Selasa, 3 April 2007

Catatan mengenai peraduan

Secara tak sengaja hari ini aku menemui dua pautan baru mengenai Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sekiranya berminat, pautan-pautan ini boleh dibaca di sini dan sini.

Ahad, 25 Mac 2007

Bab 1 "Transgenesis"

Seperti yang telah aku coretkan sebelum ini, aku tidak berpuas hati dengan draf pertama novel keduaku. Jadi aku telah merombak semula keseluruhan plot cerita ini, dan mengintegrasikan unsur-unsur misteri, seram dan suspens ke dalam kisah fiksyen sains ini.

Malah, ketika aku mula menulis semula Bab 1 novel ini, aku sendiri berasa seram sejuk, sehinggakan ada di satu bahagian kisah ini, aku terasa bulu roma di tengkuk meremang. Aku mengambil masa dua malam untuk menyiapkan bab pertama ini, dan kali ini aku lebih berpuas hati.

Insya-Allah malam esok aku akan mulakan penulisan untuk bab berikutnya.

Kedudukan skrip drama "Zuriat"

Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan keizinan dan takdir-Nya jua, skrip "Zuriat" yang aku tulis untuk Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2006 telah diisytiharkan mendapat tempat kedua.

Ini sememangnya suatu perkara yang tidak aku jangkakan kerana aku bukanlah seorang penulis skrip. Ini merupakan percubaan pertamaku, tetapi alhamdulillah, ianya membuahkan hasil. Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, aku memasuki peraduan ini sekadar untuk menyahut cabaran sendiri dan untuk memperolehi pengalaman.

Apapun, pengalaman menulis skrip ini merupakan sesuatu yang berharga buat diriku.

Rabu, 21 Mac 2007

Menulis semula novel kedua

Aku telah pun memulakan penulisan novel kedua yang buat masa ini dinamakan "Transgenesis" beberapa bulan lalu. Oleh kerana kesibukan tugas hakiki, aku terpaksa mengabaikan sementara penulisan novel ini untuk seketika.

Bila aku melihat kembali apa yang telah ditulis, aku terasa tidak berpuas hati dengan hasilnya. Maka, aku putuskan semalam untuk menulis kembali dengan melakukan rombakan besar kepada jalan cerita "Transgenesis" dengan harapan ianya akan menjadi lebih menarik.

Aku masih sasarkan April untuk ku siapkan novel kedua ini. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, aku berharap novel ini akan terbit menjelang separuh kedua 2007.

Isnin, 19 Mac 2007

Maklum balas novel pertama

Rasa seronok juga bila melihat orang memegang novel "Ombak Senja." Setakat ini alhamdulillah, maklum balas yang diterima amat positif.

Seorang remaja Kadazandusun dari Kota Kinabalu memberikan respons yang amat positif. Begitu juga beberapa orang remaja (baik lelaki mahupun perempuan) yang nampaknya tidak jemu membaca novel ini untuk mengetahui kesudahannya.

Setidak-tidaknya, ini menjadi motivasi buat diriku untuk terus berkarya.

Selasa, 27 Februari 2007

Skrip drama "Zuriat"

Seperti yang pernah ku coretkan di dalam blog ini lebih kurang setengah tahun yang lalu, aku telah menghantar sebuah skrip drama televisyen bertajuk "Zuriat" untuk Pertandingan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Lebih kurang 10 hari yang lalu, aku telah dihubungi oleh penyelaras pertandingan ini memaklumkan bahawa aku merupakan salah seorang daripada 8 pemenang pertandingan tersebut. Walaupun demikian, penganjur tidak pula memaklumkan kedudukan aku di dalam pertandingan ini, sekadar meminta aku mengosongkan tarikh 23 Mac nanti untuk upacara penyampaian hadiah oleh Yang Dipertuan Agong.

Sebenarnya semasa memasuki pertandingan ini, aku tidak terlintas langsung untuk memenangi apa-apa hadiah. Apa lagi dengan skrip yang disiapkan pada saat-saat akhir. Aku memasuki pertandingan ini kerana dua sebab utama. Pertama, untuk menyahut cabaran yang aku sendiri lontarkan beberapa tahun sebelum ini semasa aku masih bertugas di IKIM. Dan kedua, aku ingin belajar dan memahami proses penulisan skrip drama televisyen.

