Isnin, 6 Oktober 2008

Jualan "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Aku baru sahaja menghubungi Jabatan Jualan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd sekadar untuk bertanya khabar mengenai jualan Transgenesis: Bisikan Rimba.

Untuk makluman, novel ini mula berada di pasaran pada bulan Jun yang lalu. Sebanyak 2,000 naskhah dicetak untuk jualan. Dan alhamdulillah, aku gembira apabila diberitahu oleh Puan Khalilah Mad bahawa hanya tinggal kira-kira 140 naskhah di dalam stor PTS di Batu Caves.

Bagiku, ini satu berita yang amat baik. Di dalam tempoh lebih kurang empat bulan, novel Transgenesis: Bisikan Rimba sudah hampir habis dijual. Ini bermakna (pada hematku) bahawa novel ini mendapat sambutan dari kalangan pembaca di negara ini.

Hanya satu sahaja yang aku boleh ucapkan pada saat ini.

Alhamdulillah!

Jumaat, 3 Oktober 2008

Himpunan pesanan lebaran menarik

Tahun ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, aku menerima banyak pesanan ringkas menerusi telefon yang menyampaikan ucapan Hari Raya Aidilfitri. Ada macam-macam gaya mesej yang aku terima. Berikut ialah di antara yang menarik yang aku terima pada tahun ini:

  1. Pantun dari saudara Shahriza, sahabat lama yang pernah menjadi rakan setugas: Sebaris merpati menerjah sang bayu, di pohon merimbun tempat kenari, terguris di hati siapalah yang tahu, ku mohon ampun di Aidilfitri.
  2. Doa dan pesanan dari Dr Khairul 'Azmi, majikanku yang juga sahabat lamaku: Ramadhan memberi ruang kita membina hati, memperteguh kekuatan rohani. Kejernihan hati memandu tindakan berteras hidayah Ilahi. Perjalanan ini semakin jauh. Seandainya dipanggil menghadap, biarlah syahadah dan hati kita puas dalam ibadah. Ya Allah, terimalah kami sebagai hamba-Mu yang soleh dan solehah. Salam Aidilfitri, sehingga Ramadhan menjelang lagi. Ampun maaf sekali lagi.
  3. Pantun dari Puan Sameah, rakan setugas sekarang: Setitik embun di pohon rimbun, di atap nipah air tergenang, dosa tertimbun mohon diampun, silap dan salah jangan dikenang.
  4. Madah dari saudara Rizal, seorang lagi rakan setugas di tempat sekarang, juga dari novelis Izza Aripin serta dari Puan Sarina, bekas rakan setugas di tempat lama: Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa. Dalam kelembutan lidah, ada keterlanjuran kata. Dalam gurau dan senda, ada khilaf dan dosa. Harap dimaafkan segalanya.
  5. Pesanan penuh makna dari Ustaz Zahazan Mohamad, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ke udara setiap pagi di Radio IKIM fm menerusi program "Tafsir Al-Quran": Taqabbalallahu minna wa minkum. Maaf segala kesalahan sepanjang bersahabat. Moga semangat Ramadhan mengukuh ukhwah dan mantapkan jihad.
  6. Madah dari saudara Arsaili di Australia: Iftar imsak menyisih sudah, zakat fitrah mengukuh jiwa, Aidulfitri penyubur muhibah, moga kita ditambat ukhwah.
  7. Doa dari saudari Fairuz, bekas pelajar di Universiti Malaya (UM) dan sekarang pelajar sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Ya Robb, Ramadhan telah pun berakhir. Sebaknya hati menerima perpisahan ini. Terimalah amal ibadah kami ya Ilahi. Sampaikanlah kami kepada bulan ibadah lagi tahun hadapan.
  8. Pantun dari saudara Syazwan Zakariah, personaliti di saluran Astro Awani (yang aku kenal sewaktu beliau menuntut di UIAM lagi: Memohon dan memberi, ampun maaf seikhlas hati, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Syazwan Zakariah - Astro Awani.
  9. Madah dari saudara Wan Azwan, bekas teman serumah semasa bujang: Sekiranya ada janji yang tak tertunai, ada salah yang tersimpan, ada benci yang tak terucap, ada tutur yang terkasar, ada senda gurau yang terasa, maaf dipohon ikhlas dari hati.
  10. Pantun dari saudara Ahmad, pengurus kafe yang sering aku kunjungi: Sudah berlabuh tirai Ramadhan, lambaian Syawal kian dinanti, luhur hati ikhlas kemaafan, semoga kesalahan dimaafi.
  11. Pantun dari Profesor Dr Khalijah Mohd Salleh, seorang pemikir terkenal di dalam bidang falsafah sains di UKM: Ramadhan pergi Syawal menjelma, selesai puasa kita beraya, tersalah kata terkasar bahasa, di Aidilfitri maaf dipinta.
  12. Pantun dari novelis Rabiatul Adawiyah: Tirai Ramadhan berlabuh sudah, mentari Syawal menjelma lagi, salam dihulur tanda ukhwah, menghapus dosa membersih hati.
  13. Doa dari saudara Nik: Selamat tinggal Ramadhan, kami tinggalkanmu dengan harapan dapat bertemu denganmu. Salam Aidilfitri, minal aidin wal faizin wa maqbulin.
  14. Pantun paling "sempoi" yang aku terima datangnya dari Pak Zin, bekas warden pelajar yang pernah bertugas di Belfast, Glasgow dan Manchester: Ke pasar malam beli gelama, hendak digulai bersama patin, SMS anda selamat diterima, kami juga minta maaf zahir dan batin.
Sengaja aku kongsikan di antara pesanan ringkas yang aku terima pada tahun ini. Banyak yang memberi kesedaran dan peringatan sesama kita. Sesungguhnya teknologi hari ini memudahkan dakwah dijalankan, sekalipun di dalam bentuk pesanan ringkas.

