Ahad, 26 Julai 2009

Cabaran menulis sekuel

Rama-rama mempunyai peranan penting dalam sekuel nanti.

Bagi aku yang baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia penulisan, proses menulis novel bukan sesuatu yang mudah. Ya, aku punya banyak idea yang tersimpan di dalam kepala. Namun, cabaran besar ialah menterjemahkan idea-idea abstrak ini ke dalam bentuk ayat-ayat di atas kertas yang boleh difahami dan dicerna pembaca. Proses ini penuh dengan dugaan kerana sebagai penulis, agak sukar bagi membaca apa yang dimahukan oleh pembaca.

Itu sebabnya bagi novel Transgenesis: Bisikan Rimba, aku masukkan beberapa twist dalam jalan cerita menyebabkan pembaca mungkin sukar untuk meneka apa yang akan berlaku berikutnya. Alhamdulillah, dari pengamatan kepada maklum balas yang aku terima, ramai dari kalangan pembaca novel fiksyen sains ini yang menyukai twist di dalam kisah pengembaraan Flora ini.

Kini, aku berhadapan dengan satu lagi cabaran yang besar iaitu menghasilkan sambungan atau sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Jangkaan pembaca terhadap sekuel ini pastinya tinggi. Sedapat mungkin aku ingin lakukan yang lebih baik. Aku ingin masukkan lebih banyak kejutan. Dan pada waktu yang sama, aku tidak pastinya tidak mahu mengecewakan pembaca.

Ya, sambungan kisah Flora ini bakal mempunyai beberapa twist dan kejutannya tersendiri. Terus-terang aku katakan, menulis sekuel ini merupakan antara cabaran terbesar yang pernah aku hadapi.

Aku harap pembaca akan terus memberikan sokongan dan dorongan sehingga aku berjaya menoktahkan ayat terakhir sambungan novel fiksyen sains ini.

Selasa, 21 Julai 2009

Resensi baharu "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Walaupun Transgenesis: Bisikan Rimba sudah lama terbit, masih ada lagi pembaca yang sudi membuat ulasan dan memberikan maklum balas di blog mereka. Terkini, aku menemui dua lagi resensi.


Pertama, dari blog Behind These Hazel Eyes milik saudari Haziratul Quds. Komennya:
baru menghabiskan buku niw 3 ari lepas
TRANSGENESIS
besh.. memang besh..
jalan cter yg baik
cter dyer lebey kurang cam cter ramlee awang murshid

________________________________________

mengisahkan tentang seorang manusia transgenik
yang cuba menuntut bela pada penciptanya
manusia transgenik yg terhasil daripada eksperimen sains yang menyalahi etika seorang saintis
kewujudan 'kembar Flora' tanpa disengajakan menyebabkan dendam kepada penciptanya [ manusia] terpasak kukuh dalam hatinya
saintis yg mencipta Flora adalah manusia transgenik jugak upe2nyer
hohoho

_________________________________________

jemput arr bace buku niw
siyes bes
x tpu
tapi cter dyer cam tergantung
my nnt ader smbg lagi TRANSGENESIS 2

Kedua, dari blog JoT iT DoWN milik saudari Aina Asri. Tulisnya:
Setelah sekian lama saya tak baca novel, baru2 nih saya baru habis baca novel bertajuk 'Transgenesis : Bisikan Rimba' karya Amir Husaini. Seingat saya, novel last yang pernah saya baca bertajuk 'Jauh'.

Hmm saya nak bagi 10bintang/10 bintang untuk penulis novel Transgenesis : Bisikan Rimba nih. Memang isian dalam novel tu lebih kepada ilmiah, fakta, saintifik, walaupun sometimes ada yang tak masuk akal. Tak pe, nama pun fiksyen sains dan fantasi. Lagi satu, saya suka kulit buku nih. Cantik... 10bintang/10bintang untuk Hisham Salmin, pereka bentuk kulit buku tu.

