Khamis, 7 Jun 2007

Adakah ruang untuk fiksyen sains?

Aku sebenarnya membesar dengan karya-karya fiksyen sains. Karya-karya ini mungkin dalam bentuk bahan cetak (buku dan komik) ataupun bahan pandang dengar (kartun, siri di kaca televisyen atau cereka di pawagam). Malah terus-terang aku akui yang aku belajar menguasai Bahasa Inggeris daripada sumber-sumber ini.

Kebanyakan karya fiksyen sains didapati di dalam Bahasa Inggeris. Tidak banyak yang ditulis di dalam Bahasa Malaysia dan kalau adapun, setakat ini tidak begitu mendapat perhatian orang. Aku dapat rasakan yang karya fiksyen sains tidak begitu luas pasarannya berbanding karya fiksyen yang bertemakan kisah masyarakat atau cinta.

Aku gemar membaca karya-karya fiksyen sains ini kerana kagum dengan keupayaan penulis-penulisnya yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Ironisnya, kalau kita baca karya-karya fiksyen sains yang ditulis pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, ada di antara perkara fiksyen ini telah menjadi fakta sains. Misalnya karya Jules Verne yang pertama kali terbit pada tahun 1865, From the Earth to the Moon. Kira-kira 100 tahun sebelum Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, Jules Verne telah menghasilkan kisah manusia sampai ke bulan. Walaupun banyak perkara yang ditulis di dalam karya ini bersifat pseudosains, hakikatnya imaginasi Jules Verne telah menjadi fakta.

Aku gembira kiranya ada penulis di negara kita yang mampu menghasilkan karya fiksyen sains yang baik. Ketika ini aku sedang membaca Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi karya Hani Ismail. Walaupun karya ini disasarkan kepada kalangan remaja, aku agak teruja kerana unsur-unsur fiksyen sains telah digarap dengan menarik. Pada hematku, Hani Ismail bijak mensasarkan karyanya ini khusus untuk remaja. Aku dapat rasakan yang remaja lebih meminati genre fiksyen sains ini berbanding pembaca yang lebih dewasa dan matang.

Aku sendiri sedang berhempas-pulas menyiapkan "Transgenesis" yang sememangnya adalah sebuah karya fiksyen sains. Cuma bezanya dengan Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi ialah khalayak sasaranku bukan remaja. Sama ada karya ini bakal mendapat tempat di hati pembaca, terpulang kepada kalian untuk menentukannya kelak.

Selasa, 5 Jun 2007

Maklum balas pembaca

Bagi seorang penulis yang kali pertama menghasilkan novel seperti diriku, pastinya sedikit sebanyak akan teruja apabila ada maklum balas yang diterima. Sebelum ini banyak maklum balas diberikan secara lisan, tetapi semalam aku menemui maklum balas yang dimuatkan di dalam sebuah blog. Walaupun ringkas, tapi bagiku, ianya sungguh bermakna.

Berikut adalah petikan daripada blog Meandering Thoughts:

I also bought some novels, and out of curiosity I bought a BM novel as well. Don’t get me wrong, aku memang dah lama sangat tak baca novel BM bukan sebab sombong atau tak sokong local writers, tapi sebab memang dah lama tak follow perkembangan dunia sastera, dan rupanya ramai sungguh penulis baru sekarang ni. Title? Ombak Senja by Amir Husaini. Not some run-of-the-mill Mills & Boons type of love story, ada some cute word plays and lots of social awareness messages. <ahem, promosi nih hehehe> Tapi memang betulpun, susah nak hilangkan prejudis masyarakat unless terkena batang hidung sendiri.
Sekiranya ada maklum balas yang lain, aku amat alu-alukan dan hargai.

Jumaat, 25 Mei 2007

Apa ada pada nama?

Soalan "apa ada pada nama?" dilontarkan oleh William Shakespeare kerana baginya, "jika nama lain diberikan kepada bunga mawar sekalipun, ianya masih tetap harum."