Selasa, 30 September 2008

Salam lebaran

Di dalam kesempatan yang ada ini, terimalah permohonan ampun dan maaf dari diriku ini sekiranya ada sebarang salah dan silap yang pernah dilakukan, sama ada kalian mengenali diri ini secara langsung atau sekadar kenal menerusi penulisanku (termasuklah melalui blog ini). Moga 1 Syawal ini membawa keceriaan dan kejayaan buat kita semua. Dan marilah kita berdoa agar kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadan al-Mubarak pada tahun hadapan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Khamis, 25 September 2008

Pembuka selera "Transgenesis 2"

Kebelakangan ini, ramai yang bertanya kepadaku tentang sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Ramai yang ingin tahu bila sambungan ini akan menemui pembaca.

Aku hanya mampu katakan bahawa sambungan kisah ini kini di dalam proses penulisan. Namun, proses ini bukanlah satu perkara yang boleh aku lakukan secara berterusan. Ini kerana aku juga punya komitmen lain yang kerapkali terpaksa didahulukan. Setakat mana yang termampu, aku akan meneruskan proses penulisan sambungan kisah ini.

Walau bagaimanapun, sasaran yang telah ditetapkan ialah supaya sambungan ini menemui pembaca menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Aku hanya berdoa agar aku diberikah kekuatan, kesihatan dan kecergasan untuk menulis dan terus menulis.

Bagi pembaca yang menanti dengan penuh sabar, aku perturunkan sedikit cebisan dari bab pertama bahagian kedua siri "Transgenesis" ini. Aku harap cebisan kecil ini mampu memberikan sedikit kepuasan bagi mereka yang setia menanti.

"Siapa dia?" desak Mat Dan.
"Satu makhluk yang penuh dengan dendam yang membara. Satu makhluk yang tidak kenal erti kemanusiaan. Satu makhluk yang lahir akibat keinginan manusia menjadi tuhan," suara Buraquzzaman diulit nada bimbang.
Suasana rimba pada ketika itu tiba-tiba menjadi sunyi. Tiada bunyi mergastua. Tiada bunyi haiwan-haiwan yang menghuni di situ.
"Apa maksud awak?" soal jejaka tinggi lampai lagi kurus itu.
"Kamu berdua telah melepaskan makhluk itu dari penjaranya. Dan dia kini sudah kembali," kata bekas wartawan itu seperti mahu berteka-teki.
"Saya tak faham. Siapa dia? Siapa yang kembali?" Mat Dan terus meminta penjelasan daripada Buraquzzaman.
Mata Mat Dan diperhati tepat oleh Buraquzzaman.
"Dia sudah kembali," katanya, "Dark Flora sudah kembali!"
Cebisan kecil ini sekadar "pembuka selera" dari diriku untuk para pembaca sekalian. Doakan agar penulisan sambungan kisah ini berjalan lancar.

