Semasa aku mula memasuki alam pekerjaan, bas mini berwarna merah jambu masih lagi bermaharajalela di jalan-jalan kota raya. Ketika itu belum ada Syarikat Intrakota yang mengambil alih perkhidmatan bas-bas mini ini. Maka, mahu tidak mahu, aku terpaksa bergantung (secara figuratif dan literal) kepada bas-bas mini yang ada untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Secara figuratif, aku bergantung kepada bas mini kerana tidak ada bas lain yang melalui kawasan tempat tinggalku pada zaman itu. Secara literal, aku terpaksa bersabung nyawa bergantung di pintu bas mini yang sesak macam tin ikan sardin setiap kali menaiki bas tersebut. Ketika itulah aku sedar yang hidup di Kuala Lumpur ini memerlukan seseorang itu mempunyai otot besi dan urat dawai. Macam manapun aku bersyukur, akhirnya bas Intrakota mengambil alih perkhidmatan bas-bas mini yang ibarat pelesit ini. Setidak-tidaknya episod bergayut macam Spider-Man di pintu bas mini tidak lagi aku alami.
Aku masih ingat lagi betapa waktu itu, daripada tingkap pejabatku yang terletak di Jalan Ampang, aku dapat melihat dengan jelas pembinaan bangunan tertinggi di dunia dengan menara berkembar yang dimiliki oleh syarikat minyak gergasi yang menjadi penajaku ke United Kingdom. Kerja dijalankan 24 jam sehari dan dengan begitu pantas, menara berkembar itu berjaya disiapkan.
Ada kalanya aku tidak pulang ke rumah sewaku. Itulah sebabnya akan sentiasa tersedia satu persalinan di pejabat andai kata aku memilih untuk tidak pulang. Aku malas untuk pulang kerana ketika itu, bukannya ada sesiapa yang menanti kepulanganku. Maklum sajalah, orang bujang - kalau balik pun tiada apa yang boleh dibuat. Aku juga malas untuk pulang kerana kesesakan jalan raya yang teramat sangat. Memang pada waktu itu, kesesakan di Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Datuk Keramat, Jalan Jelatek, Jalan Enggang dan kawasan sekitarnya amat luar biasa. Ini kerana pembinaan dan penaiktarafan jalan masih berjalan.
Kalau ada orang yang bersungut dengan kesesakan jalan di kawasan-kawasan ini sekarang, aku rasa mereka tidak pernah melalui zaman yang aku tempuhi. Mana tidaknya, pernah sekali aku menaiki bas di hadapan pejabatku pada jam 5.30 petang pada suatu hari di bulan Ramadan, bas itu hanya bergerak kira-kira 10 meter dalam tempoh dua jam! Sudahnya, kami di dalam bas itu berbuka puasa dengan menelan air liur sahaja. Hampir pukul 9 malam baru tiba di rumah. Kalau memandu di lebuh raya, sudah boleh sampai ke Pulau Pinang.
Apapun, pada waktu inilah, aku menghabiskan masa malamku dengan menulis Ombak Senja. Aku ambil masa lebih kurang lapan bulan untuk menyiapkan naskhah ini. Walaupun kawan-kawan yang membaca naskhah ini menggalakkan aku supaya menerbitkannya, hakikatnya aku tidak berani kerana aku bukan penulis yang mendapat latihan di dalam bidang penulisan kreatif. Aku menulis hanya untuk mengisi masa lapangku di sebelah malam. Aku tidak punya kehidupan sosial seperti orang lain. Masa malamku banyak dihabiskan di rumah. Memandangkan tidak ada perkara lain yang aku lakukan, maka aku memilih untuk "melayan imaginasi" yang ligat bermain di dalam kotak fikiranku dengan menterjemahkan kisah yang aku garap di dalam minda ke atas kertas.
Dan akhirnya, pada satu malam di dalam tahun 1997, Ombak Senja siap sepenuhnya.
[Bersambung...]