Semalam, aku berbicara dengan novelis Izza Aripin mengenai satu projek penulisan. Soalan mengenai nama berbangkit dalam perbincangan kami. Beliau berkongsi pemerhatiannya bahawa sesetengah penerbit agak keberatan menerbitkan hasil penulisan penulis lelaki. Ini kerana pandangan umum adalah penulis wanita lebih berkesan dalam meruntun jiwa pembaca berbanding penulis lelaki. Sebab itulah ada penulis lelaki yang menggunakan nama pena yang bersifat kewanitaan atau nama yang tidak menampakkan jantina supaya karyanya mendapat tempat di pasaran. Kata Izza Aripin lagi, memang taktik ini menampakkan hasil yang dikehendaki oleh penerbit.

Secara peribadi, aku kurang bersetuju dengan persepsi dan langkah yang sedemikian. Bagiku, jantina penulis tidak penting. Perkara yang lebih penting adalah kualiti penulisan. Namun, hakikat di luar sana berlainan dengan pandangan peribadi ini. Realitinya seperti yang dinyatakan oleh Izza Aripin. Nama penulis memainkan peranan dalam menarik perhatian pembaca novel untuk membeli novel yang berada di rak buku.

Aku katakan kepada Izza Aripin bahawa sekiranya penerbit mahu aku menggunakan nama pena yang lain, aku tidak bersetuju. Ini adalah prinsip diriku sebagai penulis. Nama "Amir Husaini" akan terus ku guna selagi hayat di kandung badan, insya-Allah.

Sabtu, 12 Mei 2007

Cabaran seorang novelis

Menulis tidaklah semudah yang disangka oleh sesetengah orang. Kalau menulis kerja yang mudah, pasti semua orang akan memilih kerjaya penulisan. Hakikatnya, penulisan - apa lagi penulisan novel - adalah suatu perkara yang mencabar daya pemikiran dan kreativiti si penulis.

Bukan mudah untuk memikirkan satu-satu jalan cerita yang benar-benar asli. Bagi novel kedua yang sedang ditulis ketika ini, sudah beberapa kali jalan ceritanya aku ubah. Ada kalanya aku tidak berpuas hati dengan apa yang telah ditulis. Ada ketikanya pula aku terjumpa kisah (baik di televisyen atau buku) yang mempunyai terlalu banyak persamaan dengan jalan ceritaku. Jadi aku ubah suai semula kisah ini beberapa kali.

Proses ubah suai plot ini sebenarnya begitu meletihkan, dan ada kalanya memeningkan kepala. Apa lagi apabila "Transgenesis" - itu tajuk yang digunakan pada waktu ini - menggabungkan unsur-unsur misteri, aksi dan fiksyen sains. Novel ini jauh sekali berbeza dengan novel sulungku "Ombak Senja" yang merupakan sebuah kisah realiti masyarakat yang bertemakan pengorbanan dan cinta agung.

Sama ada percubaan untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza ini berjaya atau tidak, ini hanya akan diketahui apabila novel ini menemui pembaca. Pembacalah yang akan menentukan sama ada pendekatan yang digunakan untuk novel kedua ini berjaya atau sebaliknya.

Aku pernah coretkan yang aku sasarkan agar manuskrip novel ini siap sekitar bulan April, tetapi kerana hambatan tugas hakiki dan proses menulis semula plot novel ini yang mengambil masa, maka aku terpaksa membuat penyesuaian kepada hasrat asalku itu. Apapun, lebih kurang jam 2.00 pagi tadi, aku telah berjaya menyiapkan plot novel kedua ini. Beberapa bab telah juga ku siapkan. Apa yang aku perlu lakukan sekarang ialah meneruskan proses penulisan bagi bab-bab lain.

Novelis Izza Aripin yang telah membaca salah satu bab novel ini mencadangkan agar aku hantarkan manuskrip novel kedua ini untuk Pertandingan Hadiah Sastera Utusan. Setelah berfikir untuk sekian lama semenjak cadangan itu pertama kali dilontarkan, insya-Allah, itulah yang akan aku lakukan sebaik manuskrip "Transgenesis" disiapkan.

Khamis, 3 Mei 2007

Rupa baru... tapi bukan pakai susuk

Semenjak aku mulakan blog "Ombak Senja" pada tahun lepas, ini adalah kali kedua aku melakukan perubahan, penambahbaikan dan penaiktarafan kepada reka letak dan rupa bentuk blog ini. Beberapa pembaharuan telah dilakukan, dan diharapkan pengunjung akan lebih selesa dengan rupa bentuk baru blog ini.

