Lama sungguh aku tidak mencoret cerita baru di sini. Bukannya tidak ada perkembangan baru, tetapi kesibukan membataskan masa aku di hadapan komputer.
Baru-baru ini tanggal 11 November yang lalu, telah diadakan pertemuan penulis-penulis fiksyen sains dan fantasi yang bernaung di bawah PTS Publications & Distributors Sdn Bhd bertempat di Setiawangsa Business Suites, Kuala Lumpur. Pertemuan yang diatur dan diusahakan oleh saudara Roslan Isa dari PTS ini sebenarnya bertujuan untuk mengadakan sesi penggambaran yang bakal digunakan sebagai promosi dan publisiti produk-produk fiksyen sains dan fantasi.
Daripada tujuh orang penulis genre ini setakat ini, lima penulis telah dapat menghadirkan diri iaitu saudara Nazri M. Annuar (Opera Angkasa), saudara Firdaus Ariff (Sayap Adinila), Puan Kusyi Hirdan (Urana Exham), saudari Suri Mawarne (Virus L) dan aku sendiri (Transgenesis: Bisikan Rimba). Tidak hadir dengan maaf ialah saudara Zaki Zainol (Takluk Jagat: Bisikan Ariasha dan Takluk Jagat: Amukan Indera Pura) dan saudara Azrul Jaini (Galaksi Muhsinin).
Walau apa pun, pertemuan ini bermakna kerana akhirnya dapat bersua muka dengan penulis-penulis genre fiksyen sains dan fantasi yang lain. Moga silaturrahim yang terbina dapat terus diperkukuhkan pada masa-masa akan datang.
Lagi berita dan gambar tentang Tim Saifai PTS di sini dan di sini.
Isnin, 24 November 2008
Tim Saifai PTS
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
15:41
0
maklum balas
Label jerayawara, Transgenesis
Durian runtuh
Alhamdulillah.
Kalimah tahmid sahaja yang mampu aku ucapkan apabila menerima khabar gembira dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Di bawah Dana Penulis, PNM telah membeli secara terus daripada penulis naskhah judul yang ditulis untuk dibekalkan ke perpustakaan-perpustakaan desa seluruh negara. Aku merupakan salah seorang penulis yang bernasib baik apabila Transgenesis: Bisikan Rimba menjadi satu daripada tajuk yang terpilih. Pihak PNM membeli 1,041 naskhah judul ini. [Maklumat lanjut boleh dibaca di sini].
Susulan daripada perkembangan ini, aku juga telah dimaklumkan bahawa PTS Publications & Distributors Sdn Bhd sedang mengulang cetak Transgenesis: Bisikan Rimba. Ini bermakna dalam tempoh setengah tahun, Transgenesis: Bisikan Rimba telah memasuki cetakan kedua. Bagiku, ini merupakan satu perkembangan yang cukup memberangsangkan dan memberikan dorongan yang lebih untuk aku terus berkarya.
Syukur alhamdulillah!
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
01:05
4
maklum balas
Label Transgenesis
Sabtu, 8 November 2008
Pertandingan Ilustrasi Watak Fiksyen Sains dan Fantasi PTS
Klik poster untuk maklumat lanjut.
Terbuka untuk semua pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
15:59
0
maklum balas
Label jerayawara
Rabu, 5 November 2008
"Transgenesis: Bisikan Rimba" ke Indonesia?
Aku baru terbaca catatan baru di blog Unika PTS ini. Tulis Sifu PTS:
...ada penerbit Indonesia yang amat berminat kepada judul-judul Sai-Fai PTS...Aku kira banyak lagi perbincangan yang perlu dilakukan oleh PTS sebelum judul-judul fiksyen sains dan fantasi Malaysia sampai ke Indonesia. Apapun, ini satu permulaan yang amat baik dan memberangsangkan.
Apa mungkin Transgenesis: Bisikan Rimba ke seberang?