Khamis, 23 Ogos 2007
Inilah kisahku [Bahagian 5]
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
11:28
4
maklum balas
Label kisahku, Ombak Senja
Jumaat, 17 Ogos 2007
Lagi ulasan "Ombak Senja"
Ini adalah ulasan dalam talian (online) kedua mengenai Ombak Senja yang aku temui. Setinggi-tinggi penghargaan aku rakamkan kepada saudari Wan Amalyn yang telah sudi membaca dan mengulas novel Ombak Senja di dalam blog Sembang-sembang Pasal Buku. Pandangan dan kritikan yang diberi aku terima dengan hati yang terbuka demi kebaikan masa hadapan, insya-Allah. Ulasan itu boleh didapati dengan mengklik di sini. Juga aku telah mendapat izin daripada saudari Wan Amalyn untuk menurunkan ulasan tersebut:
Sinopsis:
Hairi meninggalkan Kampung Sungai Tiga kerana kecewa dengan takdir yang menimpa dirinya. Kedua orang tuanya meninggal dunia akibat kemalangan tatkala dirinya diterima melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kegembiraan menerima keputusan yang sepatutnya dikongsi bersama ibu bapanya berakhir dengan tragedi yang sekaligus menjadikannya anak yatim piatu yang tak punya sesiapa. Perginya Hairi dengan tekad tidak akan kembali lagi, kerana tiada apa lagi yang tinggal untuknya kecuali pusara kedua orang tuanya.
Namun sedekad berlalu Hairi kembali ke daerah yang telah melakarkan kisah sedihnya. Hairi kembali untuk mengutip sisa-sisa hidup yang tertinggal buatnya. Namun kepulangan Hairi bukan lagi sebagai Hairi yang dulu. Hairi hari ini telah jauh berubah.
Sejarah hitam di perantauan
Nasib
Kerana kealpaannya, sinar terang yang terbentang di depan mata menjadi suram. Dapatkah Hairi melalui hari-hari terakhirnya dengan tenang ? Tanpa cemuhan dah tohmahan buruk dari mereka yang jahil tentang penyakit yang dideritainya ? Masihkah tersisa kasih dan kebahagiaan buatnya di penghujung usia ? Sofea – dapatkah dia menerima Hairi yang dia sedar tak punya banyak waktu untuk hidup ? Sanggupkah dia mengorbankan diri dan masa depannya untuk hidup di samping Hairi ? Segala persoalan hanya akan terjawap pabila anda membaca Ombak Senja ini.
*****
Ombak Senja (OS) menyelongkar kisah tentang dilema yang dihadapi oleh pengidap AIDS. Mereka disisihkan oleh sebilangan masyarakat yang prejudis dan tidak punya kesedaran serta pengetahuan tentang HIV dan AIDS ini.
Bagi aku, penulis berjaya membawa aku menyelami pahit maung dan perit getir yang terpaksa dihadapi oleh Hairi, seorang pembawa dan pengidap virus maut ini. Aku juga dapat merasai kesedihan Hairi berperang dengan maut dan di waktu yang sama dia harus berdepan dengan karenah masyarakat yang tidak sukakannya.
Perasaan simpati dan geram aku bercampur aduk pada Hairi. Aku simpati pada nasib dirinya yang ditinggalkan sebatang kara di saat-saat dia masih memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan. Namun adakala aku jadi geram, kenapa manusia sebijak Hairi (diterima belajar di oversea memerlukan kelulusan akademik yang cemerlang) harus tewas pada rasa kecewa dan hasutan nafsu hanya untuk keseronokan sementara tetapi terpaksa menanggung akibat untuk seumur hidup.
Namun perasaan simpati sekali lagi mengambil tempat di hati aku tatkala Hairi insaf akan kesilapan diri dan
Cuma apa yang mengelirukan aku adalah kadang-kala latar cerita terus bersambung tanpa ada sebarang gap. Aku faham niat penulis ingin menggambarkan dua situasi yang berbeza tetapi berlaku dalam jangka waktu yang hampir sama. Aku rasa, sekiranya ada pemisah antara dua latar/situasi tersebut sekurang-kurangnya pembaca tidak terkeliru dan pembacaan akan menjadi lebih lancar dan teratur.
Namun begitu membaca OS, banyak iktibar yang boleh diambil oleh anak-anak muda yang memandang hidup ini hanya untuk keseronokan di dunia yang sementara ini. Jangan jadikan nasib
Terima kasih sekali lagi saudari Wan Amalyn. Bagi yang belum mendapatkan naskhah Ombak Senja, apa tunggu lagi?
