Lama sungguh aku tidak mengemas kini blog ini. Alasan lapuk - hambatan tugas dan kesuntukan masa - menjadi hujah pembelaan buat diri ini. Kepada pengunjung-pengunjung setia, aku pohon ampun dan maaf kerana tidak berkemampuan untuk memasukkan catatan-catatan baru semenjak kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, aku ingin menyampaikan perkhabaran yang diterima daripada saudara RMN mengenai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi. Sebenarnya aku diberitahu tentang sayembara ini pada bulan Oktober tahun lepas oleh novelis Rabiatul Adawiyah. Aku cuba menghubungi pihak penganjur iaitu Penerbit Universiti Teknologi Malaysia menerusi e-mel pada 4 November yang lalu, tetapi tidak ada sebarang maklum balas yang diterima.
Pagi ini, aku menerima e-mel mengenai perkara ini daripada saudara Yosman Mohd Bain dari Penerbit UTM yang memaklumkan tentang kelewatan yang disebabkan oleh masalah teknikal. Dan apabila aku memasuki blog ini, aku terpandang pesanan yang ditinggalkan oleh saudara RMN mengenai perkara yang sama. Lantas, di sini aku uar-uarkan perkara ini kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya.
Adakah aku akan menyertai sayembara ini?
Minat itu ada... tetapi aku belum pasti sama ada aku punya kudrat untuk menyertai. Aku hanya mampu berkata, "insya-Allah."
Khamis, 27 Mac 2008
Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
12:37
0
maklum balas
Isnin, 4 Februari 2008
Minda kata "ya"... badan kata "tidak"
Rasanya suatu perkara lumrah apabila seorang penulis menghadapi keadaan "letih badan." Aku sekarang ini terlalu sibuk dengan tugas hakiki di samping pengajian doktorat di universiti sehingga menyebabkan aku keletihan sebaik pulang ke rumah. Masa yang ada di rumah lebih banyak aku habiskan melayan keletah anak-anak yang cepat membesar. Lazimnya, masa yang aku peruntukkan untuk menulis adalah di sebelah malam. Namun, semenjak aku menyiapkan manuskrip "Transgenesis: Bisikan Rimba" beberapa bulan lalu, aku seperti tidak berdaya lagi untuk menintakan ayat-ayat untuk karya kreatif.
Walaupun demikian, seperti yang pernah aku catatkan di blog ini sebelum ini, aku sasarkan beberapa perkara untuk aku selesaikan pada tahun 2008 ini, insya-Allah. Aku telah tanamkan iltizam untuk menyiapkan nopen "Menagih Janji Langit Malam" pada bulan ini di samping memulakan penulisan untuk memoir "Echoes of My Heart," skrip drama bertemakan kemerdekaan, nopen "Mencari Nessie" dan nopen "Koloni 1974."
Memang banyak perkara yang ingin aku lakukan dan memang banyak kisah yang ingin aku ceritakan. Aku hanya mampu berdoa memohon agar aku diberikan kekuatan, kesihatan, kelapangan dan kesungguhan untuk meneruskan perjuangan di medan ini.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
07:41
3
maklum balas
Label Echoes of My Heart, Koloni 1974, Menagih Janji Langit Malam, Mencari Nessie, skrip merdeka, Transgenesis
Isnin, 21 Januari 2008
Peranan kulit buku
Aku kira kebanyakan kita sudah biasa dengan pepatah Inggeris yang berbunyi "judge not a book by its cover." Namun hakikatnya, kita tidak dapat menafikan bahawa kulit buku (tidak kira apa jua jenis buku itu) mempunyai peranan yang amat penting di dalam menarik perhatian pembaca. Jika kulit tidak menarik, besar kemungkinan pembaca tidak akan terpanggil untuk membaca atau membeli buku tersebut.