Mari kita doakan yang terbaik.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
17:31
0
maklum balas
Label Transgenesis
Khamis, 30 Oktober 2008
Berhempas pulas
Entah mengapa tiba-tiba terasa minggu-minggu selepas Aidilfitri begitu padat dan sibuk sekali dengan segala macam aktiviti. Buat masa ini, aku sedang berhempas pulas dengan dua projek penulisan kreatif yang sedang diusahakan.
Prioriti sekarang ialah novel yang bakal aku taruhkan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan iaitu "Koloni n4n0".
Dan pada waktu yang sama, aku juga sedang mencuri masa untuk menulis sekuel kepada Transgenesis: Bisikan Rimba.
Itu belum lagi dengan penulisan-penulisan akademik lain yang aku lakukan dan juga penulisan tesis doktorat.
Doakan aku diberi kekuatan.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
11:13
1 maklum balas
Label kisahku, Koloni n4n0, Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi 2008, Transgenesis
Rabu, 29 Oktober 2008
Lagi ulasan "Transgenesis: Bisikan Rimba"
Sebenarnya dua ulasan berikut sudah dibuat beberapa ketika dahulu, cuma aku yang belum letakkan di sini. Apapun, terima kasih kepada yang empunya blog kerana sudi memuatkan ulasan dan pandangan berkenaan Transgenesis: Bisikan Rimba.
Ulasan pertama dari blog Syok Sendiri II:
Novel kedua Transgenesis: Bisikan Rimba.. ceritani klimaksnya di hujung. Huhu.. Sebelumni aku sudah membaca komen-komen di blog Amir Husaini, lalu membantu aku mengagak apa yang akan terjadi. Ya.. aku bersetuju dengan kebanyakkan komen disitu.. tetapi mungkin ada yang perlu disemak semula. Kesilapan kecil, mungkin tak perasan. Antaranya.. semasa kejadian si tauke balak Hwang handak dibunuh pada muka surat 12, 'Malam itu cuma Hwang dan Razilan sahaja yang berada di tapak pembinaan'.. sepatutnya tapak pembalakan. Ya tak? Dan ada dua tiga lagi kesilapan yang mengganggu mood membaca tapi taklah sampai merosakkan cerita. Secara kesimpulannya.. aku seronok membaca novel yang lain dari yang lain ini. Kalau nak tau baca sendiri. Dan nampaknya aku terpaksa mengikuti sambungannya jika hendak tau apa yang sebenarnya terjadi. Dan siapakah atuk misteri itu? Adakah dia Prof. Jauhar yang sudah tua? atau Ned yang menceritakan kembali pengalamannya? Atau... mungkin pasangan kepada Flora.. samaada pernah menjadi suami atau kekasih Flora nanti. Tak terjangkau dek akalku. Aku harap sambungan novel ini ada selitkan elemen-elemen percintaan juga. Wat cha.. hehe.
Dan ini pula ulasan kedua di blog Meandering Thoughts:
On her feelings while reading the novel :-
"Secara keseluruhannya, best dan menarik. Masa mula baca, rasa excited, tapi di bahagian tengahnya, rasa macam dah boleh agak apa ending cerita so macam malas sikit nak baca. Masa sampai suku penghabisan, rupa-rupanya banyak kejutan lain! Ending tak sama seperti yang saya fikirkan, dan kejutan-kejutan tu macam memberi suntikan kepada kemalasan tadi. Ending, rasa nak marah dan tak puas hati pun ada, rasa macam "ni mesti akan ada sambungan ni...". Dalam masa yang sama sebelum noktah akhir, saya fikir "harap-harap semua terbongkar, Ixora, Cempaka, mak sedara Razilan..." Tapi rupanya sengaja dihadkan... rasa makin nak tahu misteri cerita tu, dan harap sangat ada sambungannya!"
On the story line, which she'd like to ask the author :-
"(1) Moga diceritakan, boleh ke Flora yang baik tu kawin dan beranak?
(2) Flora ada perasaan simpati, kemanusiaan, maknanya ada juga cinta dan sayang... agaknya siapa pilihan dia? (minat tak dengan Buraquzzaman...??)