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
03:53
0
maklum balas
Label maklum balas, Ombak Senja
Khamis, 16 Ogos 2007
Inilah kisahku [Bahagian 4]
Aku kembali ke tanah air tanggal 16 Jun 1996. Sememangnya di dalam fikiranku sebelum aku pulang ke tanah air, aku akan menaburkan khidmat kepada penajaku yang juga sebuah syarikat minyak gergasi di Malaysia. Malah, proses pemilihan yang aku hadiri juga berjaya aku lepasi. Aku ditawarkan bertugas di sebuah makmal kimia di Pantai Timur Semenanjung sebagai eksekutif penyelidikan kimia. Aku diminta melaporkan diri pada 1 Oktober tahun yang sama.
Entah mengapa, sebaik aku melihat surat tawaranku, hati ini menjadi tawar. Dan selepas ditimbang semasak-masaknya, aku menolak tawaran yang diberikan. Ramai temanku mencemuh kerana menganggap tindakanku itu terlalu mengikut perasaan dan satu perbuatan menolak rezeki. Tapi hati aku merasa begitu lega sekali tatkala menolak tawaran yang agak lumayan tersebut. Mujur juga keluargaku memberikan sokongan kepada apa yang aku lakukan walaupun mungkin mereka tidak begitu bersetuju.
Walau apa pun, tindakan tersebut menyebabkan aku dianggap melanggar kontrak perjanjian tawaran biasiswa. Namun, aku bukan jenis orang yang melarikan diri dari tanggungjawab. Walaupun aku tidak menerima tawaran bekerja di syarikat minyak gergasi itu, aku tidak membakar jambatan di antara diriku dan syarikat tersebut. Hubunganku dengan pegawai-pegawai di sana dipelihara dengan baik sehinggalah ke hari ini. Dan aku juga tidak lari daripada tanggungjawab melunaskan bayaran balik biasiswa kepada syarikat tersebut.
Jika tidak ke syarikat minyak itu, ke mana pula telah ku bawa diri? Sebenarnya aku telah ditawarkan bekerja dengan sebuah institusi pemikir swasta yang diketuai oleh seorang ahli fikir yang kebelakangan ini dikenali kerana satu kes mahkamah berprofil tinggi. Aku bertemu dengannya ketika satu persidangan di London pada tahun 1995. Dialah yang mencetuskan minat di dalam diriku untuk menulis perkara-perkara yang bersifat akademik, kritikal dan analitikal. Maka sebaik aku pulang, aku mengutus surat kepadanya menzahirkan minatku untuk menyertai institusi pemikir tersebut. Dan alhamdulillah, aku ditawarkan kerja dengan serta-merta.
Di institusi pemikir itu, aku belajar cara menulis esei-esei akademik dan semiakademik. Di sinilah aku mula menulis beberapa artikel sedemikian rupa. Dan semasa bertugas di sini jugalah aku menulis dan menyiapkan novel Ombak Senja.
[Bersambung...]
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:51
5
maklum balas
Label kisahku, Ombak Senja
Khamis, 9 Ogos 2007
Maklum balas "Ombak Senja"
Asalnya aku mahu menyambung "Inilah Kisahku" tapi terasa malas pula. Sebaliknya minggu ini aku sertakan maklum balas yang telah diterima setakat ini mengenai novel Ombak Senja. Ini kiranya macam promosi jugalah.
- Pesanan ringkas daripada saudari Wan Rozita (Kuala Lumpur, 2 Julai 2007 pada 2.03 petang): Salam, I've finished reading yr novel. Honestly very sad & compelling. Sesuai utk buat drama esp. sempena hari AIDS.
- Pesanan ringkas daripada saudara Wan Ibzaini (Pulau Pinang, 7 Julai 2007 pada 9.21 malam): Saya dah baca novel tu. Sedih.
- Pesanan ringkas daripada saudara Nurmirafudin (Miri, 19 Julai 2007 pada 2.22 petang): Finished reading d book last weekend. Time worth spent. Challenging d stigma our people have towards d unfortunate ones. I spot a typo error, Pg127, top row: selalu -> selaku
- E-mel daripada saudari Ieyja Faisal (Pulau Pinang, 1 Ogos 2007 pada 11.16 malam): Assalamualaikum Amir, Ieyja dah baca Ombak Senja... Novel ni sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Ieyja terasa nak menangis tatkala membaca sajak Hairi untuk Sofea.. nasib baik masa tu.. tengah naik bas balik kerja. Kalau kat rumah sudah tentu dah berderai air mata. Secara peribadi.. novel ni memang best.