Aku ada menerima maklum balas mengenai kulit buku Ombak Senja daripada saudara Arsaili baru-baru ini. Pesanan ringkas yang aku terima pada jam 1.25 tengah hari 15 Januari yang lalu amat relevan dengan isu kulit buku ini. Tulisnya:
Salam sdr, lupa nk inform pasal design kulit novel Ombak Senja yg tidak menarik sehingga ada 2 org beri komen tidak tergerak untuk membaca atau membeli. Kulit kena menarik baru ramai tertarik. Harap penerbit novel peka. Just smpi kn pesan... krn syg isi cerita bagus. Mungkin ramai akan mbeli jika kulit ia menarik.Ombak Senja terbit pada awal tahun 2007 yang lalu, iaitu sebelum penerbit TintaRona membuat rombakan terhadap imej dan konsep kulit-kulit buku terbitannya beberapa bulan kemudian. Jika diamati, konsep baru kulit hadapan novel-novel terbitan TintaRona kini lebih menarik berbanding dengan konsep lama (seperti Ombak Senja). Mungkin jika Ombak Senja terbit lewat sebulan dua, agaknya novel ini akan mempunyai kulit hadapan berkonsep baru.
Walau bagaimanapun, soal kulit hadapan memang menjadi pertimbangan pokok bagi pembaca untuk membeli sesuatu novel. Lainlah kalau penulis sudah punya nama dan pengikutnya tersendiri. Bagi penulis baru seperti diriku ini, pastinya terpaksa bergantung kepada banyak faktor lain bagi melariskan jualan. Kulit hadapan novel serta promosi terancang dan teratur dapat membantu memperkenalkan sesuatu karya kepada khalayak.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
00:20
0
maklum balas
Label komentar, maklum balas, Ombak Senja
Sabtu, 12 Januari 2008
Maklum balas terbaru "Ombak Senja"
Setelah setahun Ombak Senja berada di pasaran, aku tidak menjangkakan akan menerima lagi maklum balas terhadap novel garapan sulungku ini. Tidak disangka yang aku akan menerima maklum balas daripada tiga orang sekitar tempoh waktu yang sama. Berikut adalah maklum balas yang telah aku terima itu:
- Maklum balas daripada saudari Hannah di tetingkap "Suara Hati" blog ini (Singapura, 7 Januari 2008 pada 9.25 pagi): Slm. Done with Ombak Senja. Sumthing diffrent, I like it.. buat saya berfikir... tak stereotype!
- Pesanan ringkas daripada Pak Zin (Puchong, 11 Januari 2008 pada 3.44 petang): Build up of the cause & effects of Hairi's follies generates awareness of the extreme stigma attached to an AIDS patient. Those considerations could be a gd eye opener for our young generation today. This book is what our youngsters today need.
- Lagi pesanan ringkas daripada Pak Zin (11 Januari 2008 pada 4.35 petang): I firmly believe if the message in Ombak Senja is widely transmitted it will certainly drive a chill running down everyone's spine. It will cause a stir & potential caders will not hesitate to take a 360-degree turn.
- Pesanan ringkas daripada saudara Arsaili (11 Januari 2008 pada 7.52 malam): Salam. Ombak Senja merupakan sebuah novel yang sarat dengan pengajaran yang begitu dekat dengan kehidupan kita. Saya berasa sedih apabila menghayati jalan cerita novel ini dan ia amat terkesan di hati. Saya berharap sdr terus menulis genre yang serupa menyingkap kisah hidup masyarakat. Teruskan menulis!
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
09:55
0
maklum balas
Label maklum balas, Ombak Senja
Jumaat, 11 Januari 2008
Hijrah seorang penulis
Tiada lagi hijrah di dalam konteks "pergerakan fizikal" selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Hijrah yang ada adalah di dalam konteks penambahbaikan kualiti diri, organisasi, masyarakat, negara dan sebagainya.
Bagi seorang yang berenang di dalam lautan dakwat dunia penulisan, proses hijrah ini perlu dilakukan. Pastinya seorang penulis mahu supaya karya terbarunya lebih baik dari yang terdahulu. Aspek-aspek yang boleh diperbaiki memang banyak seperti gaya penulisan, teknik penceritaan, pembinaan watak dan lain-lain. Jika seorang penulis dapat menjadikan karya terbaru lebih baik daripada karya terdahulu, bermakna dia telah berjaya menghijrahkan dirinya sebagai seorang penulis.