(3) Tambahkan humor lagi ye...
OK tak nak tanya banyak, nanti tak surprise kalau ada novel kedua.."
On enlightenment from reading the novel :-
"Baru sedar betapa selama ni kita tak endahkan tumbuhan, buat macam-macam, tak jaga persekitaran... mana tahu, kot betul tumbuhan berdendam dengan kita! Teringin nak cium bau wangi kenanga, camana ek?"
Her last comments for the author :-
"Walaupun first time baca novel sains fiksyen, tapi saya suka! Orang yang suka berangan macam saya ni memang suka cerita-cerita gini. Sambung lah lagi ye...???"
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
17:04
0
maklum balas
Label maklum balas, Transgenesis
Rabu, 22 Oktober 2008
Sawang
Aku sebenarnya keletihan. Semenjak dua menjak ini, selepas Aidilfitri, tugasan di pejabat dan pengajian di universiti semakin banyak. Dan semestinya, kedua-dua ini perlu aku dahulukan. Tidur dan rehat agak kurang akhir-akhir ini. Ini menyebabkan aku terasa sedikit letih.
Mungkin juga, disebabkan keletihan, maka aku tidak mengemas kini blog ini. Banyak perkembangan baru dan menarik yang melibatkan aktiviti penulisanku yang ingin dikongsikan. Tetapi aku pohon agar semua bersabar. Insya-Allah aku akan khabarkan satu persatu perkembangan-perkembangan yang "positif" ini.
Sementara itu, maafkan aku kerana blog ini terbiar bersawang.
Harap bersabar. Dan doakan aku diberikan kekuatan, kelapangan dan kesihatan untuk mencuci sawang di sini.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:02
1 maklum balas
Label blog
Isnin, 6 Oktober 2008
Jualan "Transgenesis: Bisikan Rimba"
Aku baru sahaja menghubungi Jabatan Jualan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd sekadar untuk bertanya khabar mengenai jualan Transgenesis: Bisikan Rimba.
Untuk makluman, novel ini mula berada di pasaran pada bulan Jun yang lalu. Sebanyak 2,000 naskhah dicetak untuk jualan. Dan alhamdulillah, aku gembira apabila diberitahu oleh Puan Khalilah Mad bahawa hanya tinggal kira-kira 140 naskhah di dalam stor PTS di Batu Caves.
Bagiku, ini satu berita yang amat baik. Di dalam tempoh lebih kurang empat bulan, novel Transgenesis: Bisikan Rimba sudah hampir habis dijual. Ini bermakna (pada hematku) bahawa novel ini mendapat sambutan dari kalangan pembaca di negara ini.
Hanya satu sahaja yang aku boleh ucapkan pada saat ini.
Alhamdulillah!
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
16:13
1 maklum balas
Label Transgenesis
Jumaat, 3 Oktober 2008
Himpunan pesanan lebaran menarik
Tahun ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, aku menerima banyak pesanan ringkas menerusi telefon yang menyampaikan ucapan Hari Raya Aidilfitri. Ada macam-macam gaya mesej yang aku terima. Berikut ialah di antara yang menarik yang aku terima pada tahun ini:
- Pantun dari saudara Shahriza, sahabat lama yang pernah menjadi rakan setugas: Sebaris merpati menerjah sang bayu, di pohon merimbun tempat kenari, terguris di hati siapalah yang tahu, ku mohon ampun di Aidilfitri.
- Doa dan pesanan dari Dr Khairul 'Azmi, majikanku yang juga sahabat lamaku: Ramadhan memberi ruang kita membina hati, memperteguh kekuatan rohani. Kejernihan hati memandu tindakan berteras hidayah Ilahi. Perjalanan ini semakin jauh. Seandainya dipanggil menghadap, biarlah syahadah dan hati kita puas dalam ibadah. Ya Allah, terimalah kami sebagai hamba-Mu yang soleh dan solehah. Salam Aidilfitri, sehingga Ramadhan menjelang lagi. Ampun maaf sekali lagi.