Cerita Ombak Senja:
Hairi pulang ke kampung halaman setelah meninggalkan Kampung Sungai tiga ham,pir sepuluh tahun lamanya. kepulangannya memeranjatkan orang yang terdekat..tetapi mereka menerima kepulangan dengan hati yang berbunga.
Dan kepulangannya itu disambut dengan hati yang riang oleh insan tercinta iaitu Sofea. Malangnya Hairi hanya ingin menganggap Sofea sebagai sahabat dan adik sahaja. Kecewa hati Sofea dengan ungkapan itu. Hairi sebenarnya terpaksa berbuat begitu kerqana dia mengidap penyakit aids.
Penyakit yang disembunyikan itu akhirnya dapat diketahui oleh orang kampung kerana insiden penangkapan penagih dadah dirumah pusaka milik Hairi. Dalam kes itu Hairi telah tercedera dan dimasukkan ke wad penyakit berjangkit. akhirnya orang kampung memulaukan Hairi.
Sofea yang memang menunggu kepulangan Hairi..meluahkan hasrat kepada ibu bapanya bahawa dia ingin hidup didamping Hairi. Pak Jamal seorang yang berilmu tidak membantah tindakan Sofea. Sesungguhnya Sofea bahagia di samping Hairi.
" Dikala ombak menghempas pantai
Matamu ku lihat memukau jiwa
Menghulurkan keseronokan mengundang tawa
Walau untuk sedetik cuma
Walau sementara pengubat derita..
Akan ku bawa cintamu..hingga tiupan nafasku yang terakhir..
Sesungguhnya perkahwinan itu membahagiakan Hairi..walaupun dalam dia dipulaukan oleh orang kampung masih ada insan yang sudi membantu dan menyayanginya sepenuh hati.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ombak Senja adalah sebuah kisah segelintir masyarakat hari ini yang tidak mahu memberi peluang kepada individu yang telah pulang ke pangkal jalan. malahan mencerca dan menghina.
dapat dilihat dimana Hairi yang telah insaf dicerca dan dihina malahan dipulau oleh masyarakat kampung. Ombak senja juga membuka ruang minda mengenai pesakit aids.. dimana sering berlaku salah anggap dan mengakibatkan kita menjauhkan diri dari pesakit berjangkit ini.
* Keinsafan: Setiap dari kita diberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan . Jika sekiranya pernah melakukan kesilapan yang amat berat..jalan masih terbuka luas untuk kita kembali...
* Peluang: Masyarakat haruslah memberi peluang kepada mereka - mereka yang telah sedar dari kesilapan masa lalu. dan seterusnya membantu mereka memulihkan keadaan diri mereka bukannya menolak mereka.
* Kasih sayang dapat membantu menghilangkan penderitaan yang ditanggung oleh seseorang.
* Jangan sekali kita berpandangan buruk atau berburuk sangka dengan sekali pandang tanpa berusaha menyelidiki terlebih dahulu.... ini ada kalanya.. keadaan akan berubah menjadi sebaliknya..orang yang dituduh itu sebaliknya lebih bagus dari kita.
Aku ingin merakamkan terima kasih di atas pandangan dan maklum balas ikhlas yang diberikan. Jika ada maklum balas yang lain, aku amat alu-alukan.
Satu kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima setakat ini:
Hampir semua yang membaca Ombak Senja mengatakan ceritanya sedih.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:07
2
maklum balas
Label maklum balas, Ombak Senja
Khamis, 2 Ogos 2007
Inilah kisahku [Bahagian 3]
Seperti yang dijanjikan, pada hari Khamis ini, aku kembali dengan sambungan "Inilah Kisahku." Pada mulanya aku ingin sambung kisah selepas aku tamat pengajian dan kembali ke tanah air tetapi selepas difikirkan kembali ada beberapa perkara yang berlaku di UK yang perlu dicoretkan.
Semasa aku melalui pengajian asasi di Langside College of Further Education di kota Glasgow, aku telah menulis beberapa cerpen di dalam Bahasa Inggeris. Niatku sekadar untuk memperbaiki aspek penulisan Bahasa Inggeris. Aku telah menyiapkan beberapa cerpen (yang jumlahnya aku sendiri sudah lupa) dan aku serahkan kepada pensyarah Bahasa Inggerisku ketika itu. Dia telah menggalakkan aku supaya terus menulis kerana katanya imaginasiku agak luar biasa.
