Khamis, 12 Julai 2007

Inilah kisahku [Bahagian 1]

Kerap aku ditanya soalan mengapa seorang yang mempunyai latar belakang sains memilih untuk berkarya? Perlu aku jelaskan di sini bahawa aku tidak pernah meninggalkan satu bidang untuk terlibat di dalam bidang yang lain. Aku masih terlibat dengan kerja-kerja yang relevan dengan latar belakangku. Cuma, aku juga memilih untuk menyuburkan minat yang sekian lama tersemai di dalam sanubariku.

Dan inilah kisahku jika kalian sudi membaca.

Memang semenjak di bangku sekolah lagi, aku telah meminati bidang penulisan walaupun tidak pernah serius dalam menyuburkan minat ini. Keluargaku kerap berpindah, dari utara tanah air ke selatan dan balik semula ke utara, kerana tugas ayahku ketika itu. Hanya pada tahun 1986, barulah aku tinggal tetap di satu tempat untuk satu tempoh yang agak lama. Pada tahun itu jugalah sebenarnya, hatiku tertarik dengan dunia penulisan.

Tarikan ini berpunca daripada satu nama: Azizi Haji Abdullah. Pada tahun 1986, terbit sebuah drama di kaca televisyen iaitu "Seorang Tua di Kaki Gunung." Entah mengapa aku tertarik kepada kisah ini. Hanya selepas itu barulah aku tahu bahawa drama ini telah diadaptasi daripada sebuah novel dengan tajuk yang sama karya Azizi Haji Abdullah. Ketika itu, timbul satu soalan (yang menjadi klise hari ini), "Rasa pernah dengar nama itu, tapi di mana ya?"

Rupa-rupanya Azizi Haji Abdullah itu adalah Ustaz Azizi yang mengajar di sekolahku. Walaupun dia tidak pernah mengajar kelasku tetapi memang dia dikenali di sekolah. Mana tidaknya, Ustaz Azizi adalah di antara orang yang pertama, jika tidak orang pertama, di sekolah yang memiliki kereta Proton Saga. Mungkin juga dia di antara orang paling awal yang memiliki Proton Saga di Kulim pada masa itu. Proton pada ketika itu baru berusia setahun jagung. Aku masih ingat lagi, Proton Saga warna biru muda milik Ustaz Azizi. Mungkin ada di antara kita yang masih ingat iklan Proton Saga yang terawal iaitu visual yang menunjukkan orang ramai kagum lantas mengetuk-ngetuk Proton Saga menunjukkan ketahanan kereta nasional itu. Syyy... jangan beritahu Ustaz Azizi, kami murid-murid ketika itu memang kagum dengan Proton Saga, juga telah mengetuk-ngetuk keretanya untuk menguji sendiri ketahanan kereta nasional itu!

Pokoknya, di dalam diam, aku menjadikan Ustaz Azizi sebagai doronganku untuk cuba menulis. Tetapi pada peringkat awal, minatku tidak terlalu berkembang. Fokusku lebih kepada akademik. Hanya sekali-sekala bila ada peluang, aku menulis cerpen. Cerpen pertama yang ditulis bertajuk "Meniti Kejayaan" yang terbit di dalam majalah sekolah pada tahun 1989. Pada tahun berikutnya, aku menulis sebuah lagi cerpen yang juga terbit di dalam majalah sekolah yang sama. Tajuknya? "Ombak Senja."

Ya, tajuknya sama dengan tajuk novel sulungku tapi kisahnya sama sekali berbeza. Cerpen "Ombak Senja" yang ditulis hampir 17 tahun yang lalu itu merupakan kisah seorang pelajar. Kisah "Ombak Senja" yang dinovelkan adalah kisah yang berbeza. Tapi bila difikirkan kembali, cerpen "Ombak Senja" itu boleh menjadi prekuel kepada novel Ombak Senja kerana watak di dalam cerpen itu tidak lari daripada watak "Hairi" di dalam novel.