- Pantun dari Puan Sameah, rakan setugas sekarang: Setitik embun di pohon rimbun, di atap nipah air tergenang, dosa tertimbun mohon diampun, silap dan salah jangan dikenang.
- Madah dari saudara Rizal, seorang lagi rakan setugas di tempat sekarang, juga dari novelis Izza Aripin serta dari Puan Sarina, bekas rakan setugas di tempat lama: Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa. Dalam kelembutan lidah, ada keterlanjuran kata. Dalam gurau dan senda, ada khilaf dan dosa. Harap dimaafkan segalanya.
- Pesanan penuh makna dari Ustaz Zahazan Mohamad, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ke udara setiap pagi di Radio IKIM fm menerusi program "Tafsir Al-Quran": Taqabbalallahu minna wa minkum. Maaf segala kesalahan sepanjang bersahabat. Moga semangat Ramadhan mengukuh ukhwah dan mantapkan jihad.
- Madah dari saudara Arsaili di Australia: Iftar imsak menyisih sudah, zakat fitrah mengukuh jiwa, Aidulfitri penyubur muhibah, moga kita ditambat ukhwah.
- Doa dari saudari Fairuz, bekas pelajar di Universiti Malaya (UM) dan sekarang pelajar sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Ya Robb, Ramadhan telah pun berakhir. Sebaknya hati menerima perpisahan ini. Terimalah amal ibadah kami ya Ilahi. Sampaikanlah kami kepada bulan ibadah lagi tahun hadapan.
- Pantun dari saudara Syazwan Zakariah, personaliti di saluran Astro Awani (yang aku kenal sewaktu beliau menuntut di UIAM lagi: Memohon dan memberi, ampun maaf seikhlas hati, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Syazwan Zakariah - Astro Awani.
- Madah dari saudara Wan Azwan, bekas teman serumah semasa bujang: Sekiranya ada janji yang tak tertunai, ada salah yang tersimpan, ada benci yang tak terucap, ada tutur yang terkasar, ada senda gurau yang terasa, maaf dipohon ikhlas dari hati.
- Pantun dari saudara Ahmad, pengurus kafe yang sering aku kunjungi: Sudah berlabuh tirai Ramadhan, lambaian Syawal kian dinanti, luhur hati ikhlas kemaafan, semoga kesalahan dimaafi.
- Pantun dari Profesor Dr Khalijah Mohd Salleh, seorang pemikir terkenal di dalam bidang falsafah sains di UKM: Ramadhan pergi Syawal menjelma, selesai puasa kita beraya, tersalah kata terkasar bahasa, di Aidilfitri maaf dipinta.
- Pantun dari novelis Rabiatul Adawiyah: Tirai Ramadhan berlabuh sudah, mentari Syawal menjelma lagi, salam dihulur tanda ukhwah, menghapus dosa membersih hati.
- Doa dari saudara Nik: Selamat tinggal Ramadhan, kami tinggalkanmu dengan harapan dapat bertemu denganmu. Salam Aidilfitri, minal aidin wal faizin wa maqbulin.
- Pantun paling "sempoi" yang aku terima datangnya dari Pak Zin, bekas warden pelajar yang pernah bertugas di Belfast, Glasgow dan Manchester: Ke pasar malam beli gelama, hendak digulai bersama patin, SMS anda selamat diterima, kami juga minta maaf zahir dan batin.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
02:13
0
maklum balas
Label blog
Selasa, 30 September 2008
Salam lebaran
Di dalam kesempatan yang ada ini, terimalah permohonan ampun dan maaf dari diriku ini sekiranya ada sebarang salah dan silap yang pernah dilakukan, sama ada kalian mengenali diri ini secara langsung atau sekadar kenal menerusi penulisanku (termasuklah melalui blog ini). Moga 1 Syawal ini membawa keceriaan dan kejayaan buat kita semua. Dan marilah kita berdoa agar kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadan al-Mubarak pada tahun hadapan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
14:26
0
maklum balas
Label blog