Ni bukan novel yang saya beli. My housemate Kak Fairuz yang syorkan saya baca novel ni. Da lama die suruh saya baca hehe. Sebab saya selalu cakap, "Akak, boring lorh malam ni, cite takde yang best...", and tetiap malam mesti tido awal haha. K.Fairuz lain, setiap masa bz coz die belajar lagi amik master and jadi RA lagi tu. Tu la lainnye dunia student ngan dunia yg tak bergelar student nih. Saya rasa best jadi student. Huhu rasa nyesal lak xamik master tapi ntah ...

Selepas saya membaca bab demi bab, saya berfikir...

  • Saya teringat cite Kyle XY. Tapi novel nih lain dengan Kyle XY tu. Novel nih tentang pengklonan manusia, pastu die melakukan proses pengubahsuaian genetik. Gen yang digunakan adalah daripada Kingdom Plantae (tumbuhan) dan gen daripada Cananga Odorata (bunga kenanga). Wah hebat2. Hmm tu la yang terjadi apabila manusia ingin menjadi tuhan. Padahal itu telah melanggar etika dan nilai kemanusiaan.
  • Saya pon terfikir, wujudkah pengklonan dan pengubahsuaian gen terhadap manusia semacam ini dalam realiti? Huhu mungkin ada, mungkin takda. Mungkin ada, tapi dirahsiakan!
  • Klu wujudnya transgenesis nih, huru hara dunia... manusia jadi cam robot? jadi mesin? Hmm silap hari bulan manusia robot yang mentadbir dunia...
  • Sesungguhnya pokok2 itu makhluk Allah juga. Dia berzikir bersujud kepada Allah. Dia mendengar, menjadi saksi apa yang manusia lakukan saban hari
  • Baru saya tahu, camana terjadinya cap jari. Ia terbentuk ketika seorang bayi membesar di dalam rahim ibunya semasa tangan dan kaki terbentuk. Proses pembentukan berlaku apabila tekanan cecair amnion yang wujud ke atas permukaan kulit tangan dan kaki lalu terhasillah cap jari. Wah menarik... Sebelum ni saya tak tau hehe
  • Novel ni gak mengingatkan saya tentang Sains. Da lama saya tak belek2 buku Sains. Skang saya berjumpa semula dengan istilah2 yang xasing lagi bagi saya masa belajar Biologi dulu seperti floem, fosfat triosa, tropisme, nastik, fotoautotrof, mutagenesis, fotosintesis dan... apa lagi ek? hehe
  • Saya juga dapat tahu tentang sejarah pengklonan. Dulu saya tahu tentang pengklonan Dolly (si biri2) je. Tapi sebenarnya baru saya tahu yang teknologi pengklonan nih da lama wujud semenjak 1950-an lagi;
1952 - berudu
1963 - ikan karp
1986 - Tikus di Rusia (mamalia pertama)
1995 - Megan dan Morag (si biri2 b4 Dolly)
1997 -Dolly di Scotland (setahun dirahsikan)

Sepanjang saya baca novel ni, mesti saya imaginekan saya berada dalam hutan tu bersama2 mengikuti ekspedisi Datin Kay, Datuk Jay, Razilan, Buraquzzaman, dll. Bayangkan klu saya dapat jumpa Flora (subjek 4-7-9-1) dan dark flora tu huhu. Camana eh? Klu difilemkan, mesti best..

Hmm rasa nak beli satu novel nih. Klu jumpa, mau beli . Novel ni da lama diterbitkan, tahun 2008 tak silap. Saya je tak tau huhu. Hmm baru dapat jejak blog penulis novel ni di http://ombaksenja.blogspot.com/ . Apa yang saya tau, novel ni ada siri yang ke-2 dan ke-3. Hmm di hujung novel Transgenesis : Bisikan Rimba ni pun kita leh tau yang cerita ni akan bersambung. Huhu saya xkan lepaskan peluang untuk memilikinya nanti . Thanks to Kak Fairuz yang mencadangkan novel ni untuk saya baca.

Terima kasih atas sokongan dan maklum balas yang diberikan oleh pembaca-pembaca Transgenesis: Bisikan Rimba. Sesungguhnya aku amat menghargai pandangan dan maklum balas kalian.