Dari semasa ke semasa, aku akan mempertingkatkan lagi penampilan blog ini dengan memperkenalkan ciri-ciri baru yang mesra pengunjung, insya-Allah.

Mulai hari ini juga, blog "Ombak Senja" ini dikenali sebagai blog "Amir Husaini... Novelis" dan secara rasminya menjadi blog khusus untuk penulis novel Amir Husaini. Blog ini menjadi platform bagi membincangkan hasil penulisan Amir Husaini.

Selasa, 24 April 2007

Aku terusik

Aku terusik membaca cerpen bertajuk "Calon YB" yang disiarkan di dalam ruangan Sudut Sastera (halaman 30) Mingguan Malaysia pada hari Ahad lalu.

Aku terusik bukan kerana apa, tetapi kerana penulisnya aku kenali.

Aku terusik juga kerana penulisnya yang ku kenali ini kini tidak ada lagi di dunia ini.

Aku terusik kerana kisah yang ditintakannya itu dapat ku fahami dan ku selami.

Aku terusik kerana watak yang dilakarkannya di dalam cerpen itu adalah watak-watak yang ku kenali.

Apapun, kisah "Calon YB" sarat dengan mesej tersirat, kaya dengan metafora, serta padat dengan peringatan dan wasiat. Dan ini jugalah yang menyebabkan aku terusik.

Al-Fatihah buat penulisnya.

Selasa, 17 April 2007

Ke mana hendak dituju?

Petang tadi aku menelefon editor yang menyunting "Ombak Senja." Tujuan aku menelefonnya adalah untuk bertanyakan beberapa hal, seperti publisiti sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Macam manapun, aku agak terperanjat apabila diberitahu yang editor ini baru sahaja meletakkan jawatan dan tidak lagi bertugas di situ. Aku sedikit tersentap kerana aku agak selesa berurusan dengannya. Beliau seorang yang mudah berkira dan tidak banyak kerenah. Aku cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya, tetapi nombor itu tidak lagi beroperasi.

Apapun, aku terpaksa melihat kembali masa hadapan aku dengan penerbit ini. Jika aku terus mahu menerbitkan novel-novel yang akan datang, aku perlu mencari orang baru di sana yang boleh aku jadikan sebagai orang perhubungan. Jika tidak, aku mungkin perlu mencari penerbit baru.

Entahlah..., aku pun tak pasti ke mana hendak ku tuju.

Isnin, 16 April 2007

Pengalaman pertama

Semalam aku sempat menghadirkan diri ke majlis pelancaran novel karya Izza Aripin bertajuk "Kerana Dia Cinta" di Avenue K. Ini pengalaman pertama aku menghadiri majlis sebegini. Suasananya tidak formal, relaks dan kasual. Rasanya amat sesuai dengan imej santai yang dibawa di dalam majlis ini.

Apapun tahniah buat Izza Aripin di atas kelahiran novel kelimanya. Dan kata-kata Izza Aripin berikut yang diucapkannya semalam mungkin menggambarkan perasaannya dengan kelahiran novel terbarunya:

Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih!

Rabu, 11 April 2007

Pelancaran novel "Kerana Dia Cinta"

Pada hari Ahad 15 April ini, novel terbaru karya Izza Aripin akan dilancakan di Avenue K, Kuala Lumpur. Beliau ada menjemput aku untuk menghadiri pelancaran tersebut. Insya-Allah jika tidak ada aral yang melintang, aku akan menghadirkan diri. Bukannya apa, sekadar ingin melihat sendiri suasana pelancaran novel. Ini merupakan satu perkara yang belum pernah aku lalui sebelum ini. Sebelum ini, kalau adapun pelancaran yang aku hadiri adalah pelancaran buku-buku akademik yang nyata sekali suasananya jauh berbeza.

Maklumat lanjut tentang novel "Kerana Dia Cinta" boleh didapati di pautan ini.

Selasa, 3 April 2007

Catatan mengenai peraduan

Secara tak sengaja hari ini aku menemui dua pautan baru mengenai Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sekiranya berminat, pautan-pautan ini boleh dibaca di sini dan sini.