Ahad, 14 Disember 2008

Bila orang bukan Islam memberi nasihat

Catatan hari ini tidak ada kena-mengena dengan buku atau novel. Catatan kali ini sekadar komen aku tentang satu berita yang aku baca tentang dunia hiburan. Aku bukan seorang yang gemar mengikuti perkembangan artis. Namun kadangkala, terbaca juga kisah-kisah artis yang mengisi ruangan akhbar. Apa lagi jika akhbar hujung minggu, banyak ruangan diperuntukkan kepada para artis.

Agaknya bila akhbar hendak memperbanyakkan ruangan untuk buku (termasuk novel) ya? Kalau ada sekarang, sekadar ruangan kecil di sudut bawah atau satu halaman seminggu sekali.

Berbalik kepada cerita artis...

Tengah hari tadi aku menghantar kereta isteri untuk ditukar tayar yang sudah botak. Sementara menanti kerja itu disiapkan, aku duduk di sebuah kedai kopi sambil membaca akhbar. Selepas khatam membaca berita-berita terkini yang dimuatkan dalam akhbar tersebut, aku pun membelek-belek sisipan akhbar yang banyak memuatkan berita hiburan.

Kemudian, aku tertarik kepada isu "pergaduhan" antara pelakon Pierre Andre dengan penerbit David Teo. Aku bukannya tertarik kepada punca perbalahan tersebut. Sebaliknya aku tertarik dengan "pesanan" akhir David Teo kepada Pierre Andre.

Cakap pada Pierre, saya mau dia bertaubat dan sembahyang lima kali sehari. Ingatkan Tuhan. Saya pun ingatkan Tuhan sebab itu rezeki saya murah. Saya tak jadi kacang lupakan kulit.
Sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia (2008, 14 Disember: halaman 4)
Aku tersenyum sebaik membaca kata-kata itu. "Orang kita" hari ini sukar sekali mahu mendengar nasihat - baik dari ibu bapa, orang yang lebih tua, jiran tetangga, ketua di tempat kerja dan sebagainya. Lebih malang lagi, "orang kita" juga sukar mendengar nasihat yang disampaikan menerusi khutbah Jumaat setiap minggu yang disampaikan oleh khatib.

Bayangkan reaksi "orang kita" apabila ditegur sekiranya melakukan kesilapan atau membuat kesalahan. Defensif, marah-marah, agresif dan sebagainya. Mungkin itu reaksi yang diberikan jika seorang imam menegur sekumpulan anak muda kerana tidak sembahyang.

Tetapi apa pula reaksi kita apabila seorang bukan Islam menegur dan menasihati seorang yang beragama Islam supaya bertaubat dan mendirikan sembahyang yang wajib?

Tidakkah kita malu apabila orang yang tidak beriman kepada Allah SWT mengingatkan kita yang berikrar bahawa "tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah" supaya kita menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT?

Fikir-fikirkan.

Khamis, 11 Disember 2008

Salam Aidiladha

Aidiladha datang dan pergi. Dalam kesempatan ini, walaupun mungkin sedikit terlewat, aku ingin mengucapkan "Salam Aidiladha" buat semua teman dan sahabat yang tidak pernah jemu menjengah ke sini.

Semoga kita semua mampu menghayati kisah pengorbanan Abu al-Anbiya', Nabi Ibrahim a.s. dan putera baginda, Nabi Ismail a.s.

Rabu, 3 Disember 2008

Meriah di MPH Mid Valley

Memang meriah suasana semasa program bersama penulis fiksyen sains PTS Publications and Distributors Sdn Bhd di MPH Mid Valley pada hari Ahad lalu. Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah kepada pemenang.

Foto di atas merakamkan gambar penulis-penulis fiksyen sains bersama pemenang-pemenang. Turut memeriahkan suasana ialah saudara Fauzul Na'im Ishak, Pengurus Besar PTS (kanan sekali). Foto dari blog Studio Inspirasi.

Selasa, 25 November 2008

Ahad ini kecoh di MPH Mid Valley

Kata orang, sekeping gambar nilainya sama dengan 1,000 perkataan. Jadi, poster di bawah mungkin memberi sedikit gambaran bagi program di MPH Mid Valley pada hari Ahad nanti.