Zaman sekolahku tidak banyak aku tumpukan kepada penulisan. Sebaliknya aku lebih berminat kepada drama pada ketika itu. Aku ada menulis beberapa skrip untuk pementasan drama sekolah. Di antara 1987 dan 1991, aku terlibat dengan pelbagai pementasan drama di peringkat sekolah. Walau bagaimanapun, penglibatan aku ini tidak serius, sekadar suka-suka.

Aku juga pada ketika itu "dipaksa" menjadi pendebat Bahasa Inggeris untuk sekolah. Aku tidak suka berdebat tetapi kerana "arahan" Pengetua yang mahukan anak Melayu turut sama terlibat di dalam debat Bahasa Inggeris, aku terpaksa mengalah. Ini berlaku pada tahun 1990. Sekolahku merupakan juara bertahan bagi satu pertandingan debat Bahasa Inggeris bagi zon utara. Ketika inilah aku belajar membuat penyelidikan untuk mencari bahan bagi perdebatan dan menulis ucapan perdebatan. Bayangkan kesukaran membuat penyelidikan pada zaman sebelum Internet digunakan. Apapun, ini terbukti menjadi latihan asas yang berguna bagiku untuk tahun-tahun mendatang. Alhamdulillah, sekolahku berjaya mempertahankan kejuaraan debat ini, dan aku muncul pendebat terbaik. Ironis, kerana aku tidak suka berdebat.

Tahun 1991 adalah tahun penting bagi aku. Aku menduduki SPM pada tahun itu. Tapi takdir memang boleh mengejutkan sesiapa. Tanpa diduga dan tanpa dirancang, aku telah dipilih untuk mengikuti pengajian di United Kingdom sebelum keputusan SPM keluar. Maka, semasa kawan-kawanku masih berseronok bercuti panjang selepas SPM, tanggal 10 Januari 1992 aku telah menjejakkan kakiku di negara yang pernah menjajah tanah airku.

Dan segala yang berlaku itu sememangnya telah ditakdirkan. Di bumi UK tempat aku berkelana itulah, aku mula mengenali dan menyedari betapa tajamnya pena seorang penulis.

[Bersambung...]

Khamis, 5 Julai 2007

Membaca untuk menulis

Aku pernah diberitahu bahawa untuk menjadi seorang penulis yang baik, aku perlu banyak membaca. Membaca untuk mempelajari gaya bahasa, perkataan-perkataan baru dan sebagainya. Malah, aku pernah terbaca yang Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said membaca kamus untuk menghafal dan menguasai perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sama.

Aku kira nasihat supaya "banyak membaca untuk menulis" perlu diamalkan oleh sesiapa sahaja yang mahu menjadi penulis. Apa pula yang perlu dibaca? Kamus dan tesaurus sudah semestinya teman setia seorang penulis. Namun, seorang penulis juga perlu membaca tulisan penulis-penulis yang lain untuk menyelidiki dan mempelajari daripada mereka.

Bagi diriku, aku membaca karya-karya penulis tempatan mahupun luar negara, sama ada penulis veteran atau yang baru. Karya-karya penulis yang ku sanjung seperti Azizi Haji Abdullah, Khadijah Hashim, Shahnon Ahmad, Hamka - sekadar menyebut beberapa nama - menjadi sajian ruji diri ini. Begitu juga karya-karya penulis generasi baru yang telah ada nama seperti Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid - juga sekadar menamakan beberapa orang - turut aku baca. Malah, aku juga membaca penulisan mereka yang dilabel sesetengah orang sebagai penulis picisan. Bukan untuk menilai tetapi untuk mempelajari. Bagi aku banyak yang boleh kita pelajari daripada apa yang ditulis oleh orang lain.

Walaupun demikian, aku harap kita tidak lupa untuk membaca Kitabullah, al-Quran al-Karim, yang sepatutnya menjadi bahan bacaan kita yang pertama dan paling utama. Malah, wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sedari perkataan pertama lagi sudah memperingatkan manusia supaya membaca. Besar hikmahnya daripada arahan Allah SWT supaya kita membaca.