Sayang sekali aku tidak lagi menyimpan cerpen-cerpen itu. Entah ke mana perginya, aku sendiri tidak pasti. Maklum sajalah, zaman sebelum pelajar mampu menggunakan komputer, semuanya ditulis tangan di atas helaian kertas. Walau bagaimanapun, daripada cerpen-cerpen yang ditulis itu, aku paling ingat - dan masih ingat dengan jelas - dua cerpen. Satu bertajuk "Flora" dan satu lagi bertajuk "The Child." Sebenarnya Transgenesis yang giat ditulis sekarang ini menggunakan "Flora" sebagai premis utama dan disulam dengan beberapa aspek daripada kisah "The Child." Sekurang-kurangnya aku tidaklah rasa rugi kerana tidak membiarkan cerpen-cerpen yang ditulis pada tahun 1992 itu hilang begitu sahaja.
Sepanjang aku berada di UK inilah aku ditemani oleh buku-buku karya penulis-penulis Barat. Namun cita rasaku lebih kepada genre fiksyen sains, fantasi dan seram. Aku banyak membaca karya-karya Stephen King, J.R.R. Tolkien, Arthur C. Clarke dan Isaac Asimov. Aku juga banyak menghabiskan masa membaca komik-komik terutamanya yang diterbitkan oleh Marvel Comics. Agaknya kerana membaca karya-karya seperti ini menyebabkan imaginasiku menjadi sedikit "liar," apa lagi ketika itu usiaku masih di peringkat remaja dengan pelbagai naluri yang memberontak dek hormon yang belum stabil!
Semasa di universiti, minat untuk menulis mendorong aku menyertai kelas penulisan kreatif. Walaupun fokus kelas-kelas ini banyak tertumpu kepada pengkaryaan Bahasa Inggeris, aku dapat rasakan banyak manfaat yang aku perolehi. Di sini aku didedahkan tentang kaedah pengolahan jalan cerita dan kepentingan memastikan agar watak dan perwatakan dibina dengan mantap.
Namun, sayang aku tidak pernah praktikkan apa yang aku perolehi sepanjang aku di UK ini. Aku sekadar menyimpan hasrat yang satu hari nanti aku akan mencari masa untuk menulis novel. Mungkin ada baiknya kerana ketika itu fokus utama aku adalah pengajian dan fokus kedua adalah hal-hal kebajikan penuntut di sana. Walau apa sekalipun, selepas cerpen-cerpen yang aku tulis pada tahun 1992, tiada lagi penulisan kreatif hasil kerja tanganku sehinggalah aku kembali ke Malaysia hampir setengah dekad kemudian.
[Bersambung...]
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
08:34
0
maklum balas
Label kisahku, Transgenesis
Khamis, 26 Julai 2007
Tidak ketandusan sebenarnya
Pengumuman: "Inilah Kisahku" akan disambung pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada komentar khas ini. Harap maklum dan terima kasih.
Aku pernah catatkan di blog ini tentang karya-karya fiksyen sains tidak berapa lama dahulu. Aku kira soalan yang diajukan juga boleh diajukan bagi karya-karya fantasi. Dengan pelancaran novel Harry Potter yang ketujuh iaitu Harry Potter and the Deathly Hallows di pasaran, jelas nampak kegilaan pembaca terhadap karya J.K. Rowling ini. Pelbagai sebab dan teori telah diketengahkan kenapa novel ini mendapat sambutan yang begitu hangat. Aku tidak akan menyentuh sangat tentang soal ini kerana perbincangan mengenainya boleh dibaca di beberapa blog lain seperti blog TintaRona, blog saudari Nisah Haron dan blog saudara John Norafizan.



Kita juga ada saudari Hani Ismail yang tampil dengan genre fiksyen sains menerusi Pengembaraan Suzaimi iaitu buku pertama siri "Akademi Gemilang."Malaysia juga beruntung kerana mempunyai penulis fantasi seperti saudara Serunai Faqir yang telah menghasilkan Dewangga Sakti yang merupakan bahagian pertama di dalam triloginya mengenai pengembaraan seorang remaja bernama Jaka Suria.