Isnin, 24 November 2008

Tim Saifai PTS

Lama sungguh aku tidak mencoret cerita baru di sini. Bukannya tidak ada perkembangan baru, tetapi kesibukan membataskan masa aku di hadapan komputer.

Baru-baru ini tanggal 11 November yang lalu, telah diadakan pertemuan penulis-penulis fiksyen sains dan fantasi yang bernaung di bawah PTS Publications & Distributors Sdn Bhd bertempat di Setiawangsa Business Suites, Kuala Lumpur. Pertemuan yang diatur dan diusahakan oleh saudara Roslan Isa dari PTS ini sebenarnya bertujuan untuk mengadakan sesi penggambaran yang bakal digunakan sebagai promosi dan publisiti produk-produk fiksyen sains dan fantasi.

Daripada tujuh orang penulis genre ini setakat ini, lima penulis telah dapat menghadirkan diri iaitu saudara Nazri M. Annuar (Opera Angkasa), saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila), Puan Kusyi Hirdan (Urana Exham), saudari Suri Mawarne (Virus L) dan aku sendiri (Transgenesis: Bisikan Rimba). Tidak hadir dengan maaf ialah saudara Zaki Zainol (Takluk Jagat: Bisikan Ariasha dan Takluk Jagat: Amukan Indera Pura) dan saudara Azrul Jaini (Galaksi Muhsinin).

Walau apa pun, pertemuan ini bermakna kerana akhirnya dapat bersua muka dengan penulis-penulis genre fiksyen sains dan fantasi yang lain. Moga silaturrahim yang terbina dapat terus diperkukuhkan pada masa-masa akan datang.

Lagi berita dan gambar tentang Tim Saifai PTS di sini dan di sini.

Durian runtuh

Alhamdulillah.

Kalimah tahmid sahaja yang mampu aku ucapkan apabila menerima khabar gembira dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Di bawah Dana Penulis, PNM telah membeli secara terus daripada penulis naskhah judul yang ditulis untuk dibekalkan ke perpustakaan-perpustakaan desa seluruh negara. Aku merupakan salah seorang penulis yang bernasib baik apabila Transgenesis: Bisikan Rimba menjadi satu daripada tajuk yang terpilih. Pihak PNM membeli 1,041 naskhah judul ini. [Maklumat lanjut boleh dibaca di sini].

Susulan daripada perkembangan ini, aku juga telah dimaklumkan bahawa PTS Publications & Distributors Sdn Bhd sedang mengulang cetak Transgenesis: Bisikan Rimba. Ini bermakna dalam tempoh setengah tahun, Transgenesis: Bisikan Rimba telah memasuki cetakan kedua. Bagiku, ini merupakan satu perkembangan yang cukup memberangsangkan dan memberikan dorongan yang lebih untuk aku terus berkarya.

Syukur alhamdulillah!

Sabtu, 8 November 2008

Pertandingan Ilustrasi Watak Fiksyen Sains dan Fantasi PTS

Klik poster untuk maklumat lanjut.
Terbuka untuk semua pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Rabu, 5 November 2008

"Transgenesis: Bisikan Rimba" ke Indonesia?

Aku baru terbaca catatan baru di blog Unika PTS ini. Tulis Sifu PTS:

...ada penerbit Indonesia yang amat berminat kepada judul-judul Sai-Fai PTS...
Aku kira banyak lagi perbincangan yang perlu dilakukan oleh PTS sebelum judul-judul fiksyen sains dan fantasi Malaysia sampai ke Indonesia. Apapun, ini satu permulaan yang amat baik dan memberangsangkan.

Apa mungkin Transgenesis: Bisikan Rimba ke seberang?

Mari kita doakan yang terbaik.

Khamis, 30 Oktober 2008

Berhempas pulas

Entah mengapa tiba-tiba terasa minggu-minggu selepas Aidilfitri begitu padat dan sibuk sekali dengan segala macam aktiviti. Buat masa ini, aku sedang berhempas pulas dengan dua projek penulisan kreatif yang sedang diusahakan.