Bagi penulis, janganlah kita taksub dengan penulisan kita semata-mata. Bacalah tulisan orang lain supaya ianya membantu kita menjadi penulis yang lebih baik, insya-Allah.

Khamis, 28 Jun 2007

Menyelidik untuk menulis

Sebenarnya, mahu tidak mahu, seorang novelis perlu melakukan penyelidikan bagi menyiapkan karyanya. Ini tentunya memerlukan iltizam dan pengorbanan masa, tenaga dan wang di pihak novelis. Tanpa penyelidikan yang cukup, berkemungkinan karya yang dihasilkan akan "cacat" dan dipertikai oleh mereka yang lebih arif tentang perkara yang disampaikan di dalam penulisan tersebut.

Mungkin ada kisah yang tidak perlukan banyak penyelidikan - cukup sekadar pengalaman dan perasaan novelis itu sendiri. Tetapi hakikatnya, sedar atau tidak, untuk menyelami dan mengungkap pengalaman dan perasaan itu di dalam bentuk perkataan dan ayat adalah satu bentuk penyelidikan.

Penyelidikan bukan sekadar bermaksud menelaah kajian-kajian lepas di perpustakaan atau menemu bual pakar-pakar atau melakukan soal selidik atau membuat uji kaji di dalam makmal. Penyelidikan bagi seorang novelis juga merangkumi perkara-perkara seperti pencerapan, pemerhatian dan pemahaman tentang emosi manusia yang berlakon di atas pentas dunia - lantas diadun dengan fikiran kritikal dan analitikal - untuk menghasilkan satu karya yang benar-benar dapat menyentuh jiwa pembaca.

Pun begitu, aku fikir jika seorang novelis ingin menghasilkan karya-karya yang menyentuh perkara-perkara spesifik dan teknikal, penyelidikan yang perlu dijalankan adalah jauh lebih kompleks. Katakan seorang novelis mahu menghasilkan karya fiksyen sains yang bertemakan bioteknologi, seharusnya dia perlu merujuk kepada pakar bidang tersebut. Walaupun mungkin karyanya itu fiksyen sains, setidak-tidaknya usaha perlu dilakukan bagi memastikan hasil karyanya itu sehampir realiti yang mungkin.

Hal ini aku nyatakan kerana aku sendiri sedang melalui perkara yang sama dalam menyiapkan "Transgenesis." Aku mungkin mempunyai latar belakang sains tetapi daripada disiplin sains yang berbeza. Jadi aku tidak mempunyai kepakaran yang mendalam tentang bioteknologi. Justeru, tidak dapat tidak, aku perlu merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran di dalam bidang canggih ini. Sungguhpun begitu, latar belakang sains yang aku miliki sedikit sebanyak memudahkan kefahaman aku tentang bioteknologi.

Aku sangat berterima kasih kepada Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman, Pengarah Pusat Bioteknologi Agrikultur (CEBAR) di Universiti Malaya kerana meluangkan sedikit masanya yang sibuk itu untuk membantu aku di dalam penyelidikanku ini. Insya-Allah input yang beliau berikan akan menjadi maklumat yang berguna di dalam "Transgenesis" yang sedang ku garap ini.

Isnin, 25 Jun 2007

Dalam keletihan ada kepuasan

Akhir-akhir ini agak banyak juga yang telah ku tulis. Di sebalik kesibukan tugas hakiki (maklum sajalah, aku bukan penulis sepenuh masa), sempat juga aku mencuri masa di malam hari untuk berkarya.

Cerpen "Kilt dan Kimono" telah siap dan telah diposkan ke Mingguan Malaysia bagi pertimbangan mereka. Entah terbit entah tidak, aku pun tak berani hendak mengagak. Hantar saja, keluar atau tidak itu persoalan kedua.