Selasa, 16 September 2008

Catatan blog ke-100: Trivia "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Alhamdulillah, blog ini kini sudah mempunyai catatan yang ke-100. Untuk catatan ke-100 ini, aku mahu coretkan sesuatu yang aku kira sedikit istimewa, iaitu proses ke arah penghasilan Transgenesis: Bisikan Rimba.

Aku bukanlah penulis yang sekadar menulis untuk suka-suka. Setiap yang aku tintakan itu ada kisahnya dan ada pula sebabnya. Begitu juga dengan Transgenesis: Bisikan Rimba. Di bawah ini, aku kongsikan sepuluh trivia di dalam menghasilkan Transgenesis: Bisikan Rimba.

Trivia #1:
Watak Flora sebenarnya pertama kali lahir dari benak fikiranku pada tahun 1992. Ketika itu, aku sedang berkelana menuntut ilmu di bumi kelahiran William Wallace dan Rob Roy, iaitu Scotland. Aku baru beberapa bulan di situ, dan aku bertekad mahu menajamkan penguasaan Bahasa Inggeris di sana. Jadi aku memilih untuk menulis cerita-cerita pendek di dalam Bahasa Inggeris untuk disemak oleh pensyarah bahasa tersebut. Dan satu daripada cerita pendek yang aku tulis (dengan tangan dan bukannya ditaip menggunakan komputer) bertajuk "Flora". Cerpen ini mengisahkan satu makhluk jelmaan pokok yang menyerupai manusia yang membalas dendam ke atas mereka yang "membunuh" pokok-pokok bagi mengaut keuntungan. Walaupun asal-usul watak "Flora" di sini jauh berbeza daripada watak "Flora" di dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, tetapi kisah di dalam cerpen ini juga berkisar tentang dendam dan sifat manusia yang tidak bertanggungjawab.

Trivia #2:
Aku membayangkan watak "Flora" atau "Subjek 4-7-9-1" dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini seperti Jean Grey dari komik popular X-Men. Malah terdapat satu babak di dalam novel ini apabila Flora muncul dari lurah menyelamatkan Datuk Jay yang terjatuh, yang inspirasinya aku perolehi daripada kulit hadapan Uncanny X-Men #101. Bezanya, Flora muncul dari lurah di lereng gunung di dalam hutan manakala Phoenix muncul dari dalam tasik. Dan satu lagi perbezaan ketara ialah Flora menutup aurat!

Trivia #3:
Tracker pula ialah satu watak yang sengaja aku tidak kembangkan terlalu banyak. Sekadar inspirasi watak ini aku perolehi daripada tiga sumber. Pertama, susuk tubuh Tracker aku bayangkan seperti watak mutan bernama Random yang pertama kali muncul di dalam komik X-Factor. Kedua, cara percakapan Tracker yang suka memanggil orang dengan gelaran tertentu ialah seperti watak Paris dari kumpulan Pantheon yang pertama kali muncul di dalam komik the Incredible Hulk. Dan ketiga, kedegilan Tracker untuk "mati" diinspirasikan daripada watak Murdoc dari siri sukaramai pada tahun 1980-an iaitu "MacGyver". Jika ada yang masih ingat, Murdoc sering menjerit "MACGYVER!" pada "saat kematiannya" dan inilah yang dilakukan oleh Tracker pada "saat kematiannya" dengan menjerit "FLOOO!!!" [Apa yang dicatatkan ini sebenarnya memberikan satu klu tentang nasib Tracker yang akan dijawab di dalam bahagian kedua nanti].

Trivia #4:
Watak-watak sokongan seperti Profesor Ned, Tauke Hwang Chien Ming, Dr Kenneth Ramsay, Wak Salamian dan Inspektor Adzwar, serta watak-watak yang hanya disebut tetapi tidak muncul di dalam cerita seperti Pok Li, Datuk Khairul, Datin Noor, Nadzirah dan Sharmini didasarkan kepada orang yang aku kenal. Malah, nama mereka juga aku kekalkan, sekadar aku ubah perwatakan bagi disesuaikan di dalam kisah ini.