Aku terima keputusan pertandingan ini dengan hati yang terbuka dan rasa yang bersyukur kepada Ilahi. Sememangnya banyak yang ku pelajari menerusi penulisan skrip drama ini. Dan pengalaman ini amat berharga buat diriku.

Isnin, 12 Februari 2007

Kini di pasaran

Alhamdulillah, "Ombak Senja" telah terbit dan boleh didapati di pasaran tidak lama lagi.

Isnin, 22 Januari 2007

Kulit novel 'Ombak Senja'

Sebentar tadi aku telah dikirimkan kulit untuk novel "Ombak Senja." Aku sebenarnya gembira melihat kulit ini. Setidak-tidaknya ianya memberikan sedikit sebanyak kepuasan selepas 10 tahun menanti novel ini untuk diterbitkan.
Apapun, alhamdulillah, tidak lama lagi "Ombak Senja" bakal menemui pembaca di tanah air.

Isnin, 15 Januari 2007

Di persimpangan

Lama sudah tidak menintakan apa-apa di blog ini. Mungkin kerana hambatan tugas agaknya. Apapun terlalu banyak yang berlaku kebelakangan ini.

Satu perkara yang agak besar berlaku ialah apabila sebuah pintu dalam hidupku yang telah lama berkunci tiba-tiba terbuka semula. Apabila pintu ini terbuka, aku mendapati diriku berada di satu persimpangan.

Aku dahulunya memang dilatih di dalam bidang sains. Aku memang meminati bidang ini. Namun aku telah tinggalkan bidang penyelidikan sains ini hampir 12 tahun. Kini aku telah dilorongkan untuk kembali ke dalam makmal bagi menjalankan satu kajian yang berkemungkinan membawa faedah besar dalam bidang perubatan dan pengubatan.

Apabila aku kisahkan perkara ini di dalam blog utamaku, Enigma melontarkan soalan sama ada ini bermakna aku akan tinggalkan dunia penulisan? Aku belum memberikan kata putus ke mana hala tujuku sebenarnya. Namun soalan ini memang memeningkan sedikit kepalaku.

Aku mahu terus menulis. Aku mahu kembali ke makmal. Tidak mungkinkah seorang saintis juga menjadi novelis? Di negara kita setahu aku tidak ada yang berbuat demikian. Tetapi di luar negara, memang ramai ahli profesional yang turut sama berkecimpung di dalam dunia penulisan. Tidakkah mungkin perkara ini boleh dilakukan di sini?

Aku lontarkan soalan ini kepada semua untuk difikir bersama.

Jumaat, 29 Disember 2006

Salam akhir tahun

Nampaknya kita telah tiba di hujung tahun 2006, dan tahun baru 2007 bakal menjelang. Istimewanya kali ini, Hari Raya Aidiladha juga jatuh pada hari terakhir tahun 2006. Apapun, diharapkan di sebalik "kemeriahan" kita meraikan 1 Januari 2007, janganlah pula kita lupa perayaan yang lebih penting dan lebih utama iaitu Aidiladha. Kita perlu ingat - dan diperingatkan - bahawa Aidiladha ini merupakan satu daripada dua perayaan yang disyariatkan oleh Allah SWT menerusi Rasulullah SAW. Amatlah rugi jika terlupa merayakan Aidiladha yang wajib disambut kerana terlalu asyik berseronok menyambut ambang 2007. Tidak salah meraikan tahun baru, tetapi caranya mesti kena berlandaskan ketetapan agama. Namun, lebih baik kiranya semangat tahun baru itu diraikan semasa ketibaan Hijrah yang kebetulan hanya beberapa minggu sahaja lagi.

Walau apa sekalipun, natijah daripada peristiwa korban Abu al-Anbiya' Nabi Ibrahim a.s. perlulah dijadikan iktibar. Dan marilah kita menanamkan azam dan iltizam untuk mengunjungi tanah suci Makkah al-Mukaramah dan Madinah al-Munawarah suatu hari nanti bagi melunaskan tuntutan Rukun Islam kita yang kelima.

Salam Aidiladha dari sang Kelana yang marhaen ini.