Novel "Transgenesis" juga sudah mula menampakkan rupa yang lebih konkrit. Setidak-tidaknya aku telah berpuas hati dengan 20% pertama novel ini. Jika tiada kekangan masa dan tenaga, rasanya novel ini mampu ku siapkan tidak lama lagi, insya-Allah.

Memoir yang akan ku tulis bersama dengan Izza Aripin juga akan dimulakan tidak lama lagi. Itu satu lagi perkara yang mencabar tetapi aku yakin boleh dilaksanakan.

Jika diturutkan rasa badan, memang meletihkan. Tapi kalau dilayan rasa letih ini, alamatnya tidak ada kesempatan untuk berkarya kerana sesungguhnya dalam keletihan ada kepuasan.

Khamis, 21 Jun 2007

Dari kertas ke layar

Nampaknya komentar aku pada minggu lepas mendapat perhatian sedikit sebanyak daripada sahabat-sahabat penulis dan novelis. Jadi sengaja aku panjangkan perbincangan mengenai perkara yang sama menerusi forum ini.

Aku sangat faham kebimbangan kebanyakan penulis untuk membawa naskhah mereka ke layar sebagai filem atau drama. Kebimbangan ini, seperti yang disuarakan oleh Serunai Faqir dan Dina Najat, ada asasnya. Ramai yang tidak mahu karya mereka dirosakkan atau dinodai menyebabkan naskhah itu rosak sama sekali apabila diadaptasi. Aku fikir, siapa sahaja yang bergelar novelis mempunyai keresahan yang sama.

Satu jalan keluar bagi masalah ini adalah bagi novelis itu sendiri yang menghasilkan skrip berdasarkan naskhahnya. Namun aku kira tidak ramai yang sanggup berbuat demikian kerana menulis skrip adalah disiplin yang berbeza daripada menulis novel. Ya, memang ada yang boleh melakukan kedua-duanya tetapi aku kira jumlahnya tidak ramai.

Ada di antara novelis yang mula atau telah berjinak-jinak dengan dunia penulisan skrip. Semasa Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini, setahu aku tiga daripada pemenangnya adalah novelis. Selain daripada diriku, dua lagi yang aku maksudkan adalah Faisal Tehrani dan Kushi Hirdan. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup juga mengkhabarkan yang Izza Aripin turut sama akan terjun ke dalam dunia penulisan skrip drama ini.

Namun, hakikatnya menulis skrip bukan semudah yang difikirkan. Justeru, tidak hairanlah proses mengadaptasi novel ke layar adalah suatu perkara yang tidak mudah dilakukan. Proses ini memerlukan kreativiti dan kefahaman yang baik oleh penulis skrip terhadap naskhah yang menjadi sumber adaptasi. Jika penulis skrip tidak dapat menghayati kisah yang disampaikan di dalam novel, maka akan hancurlah karya itu apabila didramakan. Apabila ini berlaku, naskhah novel itu bukan "diangkat menjadi drama bermutu" tetapi "diturunkan martabatnya menjadi cerita murahan." Pastinya bukan ini yang dikehendaki oleh novelis.

Sekadar mengambil contoh, lihat karya terkenal J.K. Rowling yang menjadikannya lebih kaya daripada Ratu Elizabeth II. Karya yang dimaksudkan adalah siri novel Harry Potter. Umum maklum bahawa Rowling telah menghasilkan tujuh edisi novel berkenaan Harry Potter (novel ketujuh Harry Potter and the Deathly Hallows akan berada di pasaran 21 Julai nanti). Daripada tujuh novel yang dihasilkan Rowling ini, empat telah difilemkan dan yang kelima akan berada pada bulan November nanti.

Seperti kebanyakan novelis, Rowling tidak mahu filem berkenaan Harry Potter "lari" daripada karya asalnya. Dia mahukan supaya jalan cerita di dalam filem mengikut plot di dalam novel. Logik akal menyatakan ini suatu perkara yang sukar dilakukan. Pun begitu, Rowling membenarkan beberapa unsur di dalam karyanya dikeluarkan bagi tujuan adaptasi selagi mana plot cerita tidak lari.