Trivia #5:
Pada asalnya, aku ingin gunakan haruman kemboja dan bukannya haruman kenanga sebagai haruman yang sinonim dengan beberapa watak kisah ini. Namun demikian, seorang sahabat mencadangkan agar kenanga digunakan. Dan seorang sahabat lagi memberitahu tentang tujuh bunga wangi yang digunakan di dalam perubatan Melayu, dan salah satunya ialah kenanga. Itulah sebabnya aku ubah kemboja kepada kenanga.

Trivia #6:
Draf pertama novel ini melibatkan watak utama Nenek Melor, dan bukannya Datin Kay. Sekali lagi, atas maklum balas seorang sahabat, aku ubah jalan cerita untuk menjadikannya lebih menarik. Di dalam proses penulisan semula, watak Nenek Melor tidak muncul, sebaliknya diganti oleh watak Datin Kay. Namun, watak Melor ini muncul juga di dalam bentuk yang sedikit berbeza.

Trivia #7:
Aku sebenarnya mempunyai tiga versi kesudahan bagi Transgenesis: Bisikan Rimba. Satu versi mengisahkan Buraquzzaman Baharuddin berjaya menyelesaikan misteri pembunuhan Tauke Hwang Chien Ming dan menjadi wira yang disanjung. Tetapi aku buang versi ini kerana terlalu "biasa". Versi kedua pula melibatkan identiti pembunuh di mana Datin Kay ialah orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tauke balak tersebut. Ini juga aku tidak gunakan kerana sekali lagi aku rasakan ia "biasa" sahaja. Versi ketiga ialah pindaan kepada versi kedua. Versi inilah yang digunakan di dalam novel yang telah terbit iaitu apabila aku dedahkan yang sebenarnya ada dalang di sebalik semua yang berlaku.

Trivia #8:
Nama asal watak Buraquzzaman Baharuddin ialah Huzaimi Hazim. Mengapa aku tukar? Itu tidak boleh didedahkan terlebih dahulu, sekadar yang aku boleh katakan "nama itu ialah doa". Insya-Allah jawapannya akan diberi di dalam bahagian ketiga siri ini.

Trivia #9:
Hampir kesemua fakta mengenai bioteknologi di dalam kisah ini ialah fakta sebenar. Yang fiksyen hanyalah bahagian yang melibatkan eksperimen Datin Kay dan eksperimen Dr Ramsay.

Trivia #10:
Aku memuatkan isu bioetika sebagai tema utama novel ini kerana kecewa dengan ketidakprihatinan banyak pihak terhadap kepentingan perkara ini. Aku mengharapkan agar pendekatan mengenengahkan isu bioetika menerusi penulisan kreatif akan membawa kesedaran mengenai isu penting ini kepada masyarakat yang membaca. Tambahan pula, penyelidikan sains tidak wajar sekadar dijalankan demi sains semata-mata. Penyelidikan sains perlu dijalankan dengan rasa penuh tanggungjawab dan rendah diri.

Ahad, 14 September 2008

Suara hati pembaca remaja

Aku sebenarnya baru kembali ke Kuala Lumpur selepas berada di Kedah atas urusan keluarga. Sebaik tiba, tergerak hati untuk memeriksa e-mel dan blog. Aku tersentuh apabila membaca dua maklum balas dari dua orang remaja yang telah membaca Transgenesis: Bisikan Rimba.

Pertama, adik Nur Aqilah yang meninggalkan komen di blog ini.

Assalamualaikum,saya Nor Aqilah,baru berusia 14 tahun.Saya suka sangat baca buku Trangenesis tu. Tapi saya ada soalan Trangenesis akan keluar dgn buku ke-2 ke? sebab ceritanya agak tergantung. Kalau ada,bila ia akn diterbitkan? Harap dapat memberi jwpn pada saya...
Adik Nur Aqilah juga membuat ulasan di blognya. Tulisnya:
Assalamualaikum,