Sabtu, 4 Julai 2009

Soalan tidak terjawab

Semua maklum yang aku sedang menulis sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Mahu tahu apa plotnya? Nanti dahulu, perkara itu belum dapat didedahkan buat masa ini.


Bagi pembaca yang sudah khatam Transgenesis: Bisikan Rimba, pasti ada soalan-soalan yang belum terjawab yang terbuku di dalam minda. Justeru, sementara sambungan kisah ini sedang ditulis, aku alu-alukan sebarang maklum balas mengenai soalan-soalan yang para pembaca ingin aku jawab menerusi sambungan tersebut.

Jadi, jika ada soalan-soalan daripada Transgenesis: Bisikan Rimba yang pembaca mahukan jawapannya, tinggalkan soalan-soalan tersebut menerusi komen entri ini. Insya-Allah, mungkin akan ada yang terjawab nanti.

[Mungkinkah rama-rama ada kaitan dengan sambungan nanti?]

Khamis, 2 Julai 2009

Sastera jantan

Karya klasik fantasi bahasa Melayu Saga Artakusiad

Karya-karya fiksyen sains dan fantasi dikategorikan sebagai "sastera jantan". Ini bagi membezakan antara karya-karya genre ini berbanding dengan karya-karya yang dikategorikan sebagai chick lit. Difahamkan bahawa khalayak pembaca genre fiksyen sains dan fantasi kebanyakannya ialah remaja lelaki.

Mungkin ada kebenarannya di luar negara, aku sendiri tidak pasti. Namun, daripada pemerhatianku apabila berada di pesta-pesta buku dan kedai-kedai buku, aku dapati yang kebanyakan yang membeli dan membaca genre fiksyen sains dan fantasi dalam bahasa Melayu ialah remaja wanita. Malah, yang rajin memberi maklum balas kepada aku mengenai Transgenesis: Bisikan Rimba juga kebanyakannya pembaca wanita.

Bukan tidak ada pembaca lelaki. Memang ada. Cuma persepsi yang aku perolehi ialah tidak ramai pembaca lelaki yang membaca karya fiksyen sains dan fantasi dalam bahasa Melayu. Apabila aku memerhati di kedai-kedai buku besar seperti Kinokuniya dan MPH, aku lihat remaja lelaki lebih tertarik kepada genre ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris ataupun yang diterjemah dari bahasa Jepun.

Itu sebabnya aku sengaja mengadakan tinjauan kecil yang berakhir beberapa hari lalu. Sekadar ingin mendapatkan gambaran pengunjung-pengunjung blog ini sama ada mereka juga mempunyai persepsi yang sama. Nampaknya, 50% yang mengundi tidak bersetuju dengan persepsi ini. Aku tidak katakan aku betul. Mungkin perspektif mereka berbeza menyebabkan mereka mempunyai persepsi yang berbeza. Wallahu'alam.

Bagiku, ini mungkin satu bidang penyelidikan yang boleh diterokai. Sesiapa yang berminat mungkin boleh mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam menggunakan pendekatan yang lebih saintifik.

Walau apa sekalipun, aku berharap supaya genre fiksyen sains dan fantasi yang dilabel sebagai "sastera jantan" ini diberi sokongan oleh semua tidak kira lelaki mahupun wanita. Semoga genre ini yang ditulis di dalam bahasa Melayu akan terus mendapat perhatian khalayak pembaca negara ini. Itu sebenarnya harapan besar seorang insan yang kerdil ini.

Selasa, 23 Jun 2009

Tinjauan rambang

Di ruangan sebelah ini, terdapat satu tinjauan yang aku jalankan bagi mendapatkan maklum balas mengenai sama ada benar majoriti pembaca "sastera jantan" atau fiksyen sains dan fantasi yang ditulis dalam bahasa Melayu terdiri daripada pembaca wanita.

Mohon maklum balas pengunjung-pengunjung blog ini, sama ada bersetuju ataupun tidak bersetuju ataupun tidak pasti.