Perkara yang jelas di sini adalah proses adaptasi novel memerlukan sedikit sebanyak pengubahsuaian kepada plot asal. Itulah sebabnya ia dipanggil "adaptasi." Walaupun perlu ada pengubahsuaian di sana sini, perkara pokok ialah jalan cerita di dalam filem atau drama tidak lari atau tidak banyak berbeza daripada jalan cerita asal di dalam novel. Jika ini dilakukan, maka ianya bertepatan dengan konsep "adaptasi." Namun, jika banyak perubahan dilakukan sehingga plotnya berbeza sama sekali, maka ianya bukan lagi "adaptasi." Pada ketika itu, mungkin istilah yang lebih sesuai ialah "korupsi."

Khamis, 14 Jun 2007

Adaptasi novel

Beberapa hari yang lepas, aku bertemu dengan seorang sahabat yang bekerja di sebuah syarikat yang menerbitkan drama televisyen dan filem cereka. Aku diberitahu oleh sahabatku ini yang sekarang terdapat kekurangan skrip untuk didramakan bagi tujuan tayangan di kaca televisyen. Ini kerana slot yang ada di televisyen begitu banyak tetapi cerita dan skrip yang ada tidak mampu menampung kekosongan yang ada.

Kata-katanya ini membuat aku terfikir tentang drama-drama yang disiarkan. Aku bukanlah penonton setia drama-drama di televisyen. Namun, sesekali sempat jugalah menonton drama. Ada yang memang bagus dari sudut jalan cerita, teknik pengarahan dan kualiti lakonan. Namun, aku rasa banyak yang sekadar melepaskan batuk di tangga kerana gagal meninggalkan kesan kepada penonton. Mungkin sebab itu jugalah aku terasa sedikit liat untuk memacakkan diriku di hadapan peti televisyen untuk menonton drama.

Jangan silap faham. Bukan aku tidak sokong filem atau drama Melayu. Jauh daripada itu. Cumanya, aku dambakan sebuah drama yang berkualiti. Memang ada yang berkualiti tetapi kuantitinya tidak banyak.

Aku berpandangan bahawa banyak hasil penulisan yang telah diterbitkan yang mempunyai kisah-kisah yang menarik yang boleh diadaptasi untuk didramakan atau difilemkan. Daripada kita mengadaptasi telenovela, filem atau novel luar negara, aku rasa lebih baik kita mengambil novel-novel tempatan bagi tujuan ini.

Tapi sayang, tidak banyak penerbit yang mahu melakukan perkara ini. Aku cuma dapat menamakan beberapa filem (itupun daripada tahun 1980-an dan 1990-an semasa zaman remajaku) yang diadaptasi daripada novel. Ranjau Sepanjang Jalan (1983) daripada karya klasik Shahnon Ahmad, Mira Edora (1990) daripada karya Khadijah Hashim dan Black Widow Wajah Ayu (1994) daripada karya Raja Azmi. Kebetulan, Mira Edora adalah novel Melayu pertama yang aku baca semasa zaman remajaku, namun aku sedikit kecewa dengan adaptasi yang dilakukan oleh Zulkiflee M. Osman tersebut. Mungkin ada lagi adaptasi lain yang tidak ku ketahui.

Bagi drama televisyen pula, aku cuma dapat menamakan satu adaptasi - itupun sekali lagi daripada zaman remajaku. Adaptasi yang aku maksudkan ialah Seorang Tua Di Kaki Gunung daripada karya klasik dengan tajuk yang sama oleh Azizi Haji Abdullah.

Mungkin sudah sampai masanya penerbit-penerbit filem dan drama melihat kepada khazanah novel tempatan bagi tujuan adaptasi. Ini pastinya boleh menjadi satu daya penggerak kepada novelis-novelis tempatan untuk lebih bersemangat dalam penghasilan karya. Wallahualam.

Khamis, 7 Jun 2007

Adakah ruang untuk fiksyen sains?