Dah lama aku tak masukkan entri baru bkan apa malas nak taip ni,Penat!! hari ni aku nak citer ttg satu bku yang baru kau baca ni,best la jugak.
Buku ni adalah novel Sci-fic yang pertama aku baca,aku tgk coverpagenya di kedai buku Popular,aku baca sinopsis dan terasa nak beli,tapi malangnya aku takde duit masa tu.Aku pun kumpulkankan duit untuk membeli buku ni,sebab aku tak nak mintak mak aku.
Buku ni berkisah kan teknologi pemindahan genetik tumbuhan pada embrio yang diklonkan daripada manusia. Cita-cita Datin Kay yang ingin mencipta manusia yang sempurna yang boleh membuat makanan sendiri melalui fotosintesis telah membawanya untuk membuka sebuah institut yang diberi nama Institut Trans-DNA.Institut ini telah membuat eksperimen tentang kajian ini secara rahsia...
Suatu hari eksperimen yang diberi nama Subjek 4-7-9-1 telah melarikan diri.Selepas beberapa hari eksperimen itu hilang,berita tentang pembunuhan Tauke balak yang bernama Hwang Chien Ming tersebar keseluruh negara.Berita ini bertambah hangat apabila penulis berita ini,Buraqquzzaman Baharuddin mengaitkan tentang gadis berambut hijau yang membunuh tauke balak itu.Melalui pembunuhan inilah,segala rahsia yang telah disimpan oleh Datin Kay selama hampir 17 tahun mula terbongkar,satu demi satu.
Cerita ini masih punya banyak persoalan,dan penulisnya,Amir Husaini sendiri telah menyenaraikannya melalui soaln Ammar Qusyairi(mungkin nama anak dia)kepada seorang lelaki tua yang menceritakan kisah diatas kepadanya.Apa-apa pun cerita ni memang best..beli dan baca sendiri.tak sia-sia RM24.00 aku...Sekian sahaja Entri aku ari ni...bila agaknya nak keluar yang kedua??
Seorang lagi remaja, adik Siti Nazirah telah meninggal maklum balas di blog Waris Jagat. Terima kasih kepada saudara Waris Jagat yang sudi memanjangkan maklum balas ini untuk perhatianku. Tulis adik Siti Nazirah:
Kepada saudara Amir Husaini, saya sudahpun membaca “transgenesis:bisikan rimba” ini..oleh kerana terlalu tertarik dengan ceritanya, jadi saya pun mencadangkan buku ini kepada mak saya dan beberapa orang rakan saya. Ternyata mereka turut meminati cerita ini walaupun baru 2 orang yang sudah membacanya tidak termasuk mak saya. Sukar bagi saya meyakinkan rakan-rakan saya yang lain kerana mereka kurang tertarik jika penulis lelaki yang mengarang buku. Bagi saya,mereka sangat rugi kerana tidak membacanya terlebih dahulu sedangkan 2 orang rakan saya tadi begitu meminatinya. Di sini saya ingin bertanya,bila saudara ingin menyambung cerita ini kerana mak saya begitu tertarik hingga dia berkata begini “adik,kalau ada sambungan cerita ni,mak sanggup bagi adik duit beli buku tu” menunjukkan mak saya begitu tertarik membaca buku saudara sedangkan selama ini saya harus berjimat dengan duit belanja saya di sekolah untuk membeli buku cerita.Saya pun masih tertanya-tanya bila agaknya buku ini akan bersambung? Saya harap saudara tidak menghampakan peminat-peminat saudara di luar sana.. Wassalam..
Tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan ini apabila membaca suara hati pembaca-pembaca remaja ini. Insya-Allah sambungan Transgenesis: Bisikan Rimba sedang disiapkan dan dijadualkan akan terbit pada suku pertama tahun 2009. Dan sebenarnya, kisah ini ialah satu trilogi, dan bahagian ketiga akan menyusul pada tahun 2010.

Apapun, terima kasih tidak terhingga di atas sokongan dan dorongan semua pihak. Insya-Allah aku akan lakukan yang terbaik.

Isnin, 8 September 2008

Komen terkini "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Aku hanya mampu mengucapkan kalimah tahmid. Di dalam tempoh tiga bulan ini, sudah ada sepuluh ulasan dan maklum balas yang dibuat oleh kalangan blogger mengenai novel Transgenesis: Bisikan Rimba. Terbaru tiga lagi ulasan yang dapat dikesan.

Pertama, ulasan yang dibuat oleh saudara Aiman Akmal. Berikut petikan dari blognya:

Novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini dapat saya habiskan sebelum keretapi tiba di perhentian terakhir lagi. Bagi saya, walaupun ia sebuah karya fiksyen sains, pengarang yang sedang menyambung doktoratnya dalam falsafah sains di UM ini, tidak putus-putus dari memasukkan intipati etika , falsafah, dan nilai kemanusiaan dalam tulisannya ini. Malah, unsur nilai-nilai Islam digarapnya begitu baik sekali.