Salam Hijrah 1429.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
10:51
0
maklum balas
Label komentar
Rabu, 2 Januari 2008
Salam 2008
Maka berakhirlah sudah tahun 2007. Kini kita sudah berada di dalam tahun Miladiah baru iaitu 2008. Pastinya 2008 membawa seribu satu harapan buat kebanyakan kita.
Aku tidak mempunyai sebarang azam baru untuk tahun baru. Ini kerana bagiku, hidup ini adalah suatu proses penambahbaikan yang berterusan. Tidak perlu menunggu 1 Januari untuk menanam azam.
Cuma yang aku ada adalah sasaran bagi tahun 2008. Di dalam konteks penulisan kreatif, aku meletakkan sasaran berikut:
- Memastikan "Transgenesis: Bisikan Rimba" diterbitkan
- Menyiapkan nopen-nopen "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974"
- Menyiapkan memoir "Echoes of My Heart"
- Memulakan penulisan skrip drama bertemakan kemerdekaan untuk diterbitkan (tajuk masih rahsia)
- Memastikan skrip "Zuriat" didramakan
- Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Transgenesis"
- Memulakan penulisan kesinambungan kisah "Ombak Senja"
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
09:15
2
maklum balas
Label Echoes of My Heart, Koloni 1974, Menagih Janji Langit Malam, Mencari Nessie, Ombak Senja, skrip merdeka, Transgenesis, Zuriat
Khamis, 20 Disember 2007
Salam Aidiladha
Sudah sebulan aku tidak mengemas kini blog ini. Kebelakangan ini aku jarang berpeluang untuk memasuki dunia siber. Sambungan Internet di pejabat sudah hampir tiga bulan bermasalah. Hampir naik bosan cuba menghubungi pihak yang sepatutnya menguruskan perkara ini, namun masih belum ada tindakan yang diambil.
Di rumah pula, aku jarang menggunakan komputer dan Internet semenjak kelahiran putera keduaku tiga bulan lalu. Ini kerana banyak masa di rumah aku luangkan melayan keletah anak-anak. Hanya sesekali aku akan bersengkang mata di hadapan komputer sama ada untuk menyiapkan kerja atau karya.
Satu-satunya peluang yang aku ada untuk memasuki dunia siber sekarang ini adalah apabila aku singgah di kafe siber. Itu pun sekadar untuk menyemak e-mel, melayari beberapa blog dan jika ada masa, mengemas kini blog utama aku iaitu TeropongSkop.
Dan jarang-jarang aku akan dapat meluangkan masa di dalam dunia siber dari rumah seperti malam ini. Justeru, di dalam kesempatan ini, aku ingin merakamkan ucapan "Salam Aidiladha" buat sahabat-sahabat penulis, pengunjung-pengunjung blog ini dan semua Muslimin dan Muslimat. Bagi yang belum ke Tanah Suci Makkah al-Mukaramah bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima, marilah kita sama-sama berdoa agar kita akan dipanjangkan umur, diberikan kesihatan dan dianugerahkan kemampuan untuk menjadi tetamu Allah SWT. Bagi yang sedang berada di Tanah Suci sekarang ini, didoakan moga akan beroleh haji yang mabrur. Bagi yang menjalankan ibadah korban, semoga ibadah ini diterima dan beroleh pahala yang besar.
Walau apa sekalipun, marilah kita berdoa semoga kita mampu menghayati dan menterjemahkan erti pengorbanan yang sebenar seperti yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail. Semoga keimanan dan ketakwaan kita bertambah utuh, insya-Allah.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
01:29
0
maklum balas
Label blog
Selasa, 20 November 2007
Kembali
Pertama sekali jutaan maaf dipinta buat semua. Ada pun aku menyepi sekian lama kerana keadaan kesihatan diri yang tidak mengizinkan untuk aku melakukan aktiviti di blog. Bagi yang kerap singgah di sini sekalipun tidak ada catatan baru, aku ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian kalian untuk menjengah teratak buruk ini.