Aku sebenarnya membesar dengan karya-karya fiksyen sains. Karya-karya ini mungkin dalam bentuk bahan cetak (buku dan komik) ataupun bahan pandang dengar (kartun, siri di kaca televisyen atau cereka di pawagam). Malah terus-terang aku akui yang aku belajar menguasai Bahasa Inggeris daripada sumber-sumber ini.

Kebanyakan karya fiksyen sains didapati di dalam Bahasa Inggeris. Tidak banyak yang ditulis di dalam Bahasa Malaysia dan kalau adapun, setakat ini tidak begitu mendapat perhatian orang. Aku dapat rasakan yang karya fiksyen sains tidak begitu luas pasarannya berbanding karya fiksyen yang bertemakan kisah masyarakat atau cinta.

Aku gemar membaca karya-karya fiksyen sains ini kerana kagum dengan keupayaan penulis-penulisnya yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Ironisnya, kalau kita baca karya-karya fiksyen sains yang ditulis pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, ada di antara perkara fiksyen ini telah menjadi fakta sains. Misalnya karya Jules Verne yang pertama kali terbit pada tahun 1865, From the Earth to the Moon. Kira-kira 100 tahun sebelum Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, Jules Verne telah menghasilkan kisah manusia sampai ke bulan. Walaupun banyak perkara yang ditulis di dalam karya ini bersifat pseudosains, hakikatnya imaginasi Jules Verne telah menjadi fakta.

Aku gembira kiranya ada penulis di negara kita yang mampu menghasilkan karya fiksyen sains yang baik. Ketika ini aku sedang membaca Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi karya Hani Ismail. Walaupun karya ini disasarkan kepada kalangan remaja, aku agak teruja kerana unsur-unsur fiksyen sains telah digarap dengan menarik. Pada hematku, Hani Ismail bijak mensasarkan karyanya ini khusus untuk remaja. Aku dapat rasakan yang remaja lebih meminati genre fiksyen sains ini berbanding pembaca yang lebih dewasa dan matang.

Aku sendiri sedang berhempas-pulas menyiapkan "Transgenesis" yang sememangnya adalah sebuah karya fiksyen sains. Cuma bezanya dengan Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi ialah khalayak sasaranku bukan remaja. Sama ada karya ini bakal mendapat tempat di hati pembaca, terpulang kepada kalian untuk menentukannya kelak.

Selasa, 5 Jun 2007

Maklum balas pembaca

Bagi seorang penulis yang kali pertama menghasilkan novel seperti diriku, pastinya sedikit sebanyak akan teruja apabila ada maklum balas yang diterima. Sebelum ini banyak maklum balas diberikan secara lisan, tetapi semalam aku menemui maklum balas yang dimuatkan di dalam sebuah blog. Walaupun ringkas, tapi bagiku, ianya sungguh bermakna.

Berikut adalah petikan daripada blog Meandering Thoughts:

I also bought some novels, and out of curiosity I bought a BM novel as well. Don’t get me wrong, aku memang dah lama sangat tak baca novel BM bukan sebab sombong atau tak sokong local writers, tapi sebab memang dah lama tak follow perkembangan dunia sastera, dan rupanya ramai sungguh penulis baru sekarang ni. Title? Ombak Senja by Amir Husaini. Not some run-of-the-mill Mills & Boons type of love story, ada some cute word plays and lots of social awareness messages. <ahem, promosi nih hehehe> Tapi memang betulpun, susah nak hilangkan prejudis masyarakat unless terkena batang hidung sendiri.
Sekiranya ada maklum balas yang lain, aku amat alu-alukan dan hargai.

Jumaat, 25 Mei 2007

Apa ada pada nama?

Soalan "apa ada pada nama?" dilontarkan oleh William Shakespeare kerana baginya, "jika nama lain diberikan kepada bunga mawar sekalipun, ianya masih tetap harum."