Terbaru, telah lahir novel Ajak Kadir Mencari Buku Sakti Kasyorga karya saudari E.M. Muhammad. Ini adalah novel yang menggunakan genre fantasi yang dianggap sebagai "jawapan" kepada Harry Potter. Aku difahamkan novel ini juga yang pertama daripada siri mengenai pengembaraan Ajak Kadir.
Lihat sahaja watak-watak yang mewarnai dunia penulisan fiksyen sains dan fantasi di negara kita. Kita punya Nyemah Mulia, Detektif Indigo, Suzaimi dan rakan-rakan di Akademi Gemilang, Jaka Suria dan Ajak Kadir! Yang belum kita punyai adalah generasi pembaca yang mahu menyambar karya-karya ini daripada rak-rak di kedai-kedai buku. Pastinya, semua kita mempunyai tanggungjawab untuk menyemarakkan industri penerbitan negara, tidak kiralah sama ada kita ini penulis, penerbit, pengedar, penjual, pengkritik mahupun pembaca. Jika semua pihak tidak menggembleng tenaga, masakan karya-karya yang ada akan mendapat sambutan.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
01:28
12
maklum balas
Label komentar
Isnin, 23 Julai 2007
Wira Mandala Hijau
Tahniah kepada saudara Serunai Faqir kerana cerpennya bertajuk "Wira Mandala Hijau" telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam (22 Julai 2007). Semoga saudara SF akan terus berkarya menghasilkan kisah-kisah menarik untuk dibaca.
Syabas!
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
00:20
0
maklum balas
Label komentar
Khamis, 19 Julai 2007
Inilah kisahku [Bahagian 2]
Aku berkelana di UK selama hampir setengah dekad. Aku ke sana untuk menuntut ilmu dan membawa pulang segulung ijazah. Memang sepanjang aku di sekolah sebelum itu, aku sudah selesa dengan subjek-subjek sains. Maka atas sebab itulah aku menyambung pengajian di dalam bidang Kimia. Di sebelah siang pada hari-hari Isnin hingga Jumaat, duniaku di sana berkisar di antara dewan kuliah dan makmal Kimia. Kot makmal berwarna putih dibawa ke mana sahaja aku berada di kampus - maklum sajalah, bakal saintis. Segala macam formula empirik, molekul dan struktur dapat ku tulis dan lukis. Segala bentuk persamaan kimia dan ion mampu ku seimbangkan. Entah berapa banyak teori dan hukum Kimia telah ku cerna di dalam minda.
Itulah kehidupanku di siang hari. Tapi kata orang, hidup ini tidak lengkap andai kata seseorang itu hidup menyendiri tanpa bercampur dengan masyarakat. Aku sebenarnya bukanlah makhluk sosial yang gemar keluar ke sana ke mari. Cumanya, tatkala aku menjejakkan kaki di bumi UK, aku menyedari akan kepentingan untuk membantu sesama penuntut, apa lagi keluarga yang ditinggalkan terlalu jauh nun di nusantara. Zamanku di UK adalah zaman sebelum Internet digunakan secara meluas. Tidak ada kemudahan mel elektronik, pesanan segera atau yang sewaktu dengannya. Telefon bimbit pun ketika itu baru mula digunakan secara meluas walaupun bila difikirkan semula, agak kelakar mengangkut telefon bimbit pada zaman itu yang bersaiz begitu besar sekali.
Justeru, aku (selepas didesak beberapa teman) melibatkan diri dengan kegiatan persatuan dan kebajikan penuntut Malaysia di sana. Asalnya aku hanya membantu teman seperjuangan. Sudahnya aku menjadi begitu aktif dan agak sinonim dengan pergerakan pelajar di tempatku. Satu daripada aktiviti persatuan adalah menerbitkan majalah. Majalah yang mula terbit pada tahun 1994 itu diberi nama Sawo Matang. Aku menjadi seorang daripada Sidang Redaksi, dan kekal demikian sehingga aku pulang ke tanah air pada tahun 1996.
