini kerana dua sebab utama. Pertama, untuk menyahut cabaran yang aku sendiri lontarkan beberapa tahun sebelum ini semasa aku masih bertugas di IKIM. Dan kedua, aku ingin belajar dan memahami proses penulisan skrip drama televisyen.
Aku terima keputusan pertandingan ini dengan hati yang terbuka dan rasa yang bersyukur kepada Ilahi. Sememangnya banyak yang ku pelajari menerusi penulisan skrip drama ini. Dan pengalaman ini amat berharga buat diriku.
Selasa, 27 Februari 2007
Skrip drama "Zuriat"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 maklum balas:
Catat Ulasan