Seingat saya, sebelum ini, jika novel fiksyen atau fantasi, saya lebih cenderung karya inggeris seperti Harry Potter, Chronicles of Narnia, Unfortune Event, Lord of The Ring, Star Wars dsb. Jika adapun novel fiksyen atau fantasi yang berbahasa melayu, masih boleh dibilang dengan jari.

Yang antaranya ialah Advencer si Peniup Ney, 1511Kombat, dsb. Sebabnya novel melayu yang selalu saya baca kebanyakkannya berunsur kehidupan dan ‘cinta’.

Hendaknya selepas ini saya akan lebih memberi ruang kepada minda saya ini untuk mengembara ke alam fantasi hasil karya novelis-novelis Muslim supaya boleh mendakatkan lagi kepada Maha Pencipta. Ini yang saya rancangkan. Moga-moga diberkati Allah. Wallahu’alam.

Ulasan kedua ialah dari Kak Wan Amalyn, seorang resensor yang terkenal di dalam dunia blog ini. Tulis Kak Wan:

Transgenesis : Bisikan Rimba adalah karya kedua Amir Husaini yang aku baca selepas Ombak Senja. Kali ini Amir Husaini tampil dengan 'wajah' yang berbeza. Kisah tentang teknologi pengklonan antara manusia dan hidupan alam ciptaan Allah yang berkongsi bumi yang sama. Ia sebuah kisah sains fiksyen.

Segalanya bermula dengan pembunuhan misteri Hwang Chien Ming seorang tauke balak di hutan simpan Gunung Pulai bersaksikan Razilan, pekerjanya. Pembunuhan oleh 'makhluk serba hijau' menjadi tanda tanya dan menimbulkan persoalan kepada orang ramai akan 'siapa' atau 'apa' makhluk yang didakwa menjadi pembunuh misteri tersebut.

Buraquzzaman Baharudin, wartawan akhbar tabloid Semboyan Nasional ditugaskan untuk 'cover' tentang pembunuhan tersebut. Ekoran daripada laporan tersebut menyebabkan Institut Trans-DNA sebuah institut penyelidikan genetik, tidak senang duduk kerana ia ada kaitan dengan rahsia penyelidikan mereka.

Kehilangan subjek 4-7-9-1 memaksa Datin Kay selaku pengasas Institut Trans-DNA dan Datuk Jay, seorang usahawan yang menjadi penyumbang dana bagi membiayai penyelidikan di institut tersebut menubuhkan sepasukan pencari yang disertai oleh mereka sendiri selain daripada Profesor Joned Jauhar, Tracker dan beberapa orang lagi sebagai penunjuk jalan untuk mencari subjek 4-7-9-1.

Walau bagaimanapun pencarian subjek 4-7-9-1 bukanlah semudah yang disangkakan. Pelbagai kejadian aneh mengekori mereka. Rupanya ada rahsia yang cuba diselindungkan dari pengetahuan umum. Satu rahsia yang telah dibungkus kemas berbelas-belas tahun yang lalu bahkan ada rahsia lain yang terselindung di balik rahsia yang cuba disembunyikan.

Flora - si gadis manis mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh manusia biasa. Dia manusia istimewa. 'Kelahiran'nya juga adalah melalui satu proses yang panjang dan rumit. Ia lahir hasil daripada pengklonan antara manusia dan tumbuhan yang memaksa sejumlah 4790 klon embrio terpaksa dikorbankan. Tapi benarkan semuanya berjaya dilupuskan??

Pembunuhan misteri, kebuntuan pihak polis dalam menjalankan siasatan pembunuhan ke atas tauke balak dan keghairahan wartawan membongkar kejadian aneh telah menyebabkan tersingkapnya tabir rahsia yang cuba diselindungkan bertahun-tahun yang lampau.

Benarkah Flora atau subjek 4-7-9-1 yang membunuh?? Atau ada subjek lain yang menjadi dalang pembunuhan misteri tersebut?? Nak tahu siapa atau bagaimana..?? Anda yang perlu membuat 'kajian' sendiri.

Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka karya terbaru Amir Husaini ini. Ia ada kelainannya. Apa yang membuatkan aku kagum adalah cara penulis mengolah plot cerita yang pada awalnya kita nampak bagaikan jalan lurus tetapi sebaliknya ada lencongan 'di depan sana' yang tidak terjangka dek fikiran kita. Begitulah jalan cerita ini. Jangan sangka jalan lurus tiada simpang yang menanti.!!

Penulis berjaya memanipulasi pembaca terutamanya aku kerana setiap telahan dan andaian yang bermain di kepala tatkala sedang membacanya adalah salah sama sekali. Setiap andaian yang aku cuba lakarkan dalam kepala aku menjadi berantakan apabila tiba pada titik kemuncaknya.

Tahniah pada penulis. Satu lagi karya yang aku pasti para pembaca yang gemarkan genre 'Sci-Fic' harus membacanya.

Dan aku harap ada kesinambungannya kerana banyak lagi persoalan yang sampai ke noktah terakhirnya tetap menimbulkan tanda tanya yang berlegar di kepala aku... dan yang pastinya aku ingin tahu siapa 'Atuk' tu?? Amir.... siapa 'atuk' tu??!! Shocked

Dan yang terbaru, ulasan daripada Waris Jagat:

Transgenesis ialah sebuah sai fai tentang sebuah eksperimen yang gagal atau jadi huru hara (macam yang selalu ditulis oleh Michael Crichton*). Apabila eksperimen gagal ini mula mengorbankan nyawa, maka beberapa orang yang berkepentingan mula cuba untuk menyembunyikan hakikat ini. Walaubagaimanapun, ada pula pihak lain yang cuba untuk membongkar misteri ini.

Transgenesis memaparkan pandangan kedua-dua pihak (dan juga ‘hasil-hasil’ eksperimen tersebut). Oleh itu kita tahu motivasi semua pihak. Antagonis dan protagonis digarap supaya kita memahami mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Mungkin ini akan sedikit menghilangkan elemen misteri dalam penceritaan tetapi percayalah bahawa banyak lagi yang disembunyikan oleh Amir Husaini.

Transgenesis ialah sebuah sai fai dan ini ditunjukkan dengan banyak perbualan antara watak tentang cabang sains biologi dan genetik (tidak lupa juga etika). Sebuah sai fai yang baik (pada pendapat saya) mestilah menyertakan persoalan falsafah dan Trangenesis juga tidak menghampakan saya dalam perkara ini.

Di samping itu, Amir Husaini tidak lupa memasukkan elemen islamik serta ketuhanan dalam Transgenesis. Saya yang terdedah dengan sai fai barat harus akui bahawa sedikit janggal dengan campuran ini. Ini ialah percubaan yang berani. Pada masa sai fai barat sangat memusuhi agama, elemen keagamaan adalah satu yang agak menyegarkan dan juga memberi satu identiti kepada sai fai melayu.

Apa yang saya juga suka dengan Trangenesis ialah kejutan yang diberikan pada penghujung cerita. Saya memang tidak sangka bahawa kisah ini akan bersambung, walaupun sebenarnya cerita yang terkandung di dalam buku ini sendiri ’self contained’. Babak ala Sherlock Holmes pada penghujung juga memang sangat sureal buat saya.

Transgenesis ialah sebuah bacaan yang baik serta mempunyai identitinya tersendiri dengan mesej islamik dan moralnya. Ceritanya lancar dan penuh misteri. Tahniah Amir Husaini!

*Michael Crichton selalu menghasilkan karya sai fai yang bertemakan “Frankenstein”. Sains yang cuba bertindak seperti Tuhan akan selalunya membawa kemusnahan (lihat Jurassic Park dan Timeline).

Aku ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan mengulas novelku ini. Sokongan dan dorongan kalian amat dihargai.

Ahad, 7 September 2008

Tersirat di dalam pemakaian kain samping

Ini satu lagi perkara menarik yang aku pelajari dari syarahan Pak Tenas Effendy pada 14 Ogos lalu, iaitu tentang mesej tersirat di dalam pemakaian kain samping. Kain samping memang sinonim dengan pemakaian baju Melayu. Namun aku perhatikan, ada bermacam-macam fesyen yang dikenakan bila kain samping dipakai.

Menurut Pak Tenas, kain samping yang diikat tinggi (bermakna bahagian bawahnya berada di atas lutut si pemakai), memberi makna bahawa si pemakai masih belum berkahwin.