Pada waktu inilah, aku giat menulis. Aku banyak mengulas dan mencoret tentang isu-isu yang dihadapi oleh penuntut di perantauan. Daripada kisah sambutan hari raya ke masalah pergaulan bebas ke isu kahwin muda ke persoalan kualiti kepimpinan pelajar, semuanya aku tulis. Ya, aku tahu ada yang terguris dengan tulisan-tulisanku. Aku begitu idealis ketika itu, berpegang teguh kepada prinsip yang kadangkala dianggap tidak realisitik. Entahlah, tapi bagiku, aku menulis dengan niat yang ikhlas untuk sama-sama bermuhasabah, mengambil iktibar, berhijrah dan memperbaiki diri. Aku diberikan ruangan tetap di dalam Sawo Matang dan ketika inilah aku mula menggunakan nama pena "Kelana." Bila aku renungkan kembali, inilah ketikanya aku mengetahui yang mata pena lebih tajam daripada mata pedang.
Tanpa ku sedari sebenarnya, minat terhadap penulisan sedikit demi sedikit mula sebati di dalam jiwaku. Dan dalam diam, minat ini telah merobah cita-cita hidupku tatkala sang Kelana kembali ke tanah air.
[Bersambung...]
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
07:17
2
maklum balas
Label kisahku
Ahad, 15 Julai 2007
Ulang tahun kedua Kaki Novel Enterprise
Hari ini bertempat di Anjung Rahmat, Gombak telah berlangsung majlis menyambut ulang tahun kedua Kaki Novel Enterprise iaitu sebuah syarikat penerbitan novel kreatif. Aku ke sana setelah mendapat jemputan daripada Izza Aripin yang telah menghasilkan karya ...Dan Mimpi pun Bersatu dan Kerana Dia Cinta dengan penerbit ini.
Alhamdulillah, dalam majlis ini dapat juga aku bersua muka dengan beberapa orang novelis yang bernaung di bawah payung Kaki Novel Enterprise. Ada di antaranya aku cuma biasa berbicara secara maya menerusi blog seperti Dina Najat, Izzul Izzati dan Eita Ashyta. Ada juga yang pertama kali aku bersua muka seperti Anita Abdullah dan Puteri Andalas.
Di dalam majlis ini juga telah diadakan pelancaran novel terbaru Kaki Novel Enterprise iaitu Ku Seru Kasihmu karya Izzul Izzati. Tahniah buat Izzul Izzati kerana kelahiran novel kedua beliau, dan syabas buat Kaki Novel Enterprise kerana terus giat menerbitkan novel-novel kreatif dan memberi ruang kepada penulis-penulis berbakat besar.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:16
0
maklum balas
Label komentar
Khamis, 12 Julai 2007
Inilah kisahku [Bahagian 1]
Kerap aku ditanya soalan mengapa seorang yang mempunyai latar belakang sains memilih untuk berkarya? Perlu aku jelaskan di sini bahawa aku tidak pernah meninggalkan satu bidang untuk terlibat di dalam bidang yang lain. Aku masih terlibat dengan kerja-kerja yang relevan dengan latar belakangku. Cuma, aku juga memilih untuk menyuburkan minat yang sekian lama tersemai di dalam sanubariku.
Dan inilah kisahku jika kalian sudi membaca.
Memang semenjak di bangku sekolah lagi, aku telah meminati bidang penulisan walaupun tidak pernah serius dalam menyuburkan minat ini. Keluargaku kerap berpindah, dari utara tanah air ke selatan dan balik semula ke utara, kerana tugas ayahku ketika itu. Hanya pada tahun 1986, barulah aku tinggal tetap di satu tempat untuk satu tempoh yang agak lama. Pada tahun itu jugalah sebenarnya, hatiku tertarik dengan dunia penulisan.
Tarikan ini berpunca daripada satu nama: Azizi Haji Abdullah. Pada tahun 1986, terbit sebuah drama di kaca televisyen iaitu "Seorang Tua di Kaki Gunung." Entah mengapa aku tertarik kepada kisah ini. Hanya selepas itu barulah aku tahu bahawa drama ini telah diadaptasi daripada sebuah novel dengan tajuk yang sama karya Azizi Haji Abdullah. Ketika itu, timbul satu soalan (yang menjadi klise hari ini), "Rasa pernah dengar nama itu, tapi di mana ya?"