Prioriti sekarang ialah novel yang bakal aku taruhkan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan iaitu "Koloni n4n0".

Dan pada waktu yang sama, aku juga sedang mencuri masa untuk menulis sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba.

Itu belum lagi dengan penulisan-penulisan akademik lain yang aku lakukan dan juga penulisan tesis doktorat.

Doakan aku diberi kekuatan.

Rabu, 29 Oktober 2008

Lagi ulasan "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Sebenarnya dua ulasan berikut sudah dibuat beberapa ketika dahulu, cuma aku yang belum letakkan di sini. Apapun, terima kasih kepada yang empunya blog kerana sudi memuatkan ulasan dan pandangan berkenaan Transgenesis: Bisikan Rimba.

Ulasan pertama dari blog Syok Sendiri II:

Novel kedua Transgenesis: Bisikan Rimba.. ceritani klimaksnya di hujung. Huhu.. Sebelumni aku sudah membaca komen-komen di blog Amir Husaini, lalu membantu aku mengagak apa yang akan terjadi. Ya.. aku bersetuju dengan kebanyakkan komen disitu.. tetapi mungkin ada yang perlu disemak semula. Kesilapan kecil, mungkin tak perasan. Antaranya.. semasa kejadian si tauke balak Hwang handak dibunuh pada muka surat 12, 'Malam itu cuma Hwang dan Razilan sahaja yang berada di tapak pembinaan'.. sepatutnya tapak pembalakan. Ya tak? Dan ada dua tiga lagi kesilapan yang mengganggu mood membaca tapi taklah sampai merosakkan cerita. Secara kesimpulannya.. aku seronok membaca novel yang lain dari yang lain ini. Kalau nak tau baca sendiri. Dan nampaknya aku terpaksa mengikuti sambungannya jika hendak tau apa yang sebenarnya terjadi. Dan siapakah atuk misteri itu? Adakah dia Prof. Jauhar yang sudah tua? atau Ned yang menceritakan kembali pengalamannya? Atau... mungkin pasangan kepada Flora.. samaada pernah menjadi suami atau kekasih Flora nanti. Tak terjangkau dek akalku. Aku harap sambungan novel ini ada selitkan elemen-elemen percintaan juga. Wat cha.. hehe.

Dan ini pula ulasan kedua di blog Meandering Thoughts:
On her feelings while reading the novel :-
"Secara keseluruhannya, best dan menarik. Masa mula baca, rasa excited, tapi di bahagian tengahnya, rasa macam dah boleh agak apa ending cerita so macam malas sikit nak baca. Masa sampai suku penghabisan, rupa-rupanya banyak kejutan lain! Ending tak sama seperti yang saya fikirkan, dan kejutan-kejutan tu macam memberi suntikan kepada kemalasan tadi. Ending, rasa nak marah dan tak puas hati pun ada, rasa macam "ni mesti akan ada sambungan ni...". Dalam masa yang sama sebelum noktah akhir, saya fikir "harap-harap semua terbongkar, Ixora, Cempaka, mak sedara Razilan..." Tapi rupanya sengaja dihadkan... rasa makin nak tahu misteri cerita tu, dan harap sangat ada sambungannya!"

On the story line, which she'd like to ask the author :-

"(1) Moga diceritakan, boleh ke Flora yang baik tu kawin dan beranak?
(2) Flora ada perasaan simpati, kemanusiaan, maknanya ada juga cinta dan sayang... agaknya siapa pilihan dia? (minat tak dengan Buraquzzaman...??)
(3) Tambahkan humor lagi ye...
OK tak nak tanya banyak, nanti tak surprise kalau ada novel kedua.."

On enlightenment from reading the novel :-

"Baru sedar betapa selama ni kita tak endahkan tumbuhan, buat macam-macam, tak jaga persekitaran... mana tahu, kot betul tumbuhan berdendam dengan kita! Teringin nak cium bau wangi kenanga, camana ek?"

Her last comments for the author :-

"Walaupun first time baca novel sains fiksyen, tapi saya suka! Orang yang suka berangan macam saya ni memang suka cerita-cerita gini. Sambung lah lagi ye...???"