Kerjasama yang diberikan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Jumaat, 19 Jun 2009

Jari telunjuk

Dua ataupun mungkin tiga minggu mutakhir ini, aku banyak mengetuk papan kekunci komputer. Sehari dua kebelakangan ini, jari-jariku terutamanya jari telunjuk tangan kanan terasa sedikit pedih.

Mungkin itu petanda aku perlu memperlahankan sedikit aktiviti ketuk-mengetuk papan kekunci. Tetapi jika itu aku lakukan, mampukah aku menyiapkan manuskrip yang telah aku janjikan?

Khamis, 18 Jun 2009

Peminat di Sabah

Baru-baru ini, seorang pembaca Transgenesis: Bisikan Rimba dari Sabah mengujungi blog ini. Nampaknya, novel ini juga ada peminatnya di Negeri di Bawah Bayu. Terima kasih kepada saudari Nur yang sudi membaca lalu mempromosikan juga Transgenesis: Bisikan Rimba menerusi blog beliau.

Selasa, 9 Jun 2009

Pembaca bukan Melayu

Persepsi popular ialah novel-novel yang ditulis dalam bahasa Melayu hanya dibaca oleh pembaca Melayu.

Namun, foto di atas semasa berlangsung program bertemu penulis di Gerai PTS semasa Read Malaysia 2009 membuktikan bahawa persepsi seperti ini tidak semestinya menggambarkan realiti.

Jumaat, 5 Jun 2009

Gamat dengan penulis saifai


Yang rendah dan yang tinggi: 
Aku dan saudara Mat Jan

Semalam seperti yang dijadualkan, aku berada di gerai PTS Publications and Distributors Sdn Bhd bersempena Read Malaysia 2009 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines. Bersama-sama memeriahkan sesi bertemu penulis ini ialah saudara Mat Jan selaku pengerusi majlis, saudara Firdaus Ariff, saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar.
Saudara Mat Jan mempengerusikan acara dengan gaya tersendiri. Kiri sekali saudara Firdaus dan di tengah ialah saudara Bahruddin yang memerhati dengan penuh khusyuk.

Acara yang bermula jam 2.30 petang itu agak gamat dengan telatah-telatah lucu saudara Bahruddin Bekri dan saudara Nazri M. Annuar. Juga penampilan istimewa watak Dark Flora dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba

Sebenarnya, kami menantikan kemunculan Flora tetapi entah macam mana, tudung Flora telah disabotaj (oleh Dark Flora agaknya) menyebabkan Flora tidak dapat muncul. Sebaliknya, Dark Flora yang datang beramah-mesra dengan pengunjung gerai PTS. Agak kaget juga menyaksikan Dark Flora yang dikenali dengan kemarahan dan dendam kesumatnya melemparkan senyuman dan beraksi di hadapan kamera pada petang semalam.
Dark Flora (selepas mensabotaj Flora) yang sempat bergambar dengan pengunjung gerai PTS. 

Apa pun, yang penting majlis berjalan lancar dengan penuh kemeriahan, keceriaan dan kelucuan. Terima kasih kepada PTS (khususnya saudara Nazri dan saudara Mat Jan) yang memberi peluang kepada aku untuk turut serta dalam acara semalam.

Selasa, 2 Jun 2009

Muncul di Read Malaysia 2009

Maaf kerana lama menyepi.Bagaimanapun, aku ingin memaklumkan yang aku bakal bersama dengan saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila dan Saga Empayar Kristal: Armada Azur) dan saudara Bahruddin Bekre (Adi Gempa: Evolusi) di Read Malaysia 2009 bertempat di gerai PTS, Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines pada hari Khamis ini (4 Jun 2009) antara jam 2.30 hingga 3.30 petang.

Kepada peminat-peminat novel fiksyen sains dan fantasi tempatan, jangan lepaskan peluang ini.

Dan, sebagai bonus, ada "seseorang" bakal membuat penampilan istimewa pada waktu tersebut. Kalau ada sesiapa yang ingin bergambar dengan "seseorang" itu, inilah masanya!

Siapakah dia? Mungkin foto di bawah mampu memberi sedikit petunjuk.