Semalam, aku berbicara dengan novelis Izza Aripin mengenai satu projek penulisan. Soalan mengenai nama berbangkit dalam perbincangan kami. Beliau berkongsi pemerhatiannya bahawa sesetengah penerbit agak keberatan menerbitkan hasil penulisan penulis lelaki. Ini kerana pandangan umum adalah penulis wanita lebih berkesan dalam meruntun jiwa pembaca berbanding penulis lelaki. Sebab itulah ada penulis lelaki yang menggunakan nama pena yang bersifat kewanitaan atau nama yang tidak menampakkan jantina supaya karyanya mendapat tempat di pasaran. Kata Izza Aripin lagi, memang taktik ini menampakkan hasil yang dikehendaki oleh penerbit.

Secara peribadi, aku kurang bersetuju dengan persepsi dan langkah yang sedemikian. Bagiku, jantina penulis tidak penting. Perkara yang lebih penting adalah kualiti penulisan. Namun, hakikat di luar sana berlainan dengan pandangan peribadi ini. Realitinya seperti yang dinyatakan oleh Izza Aripin. Nama penulis memainkan peranan dalam menarik perhatian pembaca novel untuk membeli novel yang berada di rak buku.

Aku katakan kepada Izza Aripin bahawa sekiranya penerbit mahu aku menggunakan nama pena yang lain, aku tidak bersetuju. Ini adalah prinsip diriku sebagai penulis. Nama "Amir Husaini" akan terus ku guna selagi hayat di kandung badan, insya-Allah.

Sabtu, 12 Mei 2007

Cabaran seorang novelis

Menulis tidaklah semudah yang disangka oleh sesetengah orang. Kalau menulis kerja yang mudah, pasti semua orang akan memilih kerjaya penulisan. Hakikatnya, penulisan - apa lagi penulisan novel - adalah suatu perkara yang mencabar daya pemikiran dan kreativiti si penulis.

Bukan mudah untuk memikirkan satu-satu jalan cerita yang benar-benar asli. Bagi novel kedua yang sedang ditulis ketika ini, sudah beberapa kali jalan ceritanya aku ubah. Ada kalanya aku tidak berpuas hati dengan apa yang telah ditulis. Ada ketikanya pula aku terjumpa kisah (baik di televisyen atau buku) yang mempunyai terlalu banyak persamaan dengan jalan ceritaku. Jadi aku ubah suai semula kisah ini beberapa kali.

Proses ubah suai plot ini sebenarnya begitu meletihkan, dan ada kalanya memeningkan kepala. Apa lagi apabila "Transgenesis" - itu tajuk yang digunakan pada waktu ini - menggabungkan unsur-unsur misteri, aksi dan fiksyen sains. Novel ini jauh sekali berbeza dengan novel sulungku "Ombak Senja" yang merupakan sebuah kisah realiti masyarakat yang bertemakan pengorbanan dan cinta agung.

Sama ada percubaan untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza ini berjaya atau tidak, ini hanya akan diketahui apabila novel ini menemui pembaca. Pembacalah yang akan menentukan sama ada pendekatan yang digunakan untuk novel kedua ini berjaya atau sebaliknya.

Aku pernah coretkan yang aku sasarkan agar manuskrip novel ini siap sekitar bulan April, tetapi kerana hambatan tugas hakiki dan proses menulis semula plot novel ini yang mengambil masa, maka aku terpaksa membuat penyesuaian kepada hasrat asalku itu. Apapun, lebih kurang jam 2.00 pagi tadi, aku telah berjaya menyiapkan plot novel kedua ini. Beberapa bab telah juga ku siapkan. Apa yang aku perlu lakukan sekarang ialah meneruskan proses penulisan bagi bab-bab lain.

Novelis Izza Aripin yang telah membaca salah satu bab novel ini mencadangkan agar aku hantarkan manuskrip novel kedua ini untuk Pertandingan Hadiah Sastera Utusan. Setelah berfikir untuk sekian lama semenjak cadangan itu pertama kali dilontarkan, insya-Allah, itulah yang akan aku lakukan sebaik manuskrip "Transgenesis" disiapkan.