Kain samping yang diikat rendah (iaitu bahagian bawahnya berada di bawah lutut si pemakai), memberi maksud bahawa si pemakai telah berkahwin.

Manakala, kain samping yang dipakai hingga hampir ke tumit kaki memberi mesej bahawa si pemakai ialah seorang yang berilmu (lazimnya guru atau ustaz) yang dihormati di dalam masyarakat kerana ilmunya.

Nampaknya selepas ini, kenalah aku pakai kain samping melepasi lutut. Satu maklumat berguna bagi pemakai baju Melayu generasi baru.

Selasa, 26 Ogos 2008

Catatan Pesta Buku Malaysia

Ini cerita lama sebenarnya. Pada 2 Ogos 2008 yang lalu, aku bersama-sama rakan-rakan penulis yang lain iaitu Hani Ismail, Kusyi Hirdan dan Ashadi Zain berada di dalam satu sesi bertemu penulis dan autograf di gerai PTS sempena Pesta Buku Malaysia.

Gerai PTS sayangnya terletak di hujung. Walaupun terletak di hadapan pentas utama, gerai ini juga terletak di sebelah gerai Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Dan banyak aktiviti untuk kanak-kanak diadakan di gerai PNM ini menyebabkan laluan ke gerai PTS ini terhalang sewaktu kami berada di sana. Jadi tak ramailah pengunjung yang melepasi "tol kanak-kanak" ini untuk ke gerai PTS.Walau bagaimanapun, pengalaman bersama rakan-rakan penulis ini amat aku hargai. Itu kali pertama aku bertemu Ashadi Zain, dan kali kedua aku bertemu Kusyi Hirdan. Hani Ismail entah sudah berapa ratus kali aku berjumpa, hehehe. Tidak ketinggalan, wira sastera jantan PTS iaitu saudara Mat Jan juga berada di situ.

Rabu, 20 Ogos 2008

Kebijakan Melayu

Lagi mengenai syarahan Pak Tenas Effendy yang aku hadiri minggu lalu. Pak Tenas menggunakan istilah "kebijakan Melayu" untuk merujuk kepada hikmah kebijaksanaan orang-orang Melayu dahulu di dalam berkomunikasi. Komunikasi ini kaya dengan falsafah yang tersirat yang difahami oleh generasi tersebut. Sayangnya, "kebijakan" itu telah hilang daripada generasi kita hari ini.

Satu contoh mudah. Mengikut budaya Melayu-Islam, kita wajib meraikan tetamu. Apabila tetamu datang bertandang, kita wajib menghidangkan apa jua yang ada di rumah untuk tetamu tersebut. Ada ketikanya, kita tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Si tuan rumah akan bertanya, "Sudah makan?" Si tetamu, apabila mendengar soalan yang dimulakan dengan perkataan "sudah" itu, seharusnya memahami bahawa si tuan rumah tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Jadi, jawapan yang perlu diberikan ialah, "Sudah."

Satu lagi contoh. Katakan di rumah hanya tinggal si isteri. Si suami tiada di rumah. Tetapi tiba-tiba datang seorang lelaki yang merupakan sahabat kepada si suami yang keluar tadi. Adab Melayu menuntut supaya tetamu dijemput naik, tetapi tidaklah manis jika yang ada di rumah hanya si isteri. Jadi si isteri akan bertanya kepada tetamu tersebut, "Tak singgah dulu?" Dan si tetamu yang datang itu seharusnya faham, apabila jemputan itu dimulakan dengan perkataan "tak," maka ini bermakna tiada orang lelaki di rumah itu. Dan jawapan yang perlu diberikannya juga ialah, "Tak."

Andai kata di rumah kita ada makanan untuk dihidangkan, kita akan menjemput tetamu makan dengan berkata, "Jemput makan." Dan andai kata di rumah ada si suami, maka si isteri akan menjemput tetamu masuk ke rumah dengan berkata, "Silalah masuk."

Begitu kaya sekali kesantunan Melayu yang sarat dengan falsafah. Aku berharap generasi hari ini dapat memahami dan menghayati keindahan yang sudah mula hilang dan terhakis ini. Aku bimbang jika generasi hari ini melupakan kesantunan Melayu ini, maka "kebijakan Melayu" yang disebut oleh Pak Tenas akan turut lenyap ditelan zaman.