Walau bagaimanapun, alhamdulillah, keadaan kesihatan diri ini telah pun beransur pulih. Insya-Allah aktiviti blog ini akan dapat diteruskan.
Alhamdulillah, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Setidak-tidaknya aku berjaya menyiapkan novel kedua iaitu "Transgenesis." Insya-Allah jika semuanya berjalan baik, "Transgenesis" akan menemui pembaca selewat-lewatnya pada pertengahan 2008. Dan jika "Transgenesis" mendapat sambutan pembaca, kisah ini akan dijadikan satu siri. [Untuk makluman, tajuk penuh "Transgenesis" adalah "Transgenesis: Bisikan Rimba"].
Aku juga telah memulakan penulisan untuk antologi novel pendek (nopen). Aku sedang menulis tiga nopen yang bertajuk "Menagih Janji Langit Malam," "Mencari Nessie" dan "Koloni 1974." Mengikut perancangan, nopen-nopen ini akan digabungkan dengan tiga lagi nopen karya Izza Aripin. Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah aku akan dapat menyiapkan semua nopen ini menjelang akhir bulan ini.
Selesai sahaja projek nopen ini, aku akan duduk bersama adik Fikri untuk menyiapkan projek memoirnya yang bertajuk "Echoes of My Heart." Kami berharap akan dapat melancarkan memoir ini menjelang ulang tahun ketiga adik Fikri mendapat jantung mekanikal pada pertengahan tahun hadapan, insya-Allah.
Aku punya beberapa lagi projek penulisan yang menanti. Di antaranya adalah sekuel kepada Ombak Senja dan sebuah novel yang berlatarbelakangkan suasana kemerdekaan.
Walau apa sekalipun, aku berdoa agar aku diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menyiapkan semua projek penulisan ini. Amin!
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
09:47
2
maklum balas
Label Echoes of My Heart, Koloni 1974, Menagih Janji Langit Malam, Mencari Nessie, Ombak Senja, Transgenesis
Isnin, 15 Oktober 2007
SMS pengganti diri
Dengan perkembangan pesat teknologi, kita dihidangkan dengan satu lagi kaedah untuk menyampaikan ucapan salam Aidilfitri kepada saudara-mara dan rakan taulan. Kemudahan sistem pesanan ringkas atau SMS memberikan kita peluang untuk berinteraksi menjelangnya 1 Syawal.
Seperti tahun-tahun yang lalu, aku banyak menerima ucapan salam Aidilfitri menerusi SMS menjelang 1 Syawal pada tahun ini. Ada yang ringkas tetapi dalam maknanya. Ada yang berbentuk pantun. Ada pula yang berbentuk madah pujangga. Ada juga yang berbentuk nasihat dan ingatan. Malah, ada yang berbentuk doa.
Di antara SMS yang aku terima, ada beberapa yang menarik perhatian. Justeru, aku ingin kongsikan dua SMS yang aku rasa punya makna yang mendalam.
- Biar renggang di fana dunia, biar hina di mata manusia, biar semangat semakin tua, biar harta semakin tiada, biar akal semakin berusia, biar jauh kedudukan kita, biar jurang pangkat kita. Jangan tergadai silaturrahim antara kita.
- Insan lupa, lalu salah. Insan mulia, lalu pemaaf. Aidilfitri mengembalikan insan kepada fitrahnya.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
11:57
0
maklum balas
Label blog
Rabu, 10 Oktober 2007
Sepuluh jari disusun
Buat semua pengunjung blog ini, bersempena dengan 1 Syawal yang bakal menjelang tidak berapa hari sahaja lagi, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf andai berlaku perkara yang menyinggung perasaan atau mengguris hati. Sesungguhnya aku hanya insan biasa yang tidak dapat lari dari salah dan silap. Mungkin ada yang dicoretkan di dalam blog ini mengundang rasa tidak senang.
Justeru, di dalam suasana lebaran ini, marilah kita bermaaf-maafan dan mempereratkan silaturrahim sekalipun perkenalan kita hanya di dunia siber.
Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari Amir Husaini dan keluarga.
Dicoret oleh
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen
pada
05:03
0
maklum balas
Label blog