Rupa-rupanya Azizi Haji Abdullah itu adalah Ustaz Azizi yang mengajar di sekolahku. Walaupun dia tidak pernah mengajar kelasku tetapi memang dia dikenali di sekolah. Mana tidaknya, Ustaz Azizi adalah di antara orang yang pertama, jika tidak orang pertama, di sekolah yang memiliki kereta Proton Saga. Mungkin juga dia di antara orang paling awal yang memiliki Proton Saga di Kulim pada masa itu. Proton pada ketika itu baru berusia setahun jagung. Aku masih ingat lagi, Proton Saga warna biru muda milik Ustaz Azizi. Mungkin ada di antara kita yang masih ingat iklan Proton Saga yang terawal iaitu visual yang menunjukkan orang ramai kagum lantas mengetuk-ngetuk Proton Saga menunjukkan ketahanan kereta nasional itu. Syyy... jangan beritahu Ustaz Azizi, kami murid-murid ketika itu memang kagum dengan Proton Saga, juga telah mengetuk-ngetuk keretanya untuk menguji sendiri ketahanan kereta nasional itu!
Pokoknya, di dalam diam, aku menjadikan Ustaz Azizi sebagai doronganku untuk cuba menulis. Tetapi pada peringkat awal, minatku tidak terlalu berkembang. Fokusku lebih kepada akademik. Hanya sekali-sekala bila ada peluang, aku menulis cerpen. Cerpen pertama yang ditulis bertajuk "Meniti Kejayaan" yang terbit di dalam majalah sekolah pada tahun 1989. Pada tahun berikutnya, aku menulis sebuah lagi cerpen yang juga terbit di dalam majalah sekolah yang sama. Tajuknya? "Ombak Senja."
Ya, tajuknya sama dengan tajuk novel sulungku tapi kisahnya sama sekali berbeza. Cerpen "Ombak Senja" yang ditulis hampir 17 tahun yang lalu itu merupakan kisah seorang pelajar. Kisah "Ombak Senja" yang dinovelkan adalah kisah yang berbeza. Tapi bila difikirkan kembali, cerpen "Ombak Senja" itu boleh menjadi prekuel kepada novel Ombak Senja kerana watak di dalam cerpen itu tidak lari daripada watak "Hairi" di dalam novel.
Zaman sekolahku tidak banyak aku tumpukan kepada penulisan. Sebaliknya aku lebih berminat kepada drama pada ketika itu. Aku ada menulis beberapa skrip untuk pementasan drama sekolah. Di antara 1987 dan 1991, aku terlibat dengan pelbagai pementasan drama di peringkat sekolah. Walau bagaimanapun, penglibatan aku ini tidak serius, sekadar suka-suka.
Aku juga pada ketika itu "dipaksa" menjadi pendebat Bahasa Inggeris untuk sekolah. Aku tidak suka berdebat tetapi kerana "arahan" Pengetua yang mahukan anak Melayu turut sama terlibat di dalam debat Bahasa Inggeris, aku terpaksa mengalah. Ini berlaku pada tahun 1990. Sekolahku merupakan juara bertahan bagi satu pertandingan debat Bahasa Inggeris bagi zon utara. Ketika inilah aku belajar membuat penyelidikan untuk mencari bahan bagi perdebatan dan menulis ucapan perdebatan. Bayangkan kesukaran membuat penyelidikan pada zaman sebelum Internet digunakan. Apapun, ini terbukti menjadi latihan asas yang berguna bagiku untuk tahun-tahun mendatang. Alhamdulillah, sekolahku berjaya mempertahankan kejuaraan debat ini, dan aku muncul pendebat terbaik. Ironis, kerana aku tidak suka berdebat.
Tahun 1991 adalah tahun penting bagi aku. Aku menduduki SPM pada tahun itu. Tapi takdir memang boleh mengejutkan sesiapa. Tanpa diduga dan tanpa dirancang, aku telah dipilih untuk mengikuti pengajian di United Kingdom sebelum keputusan SPM keluar. Maka, semasa kawan-kawanku masih berseronok bercuti panjang selepas SPM, tanggal 10 Januari 1992 aku telah menjejakkan kakiku di negara yang pernah menjajah tanah airku.
Dan segala yang berlaku itu sememangnya telah ditakdirkan. Di bumi UK tempat aku berkelana itulah, aku mula mengenali dan menyedari betapa tajamnya pena seorang penulis.
[Bersambung...]
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
08:55
2
maklum balas
Label kisahku, Ombak Senja
